Thursday, 14 October 2021

Jiwa Yang Kau Takluki - Bab 3

 

“SELESAI kat sini saja tak boleh ke Pak Seman?” Puan Zaharah bertanya selepas Pak Seman selaku ketua kampung menghurai tentang tangkapan khalwat Lara dengan Anas.

Pak Seman mencadangkan agar Anas dan Lara dinikahkan. Cadangan yang tidak dipersetujui oleh Puan Zaharah.

“Selesai kat sini tu macam mana?” soal Pak Seman.

“Lara kata dia tak tahu apa-apa. Dia tak buat apa-apa pun dengan Anas. Takkan nak suruh mereka kahwin juga?” Puan Zaharah percaya cerita anaknya. Lagi pula, rasanya satu kampung tahu Lara berkasih dengan Hilmi, adik Anas.

“Kalau tak nak kahwin, saya bawa kes ini ke pejabat agama. Bukan bermakna kalau kahwin, kes ini tak perlu ke pejabat agama. Cuma ini jalan yang lebih baik. Dah tertangkap berdua-duaan, sebaiknya nikah.”

“Tapi mereka tak buat apa-apa pun masa kena tangkap.”

“Anas tak pakai baju. Pakai seluar pendek saja. Anak kau, pakai T-shirt kecil masa tu. Rambut kusut-masai keluar dari bilik. Macam payah nak bersangka baik. Ikan depan mata, kucing takkan tengok saja kut?”

“Saya sokong Pak Seman,” sampuk Puan Sanisah.

“Tapi memang kami tak buat apa-apa, Pak Seman. Saya di ruang tamu. Lara dalam bilik,” Anas bersuara membela diri.

“Tapi keadaan kamu mencurigakan. Pak Seman pun cukup empat orang sebagai saksi masa tu.”

“Saya tak faham kenapa semua ni berlaku. Pelik pun ada.” Anas nampak tertekan.

Lara di sisi ibunya diam saja. Bingung. Tak tahu nak cakap apa. Dia sudah huraikan semua kepada ibunya.

“Orang pun dah bercakap fasal ni. Tak elok perkara ni dibiarkan,” Puan Sanisah berkata. Dia berharap agar Anas dan Lara dinikahkan. Tidaklah susah sangat dia mahu menghalang Hilmi yang tergila-gilakan Lara.

Eii, tak berkenan sungguh dia dengan anak si Puan Zaharah itu. Memang simpang nak jadi ibu mentua kepada Lara. Boleh jeluak hari-hari dia tengok muka Lara. Benci sangat kepada budak itu. Lagi pula kalau Anas berkahwin, biar berhambus dari rumahnya. Bosan dia menatap wajah si anak tiri itu.

“Betul kata Puan Sanisah. Tak sedap orang perkatakan hal ini. Jika habis kat sini, nampak sangat kelemahan aku sebagai ketua kampung. Kalau tak kahwin, bawa ke pejabat agama. Biar mereka siasat.”

“Heh, nanti kena bicara mahkamah. Lagi memalukan. Dari sikit yang tahu, jadi ramai yang bercakap. Malu suami saya, Pak Seman,” pantas Puan Sanisah memberi pendapat.

Puan Zaharah menjeling tajam. Geram dengan mulut celopar Puan Sanisah. Dia saja yang betul! Dia saja yang nak bercakap! Malu konon! Padahal semua orang kampung tahu Puan Sanisah tidak suka kepada anak tirinya itu.

“Tak naklah anak-anak naik turun mahkamah. Rumit. Malu juga,” kata Encik Latif.

“Dah tu, abang setuju Lara nikah dengan Anas?” Riak wajah Puan Zaharah tidak setuju.

“Nak tak nak kena selesaikan kes ni.” Pak Daud yang tadinya diam menyampuk.

“Pada saya, elok kahwinkan saja Lara dengan Anas. Bersih nama kata orang,” Bilal Jusoh mencadangkan. Biarlah tidak jadi Anas dengan Naema. Nama Anas dah terpalit arang. Memang Anas menafikan. Tetapi, siapa tahu cerita sebenar? Orang lelaki apabila dah dengan perempuan, bukan boleh percaya mana pun.

