Sunday, 28 February 2021

My Crush Shah - Bab 6


“PERKARA dah bertahun. Sampai bila kita nak biarkan dia hidup sendiri?” tanya Sarah. Tangannya yang sibuk memotong sayur terhenti. Wajahnya diangkat. Tepat matanya memandang kakak sulungnya yang sedang mengupas bawang.

“Kita dah bincang tentang ni, Sarah. Tak ada apa yang kita boleh buat kalau dia sendiri yang buat pilihan,” balas Asilah tanpa memandang ke arah Sarah. Air mukanya serius sahaja.

Asilah tahu, Sarah rindukan adik bongsu mereka. Dia juga. Yusra itu adiknya juga. Tipulah kalau dia kata dia tidak rindu langsung terhadap Yusra. Namun rasa itu tertutup dek rasa geram terhadap gadis itu. Geram kerana Yusra sanggup melupakan keluarga.

“Kenapa tiba-tiba buka cerita pasal dia pula ni?” tanya Asilah setelah beberapa saat dia diam. Kerjanya yang terganggu tadi disambung kembali.

“Sarah terserempak dengan dia tadi,” beritahu Sarah. Dia mendongak sedikit memandang siling dapur, mahu menahan air mata yang sudah mula hendak mengalir menuruni pipi.

Asilah diam. Tidak tahu hendak mempamerkan reaksi apa. Yang penting, dia tersentak mendengar khabar itu.

“Tak sempat cakap apa pun. Dia pergi macam tu aje. Dia tak rindu pada kita ke?” Rasa sebaknya tak dapat dibendung lagi. Air matanya pun tidak mampu ditahan lagi. Dibiarkan sahaja menitis.

“Nampak gaya, dia memang nak lupakan yang dia tu masih ada keluarga, Sarah. Tak apalah kalau macam tu. Biarkan aje dia. Dia pun bukannya budak-budak lagi.” Jelas sekali Asilah tidak berpuas hati dengan tindakan Yusra. Membara pula hatinya.

Terus diangkat semua bahan yang ada menuju ke tempat memasak. Hatinya naik sebal pula mengenangkan adiknya yang satu itu.

“Tapi akak kena ingat kenapa dia jadi macam tu. Jangan letak salah pada dia aje. Tak adil untuk dia, kak,” hujah Sarah. Walau apa pun yang berlaku, dia tetap akan menyebelahi adiknya itu. Dia tahu, Yusra masih ingat kepada mereka, cuma keadaan yang tidak mengizinkan.

“Habis tu, adillah untuk kita? Kita sibuk risaukan dia, ada dia risaukan kita? Ada dia datang jumpa kita? Tak ada, kan?” Asilah sudah mula naik suara. Tangannya mencekak pinggang.

Sarah meletakkan pisau yang dipegang. Dia berdiri berhadapan dengan kakak sulungnya itu.

“Bukan masalah datang jumpa atau tidak, kak. Dia...”

“Dah, Sarah. Akak tak nak dengar apa-apa pasal dia. Kalau Sarah nak bercakap tentang dia, cakap dengan orang lain. Akak tak kenal orang yang buang keluarga macam tu,” tegas Asilah membicarakan pendiriannya.

Tidak mahu mempedulikan Sarah, Asilah menghidupkan api dapur. Dia mahu meneruskan kerja memasaknya. Nanti abah mereka pulang dari kebun, lauk tidak siap pula.

“Siapa yang buang siapa? Kita atau dia?” tanya Sarah sambil mengesat air matanya. Payah kalau berbicara dengan orang yang sudah keras hatinya.

“Dia terlalu kejarkan cita-cita, pentingkan dunia entah apa-apa tu. Keadaan boleh diperbaiki. Dia tu yang tak nak usaha!” marah Asilah dengan suara yang tertahan. Tajam matanya merenung Sarah.

Baru sahaja Sarah mahu membalas, ada suara lain yang mematikan niatnya.

“Siapa yang tak usaha?”

Err, tak ada siapa, bah,” jawab Asilah. Tak sangka pula abah mereka akan pulang sewaktu dia dan Sarah sibuk bertekak tentang adik bongsu mereka itu.

Erm... bila kamu sampai ni, Sarah? Tak ada beritahu nak balik pun.” Haji Ebrahim menegur anak ketiganya itu.

“Tadi, bah. Tak rancang pun,” jawab Sarah sedikit dingin.

Langkah tetap diatur ke arah Haji Ebrahim yang sudah duduk di ruang makan. Dia bersalaman dengan abah. Kerusi kosong yang berhadapan dengan abah diisi.

