Thursday, 30 December 2021

Bidadari Langit Untuk Si Hitam Manis - Bab 3

 

TERSEMBUR air kopi yang diminum Wak Surijo. Serta-merta matanya memandang ke atas, ke arah bilik cik mudanya. Begitu juga Mak Jenab.

“Waduh, kenapa tu?” tanya Wak Surijo. Mak Jenab hanya menggeleng. Mukanya sudah berubah pucat. Aduh, ini pasti ada yang tidak kena.

“Mak Jenab!!” jerit Sophiea dari biliknya.

Mak Jenab terkejut. Jantungnya sudah berdebar-debar ingin meletup.

“Waduh, kok non panggil nama kamu? Pergi Jenab. Pasti ada sesuatu tak kena. Pergi, cepat-cepat!”

Mak Jenab menelan liur. Dia berkira-kira untuk pergi ke bilik gadis itu. ‘Laa, kenapa dia panggil nama aku? Hesy, lain macam pula rasa ni,’ bisik Mak Jenab seram sejuk.

“Mak Jenabb!!!”

“Hah, ya! Mak Jenab datang ni.” Mak Jenab menjawab sambil terkocoh-kocoh mendaki tangga menuju ke bilik Sophiea.

Muka Sophiea berkerut. Sebelah tangannya menekup hidung. Matanya masih tajam melihat pepejal berwarna keemasan yang terletak elok di atas katilnya itu. Mak Jenab perlahan-lahan muncul di pintu bilik Sophiea. Kepalanya sedikit menunduk. Liurnya sudah beberapa kali ditelan.

Sophiea pantas berpaling melihat Mak Jenab yang baru muncul di pintu biliknya. Kembang kuncup hidungnya menahan marah.

“Mak Jenab, tengok ni! Kan saya cakap jaga Melah tu elok-elok! Kan dia dah membuang najis dekat atas katil saya. Eii... geramnya saya! Mana kucing tu?” Jerit Sophiea seperti orang hilang akal.

Gulp! Mak Jenab meneguk liur. Alamak!

“Mak Jenab, mana kucing tu?” Terjegil mata Sophiea.

Err... err...”

Mata Mak Jenab bergerak ke kiri. “Me... Melah...”

Sejujurnya dia tidak tahu Melah hilang ke mana. Akibat teruja mendengar cerita cik mudanya daripada Wak Surijo, dia sudah terlupa akan kewujudan Melah. Mak Jenab menepuk dahi. Aduh, matilah macam ni!

“Mana Melah, Mak Jenab?” kasar Sophiea bertanya. Kemarahannya tidak bisa dibendung lagi. Jika dia jumpa dengan kucing itu, pasti akan dikerat 18 makhluk comel itu.

“Mak Jenab!”

Meow! Tiba-tiba kelihatan Melah sedang berjalan di hadapan Sophiea dengan selambanya. Sempat lagi dia meregangkan badannya lalu meneruskan semula langkahnya keluar dari bilik Sophiea.

Mata Sophiea membulat memandang makhluk comel itu. Dengan gigi yang diketap rapat, dia segera berlari dan mengangkat Melah dengan kasar.

“Jangan!” Mata Mak Jenab sudah membulat.  Alamak, pasti mati kucing itu dikerjakan oleh cik mudanya nanti!

“Oh, kau dah melepaskan hajat dekat atas katil aku, kau boleh tayang muka selamba kau dekat aku. Siap kau kucing. Terimalah pembalasan kau sekarang!” Ugut Sophiea dengan matanya dijegilkan menatap si comel Melah. Dengan marah, Sophiea mendukung Melah lalu melangkah keluar dari biliknya. Langkahnya laju menuruni anak tangga menuju ke pintu utama. Mak Jenab yang menyaksikan kejadian tersebut lantas berlari mengikuti langkah si gadis.

“Cik muda nak buat apa dengan kucing Encik Ryan ni? Kalau Encik Ryan tahu, mesti dia marah cik muda.”

Sophiea hanya memekakkan telinganya sahaja dari mendengar pujukan wanita itu. Langkahnya semakin laju menuju ke kereta.

“Aduh, cik muda, jangan buat apa-apa dekat kucing Encik Ryan tu. Kasihan dia cik muda.”

Sophiea tidak ambil peduli dengan pujukan wanita itu. Nanar di hatinya tidak dapat ditahan. Dia membuka pintu kereta lalu membolos masuk. Melah dicampak ke tempat penumpang. Pintu keretanya ditutup kuat. Tidak sampai 10 saat, kereta Mercedes Benz meluncur laju keluar dari pekarangan banglonya.

