Monday, 20 September 2021

Dear Mr. Crush - Bab 1

  

MAKIN laju langkah Safiya berjalan ke arah pangkin. Dia yakin lelaki yang sedang duduk di atas pangkin itu ialah Ian. Dia kenal benar dengan susuk tubuh lelaki itu.

“Abang!”

Terperanjat Ian. Dadanya diurut perlahan. Dek terlalu geram, pipi Safiya dicubit geram. Suka sangat kenakan dia.

“Kenapa nakal sangat ni?”

Tergelak Safiya. Dia duduk di sebelah Ian.

“Jauh abang termenung. Teringatkan siapa?” Terjongket kening Safiya.

Ian menjeling dengan ekor matanya.

“Sibuk aje. Ni dari mana?”

“Dari kedai. Tok ma nak buat bubur kacang.” Safiya tunjuk barang yang dibelinya dari kedai runcit.

“Sekolah macam mana?”

Mencebik bibir gadis itu. Ian terus tergelak. Tahu sangat Safiya tidak suka ditanya tentang hal persekolahan.

“Bosanlah abang ni. Kalau jumpa aje, tanya pasal sekolah.”

“Dah adik abang ni memang sekolah lagi.” Kepala gadis itu diusap perlahan.

“Tak naklah cakap pasal sekolah. Abang cuti lama ke?”

Sejak lelaki itu bekerja di bandar, memang agak jarang mereka berjumpa. Bangga juga Safiya apabila Ian sudah bergelar doktor gigi.

“Lama juga. Abang balik ni ada hal penting nak uruskan.”

“Hal apa?”

Ian pandang Safiya bersama senyuman di bibir.

“Abang nak kahwin.”

Dup!

Senyuman Safiya berubah kendur. Terkejut mendengar berita yang tak dijangka itu.

“Abang bergurau kan?” Hampir tak terkeluar suaranya.

“Abang seriuslah. Insya-Allah, 3 bulan lagi majlis perkahwinan abang. Fiya orang pertama yang tahu hal ni. Ibu, abah dan Lani pun tak tahu lagi.”

Kenyataan lelaki itu umpama batu yang menghempap kepalanya. Segala impiannya musnah setelah mendengar pengakuan lelaki itu.

“Tahniah. Err... Fiya balik dulu. Nanti tok ma marah kalau Fiya balik lambat.”

“Eh, Fiya!”

Safiya segera berlari meninggalkan lelaki itu. Takut dia gagal mengawal air matanya di hadapan Ian. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa hancurnya perasaannya ketika ini.

 

 

SAKIT BETUL hati Safiya melihat pasangan pengantin itu. Ikutkan hatinya yang remuk sekarang, mahu saja dia merobohkan pelamin itu. Kecil besar saja dia pandang wajah pengantin perempuan yang sedang berdiri di sisi Ian.

Woii! Hancurlah bunga telur tu,” bisik Ilaini.

Cepat-cepat dia menarik bakul kecil daripada tangan Safiya. Tugas mereka di sini, mengedarkan bunga telur kepada tetamu yang datang ke majlis perkahwinan abangnya.

“Kau ni kenapa?”

“Aku sedih. Abang kau tu memang penipu besar.”

Ilaini tepuk dahi sendiri. Buat drama pula dah si Safiya ni. Tangan gadis itu ditarik agar mereka berdiri jauh sedikit dari tetamu yang ada. Takut ada pula yang mendengar perbualan mereka.

“Dahlah. Along aku dah kahwin. Tak payahlah tunggu dia.”

“Tapi dia yang suruh aku tunggu.”

“Ya ke? Kau salah dengar kut.”

Safiya menjeling tajam. Bercakap dengan Ilaini, hanya menyakitkan hati saja. Dah tentu dia hendak membela si abang.

“Okey. Aku minta maaf. Kau selalu cakap along aku suruh kau tunggu. Tapi tak pernah pula along aku cakap pasal kau.”

Jatuh kedua-dua bahu Safiya. Makin sedih dia mendengar kenyataan itu.

“Dia pernah cakap, nak kahwin dengan aku.”

“Bila?” Hampir terbuntang biji mata Ilaini. Baru hari ini dia mendengar perkara itu. Dia sangkakan Safiya hanya membuat cerita.

