Tuesday, 25 May 2021

Hey, My Husband! - Bab 5

NAIM menyumbat beberapa helai pakaian ke dalam beg galas. Tidak betah dia duduk di rumah ini. Ternyata sikap gadis itu semakin melampau. Adiba sekarang sudah berani meluahkan sesuatu yang tidak patut kepadanya.

Bunyi pintu bilik dibuka mengejutkan Naim. Lelaki itu menarik nafas lega sebaik saja wajah Encik Naqib yang muncul. Takut juga gadis itu yang masuk ke sini tadi.

“Im nak ke mana?”

“Nak bermalam di rumah kawan.”

Berkerut dahi Encik Naqib. Baru seminggu Naim tinggal di sini kembali. Tiba-tiba hari ini anaknya itu mahu bermalam di luar.

“Mama tahu ke Im nak tidur rumah kawan?” soal Encik Naqib.

“Tak. Nanti Im mesej mama.”

Mengeluh Encik Naqib. Suka betul Naim membuat keputusan sendiri tanpa berbincang dengan mereka.

“Kenapa nak tidur rumah orang lain? Im kan baru balik ke sini. Mama mesti sedih kalau Im tiba-tiba bermalam kat rumah kawan.”

“Tak ada bezanya. Selama ni pun Im tak pernah tinggal kat sini.” Selamba saja Naim menjawab. Buku-bukunya dimasukkan ke dalam beg sekolah. Dia tidak peduli dengan bebelan si ayah. Selama ini dia sudah belajar berdikari.

“Im masih marahkan papa?”

Terhenti gerakan tangan Naim. Nafas dihembus sedikit kasar. Dia berpaling ke arah lelaki itu.

“Kenapa baru sekarang papa nak tanya?”

Terdiam Encik Naqib. Sejak dia membawa Adiba masuk ke dalam keluarga mereka, anak lelakinya terus berubah sikap; daripada seorang yang ceria berubah dingin.

“Papa minta maaf. Tak boleh ke Im terima Diba dengan baik? Dia dah jadi sebahagian daripada keluarga kita. Dulu, Im pernah layan Diba dengan baik, kan?”

“Itu dulu. Sebelum arwah ibu dia ragut kebahagiaan mama.”

“Im... Diba tak salah.”

Naim tergelak sinis. Buku di tangannya dihempas kasar. Turun naik nafasnya menahan marah.

“Dari dulu sampai sekarang, papa cuma pentingkan perasaan anak perampas tu! Hati Im, pernah papa ambil tahu? Tak! Sebab papa takut kalau kita hidup merempat tanpa kekayaan keluarga perampas tu.”

Pang!!!

Menggigil tubuh Encik Naqib. Sungguh dia terkilan mendengar tuduhan Naim. Matanya merah menahan rasa sebak.

“Hanya kerana tu, papa tergamak pukul Im.”

“Anak papa bukan seorang pendendam. Papa pukul Im sebab nak sedarkan Im. Diba amanah papa. Im dan Diba... dua-dua sama penting dalam hidup papa. Ya, papa mengaku salah sebab pernah lukakan hati mama. Itu kesalahan papa yang papa sendiri tak mampu nak maafkan diri sendiri juga.” Encik Naqib terduduk lemah di tepi katil. Dada yang terasa perit diusap perlahan.

Terus berubah wajah Naim. Melihat keadaan Encik Naqib menahan sakit di dada, timbul rasa bersalah dalam hatinya. Dia mahu menenangkan lelaki itu tetapi egonya menghalang.

“Kalau masa boleh diundur, papa takkan berkahwin dengan ibu Diba. Bukan sebab papa menyesal dengan pilihan papa, tapi papa sedih kehilangan satu-satunya anak lelaki papa. Sampai sekarang, perasaan bersalah tu masih ada. Papalah punca Diba kehilangan arwah ibu dia. Tolong jangan buat papa semakin rasa bersalah, Im.”

“Bukan papa saja yang menderita. Mama! Mama yang lebih menderita. Dia terpaksa berkorban untuk jaga budak tu hanya kerana rasa bersalah!” tempik Naim.

Naim segera mengambil barang-barangnya. Dia mahu segera keluar dari rumah ini. Sebaik saja dia berpaling ke belakang, tubuhnya kaku. Mama sedang memandangnya dengan pandangan yang sayu.

“Mama...” Bergetar bibir Naim.

Puan Shira tersenyum pahit. Dia berjalan mendekati anaknya. Kedua-dua pipi anaknya disentuh perlahan. Nafas ditarik dalam-dalam. Dia sudah dengar semuanya. Patutlah Naim tidak mahu tinggal di sini. Pasti anaknya itu tidak sanggup melihat dirinya bersedih.

“Pergilah. Kalau itu yang buat Im tenang, ibu izinkan.”

“Tapi sayang...”

“Anak kita dah besar, abang. Shira tak nak paksa anak kita buat perkara yang dia tak suka,” celah Puan Shira.

