Thursday, 13 January 2022

Intrigue Cinta Zarif - Bab 1

 

SEISI ruang bilik mesyuarat mula senyap setelah beberapa orang atasan Apex Corporation melangkah masuk. Serentak itu juga kesemua mata mula memusatkan pandangan ke hadapan. Kerusi ditarik dan duduk dilabuhkan. Mesyuarat yang dihadiri oleh orang atasan syarikat serta ketua-ketua jabatan akan bermula beberapa minit sahaja lagi.

Saat mesyuarat dimulakan, keadaan bilik yang besar dan luas itu menjadi semakin dingin. Sementelah yang sedang berbicara di hadapan sekarang adalah CEO syarikat yang baru dilantik seminggu yang lalu. Seorang yang kelihatan mesra tetapi serius bila melibatkan soal kerja.

“Sebelum kita ke agenda yang seterusnya, saya ingin memperkenalkan COO baru syarikat kita.” Kamal berpaling ke arah kiri dengan senyuman.

“Zarif.”

Serentak itu kesemua mata memandang ke arah lelaki yang memakai kemeja putih dengan tali leher hitam yang disimpul kemas. Wajah yang langsung tidak beriak waima segaris senyuman.

“Mulai hari ini, Zarif akan mengambil alih tempat saya sebagai COO. Saya harap kamu semua dapat memberi kerjasama yang baik buat beliau sepertimana yang pernah kamu lakukan bersama saya dahulu.”

Perlahan-lahan bunyi tepukan mula kedengaran sehingga akhirnya bunyi tepukan gemuruh berserta ucapan tahniah mula memenuhi bilik mesyuarat tersebut. Zarif menundukkan kepala buat beberapa ketika sebagai tanda terima kasih. Dan saat wajahnya diangkat, terpamer senyuman bangga di hujung bibir.

 

SELESAI BERMESYUARAT, Zarif menuju ke arah lif untuk ke tingkat atas. Tangan dimasukkan ke dalam poket seluar sambil memandang nombor lif yang bergerak.

“Dekat sini rupanya.”

Zarif berpaling ke belakang dan senyum sesaat sebelum kembali memandang ke arah lif semula.

“Tahniah Zarif,” ucap Hannah yang tegak di sisinya. Manis dengan pakaian pejabat berserta tudung di kepala.

Or should I call you Tuan Zarif?”

Zarif senyum lagi tapi kali ini tanpa memandang Hannah di sisi. “Zarif je Hannah. Anyway, thank you.

Hannah ikut senyum. “Nak ke mana ni?”

“Bilik Tuan Kamal. Awak?”

“Nak jumpa PA Tuan Kamal.”

“Nak bergosip ke?” usik Zarif dengan nada sinis. Hanya dengan Hannah dia banyak bicara begini. Hanya dengan Hannah senyumannya mudah terukir di wajah. Kerana Hannah, tidak seperti wanita lain. Kerana Hannah adalah ibarat perempuan Melayu terakhir. Itu yang sentiasa terdetik di hati setiap kali dia memandang gadis itu.

“Zarif!”

Terlepas tawa halus di bibir dan bila pintu lif terbuka, serentak dia dan Hannah melangkah masuk ke dalam perut lif.

“Zarif.”

Hurm?”

“Awak free tak lepas kerja nanti?”

Perlahan-lahan ketawanya mula surut. Riak pada wajah juga berubah dingin. “You already know the answer.”

Hannah senyum. “Yeah, just trying my luck.”

Walaupun hatinya kecewa, tetap bibirnya mengukirkan senyuman agar Zarif tidak merasa kekok

setelah menolak ajakannya itu tadi.

Zarif ikut senyum sesaat sebelum kembali memandang ke hadapan. Bila pintu lif terbuka, dia terus melangkah menuju ke bilik Kamal tanpa berpaling lagi.

Hannah diam memandang dari belakang. Sejak dia menjejakkan kaki ke bangunan ini, hatinya sudah mula terpaut bila melihat Zarif. Lelaki yang dingin pada awalnya tetapi perlahan-lahan berubah menjadi sedikit mesra. Malah Zarif hanya begitu bila dengan dia sahaja. Masih dingin bila bersama rakan-rakan sepejabat yang lain.

Mungkin kerana itu dia tersalah anggap bahawa Zarif juga turut menyukai dirinya. Tetapi bila lelaki itu sering menolak ajakan dia malah langsung tidak memberi peluang untuk mereka meluangkan masa bersama, dia mula faham.

Kemesraan Zarif itu masih ada hadnya dan ternyata lelaki itu tidak mempunyai rasa yang sama dengan dia. Nafas dihela perlahan.

Chin up Hannah.” Bibir kembali mengukir senyuman dan dengan badan yang tegak dia kembali mengatur langkah.

“Hai Kak Sarah.”