Mak Jenab ternganga. Wak Surijo yang baru muncul di sebelah wanita itu menggaru kepala.“Ngapain tu?”

Mak Jenab sudah mencebik. Hujung apron digigitnya. ‘Aduh, matilah aku!’ detik hatinya.

 

SOPHIEA ADELLINE memandu laju keretanya menuju ke satu kawasan yang sunyi. Dia memandang sekeliling. Bibirnya tersenyum senget. Inilah tempatnya! Sophiea menghentikan keretanya di bahu jalan lalu kucing Parsi di sebelahnya itu dipandang.

“Kita dah sampai!” Sophiea tayang muka garangnya di hadapan kucing tersebut.

Meow!

Dia mendukung Melah lalu keluar dari keretanya itu. Matanya memandang sekeliling. Perfect! Jarang ada orang lalu di kawasan terpencil seperti ini. Ada sungai di bahu jalan tersebut. Bolehlah Melah membasahkan tekaknya apabila haus nanti. Tempat yang sempurna untuk Melah.

Sophiea tersenyum senget. Dia meletakkan Melah di bahu jalan. Dia merendahkan sedikit tubuhnya dan matanya menikam tepat ke arah kucing comel itu.

“Sekarang, nilah rumah baharu kau.” Dia berdiri tegak dan ketawa jahat. Bibirnya tersenyum sinis saat memandang haiwan comel itu. Dia membetulkan sedikit jubah mandinya lalu menjeling Melah dan melangkah masuk ke dalam keretanya.

Sebelum dia meninggalkan Melah, sempat lagi dia menurunkan cermin keretanya. “Hidup baik-baik ya dekat sini. Jangan sampai kena langgar.” Sinis nada Sophiea lalu memandu laju keretanya meninggalkan Melah sendirian.

 

SAIEDON BERSIAP untuk pergi ke kebun. Dia duduk di atas tangga rumah papan milik neneknya. Boot berwarna hitam yang terletak di tepi tangga diambil lalu disarung ke kakinya.

“Idon, kau dah nak pergi kebun ke?” Nek Miah yang baru muncul di muka pintu itu menyoal.

“Haah nek. Idon nak tengok pokok dekat kebun tu. Nak check kalau-kalau baja dah habis ke tak. Nak tengok pokok mana yang berbuah musim ni. Dengan nak check sekali Mail tu hidup ke tak jaga kebun Idon,” seloroh Saiedon.

Pap! Bahu Saiedon ditepuk kuat oleh Nek Miah.

“Adoi! Kenapa nenek pukul Idon? Apa salah Idon?” Bahu yang ditepuk Nek Miah digosok-gosok dengan laju.

“Kau ni, tak baik cakap budak Mail tu macam tu. Mail tu baik budaknya. Cuma lurus sikit je. Kau jangan main-mainkan dia pula. Gaji dia kau bayar. Kasihan budak tu.  Hidup pun dengan Mak Biah berdua je. Ingat pesan nenek ni.”

Saiedon mencebik. Dia membetulkan topi yang tersangkut di bahunya. “Yalah nek. Idon ingat pesan nenek tu. Takkanlah Idon nak aniaya si Mail tu. Idon dah anggap dia macam adik Idon sendiri. Nenek jangan risaulah. Idon akan jaga si Mail tu baik-baik.”

“Hah, baguslah macam tu. Ingat Idon, kalau kita buat baik dekat orang, akan datang rahmat pada kita.  Berbuat baik jangan minta balasan. Tak baik. Ingat pesan nenek tu.”

“Ya nek. Idon ingat semua pesan nenek tu. Dah hari-hari nenek pesan dekat Idon, takkan Idon tak ingat. Nenek, Idon pergi dulu ya. Mail dah lama tunggu Idon tu. Kasihan dia. Nenek pun cakap jangan aniaya dia kan. Idon pergi dulu ya nek.” Tangan Nek Miah diambil lalu diciumnya.

Nek Miah hanya mengangguk. “Yalah. Kau tak nak bawa bekal sekali ke Idon? Banyak nasi tu nenek masak.”

“Tak apalah nek. Idon makan bila dah balik nanti. Nenek jaga diri elok-elok dekat rumah. Kalau ada orang tak kenal masuk, nenek jerit aje kuat-kuat. Insya-Allah Idon dengar nanti,” gurau Saiedon sambil tersengih.

