Thursday, 15 April 2021

Cinta Hati Mr. Aydan - Bab 3


ANIS memandang wajah Maisara yang nampak teruja dan tak sabar menunggu dia bertukar status dalam masa beberapa minit sahaja lagi. Tersenyum-senyum wajah temannya itu sejak tadi. Tak habis-habis dia memuji kecantikan Anis dalam busana pengantin ini.

Dalam masa yang sama, sempat juga dia mencuri pandang ke arah Syaqeer yang sedang bersalaman dengan tok kadi. Perasaan Anis dah mula berdebar lain macam. Pelbagai rasa mula menerjah dadanya. Sesekali dia pejamkan mata. Cuba mengusir aura negatif yang tiba-tiba muncul. Ini gara-gara teringatkan semula kata-kata lelaki yang ditemuinya tempoh hari. Risau jika kata-kata itu benar setelah Syaqeer sah bergelar suaminya nanti.

Sebenarnya dia pun tak tahu apa motif lelaki itu memberitahu segala keburukan tentang dirinya. Pada masa itu, dia asyik melayan telefon sambil menunggu kemunculan Syaqeer. Tiba-tiba dia dikejutkan dengan kemunculan lelaki yang tak dikenali.

Kacak orangnya tapi saat mendengar ayat-ayat yang keluar dari mulut lelaki itu membuatkan nafasnya jadi semput. Ayat terakhir lelaki itu membuatkan tubuhnya mula menggigil dan dia segera meminta izin beredar dari situ.

Hasilnya, telinga dia bingit mendengar Syaqeer membebel di telefon kerana dia tak ada di restoran seperti yang dijanjikan. Syaqeer kalau membebel, kalah orang perempuan.

Sah.

Sah!

Saat ini memang sah dia sudah bergelar isteri kepada Muhammad Syaqeer bin Yusof. Ada rasa sebak bertandang di dada. Anis dan Syaqeer saling berbalas pandang dan sama-sama bertukar senyum. Masing-masing mengucapkan tahniah kepada mereka berdua.

Thanks Anis sebab sudi jadi isteri abang,” ucap Syaqeer saat menyarungkan cincin di jari Anis.

“Sama-sama.” Senyuman segan dia berikan buat insan yang baru bergelar suami. Meriah juga majlis akad nikah walaupun dibuat secara ringkas.

“Wah, memang handsome Abang Syaqeer kau, kan Nis. Bertuah kau dapat dia sebagai suami. Jaga dia elok-elok tau. Jangan bagi mana-mana perempuan rampas dia,” tutur Maisara merangkap memberi nasihat.

“Kalau sekadar handsome tapi perangai teruk tak ada gunanya, Mai. Kau pun tahu perangai Abang Syaqeer tu macam mana kan. Nak aku ikutkan dia aje. Itu baru sikit. Mungkin banyak lagi benda buruk dia yang aku tak tahu. Bak kata orang, masa bercinta ni, yang baik-baik aje terserlah. Dah kahwin, dah hidup bersama, satu per satu benda yang tak elok akan terserlah. Itu yang aku takutkan.” Anis memberi ulasan berdasarkan pengalaman orang lain dan juga pendapat sendiri.

Maisara tarik nafas. Tangan temannya itu digapai dan digenggam seketika.

“Nis, tak ada manusia yang sempurna tau. Setiap manusia ni ada baik dan buruknya. Begitu juga kau, aku dan Abang Syaqeer tu. Tapi bila dah hidup bersama, kita perlu terima baik dan buruk pasangan kita demi untuk sempurnakan hidup dan demi kebahagiaan rumah tangga,” nasihat Maisara dengan berhemah. Macamlah dia dah ada pengalaman hidup berumah tangga.

“Ya, aku tahu. Cuma aku takut nak hadapi semua ni.” Memang Anis takut dengan status barunya sekarang. Ikatan perkahwinan ini macam satu perjudian, antara bahagia dan derita. Hanya nasib dan takdir yang menentukannya.

“Kau jangan risau. Cuba doakan yang baik-baik. Jangan duk fikirkan benda yang negatif. Nanti kau sakit jiwa tau. Sekarang ni, kau kena fikirkan yang manis dan romantik aje. Especially, malam ni. Malam pertama kan. Cuba fikir macam mana nak mulakan. Mesti dia tak sabar nak ehem-ehem dengan kau kan?” ujar Maisara. Sempat pula dia kenyit mata mengusik Anis.

Muka Anis terasa hangat tiba-tiba dengan usikan itu.