“Sebenarnya, Sarah balik ni bersebab, bah. Ada benda yang Sarah nak beritahu pada abah.” Perlahan Sarah menutur kata. Hatinya berdebar semacam. Dia tahu apa risikonya, namun dia berkeras mahu membincangkan hal ini.

Haji Ebrahim hanya berdeham meminta Sarah meneruskan bicara. Dia memandang Sarah yang gelisah semacam. Entah apa yang tidak kena dengan anak perempuannya ini.

Sebelum menutur kata, sempat Sarah mengerling kakak sulungnya yang sudah bercekak pinggang sambil menjegilkan mata ke arahnya. Dia tahu Asilah tidak mahu dia memberitahu abah tapi dia peduli apa. Biarkan Asilah itu.

“Tadi Sarah pergi mall. Terjumpa dengan Yaa. Dia...”

“Balik, Sarah. Pergi balik rumah kamu,” tegas suara Haji Ebrahim menampar gegendang telinga Sarah.

Tergamam Sarah mendengar arahan Haji Ebrahim. Lihatlah. Jika begini, sampai bila-bila pun masalah antara abah dengan Yusra takkan selesai. Hati abah sama keras dengan hati Yusra. Dua-dua tidak mahu mengalah.

“Tak habis lagi marah abah pada Yaa? Sampai bila? Abah tahu tak, perangai abah inilah yang buatkan Yaa tu jauh daripada kita.” Sarah mula menyalahkan Haji Ebrahim atas segala apa yang berlaku.

Kerana kedegilan Yusra melawan Haji Ebrahim beberapa tahun lalu telah menjarakkan hubungan kekeluargaan mereka. Yusra berdegil tidak mahu menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang yang Haji Ebrahim pilih kerana mahu menjadi pengacara hiburan. Haji Ebrahim naik angin dengan hasrat Yusra itu sehingga dia menghalau Yusra dari rumah.

“Kau tak payah susah-susah nak menyekolahkan abah, Sarah. Pergi balik rumah kau. Jangan sampai kau pun aku haramkan daripada jejak rumah ni!” marah Haji Ebrahim. Mukanya memerah dek marah yang melampau.

Baginya, dia sudah tiada anak yang bernama Iklil Yusra. Anaknya semua baik-baik dan mendengar kata. Tiada yang berani melawan kata-katanya. Apabila Yusra melawan kata-katanya suatu ketika dahulu, itu adalah titik akhir Yusra sebagai anaknya.

Sejak Yusra menjadi selebriti, banyak kali wajah Yusra muncul di kaca TV dan di dada akhbar. Sudah dikata, Yusra bakal menjadi teruk sebaik sahaja terjun ke dunia itu. Tudung yang dahulu dipakai sewaktu zaman sekolah sudah tidak nampak bayangnya. Rambut yang dulu hitam pekat, kini sudah acap kali berubah warna. Apa nak jadi dengan Yusra, dia sudah tidak ambil pusing. Biarkan anak itu berbuat sesuka hatinya kalau itu yang mahu dikejarkan.

“Sudah-sudahlah tu, bah. Buang ego abah tu. Yaa anak abah. Abah ingat, dengan cara abah buang dia daripada keluarga ni, tanggungjawab abah kepada dia dah habis? Selagi dia belum kahwin, dia masih terletak di bawah tanggungjawab abah tau.”

Haji Ebrahim mengetap gigi apabila anaknya mula berbicara soal tanggungjawab. Dia tahu, jika soal tanggungjawab mula disentuh, dia akan kalah kerana banyak khilafnya dalam hal itu sejak dahulu lagi.

“Sarah minta maaf. Sarah balik dulu.” Suaranya perlahan.

Haji Ebrahim didekati. Tangannya mencapai tangan abah untuk bersalam. Tidak sempat dia mencium tangan tua itu, laju abah menarik tangannya. Tanpa menoleh, Sarah berlalu bersama keluhan berat.

 

“MARAH MACAM mana pun pada abah, bukan tiket untuk tinggikan suara, Sarah,” tegur Harris sebaik sahaja kereta mereka melepasi pagar rumah abah.

“Saya tak sengaja, bang. Abah tu keras kepala sangat. Macam mana saya tak geram?” Sarah cuba mempertahankan diri. Hatinya masih lagi mendongkol dengan kata-kata abah tadi.

Honey, kita ni anak. Kena banyak mengalah. Abah tu dah tua. Dia...”

“Dah tua tapi masih berperangai macam budak-budak.” Laju Sarah mencantas. Agak keras nadanya menyuarakan rasa hatinya.

