Sunday, 28 February 2021

My Crush Shah - Bab 3


“KURANG ajarnya! Biadab!” jerit Yusra yang sedang memandu. Membara betul hatinya sekarang. Honnya ditekan berkali-kali. Apabila salah seorang daripada mat-mat motor besar itu menoleh memandang ke arahnya, ditayangkan penumbuknya.

Fitri yang duduk di sebelah hanya menggelengkan kepala. Satu tabiat Yusra yang dia tidak tahan ialah jika Yusra memandu. Yusra mesti akan memaki orang lain. Ada sahaja yang salah. Masalahnya, kalau Yusra marah pun, bukannya orang lain yang dengar. Telinga dia juga yang sakit dek makian Yusra itu.

“Lesen beli ke? Sesuka hati bawa motor besar tak berhenti kat simpang. Tak sayang nyawa ke apa? Mujur aku tak terlanggar tadi. Kalau tak, satu hal pula nak hantar pergi hospital. Kalau jatuh, aku gelak kuat-kuat tepi telinga diaorang.” Yusra masih membebel tidak berhenti. Geram.

Menyedari peningkatan pada kelajuan, Fitri menyentuh lengan kiri Yusra. Yusra ni, kalau sampai mood nak drift dia, memang tak fikir orang sebelah dah.

“Yaa, yang kau laju sangat ni kenapa? Nak kejar diaorang ke? Lupakan ajelah. Tak penting pun,” pujuk Fitri. Dia sudah kecut perut melihat cara pemanduan Yusra.

“Aku nak tengok, diaorang laju-laju ni nak ke mana? Aku harap one of them jatuh masuk longkang.” Yusra sudah mula mendoakan yang tidak baik. Sekadar mahu memuaskan hatinya yang sedang hangat.

“Isy, apa doakan orang macam tu! Tak baiklah. Dahlah, fokus. Karang kita yang masuk longkang. Aku tak nak tidur hospital,” balas Fitri pendek. Cakap panjang-panjang dengan Yusra pun tiada gunanya.

Yusra ni nampak sahaja lembut, tetapi apabila datang keras kepalanya, memang keras yang amat. Cakap orang memang dia tak dengar dah.

Skreeettt!!!

Yusra segera menekan brek apabila kereta di hadapannya brek mengejut. Hampir-hampir sahaja muncung Suzuki Swiftnya mencium buntut kereta hadapan. Fitri di sebelah sudah bersandar pada kerusi sambil memejamkan mata.

Perlahan-lahan, Fitri membuka kembali matanya. Yusra sedang tersengih di sebelah sambil memandang ke arahnya. Jelingan tajam diberi sebagai balasan. Geramnya dengan Yusra ni!

Tingkap kereta diturunkan. Dia menjengukkan kepalanya ke luar. Matanya memerhati apa yang berlaku. Telapak tangannya menekup mulut. Ya Allah!

“Yaa, kaulah ni! Doa yang tak baik kat mat-mat motor tadi. Diaorang accidentlah! Masuk longkang, babe,” beritahu Fitri bersama riak terkejutnya. Tak sangka doa Yusra makbul.

“Sumpah??? Weh, betul ke? Hah, padan muka! Kau rasa wajar tak aku pergi gelak kat telinga diaorang satu-satu? Biar tahu rasa,” Yusra mula dengan rancangan anehnya.

Fitri menggeleng laju. Yusra ni, bukan dapat dijangka. Dia takut andai Yusra benar-benar melakukannya.

“Tak payah, Yaa. Kita dah lambat ni. Nanti Haidhar cari pula,” Fitri mengingatkan Yusra.

Yusra hanya mengangkat bahu. Teringin juga mahu ‘melawat’ mat-mat motor yang berhenti di tepi jalan itu, namun jelingan tajam Fitri mematikan hasratnya.

 

SEWAKTU KERETANYA memasuki tapak parkir, suara Fitri menampan telinga Yusra.

One of lelaki tadi tu, kau tahu dia siapa?”

“Siapa?” tanya Yusra sambil membetulkan topi di kepala. Sempat juga dia mencalitkan pelembap bibir sebelum keluar dari perut kereta.

“Fakhri,” balas Fitri dengan nada yang teruja. Sebaris nama itu membuatkan hatinya kembang. Siapa sangka dia boleh terserempak pula dengan lelaki yang ada aura memukau itu di tepi jalan. Menyesal pula kerana terlambat menyedari identiti lelaki itu tadi. Kalau tak, memang dibiarkan sahaja Yusra berhenti tadi.

Dahi Yusra berkerut. Dikerling Fitri yang tampak seronok semacam.

Fakh what?” Sekali dengar seperti dia mencarut pula. Tapi dia memang tidak dengar nama yang disebut oleh pengurusnya itu tadi. Tengok Fitri yang bersemangat semacam buat dia tertanya-tanya.

“Fakhri. Isy, takkan kau tak kenal?” Fitri buat muka tak percaya.

Yusra sudah mula melangkah. Mereka perlu cepat. Orang makin lama semakin ramai. Dia harus segera duduk di tempat duduknya. Tak nak kisah kakinya dipijak berulang lagi. Dia tahu sayang kaki, okey!

