Wednesday, 17 November 2021

CINTA MASAM MANIS - BAB 3


AMAR Bahrin Bin Azman a.k.a. Amar London... ikutkan rasa hati, mahu diganyang lelaki itu secukup-cukupnya. Biar mampus. Dah banyak kali Qisya kata tak nak, masih tak faham bahasa juga. Mahu dia cakap Tamil agaknya. Tak pun cakap Korea. Baru faham anak teruna Mak Cik Atie Kepoh dan Pak Cik Man Kidal itu. Menyampah betul!

Yang Mak Cik Atie kepoh pun satu hal juga. Suka sangat kenenkan anak dia tu dengan Qisya. Apa Mak Cik Atie Kepoh tu ingat, dia hairan sangat ke dengan si Amar yang baru balik dari London tu? Hesy... takdenya dia nak hairan bin ajaib. Balik dari Nigeria sekalipun, ada dia kisah?

Soal hati dan perasaan tak boleh dipaksa. Dah dia tak sukakan si Amar London itu, nak buat macam mana? Kenalah terima kenyataan. Tak payahlah nak sorong-sorong si Amar tu dekat dengan dia. Amar itu memanglah boleh tahan juga handsomenya. Tapi hati Qisya tak berkenan pun. Amar tu kerek sangat. Berlagak seperti mat salih. Mentang-mentang baru pulang dari London. Cakap pun dah serupa orang putih. Berlagak betul! Lelaki macam tu bukan pilihan dia. Awal-awal dia dah reject.

Qisya mendengus. Teringat pertemuannya dengan Amar sewaktu lelaki itu datang memenuhi undangan makan malam keluarganya. Ikutkan hati, mahu saja dia lari malam itu juga. Tapi memandangkan dia perlu menjaga air muka babah dan uminya, terpaksa juga dilayan si Amar London yang kerek itu. Sabar sajalah.

“You dah berubah, Qisya. Dah tak macam dulu. I suka tengok you sekarang. Cantik!”

Memanglah Qisya suka dipuji. Tapi pujian Amar membuatkan tekaknya tiba-tiba terasa loya. Rasa nak muntah hijau. Apatah lagi apabila Amar membahasakan dirinya ‘I’ dan ‘you’ dengannya. Semakin geli dia dengar.

Haji Zahiddin, isteri, bapa dan ibu mentua serta anak-anak semua berada di dalam rumah. Buat pakatan rakyat tengok cerita Pendekar Bujang Lapok kononnya. Macamlah Qisya tak tahu yang mereka awal-awal lagi dah berpakat membawa berkat nak memberi ruang kepada si Amar itu duduk berbual dengannya. Ala... trick lama. Senang-senang saja Qisya boleh baca.

“Habis tu, dulu aku macam mana?” Tak kuasa Qisya nak ber‘I-you’ dengan si Amar London itu. Apa beza dia dulu dengan sekarang? Teringin pula dia nak tahu.

“Dulu you hitam. Tak cantik langsung. But... you look better now. You’re beautiful. I tak sangka you boleh jadi secantik ni. You buat I terpegun. Sampaikan tak berkedip mata I semasa pertama kali melihat you pada majlis pertunangan Pian tempoh hari. I betul-betul dah jatuh cinta.”

Ewu!!! Kali ini Qisya betul-betul nak muntah. Cepatnya Amar meluahkan kata cinta. Sedangkan mereka baru saja berjumpa. Allah... lelaki ini betul-betul menyebalkan. Sudahlah terang-terangan dia menghina Qisya yang dulu. Sekarang ini boleh nak jatuh cinta bagai. Dasar lelaki mata keranjang!

Sejak malam itu, Qisya serik mahu ketemu Amar. Malas mahu melayan ayat super power bank si Amar London itu. Banyak kali juga Amar menghubunginya. Tapi setiap kali si Amar London itu telefon, acap kali itu juga dia membiarkan telefon pintarnya berbunyi tanpa jawapan. Tidak pun, Nisya dan Casabelle menjadi mangsa sebagai operator tanpa gaji.

