Thursday, 13 January 2022

Intrigue Cinta Zarif - Bab 3


“DUNIA korporat memang begitu Zarif. Kita bukan sahaja perlu bijak, malah kena pandai bermain di dalamnya.”

“Bermain?”

Tan Sri Megat tersenyum melihat Zarif yang mengulang kata-katanya dengan wajah tanpa riak. Anak muda ini sangat menarik pada pandangan matanya. Mempunyai raut wajah yang kacak tetapi agak misteri. Sukar untuk ditebak apa yang bermain dalam fikirannya itu.

“Dan kita sebagai pemain harus pandai menyusun strategi serta taktik permainan.”

Kayu golf diayun perlahan dan sebiji bola putih kecil terus bergolek masuk ke dalam lubang. Tan Sri Megat senyum lagi. “But I know you are always ready to play and you can play it very well. Kalau tidak, takkanlah Kamal pilih awak untuk gantikan tempat dia.”

Baru sekarang hujung bibir Zarif ditarik senyuman walaupun cuma sesaat.

“Setiap kali saya jumpa Kamal, nama awak tidak akan terlepas daripada bibir dia.”

“He’s my mentor.”

“Saya tahu. Tengok cara awak bekerja pun saya dah tahu siapa mentor awak.”

Kening Zarif sedikit berkerut.

“Jangan selalu berkerut macam tu, nanti cepat tua.” Canda Tan Sri Megat sambil ketawa.

Belum sempat Zarif membalas, kelihatan sebuah kereta buggy berhenti tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Tidak lama kemudian, turun seorang gadis yang memakai pakaian sama seperti atlet golf wanita siap dengan topi di kepala. Teratur langkahnya menuju ke arah Zarif dan Tan Sri Megat yang tegak memandang.

“Iffat Emily... What brings you here?” Melebar sengihan pada wajah Tan Sri Megat saat Iffat semakin merapat.

“Hai Tan Sri Megat. Maaf kalau saya mengganggu.”

Tan Sri Megat berpaling ke arah Zarif dengan kening terjongket. “No, you’re not. Come, join us. Boleh Zarif?”

Serentak Tan Sri Megat dan Iffat berpaling ke arah Zarif. Baru sekarang pandangannya dipakukan ke wajah jejaka yang tegak di sisi Tan Sri Megat. Sejak Iffat tiba seminit yang lalu, langsung dia tidak memandang jejaka itu.

Zarif cuma angguk dengan wajah tanpa riak.

“Tak mengapa Tan Sri. Lagipun, saya tak pandai main golf.”

“Tak pandai main? But your outfit...

“Pemakaian saya mengikut keadaan dan suasana Tan Sri,” jawab Iffat dengan gaya bersahaja. Langsung tidak terusik dengan kata-kata lelaki itu.

“Oh begitu. Nak belajar main golf tak?”

“Tan Sri nak ajar saya?”

“Oh tidak Iffat Emily, bukan saya. Kalau Puan Sri tahu nanti, tidur luar saya malam nanti.” Serentak itu ketawa Tan Sri Megat dan Iffat bergabung. Hanya Zarif yang masih tidak bereaksi. Tegak merenung si gadis dengan wajah tanpa riaknya itu.

“Zarif boleh ajarkan.” Sekali lagi Tan Sri Megat berpaling ke arah Zarif. “Kan Zarif?”

Hilang tawa daripada bibir Iffat dan serentak itu pandangan matanya bertaut dengan pandangan mata Zarif.

Belum sempat Zarif menjawab, sekali lagi Tan Sri Megat bersuara.

By the way, kamu berdua sudah saling mengenali atau tidak?”

Iffat menggeleng. Tetapi berbeza dengan Zarif, dengan mata yang masih merenung wajah Iffat dia menjawab... “I know her.”

Really? Tapi awak tak kenal siapa dia, Iffat?”

Sekali lagi Iffat menggeleng.

“Kalau macam tu, mulai hari ini awak kena kenal siapa dia.” Tan Sri Megat menghulurkan kayu golf kepada caddy yang setia menanti.

“Jom, saya belanja awak berdua minum kopi.” Tidak menunggu lama Tan Sri Megat bergerak ke arah kereta buggy yang dinaiki olehnya dan terus berlalu meninggalkan Zarif dengan Iffat di situ.