“Sebaik-baiknya gitulah. Saya sokong cadangan Pak Seman dan bilal,” Puan Sanisah bermanis kata.

“Encik Latif, kamu sebagai wali Lara, macam mana?” tanya Pak Seman.

“Saya rasa mana yang baik, ikut saja.”

Berdetak jantung Lara mendengar kata ayahnya. Tetapi tak berani dia hendak membantah.

“Kamu setuju, Anas?”

Anas kaku. Serba tak kena. Hendak menggeleng ataupun mengangguk. Wajah Lara dipandang, semakin tidak menentu perasaannya.

“Kahwinlah, Anas. Dah jodoh kamu,” kata Puan Sanisah.

Encik Maarof nampak serba salah. Tetapi tidak tahu juga hendak kata apa.

Lara mencerlung kepada Anas yang sedang memandangnya. Seakan-akan memberi isyarat jangan bersetuju dengan cadangan itu.

 

 

BENGIS WAjAH Syafiq. Sakit hati dengan kejadian yang berlaku. Kawan-kawannya seolah-olah permainkan apa yang berlaku. Seenak-enaknya mempersenda kes khalwat adiknya sebagai gurauan.

“Biar Lara kahwin dengan Anas tu, ayah. Syafiq setuju sebab dia ni liar sangat sekarang. Ada suami, harap pandailah duduk kat rumah,”  Syafiq berkata.

Mati akal dia dengan kenakalan adiknya. Sudah dimarah, dipukul, tetapi Lara degil sangat. Sering orang kampung bercakap yang Lara selalu keluar masuk rumah Hilmi semasa ibu dan ayah Hilmi tiada di rumah.

Pernah dia menyuarakan kepada ayahnya agar kahwinkan saja Lara itu. Tapi ayah kata, bagaimana nak kahwin kalau pihak lelaki tidak masuk meminang? Hilmi pun bukannya bekerja. Masih lagi belajar di universiti. Encik Latif pun tak tergamak hendak mencagar masa depan Lara, demi menutup mulut orang yang mengata.

“Anggap saja tu jodoh Lara. Anas jauh lebih baik daripada Hilmi. Anas tu ustaz. Ada kerja. Hilmi tu, apa kerjanya? Memanglah belajar U, tapi ukur jalan siang malam,” bebel Syafiq lagi.

“Orang tak nak kahwin dengan Anas. Nak kahwin dengan Hilmi,” Lara membentak.

“Hilmi nak ke kau tu? Takde pun dia meminang kau. Kau kena ingat yang Mak Sah tak suka kau. Tak berkenan kat kau. Anas dah nak, elok sangat. Dengan perangai kau, rekod tangkap basah pula, kau ingat ada lelaki dalam kampung ni nakkan kau lagi? Ada orang tua nak ambil kau jadi menantu? Tak payah beranganlah, Lara. Kau kahwin saja dengan Ustaz Anas tu.” Syafiq marah sungguh.

“Benci! Menyampah dengan kau!” marah Lara. Dia dengan Syafiq memang tidak sebulu. Dua beradik itu asyik berkicau dan bertekak sejak kecil lagi. Kata orang tua, kedua-duanya saling ‘panas’.

“Abang macam mana?” tanya Puan Zaharah. Pelik dia dengan reaksi suaminya yang banyak berdiam. Selama ini suaminya paling garang dengan kedegilan Lara. Kali ini tidak bising pula suaminya itu.

“Kahwinkan saja Lara tu, ayah. Dah jadi macam ni, ingat senang ke nanti? Dah kahwin, orang tak bercakap sangat.”

“Kau yang melebih-lebih, kan?” Lara menumbuk bahu Syafiq.

 

 

“ABANG RASA, betul kata Syafiq. Biar saja Lara kahwin dengan Anas.” Tenang saja Encik Latif berkata. Tika ini mereka bertiga di ruang tamu.

Lara di luar rumah selepas kawannya, Tina datang.

“Nak suruh Lara kahwin dengan Anas?” Puan Zaharah seperti tidak percaya.

“Syafiq sokong. Dah malu dengan perangai adik tu, mak.”

