SABOTAJ... Tangan naik mengusap bawah bibir. Benar tekaannya. Semua telah dirancang untuk merosakkan reputasi serta nama projek dan syarikat mereka. Atas arahan siapa lagi kalau bukan seteru terbaharunya, Zulkarnain. Pantas betul Fendi buat kerja, baru beberapa jam segala maklumat yang dia perlukan terbentang di depan mata.
Sebatang rokok dikeluarkan dari kotak. Baru saja diletakkan ke bibir, matanya tertangkap pergerakan di atas katil. Dibatalkan niat lalu batang rokok itu disumbatkan ke dalam kotak sebelum dia perlahan-lahan mendekati katil.
“Dah okey?” soalnya dengan wajah tanpa riak.
Iffat yang baru membuka mata terus bangun dengan keadaan yang mengejut membuatkan sakit di kepalanya semakin mencucuk.
“Awak buat apa dekat sini?” soalnya dengan suara yang serak. Matanya turut meliar memandang sekeliling.
“Awak pengsan dan saya bawa awak ke sini.”
“Ini bukan bilik saya.”
“Ya, ini bilik saya. It’s a presidential suite with 2 bedrooms, so don’t worry. You can use mine, saya tidur bilik sebelah. Boleh kunci bilik ni nanti kalau awak tak yakin dengan saya.” Terus penjelasan diberikan supaya Iffat tidak salah faham.
“Untuk apa? Saya boleh duduk bilik sendirilah.” Selimut tebal ditolak dan kaki dijatuhkan ke bawah. Baru sahaja Iffat cuba untuk bangun, sekali lagi dia terduduk akibat sakit kepala yang tidak surut.
“This is why I want you to stay here. Esok saya balik KL jadi awak boleh guna bilik ni selama mana yang awak nak.”
Bilik ini memang ditempah khas untuk Zarif oleh syarikatnya setiap kali dia datang melawat tapak projek di sini. Iffat pula ditempatkan di executive suite di tingkat bawah sehingga projek syarikat mereka di Nusajaya selesai.
Iffat tunduk dengan mata yang terpejam. Cuba mengusir rasa sakit kepalanya itu.
“Nak pergi klinik tak?” soal Zarif dengan kedua-dua belah tangan dimasukkan ke dalam poket.
Iffat hanya menggeleng. “Saya nak Paracetamol 2 biji. Sakit kepala biasa saja ni.”
“Okey. Lagi?”
Sekali lagi Iffat menggeleng.
“Alright then.” Zarif mengatur langkah keluar dari bilik membiarkan gadis itu perlahan-lahan merebahkan badan ke katil. Namun belum sempat kepalanya mencecah bantal, telefon di atas meja sisi katil berdering. Jelas tertera nama Afiq di situ.
“Akhirnya, Iffat.” Jelas kedengaran suara Afiq yang seperti kelelahan di sebelah sana. “Let me hear your voice sayang. Tolong jangan diam macam ni,” sambung Afiq apabila kekasihnya diam tanpa suara.
“You nak apa, Afiq?”
“I nak minta maaf dengan you untuk apa yang terjadi hari ini dan semalam. I betul-betul minta maaf.”
“You dah hampakan I, Afiq. Apa yang terjadi semalam kesannya sehingga ke hari ini. You tahu tak Tuan Zarif cari you dan I tak tahu nak jawab apa. Kalau ikutkan hati I nak jawab yang you mabuk dan tak sedarkan diri sampai hari ni.” Iffat mendengus geram serentak dengan itu badannya ditolak bangun bersandar pada kepala katil.
Lama panggilan dibiarkan sepi sebelum Afiq kembali bersuara. “Macam mana dengan keadaan dekat sana?”
“Tuan Zarif dah selesaikan semuanya.”
“You cakap apa dekat dia tentang I?”
“Tak cakap apa-apa. You nak ke I cakap you mabuk?” sinis Iffat menyoal. Masih terasa sebal dengan apa yang terjadi.
