Tuesday, 25 May 2021

Hey, My Husband! - Bab 1

TERSENYUM Puan Shira. Sudah lama juga dia tidak berjumpa dengan sahabat baiknya itu. Wajah Puan Farhana masih cantik, sama seperti semasa sekolah menengah dahulu. Tak sangka, dalam usia yang masih muda, Puan Farhana sudah bergelar janda.

“Comel anak perempuan kau. Berapa tahun?”

“Nak masuk 5 tahun.”

Puan Shira menoleh ke arah Adiba. Cepat betul Naim dan Adiba menyesuaikan diri bersama. Sebelum ini, jarang anak tunggalnya mudah mesra dengan orang yang baharu dikenali.

“Samalah umur dia dengan anak aku. Arwah dah lama meninggal?”

Ermmm... lepas Adiba berusia 6 bulan, dia meninggal. Dah ajal dia. Aku pun tak sangka dia pergi begitu mudah. Sakit jantung.”

Makin tumpah rasa simpati dalam hati Puan Shira.

Mujurlah Puan Farhana mempunyai perniagaan sendiri. Sekurang-kurangnya wanita itu masih mempunyai sumber pendapatan. Malah, perniagaan kawan baiknya itu semakin berkembang.

“Nasib baik jugalah kita terserempak hari tu kat pasar raya. Kalau tak, sampai ke sudah kita lost contact.”

Tergelak Puan Farhana. Ketika mereka terserempak di pasar raya, mereka terus bertukar nombor telefon. Hari ini, dia dijemput untuk makan tengah hari di sini.

“Mana suami kau? Aku tak nampak pun dia dari tadi.”

Ooo... ada dekat bilik. Kejap lagi dia turunlah. Hujung minggu macam ni, memang dia tak pergi ke mana. Sejak perniagaan kami dah pulih ni, banyak juga masa yang dia luangkan di rumah.”

Bercakap tentang sikap suaminya, Puan Shira mengeluh lemah. Dahulu, Encik Naqib lebih suka merahsiakan masalah di tempat kerja. Dia mendapat tahu tentang masalah perniagaan suaminya melalui pekerja. Mujurlah sekarang perniagaan mereka semakin stabil.

“Bercakap pasal abang ke?” Muncul Encik Naqib di ruang tamu.

Kedua-duanya berpaling ke arah lelaki itu. Tergamam Puan Farhana melihat wajah lelaki itu. Encik Naqib turut terpaku. Tidak sangka kawan baik isterinya itu ialah Puan Farhana.

“Abang buat apa lama sangat dekat atas? Kami dah lama tunggu nak ajak abang makan tengah hari.” Puan Shira terus mendekati suaminya. Lengan lelaki itu dirangkul mesra.

Puan Farhana tersenyum tawar. Lekas dia mengalihkan anak matanya ke arah lain. Hatinya tiba-tiba sakit melihat adegan itu.

Err... abang pening kepala tadi. Tertidur.”

“Pening lagi ke?” Jari halus Puan Shira mengelus lembut pelipis suaminya.

“Dah kurang. Jomlah, kita makan. Tak baik kita biar tetamu menunggu.”

Hampir terlupa Puan Shira. Dia lekas ke dapur untuk menyediakan makanan. Pada awalnya Puan Farhana ingin membantu, namun Puan Shira melarang keras. Terpaksalah Puan Farhana berhadapan dengan lelaki itu.

“Maafkan abang.”

“Untuk apa?”

“Abang tak sangka Hana akan jumpa isteri abang dengan cara macam ni.” Encik Naqib semakin serba salah. Lain yang dirancang, lain pula yang berlaku.

“Hana tak sangka, Shira isteri abang.” Sayu nada suara Puan Farhana. Makin nipis harapannya untuk hidup bersama lelaki itu. Tidak mungkin dia tergamak melukakan hati Puan Shira, kawan baiknya sendiri.

“Abang akan berterus terang dengan Shira. Secepat yang mungkin.”

“Jangan, abang. Hana tak nak.”

“Tapi...”

“Jom, Hana.” Tiba-tiba Puan Shira muncul.

Perbualan mereka terhenti seketika. Masing-masing cuba berlagak tenang.

“Im, mari kita makan. Ajak kawan tu sekali.”

