“BIBIK!!!”
Terdengar jeritan dari tingkat atas. Najah dan Mak Ton saling berpandangan. Pagi-pagi lagi sudah terdengar suara jeritan Irfan Haris.
“Tinggal kerja tu. Pergi naik atas tengok apa tuan putera tu nak.”
Berat hati untuk Najah naik ke tingkat atas. Namun kerana kerja dia gagahkan diri juga meniti anak tangga. Langkah kaki diatur sambil hati berdoa agar lelaki itu tidak buat hal aneh-aneh kepadanya.
Tok! Tok! Tok!
Pintu diketuk perlahan. Tidak sampai beberapa saat pintu dibuka dan muncul Haris yang hanya bertuala.
“Gosok baju aku. Aku nak pergi ofis.”
“Kan ada baju yang dah siap gosok tu?” Setahu Najah, semalam dia sudah menggosok beberapa helai baju kemeja dan seluar slek untuk Haris. Segera dia mengekori Haris masuk ke dalam bilik pakaian.
“Tak nak. Tak ada warna kegemaran aku.” Haris mencari-cari kemeja yang mahu dipakainya. Sehelai kemeja biru ditarik keluar lalu dicampak ke arah Najah.
“Nah, gosok.”
“Kan dah ada warna biru tu.” Najah tunjuk pada deretan baju yang sudah siap bergosok. Elok sahaja tergantung baju berwarna biru. Sama seperti baju yang dicampak Haris kepada dia tadi.
“Aku nak baju biru ni. Pergi gosok.”
“Tapi...”
“Kalau aku lambat masuk ofis, semua salah kau. Aku beritahu nenda kau tak nak gosok baju aku.” Haris memilih jam tangan yang hendak dipakai. Satu laci aksesori penuh dengan koleksi jam tangan berjenama.
“Pakailah baju yang dah bergosok tu.”
Haris berpaling dengan kening terangkat. Perlahan kaki melangkah mendekati Najah yang berdiri berhampiran pintu almari. Orang gaji ini sengaja mencabar kesabarannya.
Najah gugup. Kakinya melangkah ke belakang selangkah demi selangkah. Dia telah menimbulkan kemarahan lelaki itu. Kenapalah mulutnya celopar sangat hendak membantah.
“Bahagian mana kau tak faham dalam kontrak kerja kau? Kau kena buat kerja sesuai dengan arahan tuan rumah selagi tidak membahayakan. Aku tak rasa gosok baju aku berbahaya untuk kau.” Haris ukir senyuman senget. Tubuh Najah sudah bersentuhan dengan pintu almari pakaian. Sebelah tapak tangannya didaratkan berhampiran kepala orang gaji itu.
“Walau sampai 100 kali aku suruh, selagi tak berbahaya, kau kena ikut.” Haris dekatkan hidungnya pada pipi Najah. Gadis ini berbau begitu harum. Sudahlah tubuh menggiurkan. Geram pula dia.
“Tuan Haris... jangan. Tak baik. Dosa...” Najah pejamkan mata. Tangan menolak dada Haris yang tidak berbaju. Tidak sanggup melihat bibir itu mendarat di pipinya. Kaki pula sudah sedia diangkat untuk menendang bahagian bawah lelaki itu jika Haris bertindak melampau.
“Tak baik? Dosa? Kau masuk bilik dengan aku tak dosa? Kau bukan tak tahu aku cuma pakai tuala aje ni.”
Najah perasan keterlanjurannya. Dia sepatutnya menunggu di luar bilik sahaja. Geram punya fasal dia mengekori Haris masuk ke dalam bilik.
“Tuan Haris, saya minta maaf. Tapi tolong jangan buat macam ni...” Hampir menangis Najah kerana Haris bagaikan tidak mahu menekan brek.
Haris menarik nafas. Syaitan sudah mula berbisik. Perkara yang satu ini dia tidak pernah cuba. Biarlah dirinya seorang sahaja yang hancur. Dia tak akan menghancurkan hidup orang lain. Terutama di teratak milik orang yang membesarkan dia selama ini.
Dia menarik tubuhnya serta-merta. Menjauhi Najah. Segera dia mencapai kemeja berwarna merah jambu cair yang tergantung di rak.
“Dah, pergi keluar sana. Aku nak pakai baju. Takkan kau nak tengok aku pakai baju pula.”
“Kata nak pakai baju ni.” Baju di tangan ditunjuk kepada Haris.
“Kau menangis aje dah setengah jam. Lambat dah.” Haris sarungkan kemeja ke tubuhnya.
“Tapi...”
“Najah. Keluar cepat sebelum aku jadi jahat! Buatkan aku Milo panas.”
Kelam-kabut Najah buka pintu dan keluar. Baru dia perasan baju kemeja Haris masih di tangannya. Terus dibuka kembali pintu. Melotot matanya melihat Haris hanya berbaju kemeja dan tuala yang berada di lantai. Baju di tangannya terlepas jatuh ke lantai.
“Najah!!!”
Bum!
Pintu dihempas kuat. Najah berlari menuju ke dapur bagaikan tidak cukup nafas. Mukanya membahang. Habis tercemar kesucian matanya.
“Kenapa ni?” tegur Mak Ton yang perasan Najah tercungap-cungap.
“Haris...”
“Haris kenapa?” tanya Puan Sri Rokiah.