“Isy, kau ni Mai... benda tu yang kau fikirkan. Ingat, kau tu anak dara lagi. Jangan duk fikir benda yang bukan-bukan.” Anis terus mencubit pinggang Maisara. Saja mahu menutup malu. Kalau dah baru bergelar pengantin, bahan itu yang menjadi usikan utama. Memang dia tidak nafikan.

“Eleh, kau ni pun masih anak dara lagi. Esok, aku rasa confirm dah tak jadi anak dara lagi, kan?” Maisara menaikkan keningnya. Sengaja mengusik teman baiknya itu.

“Dah, tak payah nak cerita benda ni.” Segan dan seram pula rasanya apabila bercerita mengenai topik ini.

“Tak nak ceritalah konon. Entah-entah kau dah bayangkan yang bukan-bukan.” Masih tak habis-habis Maisara mengusik. Seronok sangat dapat menyakat Anis gamaknya.

“Aku suka sangat usik kau. Aku suka tengok muka kau yang putih ni jadi merah. Makin nampak comel.” Maisara siap mencubit kedua-dua pipi Anis sambil mengetap bibir.

‘Alahai, dia ingat pipi aku ni apa? Roti pau ke? Nak main cubit-cubit!’ Anis menjeling geram.

 

ANIS DUDUK berteleku di birai katil dan menunggu Syaqeer masuk ke dalam bilik. Ketika ini, dia sudah selesai mandi dan menukar pakaian. Segan pula kalau terpaksa melakukan semua itu di hadapan Syaqeer biarpun mereka telah sah sebagai suami isteri. Rasa takut dan malu masih menebal dalam dirinya.

Dada Anis berdebar-debar saat telinganya mendengar bunyi pintu dikuak. Tak lain tak bukan, mesti suaminya yang muncul. Lelaki itu masih lengkap berbaju Melayu warna putih.

Anis mengalih pandang. Menatap wajah Syaqeer. Senyuman dihulurkan buat sang suami.

“Anis dah siap mandi?” tutur Syaqeer seakan terkejut.

“Ya. Abang nak mandi ke? Anis siapkan pakaian abang.” Anis membalas dan mengangkat punggung dari katil.

Hmm... memang abang nak mandi tapi sebelum tu abang nak buat sesuatu,” tutur Syaqeer merapati tubuh Anis.

Anis hanya diam kaku ibarat patung cendana. Kaki dah rasa macam kena paku. Tak mampu nak bergerak.

Tangan Syaqeer mula menarik tubuh isterinya lebih rapat. Anis hanya diam tanpa sebarang kata. Bebola mata Syaqeer tepat memandang wajah Anis yang tanpa secalit mekap.

You look so beautiful. Isteri abang ni tetap cantik walaupun tanpa mekap,” puji Syaqeer sambil menghayati wajah isterinya.

Anis menunduk malu. Dia hanya mampu menelan liur tanpa sebarang kata.

Syaqeer gelak perlahan.

Hmm... dah jadi isteri abang pun, masih malu dan segan lagi ya,” usik Syaqeer.

Kali ini Anis kemam bibir pula.

“Sayang,” panggil Syaqeer dan serta-merta Anis mendongak kepala. Terkejut mendengar ungkapan sayang buat pertama kalinya keluar dari mulut Syaqeer.

Mereka saling berbalas pandang seketika dengan debaran di dada masing-masing. Tapi Syaqeer nampak macam tenang sahaja atau dia sengaja mengawal perasaannya. Tidak mahu dilihat begitu gabra memandangkan dia seorang lelaki. Dan dia yang sepatutnya memulakan langkah setelah mereka sah menjadi suami isteri

Can I...” ungkap Syaqeer meminta izin saat anak matanya lama bertamu di bibir Anis.

Melihat Anis hanya diam, Syaqeer tunduk kepala dan mula menyatukan bibir mereka.

Buat pertama kalinya, Anis menerima kucupan daripada seorang lelaki. Terasa dadanya bagaikan nak pecah. Tapi Syaqeer pandai mengawal situasi sehingga mereka sama-sama terleka dengan kucupan.

Anis tiba-tiba menolak perlahan tubuh Syaqeer bila merasakan tangan Syaqeer mula tidak duduk diam. Tangan kasar itu mula menyentuh seluruh tubuhnya.

“Abang mandi dulu ya.” Anis memberi saranan agar Syaqeer tidak meneruskan niatnya tadi.

Mmm...” Syaqeer mengalah. Jelas kekecewaan terpancar di wajahnya bila isteri sendiri menolak perlakuannya sebentar tadi.

Anis tak nak mengambil peduli perasaan kecewa Syaqeer. Baginya, masih banyak waktu lagi, buat apa tergesa-gesa. Dia berganjak untuk membuka almari dan mengeluarkan tuala dan juga pakaian untuk Syaqeer yang disimpan di dalam almari.

