Wednesday, 1 December 2021

Tinta Cinta - Prolog

 

BUNYI siren ambulans yang memasuki kawasan kecemasan hospital yang bersilih ganti, boleh mengecutkan hati sesiapa sahaja yang mendengarnya. Bunyi seperti memberi perkhabaran pesakit di dalamnya dalam keadaan parah. Bunyi yang sering kali membuatkan hati berdebar kuat. Ada ketika mendengar siren ambulans lebih menakutkan dari siren polis. Dalam hati pasti tertanya. Siapa gerangan yang dibawa? Sakit apa?

Gempar!

Seluruh bilik kecemasan kalut menerima pesakit yang cedera parah bukan hanya pada wajah malah seluruh tubuh. Para doktor pelatih kaku melihat darah yang memenuhi wajah pesakit hingga tidak terlihat langsung wajah sebenar si pesakit. Mata kiri yang luka di hujung mata. Malah bibir si pesakit juga bengkak dan pecah. Darah merah keluar dari bibir halus itu. Belum lagi pipi yang membiru, malah hidung mancung pesakit itu juga luka mungkin juga patah. Hanya rambut yang mengurai menentukan jantina si pesakit.

“Apa yang jadi ni?” tegur Addin.

“Tak tahu doktor. Datang tanpa waris,” jawab Doktor Syakir. Dia merupakan doktor pelatih. Melihat keadaan pesakit di depannya ini, hampir longlai kakinya.

What?” jerit Addin. “Dah ambil tekanan darah?”

Doktor Syakir geleng kepala.

Come on doctors, let’s get going! Buat kerja. Pesakit perlukan kalian!” jerit Addin. Beginilah jika berdepan dengan doktor pelatih. Kena banyak sabar. Tak salahkan mereka, dia dulu juga begini. Lagi teruk sampai muntah-muntah.

“Nurse Riffa boleh tanyakan pemandu ambulans yang hantar pesakit ni maklumat diri dia?”

“Ambulans tu dah pergi doktor,” ujar Nurse Riffa.

Hampir saja Addin tepuk dahi sendiri. Kenapa sambil lewa saja buat kerja? Nak saja dia bebel tapi pesakit di atas katil ini perlukan perhatiannya. Dia arahkan Nurse Riffa mencuci darah pada wajah pesakit ini. Dia melihat pada badan, lalu dibuka separuh baju yang terkoyak. Ada kesan lebam pada rusuk yang dia yakin pasti ada berlaku kecederaan di bahagian itu. Paling tidak patah atau retak.

Dia mencapai tangan pesakit, buku lima yang hampir hancur. Allah... apa yang sudah menimpa gadis ini? Muncul dengan keadaan yang seteruk ini, kehidupan yang bagaimana agaknya dilalui oleh susuk ini? Walau dia sudah lama menjadi doktor, melihat luka yang sebegini tetap ada rasa nyeri di dada. Tetap juga rasa gerun, hanya dia berusaha untuk mengatasinya sahaja. Baru dia mahu melihat luka pada kaki, suara Nurse Riffa menarik dia memandang gadis itu.

“Doktor.”

“Ya.”

“Dia... Sakura.”

“Hah??” Terus Addin mencari raut wajah itu. Dia mencapai kapas lalu mengelap darah yang masih melekat pada wajah itu. Kaku tangannya saat mata mula mengecam. Memang benar Sakura. Apa yang sudah jadi? Hilang berbulan dan muncul di hospital dalam keadaan begini parah. Mata Addin meneliti sekujur tubuh Sakura.

Sumpah, dia tak boleh hadam apa yang terjadi pada Sakura? Kecederaan yang sebegini

kebiasaannya kerana bergaduh tetapi dengan siapa Sakura bergaduh?

“Doktor, tekanan darah pesakit turun. Denyut nadi dia lemah,” ujar Nurse Riffa.

Addin menarik nafas panjang. Dia perlu kekal tenang. Lupakan siapa Sakura. Addin, kau kena selamatkan dia dulu. Jika tidak, apa kau nak jawab pada Rauf?

Sakura...

No comments:

Post a Comment