“Yalah. Kau tu hati-hati bawa lori.” Nek Miah sudah malas melayan kerenah cucunya itu. Makin dilayan makin menjadi-jadi perangainya nanti.

“Ya, nek. Assalamualaikum!” Laung Idon seraya masuk ke dalam perut lori berkepala putih itu.

Waalaikumussalam.” Jawab Nek Miah dengan mata berkedutnya memandang cucunya yang kian menjauh.

 

SOPHIEA MELANGKAH masuk ke dalam banglo 3 tingkat itu dengan wajah yang bengis. Kakinya melangkah terus menuju ke biliknya. Dari jauh, kelihatan figura Mak Jenab dan Wak Surijo bersembunyi di sebalik dinding di antara dapur dan ruang tamu rumah tersebut. Jelas kelihatan riak kebingungan terpancar di wajah mereka berdua. Tanpa sedar, perlahan-lahan bahu Mak Jenab ditepuk Wak Surijo.

“Nab...”

“Oi, mak tergolek! Eh, Surijo! Kau buat apa ni? Buat terkejut orang je. Hesy,” marah Mak Jenab.

Wak Surijo segera menutup mulutnya. Tidak sangka tindakannya itu telah membuatkan Mak Jenab terkejut sebegitu rupa.

“Ma... maaf Jenab. Aku nggak tahu boleh bikin kamu terkejut sampe gitu sekali. Maaf ya,” mohon Wak Surijo.

Mak Jenab hanya menjeling. Dia mengeluh. Wajah bersalah Wak Surijo dipandangnya.

“Kenapa kau ada dekat sini? Buatlah kerja sana,” arah Mak Jenab.

Err... yalah. Aku pun bingung ngapain aku bisa sampe di sini. Tadi di luar, tiba-tiba saja sudah ada di sini. Mungkin lihatin non muda kayak gitu bikin aku nggak sedar yang aku sudah sampe di sini. Aku pergi buat kerja dulu. Takut dimarahi non muda lagi.” Wak Surijo lantas berlalu dari situ.

Mak Jenab hanya mencebik. “Dah nyanyuk agaknya orang tua ni,” omel Mak Jenab. Dia mahu beredar untuk meneruskan kerja-kerjanya yang tertangguh.

“Mak Jenab!!” panggil Sophiea dari biliknya.

Langkah Mak Jenab langsung termati. “Ya Allah! Apa lagi aku dah buat?”

“Mak Jenab!”

“Ya cik muda! Saya datang ni!” Terkocoh-kocoh dia mendaki anak tangga menuju ke bilik gadis itu.

Kelihatan Sophiea sedang membetulkan kolar bajunya di cermin. Kemudian, dia mengelus rambutnya yang ikal mayang lalu diikat tocang. Dia membelek mukanya di cermin. Perfect! Hanya secalit gincu dan eye-liner, sudah mampu menyerlahkan kecantikannya. ‘Dah memang aku cantik, nak buat macam mana?’ bisiknya angkuh.

“Ya, cik muda.” Termengah-mengah Mak Jenab di muka pintu.

Sophiea memandang sekilas wanita itu. “Saya nak Mak Jenab tukar katil ni. Saya tak nak Mak Jenab tukar cadar katil ni je. Bekas najis kucing tu masih lagi melekat dekat katil ni. Saya tak selesa. Saya tahu, lepas saya balik nanti, saya nak katil ni dah tukar. Kalau tak tukar lagi...”

Dengan perlahan langkahnya diatur mendekati Mak Jenab. Mata bundarnya merenung wajah takut-takut wanita itu. Bibirnya langsung mengukir senyuman sinis saat melihat wajah yang tertunduk itu. Dengan perlahan, Sophiea merapatkan wajahnya di telinga Mak Jenab.

“Saya pecat Mak Jenab!” bisik Sophiea tegas.“Ingat tu,” pesannya lagi dengan wajah yang angkuh.

Mak Jenab menelan liur. Dia hanya mengangguk kepalanya tanda faham. Sophiea memandang Mak Jenab dengan pandangan yang sinis. Lalu, dia mengambil beg sukannya dan keluar dari bilik tersebut.

Mak Jenab menelan liur buat kali kedua. Kelat! Peluh dingin yang keluar di dahinya dikesat perlahan dengan hujung lengan bajunya. Matanya langsung melihat katil Sophiea yang bersaiz queen itu.

“Ya Allah, berilah aku kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi dugaan-Mu,” bisik Mak Jenab dalam hati.

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

 

 

No comments:

Post a Comment