“Come on sayang, tak perlulah marah macam ni. I tahu salah I paksa you minum tapi I tahu you pun seronok kan dapat rasa minuman tu semalam.”
Mata dipejamkan rapat dengan tangan kiri naik menekan dahi. Kejadian semalam kembali bermain di kotak fikiran. Parti di rumah Tengku Ilman mula menjadi liar apabila semua tetamu yang hadir mula menyentuh minuman keras yang dibawa keluar oleh Tengku Ilman sendiri.
Lebih menghangatkan keadaan satu permainan telah diadakan dan mereka yang kalah didenda untuk menghabiskan bir di dalam gelas kaca tinggi yang disediakan. Tanpa mengendahkan teguran daripadanya, Afiq terus meneguk minuman keras yang dituang ke dalam gelas.
Tidak cukup dengan itu, dia turut dipaksa oleh Afiq yang sudah mula mabuk. Malah tetamu yang lain juga turut berkerumun memerangkap dia supaya tidak dapat lari daripada kelompok manusia yang telah mabuk itu. Dia yang pada mulanya berkeras menolak akhirnya turut tersungkur. Diperangkap dan terus terperangkap. Meneguk minuman haram itu buat kali pertama dalam hidupnya. Sempat dia menangkap pandangan sinis Tengku Ilman setelah dia ikut mabuk bersama Afiq.
Kesal. Itu yang dia rasakan. Sepatutnya dari awal dia tak jejakkan kakinya ke sana kerana akhirnya sudah pasti mereka akan terjebak juga.
“Mungkin salah I sebab percayakan you, Afiq.”
“Sayang, janganlah cakap macam tu. I betul-betul minta maaf.”
“Mungkin kita...”
“Hey, hey... don’t say a word. Tak apa kalau you masih marahkan I, tapi jangan kata apa-apa tentang hubungan kita. Jangan buat keputusan terburu-buru. Please sayang.”
Nafas dihela perlahan. “I penat Afiq, I nak berehat.”
“Okey sayang, you berehatlah. Bila ada masa nanti I ke sana, jumpa you.”
Tanpa membalas kata-kata Afiq talian terus dimatikan dan telefonnya dicampak ke tepi. Badan direbahkan semula apabila kepala semakin memberat. Kerana tidak mengendahkan keadaan sekeliling, langsung dia tidak sedar ada yang sedang mencuri dengar perbualannya dengan Afiq di sebalik pintu yang tidak ditutup rapat.
ZARIF MEMANDANG lampu neon yang menerangi malam di sebalik dinding kaca presidential suite yang dihuni olehnya sambil tangan memeluk badan. Hampir 2 jam dia duduk di situ, berbicara dengan Fendi tentang rancangan mereka yang seterusnya melalui panggilan telefon dan membiarkan Iffat berehat di bilik setelah menelan 2 biji Paracetamol yang diminta dari pihak hotel. Nampaknya Zulkarnain bukanlah seteru yang boleh dipandang enteng. Lawannya kali ini nampaknya begitu berani mencuit dia semula.
Sedang dia ralit memikirkan tentang lawannya itu, Iffat keluar dari biliknya. Pantas Zarif berpaling.
“Feeling better now?”
“Yeah.” Kerusi di meja makan yang besar dan panjang itu ditarik oleh Iffat sebelum dia melabuhkan duduknya di situ. Kedua-dua belah kaki turut diangkat naik ke atas kerusi dan tangan mula memeluk lutut sendiri. Iffat kelihatan sangat santai dengan kedudukan yang begitu berserta pakaian yang dipakainya. Sehelai sweatshirt bersaiz sederhana besar yang dipadankan dengan seluar pijama. Rambut yang masih basah turut disikat kemas dan diselitkan di belakang telinga.
“Ada makanan tak?”
“Lapar?”
