Tuesday, 14 December 2021

Darlingku Miss Youtuber - Bab 3

 

SURAYA segera menyarung tudungnya.  Lalu, pintu utama rumahnya dibuka. Kelihatan seorang lelaki tua sedang memegang bakul berisi buah rambutan. Segera dia membuka pintu besi rumahnya. Lelaki tua itu ialah Pak Cik Ghani, iaitu pemilik rumah sewa yang didudukinya sekarang. Sudah 4 tahun dia menyewa rumah ini bersama Amanda.

“Oh, pak cik. Saya ingat siapa tadi,” ujar Suraya mesra.

Pak Cik Ghani hanya tersenyum sahaja lalu bakul tersebut disuakan kepada Suraya.

Suraya tersenyum senang. Pak Cik Ghani dan isterinya, Mak Cik Gayah memang seorang yang pemurah. Kadang-kadang, mereka akan memberi buah tangan, kuih-kuih ataupun makanan kepada mereka.

“Ni ada rambutan sikit. Kawan pak cik bagi tadi. Tapi pak cik dengan mak cik memang tak laratlah nak habiskan. Mak cik kamu tu ha... dah angin satu badan sebab makan rambutan tak

ingat dunia,” seloroh Pak Cik Ghani.

Suraya hanya ketawa. Macam-macam Pak Cik Ghani ini. Ada sahaja lawaknya yang membuatkan dia begitu terhibur. Suraya mengerling sekilas buah rambutan yang berada di dalam bakul. Besar-besar saiznya. Memang kenyanglah dia dan Amanda malam ini menjamu rambutan sahaja.

“Pak cik... buat susah aje hantar sini. Pak cik boleh call saya. Saya boleh datang sendiri kat rumah pak cik ambil buah ni.” Suraya rasa serba salah pula. Sudahlah bakul buah ini agak berat. Kuat juga kudrat tua Pak Cik Ghani ini.

“Bukan susah mana pun, Yaya. Bukan berat pun buah rambutan tu. Itu pun mak cik kamu tulah. Beria-ria suruh pak cik bagi kat kamu buah ni,” ujar Pak Cik Ghani lagi.

Suraya hanya mengangguk dan tersenyum sahaja.

“Sebelum pak cik terlupa, kawan kamu si Amanda tu... dah bayar sewa untuk bulan ni. Semalam, dia pergi ke rumah pak cik. Cepat betul korang bayar sewa bulan ni. Baru tengah bulan. Bagus!” puji Pak Cik Ghani.

Suraya hanya tersenyum sahaja. Semalam ada juga Amanda meminta duit sewa. Tetapi dia tidak menyangka pula bahawa Amanda akan membayar sewa rumah secepat ini. Memang bagus betul kawannya itu. Apa-apa pun sewa memang patut dibayar.

“Ada lagi satu. Tadi pak cik ada terserempak dengan seorang lelaki. Dia cari rumah kamu. Tapi tak jumpa. Lepas tu, pak cik cakap kat dia pak cik boleh tunjukkan. Dia tak nak pulak. Dia bagi satu kotak ni kat pak cik. Lelaki tu cakap, ini untuk kamu,” cerita Pak Cik Ghani panjang lebar lalu kotak tersebut disuakan kepada Suraya.

Suraya memandang pelik kotak tersebut. Nama pengirim pun tidak pula ditulis. Musykil juga. Dia cuba menggoncangkan kotak itu. Ternyata ada bunyi kaca berlaga. Suraya tidak dapat meneka apakah isi di dalamnya.

“Pak cik  ada tanya ke dia siapa?” tanya Suraya lagi. Melihat gelengan Pak Cik Ghani, Suraya mengeluh perlahan. Sudahlah nama pengirim tidak ditulis. Kotaknya pun agak kotor sedikit. Mungkin hadiah daripada peminat-peminatnya.

Selama dia menjadi penggiat YouTube, Suraya mendapat banyak hadiah-hadiah daripada peminatnya. Bukan satu, kadang-kadang lebih daripada 10 bungkusan sampai di hadapan pintu rumah. Dia cuba bersangka baik dan amat menghargai pemberian peminat-peminatnya itu.