“Tapi mak tahu, Lara tak buat apa-apa dengan Anas. Anas tu baik. Dia dah bertunang dengan anak Bilal Jusoh. Takdenya dia akan buat hal.”

“Dah sampai jodoh Lara. Biarlah dia kahwin. Kalau tak kahwin, macam-macam hal dia buat. Sebelum berlaku hal-hal yang memalukan, biar dia nikah aje.” Encik Latif sudah fikir semasak-masaknya. Buntu dia dengan kedegilan anak bongsunya itu. Berapi-api setiap kali dia memarahi Lara. Tapi si anak tetap degil juga.

“Takkan dengan Anas?” bantah Puan Zaharah.

“Dah tu, dengan Hilmi yang tak kerja? Yang lebih kurang perangai dengan Lara juga? Anas tu baik. Mudah-mudahan Lara berubah bila berkahwin dengan Anas.”

“Anas tu nak ke dengan anak kita?” Rasanya ada benar kata-kata suaminya itu. Sudah penat dia menasihati Lara agar menjaga kelakuan. Tapi selalu Lara tiada di rumah. Asyik hilang dengan Hilmi saja.

“Lara muntah-muntah. Entah ada isi dalam perut.” Syafiq mengandaikan. Dia kenal Hilmi. Bahkan dengan semua lelaki yang pernah ‘mengusung’ adiknya. Semua lelaki itu memang tak boleh dipakai. Apabila tertangkap dengan Anas, itulah calon paling baik untuk adiknya itu.

“Taklah. Lara kata dia pening sangat. Tekak rasa mual,” ujar Puan Zaharah. Dia mempercayai Lara. Senakal-nakal Lara, tidak pernah Lara sampai tidur dengan lelaki. Dia rapat dengan Lara. Banyak yang Lara kongsikan dengannya.

“Orang dah bercakap macam-macam, mak. Mengata Lara dah hamil. Elok ke anak dara pergi bertandang ke rumah lelaki? Kalau tak dikahwinkan, apa akan jadi nanti? Elok sangat kalau Anas sedia terima Lara jadi isteri dia.”

“Ayah rasa Anas boleh bimbing Lara. Lara tu kalau dah kahwin, harapnya tak nakal sangat. Dia pun bukan tak tahu batas sebagai isteri. Mungkin silap ayah tak berapa tekan nilai agama dalam diri Lara. Ayah manjakan sangat dia. Kalau kena didikan, eloklah Lara tu.” Encik Latif rasa inilai jalan terbaik. Lara perlu dinikahkan dengan kadar yang segera.

“Kita tak tahu apa perancangan Allah. Tidak sesaja apa yang berlaku. Ada hikmahnya,” ujar Encik Latif lagi.

Puan Zaharah tidak tahu hendak kata apa lagi. Teringat doa-doanya kebelakangan ini. Mohon Allah berikan petunjuk kepada Lara. Mohon Allah berikan jalan agar Lara berubah. Inikah petunjuknya?

 

 

MASAM MENCUKA wajah Lara. Sakit hati dengan apa yang sudah terjadi. Tak semena-mena dia ditangkap basah. Kalau dengan Hilmi, tak apa juga. Ini dengan abang si Hilmi yang macam apa entah. Sepanjang dia berkasih dengan Hilmi, sepanjang tinggal di kampung ini, tidak pernah dia berbual-bual dengan Anas. Senyum pun tak pernah. Orang kampung melabel Anas sebagai berlagak. Dia rasa ada betulnya tanggapan orang kampung.

Anas itu belajar sampai ke universiti. Dulu orang gelar dia budak pandai. Ada ijazah dalam bidang IT. Tetapi nasib dia kurang agaknya. Tidak berjaya memperolehi pekerjaan dalam bidang kelulusannya. Dia menjadi ustaz KAFA; iaitu pelajaran agama tambahan untuk murid-murid di sekolah rendah kebangsaan. Jawatan itu hanya sementara. Dalam 5 tahun juga Anas menjadi ustaz KAFA. Itu pun setelah bertahun-tahun juga dia menganggur sebagai pemilik ijazah. Di samping itu, Anas ada membela kambing. Ada enam ekor kambingnya. Daripada seekor, biak sampai enam ekor.