Selamba sahaja Syaqeer membuka pakaiannya satu per satu sebelum mencapai tuala yang diletakkan oleh Anis di atas katil. Terus dipakai dan dia masuk ke dalam bilik air.

Anis mula menarik nafas lega.

Sementara menunggu Syaqeer keluar, dia mengemas semula katil yang memang sudah kemas. Sebenarnya dia tak tahu nak buat apa. Namun, tumpuannya terganggu saat mendengar bunyi telefon milik Syaqeer berbunyi.

Mulanya dia sengaja buat tak endah namun deringan itu seakan tak mahu berhenti. Dia mengambil keputusan untuk mencapai telefon milik Syaqeer. Hati mula berdebar-debar melihat nama yang tertera di skrin telefon milik suaminya itu.

Diela? Tangan automatik ditekap ke dada.

Ikon berwarna hijau disentuh dan ditekap ke telinga.

“Syaq, you janji dengan I nak tinggalkan perempuan tu. Tapi sampai hati you kahwin juga dengan dia. You kan dah lama janji nak kahwin dengan I! Kenapa you buat I macam ni, Syaq? Kenapa???” suara itu menusuk ke telinganya. Terdengar esakan halus di hujung talian. Berdesup dada Anis seakan dihempap batu besar.

“Syaq? Kenapa you diam aje? You dengar tak apa yang I cakap?” suara perempuan itu lagi. Kali ini nadanya sedikit tinggi. Agaknya geram bila tiada suara Syaqeer kedengaran.

“I sayang you, Syaq dan I tahu you pun sayang dan cintakan I.” Rentak suara perempuan itu kembali berubah. Kali ini suaranya kedengaran sebak dan sayu.

Anis mengetap bibir dengan kuat. Serentak itu juga dia menekan ikon berwarna merah. Malah turut memadam nama pemanggil itu dengan harapan Syaqeer tak akan tahu. Anis meletakkan kembali telefon Syaqeer di atas meja.

Nafas ditarik panjang sebelum punggung dilabuh di atas katil. Mengenangkan nama perempuan itu, hatinya kembali rasa sebak. Mana mungkin ada perempuan yang dapat menerima kehadiran perempuan lain dalam hidup suaminya. Apatah lagi saat dia baru sahaja bergelar isteri. Sadis dan kecewa. Itu yang dirasai sekarang.

Pintu bilik air dikuak. Syaqeer muncul dengan hanya bertuala sahaja tapi Anis sedikit pun tidak memandang wajah dan tubuh suaminya itu. Hati masih lagi rasa sakit, kecewa, geram dan sakit hati. Semua rasa bercampur baur sekarang. Macam nak meletup dadanya menahan rasa.

“Anis, Anis okey tak ni?” soal Syaqeer. Mungkin dia rasa pelik bila melihat isterinya sedikit pun tidak memberi perhatian padanya.

“Anis okey, abang jangan risau. Pakaian abang, Anis dah siapkan. Err... Anis penat, Anis mengantuk sangat-sangat ni. Anis nak minta izin tidur dulu ya.” Anis bersuara, sekali gus memberi alasan. Dalam masa yang sama, kaki terus menghala ke katil. Dia terus merebahkan tubuh. Segera selimut ditarik.

Wait, kenapa ni?” Syaqeer makin rasa pelik dengan tingkah isterinya.

“Tak ada apa-apa. Anis cuma penat. Anis minta maaf ya,” ujar Anis. Cuba menahan rasa hati. Malah dia siap pamer muka mengantuk dan penat.

Syaqeer mengeluh panjang.

“Jadi, malam ni tak dapatlah abang nak...” ungkap Syaqeer.

Ungkapan Syaqeer itu Anis langsung tidak peduli. Bukannya dia tak faham hasrat lelaki itu tapi memandangkan hati masih lagi terasa sakit, dia biarkan hati suaminya juga rasa sakit sebab tak dapat nak lepaskan hajatnya yang satu itu.

Anis terus menyelimutkan tubuh. Biarlah apa anggapan Syaqeer sekali pun, dia tak mahu ambil peduli. Saat ini juga suara wanita tadi terngiang-ngiang di telinganya.

Anis cuba menahan diri daripada mengeluarkan air mata. Beginikah malam pertamanya setelah sah bergelar isteri? Terganggu hanya kerana satu panggilan telefon daripada seorang perempuan yang jelas-jelas kekasih suaminya. Apa pula reaksi sang suami kalau mengalami situasi yang sama sepertinya?

No comments:

Post a Comment