Tanpa segan silu Iffat angguk. Rasanya dari siang dia tidak menjamah apa-apa makanan berat. Hanya sempat makan sebuku roti ketika Zarif singgah di stesen minyak sewaktu mereka dalam perjalanan ke Johor Bahru.
“Sekejap lagi makanan sampai.” Kerusi turut ditarik dan Zarif ikut melabuhkan duduk di situ. Dia di hujung kiri meja manakala Iffat pula di hujung kanan meja. Kedua-duanya memilih untuk duduk dengan jarak yang jauh begitu.
“Tak nak jelaskan apa yang terjadi pagi tadi?” Zarif mula menyoal bila gadis itu diam menekur permukaan meja.
“Kenapa tak masuk ofis?” Sengaja diutarakan soalan itu sedangkan dia sudah ada jawapannya.
Lama Iffat membalas pandangan mata Zarif. Selama mereka kenal, belum pernah dia berbicara soal peribadi dengan Zarif. Jadi, agak kekok untuk dia berkongsi tentang aktiviti sosialnya dengan lelaki di hadapannya ini.
“Saya minta maaf Tuan Zarif, itu sahaja yang saya boleh cakap.”
“Saya tak selesa awak panggil saya tuan.” Jika Iffat tidak selesa untuk bercerita, dia juga tidak selesa bila gadis itu berterusan memanggilnya dengan panggilan tuan sedangkan sebelum ini mereka berdua sudah cukup selesa dengan panggilan nama masing-masing.
“Maaf.”
“Kerap betul awak ucapkan kata maaf hari ini.”
Serentak mereka berdua tersenyum sinis. Seketika kemudian makanan yang dipesan oleh Zarif tiba. Terkebil-kebil mata Iffat memandang hidangan yang dihidangkan oleh pekerja hotel di hadapannya.
“Kenapa sup cendawan?” soal Iffat setelah mereka kembali ditinggalkan berdua.
“Satu hari awak tak makan, jadi awak perlu makan soft food macam sup supaya mudah dihadam. I’m sorry for neglecting you. Terlalu sibuk dengan masalah dekat site, saya lupa bawa awak makan.”
Iffat tenggelam dalam pandangan mata lelaki itu. Tiba-tiba hatinya berdebar bila Zarif berkata begitu. Seperti tidak kena pula bila Zarif lebih mengambil berat tentang dia berbanding kekasih sendiri. Kemudian dia tunduk dan mula bermain dengan sudu di dalam mangkuk supnya itu.
Zarif yang sudah beralih tempat, duduk berhadapan dengan Iffat juga turut fokus pada hidangannya. Sesekali matanya bergerak memandang Iffat yang asyik mencuri pandang hidangannya.
“Nak rasa?”
Iffat menggeleng dan meneruskan suapan.
Bibir Zarif tercuit dengan senyuman tetapi tidak sinis seperti selalu. Udang di dalam nasi gorengnya diasingkan ke dalam pinggan kosong setelah dibuang kulit. Kemudian ditolak ke hadapan Iffat. Terjongket kening gadis itu melihat pinggan berisi udang besar yang ditolak ke hadapannya.
“Your favourite.”
“Not really.” Dalam dia menidakkan, udang dicucuk dengan garpu dan terus masuk ke dalam mulut.
Zarif tersenyum sebelum meneruskan suapan.
“Siapa nama teman wanita awak hari tu?”
Kunyahan Zarif terhenti.
“Yang makan dengan awak dekat kafe.” Sambung Iffat setelah meneguk air kosong di dalam gelas. Kelihatan santai sahaja dia duduk bersila di atas kerusi sambil menghabiskan sup cendawan di dalam mangkuk. Sesekali tangannya naik menyelit rambut ke belakang telinga. Tanpa dia sedari segala gerak lakunya sentiasa dalam pemerhatian Zarif.
