Monday, 23 August 2021

Pengantin Untuk Dia - Bab 3

 

SHASHA merenung wajah muram Hanna. Sejak tadi, wajah itu belum lagi hilang sedihnya. Dan sebagai kawan, dia tak tahu macam mana dia nak selesaikan hal yang sedang ditanggung oleh Hanna.

"Dalam hal ini, aku salahkan kau sebenarnya. Kau yang cari masalah," ujar Shasha.

Hanna hanya diam. Memang dia akui, semua masalah yang sedang dia tanggung sekarang berpunca daripada sikap dan kebodohannya.

"Ya, aku faham dan mengaku semuanya salah aku," terluah juga rasa kesalnya.

"Habis tu, sekarang ni kau nak buat apa?" soal Shasha.

"Entahlah. Aku buntu. Hubungan aku dengan keluarga aku macam retak menunggu belah aje. Papa aku tu pandang aku pun tak nak sekarang. Aku sedih sangat. Aku tak tahu apa yang patut aku buat untuk tebus balik kesilapan aku tu," ujar Hanna sambil meraup mukanya penuh kesal.

"Aku masih tak faham, macam mana kau boleh lari ikut si Yusman tu? Sejak awal lagi aku memang tak suka kau berkawan dengan lelaki tu, tapi kau degil. Orang tua kau sendiri pun tak pernah merestui hubungan kau dengan dia. Sebab itulah mereka jodohkan kau dengan anak kawan mereka," tutur Shasha.

Hanna mendengus perlahan. Pertunangan dia dengan lelaki pilihan papanya hanya berlaku dalam tempoh sebulan sahaja. Selepas itu, terus diadakan majlis perkahwinan. Mana mungkin dia dapat menerima semua itu kerana hati dan cintanya hanyalah untuk Yusman. Segala persiapan perkahwinan tak pernah dia ambil peduli. Lagipun dia dah beri amaran awal-awal yang dia tak relakan dirinya dikahwinkan dengan lelaki yang dia tak cinta tapi orang tuanya tetap dengan keputusannya.

Bukan silapnya apabila dia mengambil keputusan melarikan diri pada malam perkahwinannya dengan keluar ikut tingkap balkoni. Sanggup dia menyambung selimut dan cadar, kemudian diikat pada palang besi balkoni untuk dia keluar dari bilik itu. Sangat mustahil untuk dia keluar melalui pintu kerana hal itu mesti diketahui orang. Rancangan itu hanya dilakukan antara dia dengan Yusman. Dan cadangan itu pun dibuat oleh Yusman kerana dengan cara itu sahaja dia akan berjaya melarikan diri daripada kemelut yang melanda.

"Kau memang buat kerja gila, Hanna," ujar Shasha setelah Hanna menceritakan bagaimana dia boleh melarikan diri pada malam perkahwinannya.

"Aku tak ada pilihan lain dan aku rasa itu sahaja jalan yang terbaik yang mampu aku buat untuk halang majlis tu daripada berlaku," ujar Hanna membela diri.

"Kau tahu tak, bukan main mengamuk lagi papa kau bila tahu kau melarikan diri pada malam tu dengan tinggalkan surat aje. Aku tak salahkan papa kau sebab kau memang dah memalukan dia depan semua orang. Kau hanya pentingkan diri sendiri. Tak sikit pun kau cuba faham perasaan orang tua kau," komen Shasha.

Hanna tunduk.

"Lepas kau larikan diri, kau pergi mana?"

"Yusman sewa bilik hotel sebagai tempat kami menginap malam tu," beritahu Hanna.

"Sewa hotel? Kau dengan dia... sebilik?" soal Shasha dengan mata membulat.

Hanna mengangguk kepala perlahan.

Shasha mula beristighfar.

"Aku tak sangka kau sanggup bermalam dengan lelaki yang tak ada ikatan dengan kau. Habis tu, apa yang berlaku? Kenapa kau tiba-tiba balik ke pangkuan keluarga kau? Aku ingatkan kau nak terus hidup dengan Yusman, atau setidak-tidaknya dia bawa kau lari jauh. Mungkin ke Siam untuk berkahwin."

"Aku tak sempat bermalam dengan Yusman di hotel tu sebab aku larikan diri daripada dia," beritahu Hanna perlahan.

"What? Kau larikan diri daripada dia? Apa maksud kau? Apa yang dia dah buat dekat kau?" soal Shasha makin terkejut.

Hanna meraup muka dengan kedua-dua tangannya.