“Hoi!!!”

Novel yang berada dalam pegangan terlepas jatuh menyembah lantai. Cantik saja novel itu terhampar ke atas permaidani merah putih yang terbentang di ruang tamu. Pantas Qisya mendongak. Rasa nak telan saja manusia yang telah membuatkan jantungnya berdebar-debar. Nasib tak gol.

“Kau ni tak ada kerja lain ke, hah? Asyik kejutkan orang aje. Kalau aku mati tadi, hantu aku datang cekik kau.”

Casabelle mengekek ketawa. Seronok dapat menyakat sahabat baiknya itu. Mereka sudah lama bersahabat. Sejak kecil lagi. Sebelum mummynya kembali ke Sabah, mummynya dengan Haji Zahiddin bekerja dalam satu jabatan, membuatkan hubungan mereka terjalin baik. Dan sebaik sahaja keluarganya pulang ke Sabah, pada keluarga Haji Zahiddinlah tempat dia menumpang teduh. Apatah lagi ketika itu dia masih lagi menuntut di universiti yang sama dengan Qisya.

“Dah kau tu asyik melamun, aku pun lancarlah serang hendap.”

Qisya menjeling. Geram pula dengan jawapan Casabelle itu. Ada juga yang kena luku dengan dia karang.

Beb, cakap nak keluar makan. Yang kau asyik termenung macam orang mati suami tu kenapa?” soal

Casabelle. Dia sudah siap dengan hanya berbaju kemeja biru dan berseluar jean hitam separas lutut. Rambutnya yang pendek mencecah paras bahu itu diikat dua. Comel dan menyerlahkan wajah kacukan anak Cina-Kadazan miliknya.

Mungkin ramai yang menyangka Casabelle beragama Kristian. Sebenarnya sudah setahun Casabelle memeluk agama Islam. Dan nama terbaharunya ialah Nur Aminah Binti Abdullah. Alhamdulillah, keluarga Casabelle tidak menghalang niatnya itu. Malah, mereka menyokong dan masih menerima Casabelle seperti dulu.

Qisya mendecit. “Aku teringatkan si Amar Londonlah.”

Oh my London! Amar London? Kau rindu dia eh?” Sungguh, Casabelle terkejut beruk mendengar

pengakuan itu. Setelah sekian lama, akhirnya malam ini Qisya memberitahu satu berita yang menggemparkan.

Kelekuk!!!

Auch!” Casabelle menggosok-gosok kepalanya yang diketuk Qisya. Suka hati Qisya saja mengetuk

kepalanya. Ingat kepala dia ini tidak bayar zakatkah? Saman karang!

“Mulut tu jangan cabul sangat boleh tak? Simpang malaikat 44! Takde maknanya aku nak rindukan si

Amar London tu. Aku tengah geram ni, tahu tak?” Qisya  menggumam. Masih tak hilang lagi geramnya kepada si Amar itu. Kalaulah Amar berada di depan mata, mahu lunyai lelaki itu dikerjakannya.

“Kenapa?” Casabelle bertanya ingin tahu.

“Aku geram sebab dia tu tak faham-faham bahasa. Boleh pulak dia hantar WhatsApp beritahu nak hantar rombongan meminang. Gila apa? Aku tak terfikir pun nak kahwin dengan dia. Hesy... tak terniat langsung dalam hati sanubari aku ni nak jadi bini dia.”

Tak semena-mena Casabelle ketawa. Geli hati. Namun tawanya itu hanya sebentar. Jelingan maut Qisya membuatkan dia cepat-cepat menekup mulut. Cuba mengawal rasa geli hati yang sedang menggigit-gigit jiwa.