Dia tahu tentang Anas melalui Hilmi, kekasihnya. Dan Anas, bakal abang iparnya yang sekarang diperkata akan menjadi suaminya.

Eii... geli aku!” Mahu muntah mengenangkan dia dengan Anas akan menjadi suami isteri.

“Apa hal kau ni?” sergah Tina. Hairan dengan Lara yang tiba-tiba tergedik-gedik kegelian. “Ada ulat bulu masuk dalam baju kau ke?”

“Terbayang-bayang aku kena kahwin dengan Anas. Geli.”

“Dah tu macam mana? Kau nak naik turun mahkamah? Sekarang pun orang dah cakap fasal hal ni.”

“Cakaplah, ada mulut. Aku memang tak salah. Aku tak buat apa pun dengan Anas. Bercakap dengan dia pun aku tak pernah.”

“Aku percaya...”

“Dah tu?” jegil Lara.

“Orang lain percaya ke?”

Tertutup bibir Lara yang mahu berkata-kata. Betul juga. Siapa yang percaya?

“Kau tahu kan semuanya. Kau yang suruh aku masuk dalam rumah mak lang kau. Aku masuk. Hilmi takde pun. Aku pun tak sedar bila aku masuk bilik Hilmi.”

“Hilmi suruh panggil kau. Sudahnya dia tiada. Sebab masa tu mak lang tak ada. Aku tak perasan masa mana kau masuk bilik Hilmi.”

“Mungkin aku rasa mengantuk sangat kut. Aku dah selalu juga masuk bilik Hilmi sebenarnya masa hanya kami berdua kat rumah tu. Tapi sumpah, aku tak pernah buat tak baik dengan dia. Dengar lagu aje.”

“Aku percaya kau, Lara. Aku rasa bersalah juga sebab aku yang ajak kau masuk masa mak lang tak ada.”

“Yang aku hairan, mana Anas tu muncul? Tiba-tiba saja ada dia.”

“Lagilah aku tak faham. Selalu nak maghrib baru dia balik rumah. Aku tinggal kau sekejap sebab mak aku mesej suruh beli santan. Sekejap sangat. Tiba-tiba balik daripada beli santan, aku nampak Pak Seman dengan beberapa orang surau kat rumah tu.”

“Teruk Syafiq tampar aku. Pedih pipi aku ni.”

“Kalau kena kahwin dengan Anas, kau nak ke?”

“Gila aku kalau nak. Memang taklah dengan lelaki macam tu.”

“Aku nampak keadaan macam kalut semacam. Mak lang aku marah sangat dengan apa yang berlaku.”

“Mak lang kau tak suka aku. Dia tak tahu anak dia separuh mati gila kat aku.”

“Tapi kan, mak lang tak nak sangat kau jadi menantu dia. Kalau kau kahwin dengan Anas, jadi menantu dia juga, kan?”

“Jangan sebutlah tentang tu. Aku tak nak kahwin dengan Anas. Aku nak kahwin dengan Hilmi juga.”

Erk... Anas datang.”

Kedua-dua gadis itu diam apabila motosikal Anas berhenti di laman. Anas menongkat motor. Menapak ke arah Lara dan Tina. Tersengih-sengih  Tina melihat abang sepupunya itu.

“Assalamualaikum.”

Waalaikumussalam...” Tina menjawab salam Anas.

Lara sudah tarik muka empat belas. Menyampah dengan lelaki itu.

“Mak cik dan pak cik ada?”

“Hah, ada apa Anas? Masuklah.” Encik Latif terjengul dari muka pintu utama.

Anas menapak masuk ke dalam rumah.

Lara memandang Tina.

“Nak apa dia tu?”

“Nak kahwin dengan kaulah. Tak lama lagi dapat suami tualah kau, Lara.”

“Tak naklah,” balas Lara. Anas itu sebaya kakak sulungnya. Memang dia ingat sangat kerana Anas dan kakaknya Laila, satu kelas semasa di sekolah menengah. Dia dengan Laila, beza 13 tahun. “Huh, tua sangat dia tu.”