“Dia bukan teman wanita saya.” Zarif menyudahkan suapan dan menolak pinggang kosong ke tepi. Wajah dia yang tadinya tenang mula berubah beku. Air kosong turut diteguk bagi menghilangkan rasa kurang enak bila perihal Hannah diungkit oleh gadis itu.
Iffat mencemik sebelum tersenyum. Sengaja nak mengusik. “Don’t be shy. Mengaku sajalah dia teman wanita awak. She’s pretty anyway.”
“She’s not the one Iffat.”
“Oh really? Jadi hari tu awak dengan dia bukan tengah dating or something?”
Terlepas tawa halus daripada bibir Zarif membuatkan Iffat terkesima. Itu perkataan yang sesuai untuk menjelaskan apa yang terjadi kepadanya saat ini. Pertama kali melihat Zarif yang sentiasa berwajah dingin dan beku itu tertawa. Malah bukan yang dibuat-buat atau sinis seperti selalunya.
“Nampaknya awak dah benar-benar sihat Cik Iffat Emily. Habiskan makanan awak lepas tu masuk tidur. Esok pagi ikut saya ke site sekejap lepas tu hantar saya ke lapangan terbang, boleh?”
“Lapangan terbang?”
Zarif angguk. “Saya tinggalkan kereta dekat sini supaya senang untuk awak bergerak nanti.”
“Habis tu dekat KL nanti awak nak naik apa?”
“Apa saja keputusan yang saya buat berserta dengan back-up plan, jadi awak tak perlu fikir tentang itu. Habiskan saja makanan awak.” Serentak itu Zarif bangun menuju ke balkoni bilik hotel. Pintu kaca ditutup lalu sebatang rokok dikeluarkan dan dia terus tenggelam dalam dunianya sendiri tanpa mengendahkan Iffat yang masih memerhati.
SELESAI URUSAN di tapak projek, Zarif terus memandu keretanya menuju ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Iffat di sebelah diam memandang ke arah jalan raya.
“Hujung minggu ni saya hantar kereta awak ke sini.”
Iffat berpaling memandang sisi wajah tampan lelaki itu. “Tak apa Zarif, saya tak nak susahkan awak. Sepatutnya kita datang dengan kereta saya je semalam.”
“Saya datang sambil melawat tapak projek, tiada yang susah pun Iffat.”
Bibir bawah dikemam dengan mata yang tidak lepas daripada memandang Zarif. Sejak projek di Nusajaya bermula, hubungan dia dengan lelaki itu juga mula berubah. Tidak terlalu akrab tetapi boleh dikatakan agak rapat.
Dia sendiri mula merasa senang dengan Zarif malah kehadiran lelaki itu sedikit sebanyak menambah warna dalam kehidupannya. Lebih lagi dengan sikap dingin dan beku Zarif itu. Walaupun ada ketikanya dia turut bersikap dingin dengan Zarif.
Tiba di lapangan terbang, kereta diberhentikan di hadapan pintu utama untuk ke ruang pelepasan. Serentak itu mereka berdua keluar dari X70 milik Zarif dan Iffat bergerak ke tempat duduk pemandu. Mengambil alih tempat Zarif kerana kenderaan tidak dibenarkan berhenti lama di situ.
Zarif bergerak mengeluarkan beg pakaian miliknya sebelum berdiri di sisi pintu bahagian pemandu. Memandang gadis yang sedang menurunkan cermin kereta.
“Jaga diri, hati-hati memandu.”
“Baiklah.”
“Jangan lupa makan. Don’t skip any single meal.”
Iffat senyum dan angguk.
“Kalau ada apa-apa, hubungi saya.”
Sekali lagi Iffat angguk dan secara tiba-tiba Zarif meletakkan tangannya di ubun-ubunnya membuatkan Iffat terkaku.
“Jaga diri, Iffat.” Lama Zarif merenung ke dalam mata si gadis sebelum perlahan-lahan tangannya dijatuhkan. Kemudian langkah terus diatur meninggalkan Iffat yang sepertinya dalam kebingungan.
No comments:
Post a Comment