“Ala beb... jangan layan sangatlah si Amar London tu. Dia acah aje kut. Saja nak bergurau manja dengan kau. Kau relaks ajelah, karang tak pasal-pasal... kau kena tekanan darah tinggi pulak. Daripada kau terus layan sakit hati, apa kata kita keluar makan kat Restoran Padang Jawa. Perut aku pun dah bergoyang Inul ni. Jomlah...” Casabelle menepuk-nepuk perutnya yang kempis. Badan kecil tapi kuat makan.

“Yalah... yalah... kau tu kalau bab makan memang nombor satu. Tak padan dengan kurus.” Tudung di atas kepala dikemaskan. Sebelum meninggalkan rumah, pastikan semua berada dalam keadaan selamat. Baru senang hati nak keluar.

Beb, kereta Encik Darish takdelah.” Casabelle mencuit Qisya di sebelahnya. Mereka saling berpandangan. Otak memikirkan perkara yang sama. Lantas senyuman terkoyak lebar. Satu kebetulan atau rancangan? Hanya Nisya dan Encik Darish saja yang tahu.

Jeng! Jeng! Jeng!

Pulang nanti, siaplah Nisya mereka serbu dengan seribu satu soalan yang mula bermain dalam minda.

 

SAMPAI SAHAJA di Restoran Padang Jawa, Qisya memarkirkan keretanya di tempat yang tersedia. Mujur tempat parkir masih banyak yang kosong. Tidak perlulah dia bersusah payah mencari tempat parkir kereta. Perutnya juga sudah berdangdut dari tadi. Kemalasan tahap melampau memaksa dia dan Casabelle mencari makan di luar.

Biasanya Nisya yang rajin memasak untuk mereka bertiga. Tapi malam ini Nisya pulang lambat pula. Ada hal katanya. Terpaksalah dia dan Casabelle makan di luar saja malam ini.

“Laparnya... perut ni dah berkeroncong sejak tadi. Tak sabar nak makan. Kalau hari-hari macam ni, mahu gastrik aku sepanjang tahun,” adu Casabelle sebaik saja keluar dari perut kereta. Nak harapkan sahabat seorang ini masak, jangan harap. Sampai hujung tahun pun Qisya takkan memasak.

“Aku pun. Dah lapar sangat ni. Tulah kau, aku suruh belajar masak tak nak. Kan dah susah kalau mak cik sorang tu keluar dating. Tak pasal-pasal terpaksa buang duit makan kat luar,” leter Qisya pula, meletakkan kesalahan kepada Casabelle seorang. Sedangkan dia pun dua kali lima saja.

“Amboi... mak cik! Ikut sedap kau aje kata aku eh. Yang kau tu pun apa kurangnya. Mak Cik Azyan dah ajar bermacam-macam resipi. Tapi satu haram kau tak reti. Dasar anak dara pemalas!” cemuh Casabelle, memuntahkan rasa tidak puas hati terhadap Qisya. Suka hati saja mengata dia.

Qisya menyengih. Sedar diri memang pemalas. Bertuahlah sang Adam yang menjadi suaminya suatu hari nanti. Hari-hari makan di luar.

Tiba-tiba satu susuk tubuh sasa melanggarnya.

Gedebuk!!!

Tubuh Qisya jatuh ke lantai. Macam nangka busuk dah.

“Opsss... sorry!” Lelaki itu menghulurkan bantuan dengan menghulurkan tangannya.

Qisya mendongak. Wajah lelaki di depannya itu ditenung lama. Dia kenal lelaki itu. Matanya membulat geram. Bukankah itu dia? Bapak jin itu!

“Awak!”

“Kau!”

Si lelaki yang mula sedar menjerit kuat. Jari telunjuk sama naik dengan gadis di hadapannya itu menuding batang hidung masing-masing. Tak sangka mereka bertemu lagi setelah peristiwa kemalangan kecil itu. Betapa kecilnya Kuala Lumpur.

Qisya bangun sambil mengibas-ngibas punggungnya yang terasa sengal. Tak kuasa mahu menerima bantuan lelaki itu. Entahkan berapa persen harga sahamnya jatuh sebentar tadi. Buat malu saja.