Apabila Harris mengerling ke arahnya, Sarah menggigit bibir bawahnya. Dia tahu, dia terlanjur kata. Nafasnya ditarik dalam. Perlahan, kata maaf meniti di bibirnya.

“Jangan terbawa-bawa sangat perasaan tu. Abang tahu, Sarah sentiasa menyokong Yaa. Tapi Sarah jangan lupa, hati abah pun perlu dijaga. Abang rasa, dalam hati abah ada rindu untuk Yaa. Cuma dia tak nak tunjuk aje,” Harris cuba meyakinkan isterinya.

Selepas dia menjadi salah seorang daripada ahli keluarga Sarah 2 tahun lalu, barulah dia tahu bahawa pengacara muda terkenal itu ialah adik iparnya. Selama dia berkawan dengan Sarah, tidak pernah pula Sarah memberitahunya.

“Kita singgah rumah mak sekejap, bang,” pinta Sarah. Terasa rindu pula mahu menjenguk rumah itu.

Beberapa minit kemudian, kereta Hilux milik Harris berhenti di hadapan sebuah pintu pagar besar. Sarah hanya memerhati rumah tempatnya membesar dari dalam kereta sahaja.

Sebelum mak meninggal, mak telah menukarkan nama tanah ke atas nama Yusra. Beberapa tahun selepas Yusra dibuang keluarga, mereka menerima surat daripada peguam yang mewakili Yusra, bahawa mereka adik-beradik tidak dibenarkan untuk tinggal di rumah itu lagi. Jadi sekarang, jika mereka pulang ke kampung, mereka akan pulang ke rumah abah bersama mak tiri mereka.

Sarah tahu, itu tanda Yusra protes terhadap tindakan abah membuangnya daripada keluarga. Gara-gara isu mereka adik-beradik dihalau dari rumah itulah yang menyebabkan Asilah marah benar terhadap Yusra. Tapi Sarah yakin, lambat-laun hati Yusra pasti akan lembut juga. Dia kenal adiknya.

“Bagus betul orang yang Yaa gajikan untuk bersihkan kawasan rumah ni. Memang bersih kerjanya,” puji Harris. Matanya meliar memerhati halaman rumah yang dihias cantik.

“Haah, bang. Dulu rumah mak ni mana ada kolam, bunga. Landskap tepi rumah mesti hasil idea Yaa. Dulu dia nak sangat ada kolam dan gazebo kat tepi rumah. Dah tercapai impian dia sekarang,” kata Sarah sambil tersenyum senang.

Dia masih ingat akan lukisan Yusra dahulu. Yusra memang berseni orangnya. Cuma kerana Haji Ebrahim yang mahukan anak-anaknya menyambung pelajaran dalam bidang sains, Yusra menyimpan impiannya.

Yusra telah menyambung pelajarannya dalam bidang sains sehingga ke peringkat asasi. Yusra berjaya menamatkan pengajiannya di peringkat asasi dengan keputusan yang cemerlang. Untuk peringkat ijazah, abah menyuruh Yusra untuk menyambung pelajarannya dalam bidang kedoktoran. Bermula dari situlah Yusra mula memberontak sehingga pergaduhan besar tercetus antara abah dengan Yusra.

“Yaa tahu apa yang dia mahu. Dia dah berjaya capai apa yang dia nak. Mesti dia bahagia. Walaupun apa yang dia buat dulu salah, tapi saya rasa itulah yang terbaik untuk dia. Kalau tak, dia asyik kena ikut telunjuk abah aje,” luah Sarah lagi. Ada senyum bahagia di hujung bicaranya.

“Awak rindukan dia sangat ni. Kenapa tak nak jumpa dia? Kita boleh aje cari pengurus dia untuk aturkan pertemuan. Nak?” tanya Harris sambil menjongketkan keningnya. Dia tahu, Sarah begitu rindukan Yusra kerana setahunya, Sarah paling rapat dengan Yusra sewaktu mereka kecil.

Sarah menggelengkan kepalanya. Bukan tidak mahu, cuma dia belum bersedia. Lagipun, melihat cara Yusra tadi, dia tahu, Yusra juga belum bersedia untuk pertemuan semula antara mereka adik-beradik.

“Jom balik,” ajak Sarah sambil mengerling suaminya di tempat pemandu.

Harris hanya mengangguk. Memang payah hendak menerima perangai Sarah yang berubah-ubah, namun sedaya upaya dia menjadi suami yang memahami. Cuma jika ada yang dia tidak senang dengan perangai isterinya itu, dia akan menegur dengan cara yang baik. Dia tahu sejarah hidup Sarah, jadi dia mahu beri yang terbaik untuk isterinya ini.

No comments:

Post a Comment