Naim yang sedang ralit bermain bersama Adiba berpaling ke arah mamanya. Mereka sama-sama berpegangan tangan menuju ke meja makan. Wajah Adiba terus berubah ceria sebaik saja terpandang kelibat Encik Naqib.

“Papa!” Adiba terus mendakap tubuh Encik Naqib.

Pucat wajah Puan Farhana. Puan Shira berasa pelik.

Err... anak aku ni, dengan semua orang pun dia suka panggil papa.”

Ooo... kasihan anak Hana ni, abang. Kecil lagi dah tak ada ayah.”

Encik Naqib tersenyum janggal. Dia mendukung tubuh Adiba. Pipi itu dicium penuh kasih. Anak matanya bertemu dengan Puan Farhana. Makin tersentuh hati Puan Farhana melihat adegan itu.

Selama ini dia sudah cuba membuang perasaan itu jauh-jauh. Dia cuba mengelak daripada berkawan rapat dengan lelaki yang bergelar suami orang. Namun dia akhirnya tewas dengan keikhlasan lelaki itu. Hendak berpatah balik, hatinya semakin sayangkan Encik Naqib. Antara lelaki itu dan sahabat baiknya, siapa yang perlu dia utamakan?

 

MENGGIGIL TUBUH Puan Shira. Pengakuan suaminya tadi, telah membunuh seluruh kepercayaannya. Wajah sahabat baiknya dipandang dengan renungan membunuh. Tergamak wanita itu merampas kebahagiaan yang dinikmatinya sekarang.

“Abang minta maaf.”

“Dah berapa lama abang ada hubungan dengan dia?” soal Puan Shira laju.

Puan Farhana dan Encik Naqib saling berpandangan. Hari ini mereka terpaksa berterus terang. Tak sanggup lagi Encik Naqib terus berbohong.

“Kami dah berkawan hampir 2 tahun. Cuma...”

“Cuma apa?”

“Kami baru berkahwin 4 bulan yang lepas.”

Berderai air mata Puan Shira. Sakitnya hatinya mendengar dalam diam suaminya telah menduakan dirinya. Bodohnya dia kerana tidak pernah sedar tentang perkara itu. Paling dia kecewa, kawan baiknya sendiri sanggup menjadi orang ketiga.

“Shira... aku...”

“Kau diam!”

Bergema suara Puan Shira. Turun naik nafasnya menahan rasa marah. Tangannya dikepal kual.

“Kau memang manusia tak sedar diri. Kau sanggup runtuhkan rumah tangga aku demi kepentingan diri sendiri. Manusia jenis apa kau ni!”

Puan Farhana sudah teresak-esak. Dia sudah puas cuba untuk melupakan Encik Naqib, tetapi hatinya masih tetap inginkan lelaki itu.

“Maafkan aku...”

“Aku memang tak sangka, orang yang paling aku percaya sanggup tikam aku dari belakang. Dan kau...” Jari telunjuknya dihalakan ke arah suaminya. “Kau memang jantan tak guna! Susah payah aku hidup dengan kau, tapi ini yang kau bagi pada aku. Bila kau dah senang, kau buat aku macam tunggul!” Makin menjadi-jadi tangisan Puan Shira. Tubuhnya melorot jatuh ke lantai. Dadanya ditepuk kasar.

“Sayang...” Encik Naqib terus menerpa ke arah isterinya. Dia mahu memeluk tubuh itu, namun cepat saja wanita itu mengelak.

“Jangan sentuh aku! Aku jijik. Ceraikan aku sekarang!”

“Sayang... janganlah macam ni. Abang janji akan bersikap adil.”

“Pergi jahanamlah dengan janji palsu kau tu! Dulu kau janji akan bahagiakan aku. Tapi sekarang, hati aku dah cukup hancur. Kau bodohkan aku. Aku tak nak bermadu dengan perempuan munafik. Ceraikan aku!”

Puan Shira sudah hilang kawalan. Semua barang yang dicapai, dibaling ke arah suaminya. Encik Naqib terus menepis.

“Shira, aku janji... aku akan selalu mengalah. Naqib akan tetap utamakan kau dalam semua hal.”

Dek terlalu bengang, Puan Shira terus meluru ke arah Puan Farhana. Wajah itu ditampar geram. Tak cukup dengan itu, selendang di kepala wanita itu ditarik kuat. Nyaring suara Puan Farhana menahan rasa sakit diperlakukan begitu.