Lelaki itu tersenyum sinis. Tangannya dialihkan. Gadis itu tidak sudi, dia seribu kali tak ingin!

“Kalau berjalan tu pandanglah keadaan sekeliling. Jangan main redah aje. Sampaikan orang yang berjalan di depan pun kau tak nampak.”

Ayat sinis itu memaksa Qisya mengecilkan anak matanya. Lelaki itu... kalau bercakap memang menyakitkan hati. Tahu nak salahkan orang saja. Salah dia tak nampak pula.

“Sepatutnya... awak tu yang kena pandang kiri kanan depan belakang. Bukannya saya. Sebab awak tu ada masalah mata. Tak logik betul malam-malam macam ni pakai cermin mata hitam. Lainlah kalau orang tu buta.” Sedas Qisya beri. Bibir pula tersungging senyuman sinis. Sengaja mahu mengenakan lelaki di hadapannya itu.

Serta-merta air muka lelaki itu berubah. Cermin mata hitam ditanggalkan. Percuma saja gadis itu mempersendakannya. Memalukan dia di depan seorang gadis yang sedari tadi menjadi pemerhati bisu pertengkaran mulut antara mereka. Tanpa berlengah, dia meninggalkan gadis gila itu bersama temannya. Tak kuasa dia mahu bertekak dengan orang gila.

“Awak! Hati-hati memandu eh. Hari dah malam ni. Jangan pakai kaca mata hitam. Karang tak pasal-pasal terlanggar lori ayam pulak.” Sempat Qisya menambah bahang amarah lelaki itu. 

Lelaki itu mendengus. Pintu kereta dihempas kuat. Perempuan gila itu benar-benar merosakkan anginnya yang sedia rosak melihat kemesraan Intan Natasha bersama seorang lelaki. Dengan rasa hati yang membara, dia memandu laju meninggalkan kawasan itu.

Qisya ketawa terbahak-bahak. Seronok apabila kemenangan berpihak kepadanya. Puas hatinya. Casabelle di sebelah menyiku. Dia yang bisu sedari tadi mula bertanya ingin tahu. Siapakah gerangan jejaka kacak itu?

Psttt... siapa mamat handsome tu?”

Bulat mata Qisya. Tawanya mati serta-merta. Casabelle ini buta agaknya? Mamat serupa cipan itu

dikatakan handsome?

Handsome ke? Aku tak nampak handsome pun. Handsome lagi apek tua yang jual gula-gula kapas kat Teluk Villa tu. Macam Jet Li.”

Casabelle mencebik. Macam itu punya kacak, boleh pula Qisya menidakkannya. Badan ketul-ketul macam Aaron Aziz. Muka ala mamat Korea, Daniel Henney. Kalau dia di tempat Qisya, boleh histeria dibuatnya.

Senyum Casabelle meleret. Persis sang kucing Parsi yang sedang menggatal.

Laju Qisya menampar lengan Casabelle. Geli-geleman dia melihat sengihan temannya itu yang terlebih hormon. Sebelum selera makannya hilang, lebih baik dia kembalikan Casabelle ke alam nyata.

Auch!” Casabelle menggosok-gosok lengannya.

“Kau ni dah kenapa? Tersengih-sengih macam kucing betina nak mengawan. Geli tau!” gumam Qisya.

Casabelle menyengih.

“Ala... relakslah, beb. Janganlah tension. Aku senyum aje kut. Takde kena-mengena pun dengan mengawan. Kalau ya pun janganlah malukan aku. Daripada buat muka garang macam nenek sihir, apa kata kau senyum. Ceria-ceria selalu. Lupakan hal tadi. Baru cun,” pujuk Casabelle. Bahu Qisya diraih ke dalam pelukan.

Qisya mendengus. Bayangan lelaki tadi datang menerpa. Benci, sebenci-bencinya!

No comments:

Post a Comment