"Dia cuba buat perkara tak elok dekat aku. Dia... dia... cuba rogol aku," beritahu Hanna dengan perasaan kesal. Ngeri apabila diingatkan perbuatan Yusman terhadapnya.

Sekali lagi Shasha beristighfar.

"Sempat tak dia buat benda tu dekat kau?" soal Shasha seraya merenung wajah temannya.

Hanna menggeleng perlahan.

Shasha melepaskan keluhan lega.

"Keluarga kau tahu tak pasal ni? Kenapa kau tiba-tiba balik rumah?"

"Aku tak beritahu keluarga aku pasal ni. Aku hanya beritahu kau seorang. Selepas aku larikan diri dari hotel, aku bermalam di surau sebuah stesen minyak. Keesokan harinya baru aku balik rumah dan minta maaf dengan keluarga aku tapi nampaknya papa masih tak boleh maafkan aku atas apa yang aku dah buat," tutur Hanna dengan mata berkaca.

"Sabarlah. Lambat-laun papa kau akan maafkan kau. Lagipun benda tu masih baru. Dia pun masih sukar nak lupakan benda tu. Kau kena bersabar dan cuba pujuk dia. Biasalah orang tua, marah-marah sayang," pujuk Shasha.

"Kalaulah aku dengar kata semua orang, benda ni takkan berlaku. Tapi aku yang bodoh kerana percayakan Yusman. Entahlah, aku pun tak tahu macam mana aku boleh jatuh cinta dengan lelaki macam Yusman tu. Aku ingatkan aku boleh bergantung harap dengan dia tapi sebaliknya dia cuba nak ambil kesempatan atas aku. Kalau aku turutkan kehendak dia malam tu, memang aku betul-betul bodoh. Aku tak dapat bayangkan apa yang akan berlaku nanti." Hanna cukup kesal dengan apa yang berlaku.

"Ya, aku rasa kau memang bodoh," ujar Shasha.

Hanna pandang wajah temannya tak berkelip.

"Ya, kau memang bodoh sebab menolak jodoh yang terbaik untuk kau. Kalau aku jadi kau, aku akan terima sahaja jodoh yang orang tua kau pilih. Kau belum tengok lagi kan macam mana rupa bakal suami kau yang tak jadi tu."

"Macam mana orangnya?" Entah kenapa Hanna tiba-tiba ingin tahu pula. Selama ini dia tak pernah ambil peduli semua yang berkaitan dengan lelaki yang bakal dijodohkan dengannya. Hatta nama, rupa, pekerjaan atau apa sahaja, tak satu pun dia ambil tahu.

"Aku tak nak komen banyak. Cuma aku nak cakap yang lelaki tu 10 kali ganda lebih baik daripada lelaki pujaan hati kau tu. Dan kalau aku ada hak untuk memilih, aku akan pilih lelaki tu sebagai suami aku."

"Semuanya dah musnah. Dan akulah penyebabnya." Hanna cuba pamer senyum.

Shasha hanya diam.

"Sekarang ni, kau masih berhubungan dengan Yusman?"

Hanna menggeleng kepala.

"Baguslah. Aku tak nak kau lembut hati dan terima dia balik. Dah jelas-jelas yang Yusman tu bukan lelaki yang baik dan ikhlas cintakan kau. Kalau kau masih tak sedar lagi, aku tak tahulah nak cakap apa. Dulu pun dah berbuih mulut aku ni menegah kau daripada terus berhubungan dengan Yusman tapi kau tu yang degil. Nak juga dekat Yusman tu."

"Sebenarnya dia ada cuba hubungi aku berpuluh kali, mesej aku tapi aku tak pernah jawab dan balas mesej dia. Nombor telefon dia pun aku dah block sebab aku tak nak ada kaitan dengan dia lagi. Aku sedar yang Yusman sebenarnya tak pernah ikhlas dengan hubungan kami, cinta kami. Dia hanya nak ambil kesempatan atas aku aje," ujar Hanna.

"Aku harap, lepas ni kau terus lupakan dia. Jangan sesekali terima dia semula dalam hidup kau. Lelaki macam Yusman tu pandai bermain kata dan kau pula mudah sangat terpedaya dengan pujuk rayu dia," nasihat Shasha.

Hanna diam.

"Sekarang ni kau nak buat apa? Takkan tak buat apa-apa tindakan langsung untuk pulihkan hubungan kau dengan orang tua kau?"