It’s Fakhri, the hottest actor in town sekarang.” Fitri masih tidak berputus asa mahu memperkenalkan hero pujaan hatinya kepada Yusra.

Telefonnya dikeluarkan daripada poket seluar. Sambil berjalan, jemarinya laju menyentuh skrin telefon. Bantuan Encik Google digunakan. Taip sahaja nama hero Malaya itu, melambak gambar lelaki itu keluar.

Satu gambar yang paling kacak pada matanya ditekan sebelum diunjukkan kepada Yusra. Biar Yusra tahu bagaimana hotnya wajah lelaki yang Yusra marahkan benar tadi. Mesti Yusra menyesal.

Yusra memandang sekilas tanpa perasaan.

“Oh, tak kenal.” Itu sahaja yang keluar daripada mulutnya. Kaki pula semakin laju melangkah ke tempat duduk yang biasa menjadi tempat duduk untuk ahli keluarga terdekat pemain bola kebangsaan itu. Namun yang selalu ada, bukan ahli keluarga, tetapi kekasih.

Pandangan ditebarkan ke seluruh kawasan stadium. Makin lama, semakin penuh. Dia bersandar pada tempat duduknya. Jam tangan dikerling. Ada 30 minit lagi sebelum perlawanan bermula.

Fitri yang masih tidak sudah membelek telefon itu dipandang pelik. Beria-ia benar temannya ini. Jadi kenapa kalau lelaki itu pelakon popular atau hero Malaya? Ada dia kisah?

Tak mengendahkan pandangan aneh Yusra terhadapnya, Fitri terus membuka profil aktor kegemarannya itu. Dia mahu memperkenalkan aktor itu kepada Yusra. Mana tahu Yusra tertarik pula. Bagus juga kalau Yusra berpacaran dengan Fakhri. Secara tak langsung, dapat juga dia tumpang sekaki mencuci mata setiap kali Yusra pergi berdating.

“Fakhri Ahmad Musa. Berusia 29 tahun. Memulakan kerjaya dalam bidang permodelan pada umur 24 tahun selepas menjuarai program Hero. Selepas membintangi drama popular pada tahun lepas, namanya semakin meningkat naik dan kekal hangat sehingga hari ini seperti Pisang Goreng Cheese.”

Bersemangat Fitri membacakan serba sedikit tentang Fakhri yang terdapat di portal artis Malaysia itu walaupun dia berbisik di telinga Yusra. Dia menyambung lagi.

“Yang Pisang Goreng Cheese tu, aku saja tambah. Tapi dia memang nampak lazat macam Pisang Goreng Cheese. Balik ni kita beli eh?”

Yusra menepuk dahi. Tak sangka pengurusnya sudah naik miang gara-gara terserempak dengan pelakon yang dia langsung tidak kenal itu.

“Sejak bila kau gatal sangat ni? One more, sekarang dah malam, mana ada orang jual pisang goreng malam-malam. Kau aje yang gila, minta bukan-bukan,” cebik Yusra.

Malas betul dia hendak melayan Fitri yang adakalanya memang tidak patut dilayan. Baru sahaja dia hendak menyambung kata, terasa bahunya disentuh lembut. Pantas dia menoleh. Terus senyuman manis diukir buat wanita muda yang baru tiba itu.

“Aisha!”

“Hai, Yusra. Lama kita tak jumpa,” tegur Aisha terlebih dahulu. Serentak itu, tangannya dihulur kepada Yusra. Selepas bersalaman dengan Yusra, dia menghulur tangan kepada pengurus Yusra pula.

“Hai! I elok aje di Malaysia. You yang merantau sana sini. So, how’s New York?” tanya Yusra mesra.

Aisha Umaira, isteri penjaga gol kebangsaan, Najmi Harraz. Seorang pemilik busana Muslimah berjenama di Asia. Seorang yang ramah dan manis. Sebab itu dia mudah mesra dengan orang lain. Kerana itu juga, Yusra lebih senang duduk di sebelah Aisha setiap kali ada perlawanan bola sepak.

Great! Tapi itulah, tak dapat lama-lama di sana. Najmi sibuk suruh I balik. I baru aje touched down tengah hari tadi. Jet lag pun tak hilang lagi. Dah kena hadap stadium pula.” Mesra Aisha bercerita tentang kehidupannya yang sibuk.

“Biasalah. Dia nak you ada. Barulah semangat dia lebih sikit nak tangkap bola,” usik Yusra sambil mencuit lengan Aisha yang elok bertutup dengan jersi kebangsaan berlengan panjang.

Suasana yang agak bising tidak mengganggu langsung perbualan mesra antara Yusra dengan Aisha. Namun perbualan mereka terhenti apabila barisan pemain bola mula memasuki padang.

Tumpuan terus dipusatkan ke tengah padang. Dari tempat duduknya, Yusra dapat melihat Haidhar yang tampak segak bersama jersi bola yang tersarung di tubuh. Sempat pula dia melambai apabila mata Haidhar jatuh di tempatnya. Melambai sekadar memberitahu dia berada di situ.

“Amboi, excited nampak!” Fitri mengusik sambil mendekatkan mukanya ke bahu Yusra. Apabila Yusra mencubit pinggangnya, Fitri menyeringai sambil memohon maaf. Alah, gurau pun tak boleh!

No comments:

Post a Comment