Friday, 1 April 2022

Penakluk Hati Abang Jambang - Bab 1


HARI ini cuaca agak panas. Lebih panas dan membahang berbanding selalu. Peluh yang merecik di dahi, Fatehah seka dengan hujung kain tudungnya. Air mineral yang dibawa tadi diteguk bagi menghilangkan rasa haus ditekaknya. Ekor matanya melihat ada sebuah kereta BMW berhenti dan diparkir di bahu jalan tidak jauh dari gerainya. Model apa memang dia tidak arif. Melihat empunya diri yang keluar dari kereta dan mendatangi kedainya, dia tersenyum.

“Beli bang. Cempedak goreng ada... pisang goreng ada. Keledek ada. Panas-panas lagi ni bang.” Seperti biasa itulah dialog untuk menarik pelanggan. Sementara belum mendapat kerja tetap selepas tamat belajar, dia gembira menolong abahnya berniaga di tepi jalan.

“Beri saya cempedak goreng ni RM5,” ujar lelaki berwajah kacak itu. Sememangnya aroma cempedak goreng itu sangat menggoda nafsu. Memang sedap dimakan panas-panas.

Fatehah tetap tersenyum walaupun pelanggannya itu berwajah serius. Kacak juga sekali pandang dengan kemeja yang dilipat hingga ke paras siku. Siap berkaca mata hitam lagi. Nampak smart. Kalau pandang dua kali, memang terserlah kekacakannya. Dan yang paling penting... berjambang. Tidak tahu sejak bilalah dia asyik dipertemukan dengan lelaki berjambang. Dan juga dia mula berminat kepada lelaki ada jambang. Tapi yang berjambang pun yang nipis-nipis aje, bukan yang tebal macam bai jual karpet tu.

First time ke abang singgah sini? Tak pernah nampak pun sebelum ni.” Fatehah ramah bertanya walaupun tengok pada cara lelaki ini macam tak ada gaya nak berbual dengannya. Lagilah dengan muka yang tak reti nak senyum tu. Siap gaya berpeluk tubuh bagai.

Hmm...” jawab si pelanggan acuh tak acuh. Retina matanya yang terlindung di sebalik kaca mata hitam itu seakan ralit memandang wajah gadis di hadapannya itu.

Fatehah terus saja membungkus cempedak goreng seperti yang diminta oleh pelanggannya itu.

“Ni bang, cempedaknya.” Bungkusan itu dihulurkan bersama segaris senyuman. Namun, lelaki di hadapannya itu seperti terleka.

Terleka dengan keindahan makhluk ciptaan Tuhan yang nampak suci raut wajahnya. Juga senyuman yang dirasakan mampu menggoncang hati seorang lelaki.

“Bang...” panggil Fatehah lagi.

Tersedar daripada kelekaan, not RM5 terus dikeluarkan dari dompet sebagai bayaran. Lelaki itu kemudian terus berlalu pergi sambil mencangking bungkusan cempedak goreng yang telah dibeli.

Fatehah hanya memerhati langkah lelaki itu menuju ke keretanya yang diparkir tidak jauh dari situ. Walaupun kian menjauh, namun tubuh lelaki itu masih dipandang tanpa berganjak. Melihatkan kereta yang dinaiki lelaki itu ternyata lelaki itu bukan biasa-biasa. Namun dia rasa bersyukur, lelaki itu sudi untuk singgah membeli cempedak goreng di gerainya yang tak seberapa itu. Cuma tulah. Muka tak ada senyum. Kalau senyum tu confirm melting habis.

Sementara itu...

“Teha... kok berangan. Ada pelanggan lagi tu,” teguran si ayah membuatkan Fatehah tersedar.

Opss... maaf, kak. Akak nak beli apa?” Terus dia melayan pelanggan yang datang sambil berbual mesra.

 

IFTITAH TERMANGU. Sesekali dia mengeluh. Betulkah apa yang dia rasa? Dia dah terjatuh hati kepada si gadis gerai. Ah... tak mungkin! Takkanlah hanya melihat sekejap saja, dia boleh terjatuh hati. Namun, itulah persoalan yang bermain di benaknya sejak di dalam kereta petang tadi. Hakikatnya dia merasakan ada debaran hebat yang singgah di perasaannya, malah matanya juga nakal dan terleka untuk terus memerhati wajah comel nan ayu itu. Tidak pernah pula dia berperangai sebegitu sebelum ini.

Raut wajah dan senyuman manis si gadis kembali terlayar di mata. Ya. Senyuman yang ternyata telah menggoncang dan menggugat hati lelakinya. Malah membayangkan kini juga hatinya terasa bergetar. Ya Tuhan. Memang hebat kuasa senyuman gadis itu. Cuma sedikit dikesalkan, dia tidak mampu membalas senyuman itu. Mungkin kerana otot senyumnya belum sempat diajar untuk bertindak pada waktu yang sepatutnya. Ah... pasti si gadis itu sempat mengutuk dirinya sombong.

Kembali termenung, soalan yang sama terus dipersoalkan. Serius ke dia dah terjatuh hati?

Masih tidak percaya. Tetapi untuk menafikan, dia tidak tega. Rasanya memang dia dah terjatuh hati kepada empunya diri. Buktinya, sekeping hati miliknya kini tidak memberontak sama sekali apabila dia cuba mengakuinya.

Dia kini bersandar di sofa sambil kedua-dua belah tangannya menjadi alas kepala.

So... nak buat apa ya?”

Tacklelah,’ bisik hatinya memberi jawapan.

Terus ingatannya melayang mengingatkan peristiwa di Aza Cafe sebulan yang lalu. Ternyata kata-kata si gadis berbaju merah jambu itu masih melekat di kotak ingatannya.

Nak tackle awek jangan tayang muka ketat sangat der. Nanti awek tak suka.”

Tika itu juga dia sudah memberi ingatan kepada diri sendiri.

Ya. Itulah yang akan dilakukan kini. Dia harus tackle gadis itu agar mereka dapat mengenali antara satu sama lain. Syaratnya... jangan tayang muka ketat.

Jari-jemari Iftitah kini bermain dengan jambang nipisnya. Untuk menjayakan misi hatinya, langkah pertama yang seharusnya dia buat ialah dengan cuba melatih otot senyumnya supaya menjadi lebih mesra. Padanya, senyuman edisi terhad a.k.a. killer smilenya itu mampu menjadi kunci permulaan kepada sesi perkenalan dua hati. Lalu dia berdiri di hadapan cermin, melihat biasan diri sendiri yang nampak kacak dan sedap mata memandang. Tapi kenyataannya, wajah itu tiada seri memikat kerana hilangnya segaris senyuman. Nampak sombong dan berlagak. Ya... memang dia akuinya.

Beberapa kali Iftitah cuba melentur senyum di bibir. Senyum segaris dua saat, senyum manis sekadarnya, malah senyuman lebar hingga ke telinga juga cuba dipraktikkan. Namun rasa janggal. Bagaimanakah senyuman yang didambakan oleh si gadis?

Akhirnya dia ketuk kepala berkali-kali. Aneh dengan sikap sendiri yang tiba-tiba buang tabiat. Agaknya beginilah ragam seorang lelaki apabila jatuh hati kepada seorang perempuan. Nampak impossible. Tapi itulah kenyataan.

Tekadnya esok dia akan kembali ke gerai itu atas dua sebab. Satu, kerana tekaknya memang menginginkan cempedak goreng si gadis. Dan satu sebab lagi pastilah untuk misi hatinya. Andai debaran itu tetap ada, dia takkan lepaskan peluang itu.

No comments:

Post a Comment