“Allah... sayang! Mengucap sayang...” Tubuh Puan Shira dipeluk dari belakang. Dia tidak mahu isterinya memukul Puan Farhana. Dia yang bersalah dalam hal ni.

“Lepaskan aku! Biar aku ajar perempuan tak guna ni. Kau dengar sini perempuan, kau pun ada anak perempuan. Aku doakan suatu hari nanti, Adiba tu terima nasib yang sama macam aku. Betapa sakitnya hati aku ni bila diduakan oleh suami sendiri!”

Menggigil tubuh Puan Farhana. Dia melihat anaknya yang sedang terlena di atas kerusi. Tidak dapat dia bayangkan jika anaknya menerima nasib yang sama.

“Aku minta ampun. Aku sanggup sujud dekat kaki kau, Shira.”

“Jangan sentuh aku!” Kakinya menolak tangan Puan Farhana. Kali ini wajah suaminya pula ditampar geram.

Kaku tubuh Encik Naqib. Kali pertama melihat isterinya bersikap kasar.

“Aku akan keluar dari rumah ni. Kau tunggu surat dari mahkamah. Lelaki pengecut macam kau ni, tak patut diberi muka! Aku takkan benarkan kau jumpa Naim lagi.”

Lemah kedua-dua lutut Encik Naqib. Dia tidak sanggup kehilangan isterinya. Memang dia bersalah kerana menduakan Puan Shira. Dia gagal mengawal perasaannya.

Bergegas Puan Shira naik ke tingkat atas. Dia mahu segera keluar dari rumah ini. Ketika dia naik ke tingkat atas, dia terserempak dengan Naim. Wajah anak lelakinya sudah lencun dengan air mata.

“Mama dengan papa bergaduh ke?”

Puan Shira segera merangkul tubuh anaknya. Dalam sekelip mata saja kebahagiaan keluarga mereka musnah. Semuanya disebabkan perbuatan suaminya. Dia perlu pergi dari sini. Tidak sanggup dia terus ditipu suaminya lagi.

“Maafkan, mama. Mama tak dapat bagi keluarga yang sempurna untuk Im. Kita pergi dari sini ya.”

Naim hanya berdiam diri saja. Sejak tadi dia melihat kedua ibu bapanya bertengkar. Walaupun dia masih kecil, dia dapat mengagak perkara yang berlaku sebentar tadi. Belum sempat Puan Shira masuk ke dalam bilik, Encik Naqib segera menghalang.

“Sayang... tolong jangan tinggalkan abang. Percayalah, abang masih sayangkan Shira dan anak kita.”

“Ke tepi! Aku dah tak boleh pandang muka kau lagi. Kau boleh hidup dengan perempuan tu. Kau jangan ingat bila kau dah jujur dengan aku, aku akan terima perkahwinan kedua kau semudah itu. Tak! Aku bukan perempuan bodoh!”

“Sayang... tolong fikirkan demi anak kita.”

“Masa kau curang, ada kau fikir tentang Naim?”

Terpukul Encik Naqib mendengar kata-kata isterinya. Dia kehilangan ayat. Puas hati Puan Shira meluahkan rasa yang terbuku dalam hatinya.

“Biar aku yang berundur.”

Tersentak Puan Shira. Makin panas hatinya melihat wanita itu berani naik ke tingkat atas.

“Hana...”

“Abang ceraikanlah Hana. Ini aje cara untuk selamatkan keadaan.”

Meluat Puan Shira melihat adegan itu. Peduli apa dia jika wanita itu ingin berpisah. Dia juga sudah tiada hati untuk bersama dengan suaminya lagi.

“Kau janganlah pergi dari sini.” Tangan Puan Shira diraih. Dia tidak mahu melihat rumah tangga Puan Shira hancur. Bukan ini niatnya ketika dia membuat keputusan berkahwin dengan Encik Naqib.

“Lepaskan aku. Aku cakap jangan sentuh aku!”

Dek terlalu marah, tubuh Puan Farhana ditolak kasar sehingga kakinya terundur ke belakang. Tidak dapat menyeimbangkan diri, tubuh itu jatuh terguling ke bawah.

Keras kejung tubuh Puan Shira. Naim turut tergamam.

“Hana!”

No comments:

Post a Comment