“Err...” Najah tidak perasan majikannya sudah berada di meja makan. Takkan dia hendak beritahu yang dia ternampak Haris dalam keadaan ‘seksa’?
“Kenapa dengan Haris?” tanya Mak Ton pula.
“Dia minta Milo panas,” jawab Najah.
“Lah, itu aje? Terjerit-jerit sebab nak minta Milo panas rupanya.” Mak Ton ketawa. Najah turut ketawa.
“Apa lagi? Buatlah Milo panas dia tu.” Puan Sri Rokiah berwajah serius.
“Baik, Puan Sri.” Najah segera beredar ke dapur. Nafas lega ditarik. Kalau beritahu apa yang dia nampak tadi, silap-silap boleh kena kahwin paksa!
“Ya Allah, janganlah jodohkan aku dengan Haris. Lelaki bau-bau neraka itu.”
Najah mengambil teko dan cawan dari rak. Jika difikirkan balik memang salah dia main terjah saja bilik pakaian. Bukan dia tidak tahu Haris sedang memakai baju sewaktu dia keluar dari bilik itu.
Selesai membancuh air Milo, dia membawa minuman tersebut ke ruang makan. Kelihatan Haris sudah sedia duduk menunggu air yang diminta.
Tanpa menunggu lama, Najah menuangkan air tersebut ke dalam cawan dan meletakkannya di hadapan lelaki itu. Sekilas dipandang Haris dan mata mereka bertembung. Cepat-cepat dialihkan matanya. Dia berdiri di sebelah Mak Ton.
“Malam ni ikut nenda. Ada makan malam di rumah pak long kamu.” Puan Sri Rokiah bersuara.
“Kalau Haris tak ikut boleh tak?” balas Haris selesai mencicip Milonya. Disenduk sedikit nasi lemak ke dalam pinggannya. Dia memang tidak suka dengan keluarga itu. Satu-satunya anak saudara nenda.
“Kenapa?”
“Nenda pun tahu kenapa. Tak payah tanya pun dah tahu kan...” Haris menggaulkan nasi lemak dengan sambal sotong. Lalu dia masukkan ke dalam mulut sesudu.
“Dayana atau Luzman?”
“Satu keluarga.” Haris langsung tidak berselindung. Dia suap lagi sesudu ke dalam mulutnya.
“Pak long ada suruh Haris kahwin dengan Dayana lagi?” Puan Sri Rokiah tahu helah anak saudaranya memaksa Haris untuk berkahwin dengan Dayana. Semuanya kerana harta.
“Setiap kali jumpa, nenda. Sebab tu Haris malas nak masuk ofis.” Haris memberikan alasan. Nenda tahu alasannya.
“Nenda ada ambil alih satu syarikat pasar raya. Nenda nak Haris yang jaga.”
Haris diam seketika. Mulut mengunyah nasi lemak perlahan-lahan.
“Nanti Haris fikirkan.”
“Malam ni ikut nenda. Muktamad.” Puan Sri Rokiah sudah selesai bersarapan. Dia bangun dan beredar dari meja makan.
Haris mengeluh perlahan. Kalau nenda kata muktamad, dia harus ikut. Mahu tidak mahu harus dia menghadap muka plastik Dayana.
“Sedap Mak Ton masak nasi lemak hari ni. Lain dari biasa,” puji Haris ikhlas. Jujur dia suka nasi lemak yang orang gajinya masak hari ini.
“Bukan Mak Ton masak. Hari ni Najah yang masak.”
“Ooh...” Haris angkat muka sekilas. “Ada lagi tak nasi?”
“Ada,” jawab Najah.
“Tolong bungkus untuk aku makan tengah hari nanti. Cepat sikit,” ucap Haris tapi mata ke lain. Segan.
“Mak Ton bungkuskan ya.” Mak Ton cepat-cepat menghilang ke dapur.
Najah mahu mengikut Mak Ton tetapi ditegah oleh wanita berumur itu. Selagi tuan rumah masih di meja makan, mesti ada orang gaji yang menunggu.
“Besok aku nak pakai baju biru tadi. Jangan lupa gosok.” Haris berpesan.
“Baik, Tuan Haris. Tapi tuan lebih kacak pakai baju pink. Saya suka.” Terus Najah tutup mulutnya. Gila. Boleh pula dia cakap suka.
“Apa aku peduli kau suka atau tak.”
Najah mengangguk.
“Lain kali masak lagi nasi lemak macam ni. Aku suka.”
Mak Ton muncul dan bungkusan beg kertas diletakkan di atas meja. Walaupun pelik, dia turutkan juga kehendak cucu Nyonya Mansur ini.
Haris mengambil beg kertas tadi dan beredar dari meja makan.
“Tak pernah-pernah dia nak bawa bekal.” Mak Ton memerhatikan Haris.
“Dia datang bulan kut,” ucap Najah. Kalau Mak Ton pelik, dia lagilah pelik.
“Mana ada lelaki datang bulan. Nak bergurau pun... Dah, pergi kemas meja. Mak Ton nak pergi pasar.” Mak Ton memukul lembut bahu Najah sebelum ke dapur.
Najah tersenyum sendiri sambil mengemas meja. Cucu Nyonya Mansur ini pelik-pelik. Sekejap tunjuk perangai lelaki paling menjengkelkan di dunia. Tidak sampai seminit boleh jadi lelaki paling sweet di dunia. Bikin hatinya huru-hara sahaja.
No comments:
Post a Comment