“Masa umur aku 7 tahun. Dia janji nak kahwin dengan aku,” tegas nada suara Safiya.

Sekali lagi Ilaini tepuk dahi sendiri. Boleh jadi gila kalau bercakap dengan Safiya. 7 tahun? Ingatkan baru beberapa bulan yang lepas.

“Kita ni sekolah lagi, Fiya oiii. Baru 16 tahun. Along aku tu, tua 10 tahun daripada kita. Masa kita umur 7 tahun, sah-sahlah along aku tu bergurau.”

“Tapi aku anggap perkara tu serius.”

Serba salah Ilaini. Memang sejak dulu lagi Safiya sukakan abangnya. Malah abangnya selalu melayan gadis itu dengan penuh kasih sayang. Mungkin disebabkan salah faham, Safiya menganggap lelaki itu sukakan dia.

“Dahlah. Janganlah sedih. Kumbang bukan seekor. Ada ramai lagi lelaki dekat kampung ni. Anggap ajelah along aku tu bukan jodoh kau.”

Safiya menoleh ke arah pelamin sekali lagi. Makin tergores perasaannya melihat Ian sedang menyuap kek ke mulut isterinya. Sepatutnya dia yang berada di tempat perempuan itu.

“Fiya, Lani. Buat apa dekat bawah pokok ni? Pergilah bagi bunga telur tu. Ramai tetamu nak balik.” Muncul Acik Tini.

Err, ya mak.” Tangan Safiya ditarik pergi ke arah khemah. Sempat dia membisikkan kepada gadis itu supaya berlagak seperti biasa.

Dalam keadaan terpaksa, Safiya tetap menjalankan tugasnya mengedar bunga telur. Sedang ralit dia berjalan di sekeliling khemah, dia terserempak dengan pasangan pengantin baharu itu. Cepat-cepat dia ingin berpatah balik tapi lengannya dipegang kemas oleh Ian.

“Nak pergi mana ni cepat sangat?”

Safiya tersenyum janggal. Dia perasan raut wajah isteri lelaki itu seperti tidak berpuas hati dengannya.

“Sayang. Inilah adik angkat yang bie selalu ceritakan. Fiya.”

Rasa macam ditoreh-toreh luka yang sedia ada di hati. Sakitnya hati mendengar perkataan sayang yang ditujukan kepada orang lain. Adik angkat? Jadi selama ini dia hanya dianggap sebagai adik.

“Ooo... ini ke budak yatim piatu tu,” sinis nada suara pengantin perempuan itu.

Terus berubah wajah Safiya. Ian di sebelah turut tergamam.

“Sayang cakap apa ni? Tak eloklah cakap macam tu.”

“Betullah apa yang Erni cakap tadi. Bie selalu cakap kesian dekat dia sebab tak ada mak ayah. Sebab tu bie selalu layan dia macam ahli keluarga sendiri.”

Bergenang tubir mata Safiya. Kedua-dua tangannya dikepal kuat. Memang minah ni sengaja mencari pasal dengannya.

“Ya. Abang Ian memang sayang sangat dengan Fiya. Kalau Kak Erni nak tahu, Abang Ian pernah janji nak kahwin dengan Fiya. Betul tak Abang Ian?” Sengaja dia hendak kenakan Ian.

Merah padam wajah Erni. Bibirnya diketap geram. Ian tergamam sekali lagi.

“Kenapa diam? Opss... Abang Ian lupa ke?”

“Fiya, itu...”

“Ooo... Fiya faham. Abang Ian cuma bergurau. Yalah, Fiya kan masa tu umur 7 tahun. Bodoh sangatlah kalau Fiya percaya.” Safiya ketawa kuat. Jelas ketawanya seperti dibuat-buat.

Erni turut tergelak. Hanya Ian masih terdiam seribu bahasa.

“Janganlah serius sangat. You masih berhingus masa suami I ajak kahwin. Pandai juga budak ni bergurau.” Lengan Ian dipeluk kemas. Sengaja dia melentokkan kepalanya ke bahu si suami.

Ceh! Ber I-you pula. Safiya menjulingkan biji matanya. Meluat dia mendengar minah celup ini bercakap.

“Abang Ian bawalah Kak Erni ni makan. Kesian dia dah terlentok macam tak makan seminggu,” sindir Safiya.