Sejak tadi dia sudah mencuri dengar perbualan dua beranak itu. Keadaan semakin tegang selepas suaminya menampar wajah Naim. Dia sendiri terkejut melihat sikap panas baran suaminya itu. Melihat suaminya mengasari Naim tadi, hatinya semakin terluka. Dia tidak suka suaminya menggunakan kekerasan dalam mendidik anak mereka. Sebagai seorang ibu, dia tahu Naim tidak pernah rasa bahagia dengan kehidupan di rumah ini.

“Im nak bermalam rumah kawan Im sehari dua. Nanti Im akan balik ke sini. Im pergi dulu.” Tubuh wanita itu didakap kemas. Bergegas Naim keluar dari bilik itu tanpa memandang wajah ayahnya.

Adiba yang baru pulang daripada berjumpa dengan kawan sekolahnya, terserempak dengan Naim di hadapan pintu rumah.

“Abang Im nak pergi mana?”

Tegang wajah Naim. Laju dia menyarungkan kasut. Selamba dia melanggar bahu Adiba dek terlalu marah. Hampir saja gadis itu terjatuh.

Bahu yang terasa perit itu disentuh perlahan. Mengeluh Adiba. Dadanya sempit menahan rasa sebak. Pertama kali dia dikasari oleh lelaki itu.

 

MASAM MENCUKA wajah Adiba. Naim masih tidak pulang. Langkahnya diatur ke ruang tamu. Punggungnya dihempas kasar di atas sofa. Bengang kerana Naim seolah-olah cuba mengelak daripadanya.

“Kenapalah dia tak suka aku? Aku ni cantiklah juga. Takkan sedikit pun dia tak terpikat?”

“Siapa yang terpikat?”

Terhinggut bahu Adiba. Tiba-tiba saja Encik Naqib muncul. Berkerut dahinya.

“Papa tak kerja?”

“Tak. Papa ambil cuti. Hari ni kan hari jadi Diba.”

Ceria wajah Adiba. Namun senyumannya kendur saat teringatkan Naim yang tidak ada di rumah.

“Diba cadang nak masak lauk kegemaran Abang Im, tapi Abang Im tak balik lagi.” Lemah nada suara Adiba. Wajahnya berubah keruh.

“Abang Im sibuk ulang kaji dengan kawan dia agaknya. Mama dan papa kan ada. Kita sambut di luar hari ni. Nanti kalau Abang Im balik, kita boleh sambut sekali lagi.”

“Tak nak. Papa call Abang Im, suruh dia balik sekarang.”

Serba salah Encik Naqib dibuatnya. Selepas dia tidak sengaja menampar wajah Naim, dia masih belum bercakap dengan anaknya. Hendak menghubungi anaknya, dia masih berasa malu.

“Nanti papa cuba.”

Adiba mengeluh lemah. Tubuhnya bersandar di sofa. Besar harapannya. Bulan September paling dinanti. Dia sentiasa menunggu peluang ini untuk menyambut bersama dengan lelaki itu. Kebiasaannya lelaki itu selalu saja pulang ke kampung setiap kali cuti sekolah.

“Jangan sedih. Hari ni hari jadi Diba. Sepatutnya anak papa ni happy.”

“Diba sedih sangat. Abang Im tak suka Diba.”

“Diba cakap apa tadi?”

Tertelan air liur Adiba. Sedar yang dirinya sudah terlepas cakap. Dia cuba berlagak tenang. Masaklah dia kalau papa tahu tentang isi hatinya terhadap Naim.

Err... maksud Diba, Abang Im tak suka berbual-bual dengan Diba. Nak minta ajar pun sombong.”

Encik Naqib menarik nafas lega. Takut juga jika andaiannya tadi betul.

“Im memang macam tu. Dia tak suka diganggu. Dengan mama dan papa pun Im jarang berbual-bual. Lagipun, Diba dan Im dah besar. Tahun ni nak SPM. Agaknya dia segan nak rapat dengan Diba.”

Mencebik bibir Adiba. Segan konon! Sejak dulu lagi Naim tidak rapat dengannya.

“Sekarang beritahu papa, Diba nak hadiah apa?” soal Encik Naqib. Dia mahu cuba menceriakan Adiba.

“Diba tak nak hadiah. Tapi Diba nak makan tengah hari dengan semua ahli keluarga kita hari ni. Abang Im wajib ada.”

“Tapi...”

“Diba nak juga sambut hari jadi dengan Abang Im tahun ni. Sebelum ni Abang Im selalu balik kampung. Kali ni dah tak ada alasan lagi.”

Encik Naqib menggaru kepala yang tidak gatal. Jika tidak dilayan, mahu merajuk besar Adiba.

“Yalah. Nanti papa call Abang Im.”

Terus ceria wajah Adiba. Dia tahu kalau arahan itu dikeluarkan oleh Encik Naqib, Naim tidak mampu membantah.

“Diba nak naik atas, nak cari baju yang sesuai untuk makan tengah hari nanti.” Laju kaki Adiba berlari naik ke tingkat atas.