“Ada aje yang beza sampai 20 tahun pun. Okey aje.”

“Tu orang lain. Aku tak nak. Yang lain tu biasanya kahwin dengan orang kaya. Anas tu apa ada?” Lara separuh berbisik. Tak kisah kalau Anas dengar. Tapi kalau ibunya dengar, memang harus mulutnya dijentik.

“Agaknya apa tujuan Anas jumpa mak dan ayah kau?”

Lara rasa mahu saja dia merempuh masuk ke dalam rumah. Tapi kalau dia berbuat begitu, memang dia akan kena penangan Syafiq. Geram betul dengan abangnya itu. Elok-elok bekerja di Johor, Syafiq terima tawaran kerja kerajaan. Pejabat Risda memang tidak jauh dari kampung mereka. Paling malang baginya, Syafiq tinggal di rumah. Asyik bergaduh dengannya sahaja.

“Aku rasa Anas meminang kau tu,” Tina sengaja usik.

“Tak hingin aku dengan Anas,” cebik Lara.

 

 

ANAS TIDAK peduli kepada Hilmi yang berdiri di hadapannya. Tetap juga dia menghabiskan nasi

yang sedang dimakan.

“Kenapa kau setuju nak kahwin dengan Lara? Dia tu kekasih aku.” Keras suara Hilmi.

“Kau kan dah bertunang, nikah aje dengan Kak Naema tu.”

Anas mengangkat muka memandang Hilmi. Kemudian dia tunduk semula.

“Aku tak akan benarkan kau kahwin dengan Lara. Dia milik aku!”

“Ewah, sedapnya kau, Hilmi. Biarlah dia kahwin dengan Lara. Sepadan sangat. Sama-sama kena tangkap basah.” Puan Sanisah masuk ke dapur. Dari luar dia memerhati dan mendengar perbualan dua beradik tiri itu.

“Mak ni, ada saja di mana-mana.”

“Kau jangan berangan nak kahwin dengan Lara. Mati hidup semula mak tak akan terima.”

“Mak ni dah kenapa? Apa salah Lara kat mak?”

“Tak ada salah, tapi mak tak suka. Kau sebagai anak, janganlah buat yang mak tak suka.”

“Tak suka! Tak suka! Ke mak yang buat Lara dengan Anas kena tangkap basah? Bukan boleh percaya sangat mak tu.”

Spontan Anas memandang Puan Sanisah. Kata-kata Hilmi menarik didengar.

“Eh, tak ada maknanya mak nak buat semua tu. Kau ingat mak ni apa?” Puan Sanisah rasa mahu tunjal saja kepala Hilmi. Geram dengan anaknya itu.

“Hilmi tak nak Anas kahwin. Biar Hilmi ganti tempat Anas.”

“Kau jangan nak jadi gila, Hilmi! Habiskan belajar kau tu. Nak kahwin sekarang konon, spender pun aku belikan. Nak bagi anak orang makan pasir?”

Anas membawa pinggan nasi yang telah kosong ke singki, mencuci pinggan dan keluar. Tidak peduli langsung kepada Puan Sanisah dan Hilmi.

“Kau tak patut cakap bukan-bukan depan dia.”

“Cakap apa pula?”

“Kau menuduh mak buat Anas ditangkap dengan Lara. Apa Anas fikir nanti?”

“Hilmi kata aje pun. Bukan maksudkan betul-betul.”

“Hilmi, kau jangan buat mak rasa nak mati. Sudah-sudahlah fasal Lara. Lupakan dia. Dia nak jadi kakak ipar kau juga.”

“Eh, mak pun tak mengaku Anas tu anak mak. Kenapa saya nak kena anggap Lara kakak ipar pula?”

“Dia bukan jodoh kamu. Tengok apa jadi, Tuhan takdirkan macam tu. Biar saja Anas kahwin dengan Lara.”

Hilmi rasa serabut. Lantas dia keluar dari dapur itu.

Geram sungguh Puan Sanisah dengan Hilmi. Masih memikirkan cara agar Hilmi terus melupakan Lara.

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

 

No comments:

Post a Comment