Terus Erni angkat kepalanya. Tak sempat dia hendak membalas, jurugambar tiba-tiba muncul di sisi pasangan itu. Jurugambar itu meminta pasangan pengantin bersedia untuk sesi bergambar.

Bie, jom.”

“Sayang pergi dulu. Nanti bie datang.”

Erni merengus perlahan. Terpaksalah dia meninggalkan suaminya bersama gadis tadi. Sebenarnya, dia tidak suka lelaki itu terus rapat dengan Safiya. Baginya, Safiya satu ancaman terbesar untuknya.

Kini hanya tinggal mereka berdua di tepi khemah. Melihat penampilan Ian dalam persalinan baju Melayu songket berwarna hijau, makin menambahkan garam di lukanya. Sudah setahun lelaki itu bergelar doktor gigi. Memang padanlah dengan Kak Erni. Ada jawatan yang sama.

“Tahniah, Abang Ian. Selamat pengantin baharu.” Safiya cuba memaniskan wajahnya.

“Sejak bila?”

“Hah?”

“Sejak bila panggil Abang Ian? Bukan selama ni panggil abang aje ke?”

Safiya berdeham perlahan. Salah ke dia panggil begitu? Kepala yang tidak gatal digaru perlahan.

Err... sejak Abang Ian dah kahwin.” Mudah saja dia memberi alasan.

Terdengar lelaki itu mengeluh.

“Walaupun abang dah kahwin, abang tetap akan layan Fiya sama macam dulu.”

Safiya tersenyum kelat. Perkara itulah dia mahu elakkan. Cukuplah selama ini dia berangan terlalu jauh.

“Abang Ian dah kahwin. Kenalah jaga hati isteri. Fiya nampak Kak Erni tak suka kita rapat. Fiya tak nak nanti Abang Ian bergaduh dengan Kak Erni.”

Ian kelihatan serba salah. Dia pandang ke arah pelamin. Isterinya masih sibuk bergambar bersama tetamu. Nafas ditarik sedikit panjang.

“Insya-Allah, dia akan faham. Fiya jangan risau ya. Bagi abang, Fiya tetap penting dalam hidup abang.”

Sekali lagi Safiya hampir tewas dengan kata-kata lelaki itu. Tidak mahu terus hanyut dengan perasaannya, lebih baik dia beredar.

“Fiya pergi dulu. Nanti Acik Tini marah pula Fiya tak buat kerja. Acik Tini dah janji nak bagi upah.” Tersengih-sengih Safiya. Cuba menutup luka yang terpendam dalam hatinya sekarang.

“Kalau nak duit, minta dengan abang. Jangan susahkan diri.”

Laju Safiya menggeleng. Kalau dulu, mungkin dia tak kisah. Tapi sekarang tak naklah dia menempah bala. Tak pasal-pasal dia diganyang oleh perempuan perasan mat salih itu.

“Fiya anggap kata-kata abang serius ke dulu?” Kali ini Ian memberanikan diri untuk menyoal. Jujur dia tidak sedap hati mendengar kenyataan Safiya sebentar tadi.

Terdiam Safiya. Nak jawab ya, nampak sangat dia bodoh percayakan kata-kata Ian dulu. Lagipun masa tu sah mereka sama-sama tidak cukup umur. Yang dia pula, sampai sekarang berharap Ian menunaikan janjinya.

“Fiya bergurau ajelah tadi. Kan masa tu umur Fiya 7 tahun. Takkanlah Abang Ian percaya.” Tergelak Safiya.

Ian menarik nafas lega. Risau juga jika gadis itu salah faham. Memang dia sayangkan Safiya. Tapi untuk dijadikan isteri, rasanya ada lelaki yang lebih layak daripada dirinya. Beza umur mereka terlalu jauh.

“Fiya pergi dulu.” Safiya segera beredar. Kakinya melangkah laju masuk ke dalam dapur. Dia menyorok di belakang stor. Mulutnya ditekup laju. Akhirnya tumpah juga air matanya di pipi. Teresak-esak dia menangis.

Mulai hari ini, dia perlu belajar untuk melepaskan lelaki itu. Tak mungkin untuk dia mendapat cinta daripada seorang lelaki bernama Ian Hanif.

No comments:

Post a Comment