Encik Naqib masih termenung di ruang tamu. Telefon bimbit dikeluarkan dari poket seluar. Terpaksalah dia menghubungi Naim. Setelah beberapa saat menunggu, barulah panggilannya dijawab.

“Assalamualaikum.”

Waalaikumussalam. Im dekat mana?”

“Rumah Amir.”

“Balik sekarang. Kejap lagi kita keluar makan tengah hari.”

“Im balik esok.”

Encik Naqib mengeluh lemah. Sejak Naim meningkat remaja, sikap dingin anaknya itu semakin menjadi-jadi. Dia sudah puas cuba mengambil hati si anak.

“Hari ni hari jadi Diba.”

“Apa kena-mengena dengan Im pula?”

Terpejam mata Encik Naqib. Berbual dengan Naim, ada saja yang tidak kena. Darahnya mencanak naik dengan sikap si anak yang suka memberontak.

“Balik sekarang. Diba nak semua ada semasa makan tengah hari nanti.” Tegas nada suara Encik Naqib.

Terdengar suara orang ketawa di hujung talian. Hati Encik Naqib sakit dipermainkan oleh anak sendiri.

Again, papa. Papa masih nak lebihkan perasaan budak tu.”

“Im...”

“Im dah penat mengalah. Selama ni tujuan Im belajar di asrama sebab Im tak suka tinggal bersama budak tu. Tapi papa pura-pura buat tak tahu dengan perasaan Im. Im ni anak kandung papa, tapi budak tu cuma...”

“Im!”

Terdiam Naim. Sakit hatinya dengan sikap Encik Naqib. Sampai bila papanya perlu melebihkan Adiba? Dia pula yang perlu terhegeh-hegeh mendapatkan perhatian papanya sendiri.

“Papa tak sedar ke hubungan kita semakin jauh?”

“Jangan salahkan papa. Im sendiri yang menjauhkan diri.”

Naim merengus kasar. Bercakap tentang hal ini, dia tidak mungkin akan menang. Setiap kali isu Adiba diungkit, dia yang perlu mengalah.

“Balik. Jangan bagi alasan. Papa tak nak dengar.”

Talian terus dimatikan. Nafas dihela dengan agak berat. Sedar yang Naim masih tidak mampu memaafkan kesalahannya. Dalam diam, anaknya itu sebenarnya tidak menyenangi layanan yang dia berikan kepada Adiba.

“Abang...”

Encik Naqib berpaling ke sisi.

“Abang call Im ke tadi?”

Ermm... abang suruh dia balik. Tengah hari ni kita makan di luar.”

Puan Shira menarik nafas panjang. Dia kemudian duduk di sisi suaminya.

“Shira harap abang boleh bersikap adil lepas ni. Janganlah lukakan hati Im lagi.”

“Apa maksud Shira? Selama ni, apa yang abang buat untuk Im dan Diba, tak ada bezanya.”

Puan Shira tergelak kecil. Adil? Perkataan itu hanya menambahkan rasa sakit dalam hatinya.

“Lagi setahun umur Diba 18 tahun. Tanggungjawab Shira pun dah hampir selesai.”

Tegak terus tubuh Encik Naqib. Terkejut dengan butir bicara si isteri.

“Shira tak ikhlas ke jaga Diba selama ni?” Dadanya berdegup kencang. Selama isterinya menjaga Adiba, tidak pernah lagi dia melihat Adiba dilayan dengan buruk. Malah, hubungan mereka sangat rapat. Mustahil Puan Shira berlakon selama ini.

“Shira ikhlas jaga Diba, abang. Malah, Shira sayangkan Diba walaupun arwah ibu dia pernah musnahkan kebahagiaan Shira.”

Tersentak Encik Naqib. Lidahnya kelu. Sudah lama peristiwa hitam itu berlalu. Tidak sangka, isterinya masih belum melupakan kisah pahit itu. Perlahan-lahan dia melutut di hadapan Puan Shira.

“Dah bertahun-tahun perkara tu berlalu. Tak boleh ke Shira lupakannya?”

Puan Shira tersenyum kelat. Tangan si suami yang berada di lututnya ditolak perlahan.

“Shira tak mampu untuk lupakan detik abang duakan Shira. Shira dah maafkan abang, cuma untuk lupakan, Shira tak mampu. Kalau kita terpaksa lepaskan semua kesenangan ni, Shira dah bersedia. Apa yang ada pada kita sekarang, bukan milik kita. Abang pun tahu hakikat kehidupan kita yang sebenar.”

Puan Shira terus berlalu pergi menuju ke dapur. Encik Naqib semakin dihimpit rasa bersalah. Bukan dia takut kehilangan harta, tetapi dia tidak sanggup Adiba tahu punca isteri keduanya itu meninggal dunia. Dia tidak mahu Adiba membenci Puan Shira. Cukuplah dia dibenci oleh anak kandungnya sendiri.

No comments:

Post a Comment