Iffat memandang kereta buggy yang semakin jauh meninggalkan mereka berdua sebelum kembali memandang ke arah Zarif.

“Mana golf set awak?”

“Dengan Tan Sri.”

“Awak naik buggy car Tan Sri ke tadi?”

Zarif angguk. Malas mahu menjawab soalan yang telah jelas jawapannya.

“Want to join me?

“If you don’t mind.”

“Saya okey je.”

Zarif mengekori Iffat dari belakang dan terus memilih untuk duduk di sebelah pemandu. Iffat yang langsung tidak kisah akan kehadiran Zarif pula mengambil tempat di belakang dan kereta buggy terus bergerak meninggalkan padang golf.

 

TERSENYUM LEBAR Tan Sri Megat melihat Zarif yang beriringan dengan Iffat menuju ke arahnya. Kopi yang masih panas dicecap perlahan dengan mata yang tidak lepas daripada memandang dua anak muda itu.

“Tak ajar Iffat main golf ke Zarif?”

“Mungkin lain kali Tan Sri.”

Iffat kerling Zarif di sebelah bila mendengar jawapan lelaki itu. Jelas nada mendatar itu membawa maksud Zarif  langsung tidak berminat untuk mengajar dia bermain golf. Bagus, kerana dia juga tidak berminat untuk belajar. Golf is just too exclusive untuk dia yang biasa-biasa ini.

Tidak lekang senyuman daripada bibir Tan Sri Megat melihat reaksi Zarif dan Iffat. Walaupun kedua-duanya nampak tenang, tetapi jelas raut dingin pada wajah mereka.

“Zarif, dari mana awak kenal Iffat? Tadi awak cakap kenal dia, kan?”

Zarif bersandar tenang ke belakang. Kedua-dua belah tangan bersilang di pinggang. Hujung mata sempat menjeling Iffat yang sedang memandang ke arahnya. Seperti berminat untuk mendengar jawapan daripadanya.

“Saya kenal dia sebagai teman wanita Syed Afiq.”

Diam.

Sepi.

Too bad huh, awak kenal saya sebab hal peribadi.”

Tiba-tiba masa bagaikan terhenti saat Zarif dan Iffat saling berpandangan.

“Quite interesting.” Tan Sri Megat mula mencelah. Memandang wajah jejaka dan gadis silih berganti dengan senyuman nipis di bibir.

Tersentak. Zarif dan Iffat memandang ke hadapan.

“Kamu berdua sangat menarik dan punya banyak persamaan.” Terlepas tawa halus daripada bibir Tan Sri Megat.

“Jarang saya jumpa orang yang baru pertama kali jumpa tapi ada banyak persamaan macam ni.”

“Maksud Tan Sri?”

Iffat lebih kelihatan tidak sabar untuk mendengar penjelasan Tan Sri Megat yang seterusnya. Manakala Zarif pula kelihatan lebih tenang walaupun riak pada wajahnya  menceritakan yang sebaliknya.

Kopi yang telah tinggal separuh diletakkan ke meja sebelum dia menyilangkan tangan ke badan. “Both of you are very determined. Apa yang kamu mahu, pasti akan kamu dapatkan tidak kira apa pun halangannya.”

“Saya tahu apa tujuan kamu berdua datang berjumpa dengan saya hari ini dan saya tiada masalah tentang itu. It is nice to get close to you and Zarif dalam keadaan santai macam ni. Bercakap tentang isu semasa dan berkongsi tentang pengalaman saya sebagai salah seorang ‘pemain’ dalam industri ini.”

Zarif senyum. Walaupun tidak banyak, tapi apa yang sempat dikongsikan oleh Tan Sri Megat seketika tadi banyak membantunya untuk mengukuhkan kedudukan dalam bidang ini.

Iffat di sebelah masih tekun memandang Tan Sri Megat di hadapan mereka. Seperti sedang mendengar nasihat seorang ayah kepada anaknya.

“Bila melihat kamu berdua tiba-tiba saya teringatkan anak-anak saya yang berada jauh di luar negara. Entah bila mahu pulang ke tanah air sendiri. Rindu pula rasanya.”