"Sha, aku dah cuba minta maaf dengan mereka, tapi sampai hari ini aku masih tak dapat kemaafan daripada mereka. Aku kesal sangat atas apa yang aku dah lakukan. Aku terlalu ikutkan kata hati aku dan turutkan kata-kata Yusman sehinggakan hidup aku jadi berantakan begini."

Hanna tunduk. Tiba-tiba hatinya menjadi sayu mengenangkan nasib yang sedang dihadapinya sekarang ini. Kalaulah masa boleh diundur kembali, dia takkan sesekali menerima Yusman dalam hidupnya. Tapi masalahnya, semua itu telah berlaku dan tak mungkin dapat diundur kembali. Dia harap dia mampu tabah menghadapi hidup dan tidak akan mudah terpedaya dengan pujuk rayu Yusman lagi selepas ini.

 

ZAQUAN MENATAP gambar gadis manis yang berada di tangannya. Kemudian bingkai gambar itu dilempar ke dinding sehingga pecah berkecai. Kedua-dua tangannya naik mengusap anak rambut yang berjuntai ke belakang.

"Zack, kenapa ni?" Tiba-tiba pintu biliknya dikuak.

Datin Fatimah meluru masuk ke bilik Zaquan. Dia berdiri betul-betul di depan anaknya.

"Tak ada apa-apa," balas Zaquan dan segera melarikan pandangan mata ke dinding di mana tempat dia melemparkan frame gambar tadi. Anak mata Datin Fatimah turut terarah ke situ. Gambar yang sudah terkeluar daripada frame itu diambil dan ditatap seketika sebelum kembali menatap wajah anaknya.

"Zack masih tak boleh lupakan perempuan ni?" soal Datin Fatimah sambil menunjukkan gambar di tangannya.

"Zack dah lupakan dia mama," balas Zaquan tanpa memandang gambar itu.

"Kalau dah lupakan dia, kenapa Zack masih simpan gambar dia?" soal Datin Fatimah.

Zaquan melepas keluhan panjang.

"Zack terjumpa gambar tu masa simpan barang-barang tadi. Sebenarnya Zack nak buang gambar tu tapi tak tahu pula gambar tu masih ada tersimpan di celah-celah rak tu," beritahu Zaquan.

"Kalau macam tu, mama ambil gambar ni. Mama suruh pembantu rumah bakar," saran Datin Fatimah.

"Terpulanglah pada mama. Zack tak peduli pun pasal gambar tu. Zack dah lupakan dia dan Zack dah tak nak ingat pasal dia lagi."

"Baguslah. Mama pun tak nak Zack terus ingatkan perempuan ni. Dan kalau dia muncul depan Zack lepas ni, mama nak Zack ignore aje dia. Jangan terima pujuk rayu dia lagi. Ingat, mama tak nak Zack terima dia semula." Datin Fatimah memberi peringatan.

Zaquan diam. Memang dia tak nak ambil peduli pun pasal perempuan dalam gambar itu. Tadi pun dia memang tak sangka yang gambar tu masih tersorok di celah-celah rak.

"Papa ada kat bawah?" soal Zaquan.

"Tak ada. Dia keluar. Jumpa Uncle Hafsham," beritahu Datin Fatimah.

"Untuk apa papa jumpa Uncle Hafsham? Masih tak serik-serik nak tetapkan majlis perkahwinan Zack dengan anak perempuan Uncle Hafsham tu? Ingat mama, Zack takkan sesekali terima perempuan tu. Perempuan yang telah memalukan kita semua. Kalau Zack tahu dia nak malukan kita, awal-awal lagi Zack tolak usul papa nak jodohkan kami." Hangat hati Zaquan apabila mendapat tahu Datuk Badaruddin keluar berjumpa dengan kawannya itu.

"Mama pun malu dengan apa yang dah berlaku, tapi Zack tak boleh nak salahkan Uncle Hafsham. Dia tak bersalah. Yang bersalah ialah anaknya. Lagipun dah berkali-kali dia hubungi papa untuk memohon maaf. Mama dan papa tak sampai hati nak marah kerana kami faham perasaan seorang ayah apabila anak perempuan dah memalukannya."

Zaquan diam. Dia sendiri turut faham apa yang dirasai oleh kedua orang tuanya. Dan dia tidak akan menyalahkan mereka atas apa yang berlaku. Yang dia salahkan ialah anak perempuan Encik Hafsham. Kalau dia jumpa perempuan itu, pasti dia akan membuat perhitungan dengannya.

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

 

No comments:

Post a Comment