 

 

KOTAK HADIAH yang terletak di atas meja kopi dibelek-belek. Suraya cuba menghidu bau kotak

itu. Baunya sedikit wangi. Dia mengerutkan dahinya. Sangat misteri hadiah ini. Dia mahu sahaja membuka kotak itu. Gunting sudah tersedia di atas meja. Tetapi dia tidak mempunyai keberanian.

“Su!” panggil seseorang.

Suraya berpaling. Kelihatan Amanda sedang menyuap rambutan ke dalam mulut sambil membawa mangkuk.

Suraya menggeleng perlahan. Laju sahaja kawannya itu menikmati buah rambutan pemberian Pak Cik Ghani.

“Aku dah siap edit video kau. Subtitle semua aku dah setting. Malam ni kau boleh upload video baharu,” ujar Amanda sambil melabuhkan duduk di sebelah Suraya. Alat kawalan jauh televisyen

diambil lalu butang on ditekan.

“Okey.”

“Tu kotak apa?” tanya Amanda sambil menunjukkan kotak yang berada di atas meja kopi.

“Entahlah. Aku pun tak tahu. Pak Cik Ghani yang bagi tadi. Katanya, ada orang lelaki yang bagi kotak ni. Aku takutlah nak buka,” adu  Suraya.

Amanda terus sahaja meletakkan mangkuk ke atas meja. Fokusnya pada televisyen sudah beralih ke arah Suraya.

“Kalau kau takut, sampai bila-bila pun kau tak tahu apa isi dalam kotak tu. Cepat buka. Aku pun nak tahu jugak isinya apa. Tapi kau tak tahu ke siapa lelaki tu?”

Suraya menggeleng sahaja. Gunting yang berada di atas meja diambil. Perlahan-lahan, pembalut kotak tersebut dikoyakkan. Suraya semakin berdebar-debar. Kemudian, penutup kotak tersebut dibuka.

What the fish! Apa benda ni? Pelik betul barang-barang ni!” Itulah ayat pertama Amanda apabila dia melihat isi kotak tersebut.

Suraya mengeluarkan satu per satu barang-barang itu. Ada serpihan kaca, kelopak bunga, gincu yang sudah rosak, tompokan-tompokan berwarna merah dan segulung kertas kecil berwarna putih.

Sementara Amanda membelek-belek gincu yang telah rosak, Suraya segera mengambil gulungan kertas itu. Lalu ikatan reben dilepaskan. Ada tulisan yang tercatat di situ. Dibacanya tulisan tersebut sehingga noktah yang terakhir.

 

I can see you, but you can’t see me.

– AS

 

Tulisan tersebut diamati satu per satu. Suraya mengerutkan dahinya. Dia benar-benar tidak faham. Sudahlah tulisan ini berwarna  merah seakan-akan darah manusia. Tapi tidak pula terhidu bau hanyir.

Something not right. Aku tak pernah dapat hadiah macam ni. Siapa pulak yang nak main-main dengan aku ni?” keluh Suraya sambil memicit kepalanya. Harap ini cuma satu prank sahaja.

Pelbagai andaian buruk muncul dalam benak Suraya. Mungkinkah ada haters yang sanggup mengenakan dia? Ataupun mungkinkah dia punya peminat fanatik yang sanggup beri hadiah seperti ini?

“Aku rasa haters kau hantar hadiah macam ni. Dia saja nak takut-takutkan kau. Aku ada tengok komen video YouTube kau yang lepas-lepas. Ada aje komen-komen yang macam psiko. Seram pula aku.”

Suraya mengangguk setuju. Dia pun berfikiran sama. Kadang-kadang, bukan boleh percaya sangat haters ini. Ada juga akal mereka mahu menjatuhkan. Suraya hanya pasrah. Dia sudah bersedia dari segi mental; menjadi penggiat YouTube yang terkenal memang akan berhadapan dengan haters.

“Dahlah. Aku buang ajelah benda ni.” Seusai berkata begitu, Suraya terus sahaja meletakkan barang tersebut ke dalam kotak. Lalu, dia terus menuju ke dapur. Kotak tersebut dicampakkan ke dalam tong sampah.

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

 

No comments:

Post a Comment