Iffat ikut tersenyum bila melihat senyuman di wajah lelaki itu. Orang tua memang begitu. Walau bagaimanapun hebatnya dia di mata masyarakat, jauh di sudut hati, kasih sayang dan perhatian anak-anaklah yang mereka mahukan. Berbeza dengan Zarif, riak pada wajahnya terus berubah bila Tan Sri Megat mengungkit tentang anak-anak.

“Kamu berdua sangat berpotensi untuk melangkah lebih jauh dalam bidang ini jadi teruskan melangkah tanpa menoleh ke belakang. Buktikan bahawa kamu mampu dapatkan apa yang kamu mahu, tapi...”

Baik Zarif mahupun Iffat, kedua-duanya serius memandang Tan Sri Megat dalam debar menanti kata-kata lelaki itu yang seterusnya.

“Make it clean.”

Ringkas dan mendalam pesanan yang Tan Sri Megat berikan sebelum dia bangun daripada duduk.

“Saya pergi dulu, Puan Sri sedang menunggu.” Sempat dia memberikan senyuman penuh makna kepada Zarif dan Iffat sebelum meninggalkan mereka berdua di situ.

Senyap dan sunyi. Masing-masing diam memandang minuman di atas meja yang belum disentuh.

“Apa tujuan awak datang ke sini?”

“Can I ask you the same question? Iffat pandang Zarif dengan kening yang terangkat gaya mencabar.

“No, you can’t,” selamba Zarif menjawab. Langsung tidak rasa tercabar dengan gaya percakapan Iffat.

Just answer my question sebab awak yang datang ganggu game saya dengan Tan Sri tadi.”

“Ganggu game apa? Golf atau...” Iffat tersenyum sinis. “Game melobi?”

Wajah Iffat direnung sepuasnya dengan wajah tanpa riaknya itu membuatkan gadis itu sedikit tidak selesa.

“Awak pun nak main game tu juga, kan?”

Game apa? Golf atau melobi?” sinis Iffat menyoal.

“The latter.”

Tangan yang memegang cawan terus kaku dengan mata yang saling berpandangan. Buat beberapa ketika hanya deru nafas yang kedengaran sebelum akhirnya bibir mereka membentuk senyuman. Senyuman sinis yang hanya mereka sahaja mengerti maksud di sebaliknya.

 

LUNCH TAK sempat kut sayang. Makan malam boleh.” Sambil berjalan tangan kanan tidak diam menyelongkar dalam beg, mencari kunci kereta.

“Kenapa tak sempat? You kat mana sebenarnya ni?”

“I dekat...” Iffat memandang sekeliling dengan kepala ligat berfikir mencari alasan. Ketika dia menoleh ke kanan, hampir luruh jantungnya apabila terpandangkan Zarif yang tegak di tepi tong sampah tidak jauh dari tempat dia berdiri. Sungguh dia tak perasan ada manusia tegak berdiri berhampiran situ.

“I dekat hospital, jumpa kakak.”

“Okeylah kalau macam tu, jumpa malam nanti. Take care sayang, love you.”

“Love you too. Bye.” Talian mati dan dia terus berpaling ke arah Zarif yang masih berada di tempat sama.

“Buat apa dekat situ?” Tangan kiri berada di dalam poket manakala tangan kanan yang memegang puntung rokok pula diangkat ke hadapan wajah Iffat.

Wajah Iffat mula berkerut dengan kedua-dua belah tangan memeluk badan sendiri. “I’m not judging, but...”

“Yes you are.” Puntung rokok diletakkan ke bibir sebelum dihembus perlahan asap yang berbaki.

“Cakap dengan siapa? Boyfriend?”

“Mind your own business.” Tangan kembali menggagau kunci kereta dan dia terus ke tempat parkir.

Zarif diam memerhati dengan sesekali puntung rokok dibawa ke bibir. Lama dia memandang Iffat sehinggalah kereta gadis itu meluncur pergi meninggalkan pekarangan kelab golf. Iffat yang kelihatan lebih manis tanpa topi di kepala.

Tidak lama kemudian dia turut melangkah ke arah kereta yang diparkir. Tak sempat keluar peluh pun hari ini. Lebih baik dia sambung melepak dekat rumah pula.

Proton X70 dipandu laju membelah jalan raya. Cekap tangannya mengawal stereng walaupun fikiran masih sendat memikirkan tentang gadis yang ditemuinya hari ini. Gadis yang telah mencuri tumpuannya tanpa gadis itu sedari.

No comments:

Post a Comment