 

TERIMA KASIH Tuan Kamal.” Tidak menunggu lama, dia terus melabuhkan duduk berhadapan dengan lelaki itu di dalam bilik pejabat CEO.

You deserve it Zarif.”

Zarif senyum segaris.

“Sejak pertama kali saya melihat awak, saya sudah nampak potensi di dalam diri awak untuk terus maju ke hadapan and I was totally right.” Kamal senyum di hujung kata. Ternyata anggapan dia terhadap anak muda ini tidak salah sama sekali.

It’s such an honour for me, Tuan Kamal.” Tangan diletakkan ke dada dengan kepala yang sedikit menunduk. Gaya seorang gentleman.

Sejak masuk ke dalam dunia korporat, banyak perkara yang dia belajar melalui pelbagai perspektif dan perlahan-lahan dia menyesuaikan diri dalam dunia barunya.

Semakin melebar senyuman pada wajah Kamal bila melihat reaksi Zarif itu.

I’m so proud of you Zarif.”

“Tapi semua kejayaan ini adalah atas jasa tuan juga.

Terima kasih kerana mempercayai kebolehan saya dan terima kasih kerana sudi menjadi mentor saya.”

“Mentor...”

Ruang bilik itu mula dipenuhi dengan gelak ketawa mereka berdua.

“Ya, Tuan Kamal adalah mentor saya. Banyak yang saya belajar daripada tuan.”

Kamal merapatkan badan ke meja dengan kedua belah tangan yang bersilang. “Because I can see the potential in you. Sebab itulah saya jadikan awak sebagai protege saya.”

“Dan sebagai seorang protege, saya harus banggakan mentor saya.”

“Correct!

Sekali lagi ruang bilik itu bergema dengan gelak ketawa mereka berdua yang meraikan kejayaan dalam mendapatkan kedudukan yang selesa di Apex Corporation.

Hampir 30 minit dia berada di dalam bilik Kamal, berbicara mengenai pelbagai perkara selain daripada jawatan yang baru disandang olehnya. Keluar sahaja dari bilik Kamal, hanya Sarah yang berada di meja. Hannah yang ikut naik bersama dengannya sudah tidak kelihatan.

Jam tangan dijeling sekilas. Telah memasuki waktu tengah hari dan langkah kakinya terus diatur ke pintu kecemasan. Dengan langkah yang teratur dan tidak terburu-buru dia meniti anak tangga untuk ke tempat kegemarannya.

Tiba di bahagian bumbung bangunan, angin yang bertiup sederhana mula menampar wajah. Zarif terus menapak sehingga ke bahagian tepi yang berdinding konkrit separas pinggang. Pandangan dilemparkan lurus ke hadapan dengan tangan yang mula menggagau poket seluar. Tidak perlu menunggu lama, sebatang rokok ditarik keluar dari kotak dan hujung puntung rokok mula dihidupkan. Tidak perlu menunggu sesaat, asap beracun terus dihisap. Separuh masuk ke dalam dada, separuh terbang bebas ke udara. Buat seketika dia diam menikmati keenakan puntung rokok yang dihisap sambil mengimbas kembali apa yang terjadi hari ini.

Setelah bertahun bertungkus lumus mengukuhkan kerjayanya di salah sebuah syarikat yang tersohor di ibu kota, akhirnya kejayaan menjadi milik dia juga. Zarif yang dahulunya bukan siapa-siapa telah menjadi salah seorang orang yang terpenting di dalam syarikat. Segala usaha yang dilakukan demi meraih perhatian dan kepercayaan orang atasan akhirnya membuahkan hasil. Jawatan COO yang diidamkan akhirnya menjadi miliknya jua.

Tangan kiri dimasukkan ke dalam poket manakala tangan kanan yang memegang puntung rokok naik menggaru dahi yang tidak gatal.

Takdir hidup dia tidak indah seperti orang lain. Ada luka yang dia simpan, ada kesedihan yang cuba dia singkirkan. Kerana kelukaan dan kesedihan itu dia berusaha keras untuk membina kehidupan yang baharu. Kehidupan yang meletakkan darjatnya tinggi di mata masyarakat kerana masyarakat pada hari ini hanya memandang tinggi mereka yang berduit dan mempunyai kuasa. Darjat sebegitu yang dia mahukan. Dan kini, dia semakin menghampiri puncak. Apa saja yang menghalang akan dia pastikan musnah tanpa sempat langkahnya dihalang.

Puntung rokok yang semakin pendek dihisap lagi buat sekian kalinya sebelum dicampak ke lantai dan kaki yang bersarung kasut kulit itu terus memijak lumat. Tangan kanan yang bebas turut dimasukkan ke dalam poket sebelum dia berpaling dan meninggalkan ruang sepi yang sentiasa menjadi peneman hatinya yang sunyi.


No comments:

Post a Comment