Friday, 1 April 2022

Penakluk Hati Abang Jambang - Bab 7


SAMBIL berjalan menuju ke tempat kerja, bibir Fatehah ringan mengalunkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Sememangnya itulah yang diamalkan sejak kecil. Pergi ke sekolah atau ke mana-mana, selawatlah lagu pembasah bibir kerana itulah yang diajarkan abahnya. Selawat itu untuk mendapat syafaat nabi di akhirat kelak. Maka, rajin-rajinlah berselawat.

“Selamat pagi, dik. Beri ‘adik-adik’ makan ke?” ujar seorang lelaki yang tidak dikenali. Tiba-tiba saja muncul dan menegurnya. Baju yang dipakai bercorak kotak-kotak dan nampak luntur warnanya. Namun begitu wajahnya kelihatan maco dengan jambang nipis serta rambut yang agak panjang diikat kemas. Topi pula ala-ala pak cik tukang kebun. Bersamanya ada sebatang penyapu dan scoop sampah. Sudah pastinya lelaki ini bekerja sebagai tukang sapu sampah. Kenapalah sejak kebelakangan ni asyik bertemu mata dengan lelaki berjambang saja. Pelik! Handsome pula tu.

“Haah, bang. Kesian. Saya beri apa yang mampu aje. Tak banyak mana pun.”

Pertama kalinya mereka bertemu, anak-anak kucing itu datang menggesel di kakinya, namun tika itu dia tidak membawa bekal makanan. Maka dengan rasa ihsan, keesokan harinya dia membawa sedikit bekalan makanan untuk anak-anak kucing itu. Lagipun di rumahnya juga ada membela kucing. Jadi tak hairanlah dia ada stok bekalan makanan untuk makhluk bulus itu. Sehinggalah dia menjadikannya sebagai rutin. Baginya, dia hanya memberi sekadar yang mampu. Walaupun dia tahu tidak mencukupi untuk mereka, namun sekurang-kurangnya dia tahu mereka tidak kelaparan.

“Mulianya hati adik. Sejuk perut ibu mengandung. Hmm... sebelum ni abang tak pernah nampak pula adik ni di sini,” ujar lelaki itu memanjangkan perbualan antara mereka.

“Saya baru aje dapat kerja di kawasan sini bang. Baru nak masuk 3 hari,” jawab Fatehah sambil membelai-belai salah seekor kucing comel itu.

“Patutlah. Kerja di kompeni apa?”

“Iftira Empire,” jawab Fatehah jujur.

“Oh, IE. Bangunan biru tu ya.” Nampaknya lelaki itu seperti arif benar dengan kawasan sekitar sini.

“Haah.” Fatehah mengangguk dengan senyuman. “Abang memang kerja area sini ke?” ramah Fatehah bertanya.

“Merata. Sekejap sini. Sekejap sana. Tukang sapu jalanan aje dik. Sukarela. Tapi sebelah pagi aje. Lepas tu bawa Grab. Selain tu ada jugalah buat kerja sampingan lain.” Lelaki itu juga membalas kata dengan lembut bicara.

“Janganlah merendah diri sangat bang. Abang buat kerja murni kut. Sebab tu tengok kawasan sini sentiasa bersih. Sejuk perut ibu mengandung.” Fatehah memberi pujian.

Lelaki itu hanya tersenyum mendengar pujian itu. Pagi-pagi lagi dah bertemu orang yang positif. Jadi bersyukurlah. Itu juga rezeki dan nikmat.

“Okeylah, bang. Saya pergi dulu. Takut lambat pula. Kalau ada masa kita sembang-sembang lagi ya. Assalamualaikum.” Fatehah meminta diri.

Waalaikumussalam. Baik-baik jalan tu.” Si tukang kebun sempat menitipkan pesan. Sambil itu diperhatikan si gadis yang berjalan pergi. Dia tersenyum.

Fatehah berjalan sendirian. Tempat kerjanya tidak jauh mana pun dari perhentian bas itu. Berjalan lebih kurang 5 minit saja sudah sampai.

 

FATEHAH TERKEJUT apabila Tasya muncul dan berdiri di sebelah ruangan kerjanya. Tika itu tangannya lincah menaip di papan kekunci menyiapkan tugasan pertama yang diberi oleh gadis itu.

“I nak you bancuhkan kopi. Tapi I tak nak kopi sembarangan. Hanya mineral coffee,” sambil berpeluk tubuh tayang lagak, suara itu tajam saja menusuk ke pendengaran.

Fatehah berhenti menaip. Otaknya berfikir sesaat. Mengapa dia ada kerja tambahan membancuh kopi, sedangkan sudah ada Kak Pah yang membuat kerja itu? Padanya Tasya memang sengaja nak membulinya kerana dia budak baharu. Oh, mungkin Kak Pah cuti kut. Sebab sejak tadi dia memang tidak nampak kelibat wanita itu.

“Dah. Cepat. Pergilah pantri tu. Jangan malas!” Tasya sudah memekik sambil bercekak pinggang.

Fatehah mengangguk. Dia kemudian bangun dan berjalan menuju ke pantri. Namun mulutnya tetap mengomel sendiri. Pagi-pagi lagi dah nak memekik cik kak sorang ni. Jiwa kacaulah tu gamaknya. Gaduh dengan boyfriendlah tu.

Di pantri, Fatehah mencari mineral coffee yang dimaksudkan.

“Mineral coffee tu kopi yang macam mana? Tak ada nampak pun label mineral coffee dekat dalam kabinet pantri ni.” Fatehah sudah garu dahi yang tidak gatal. Diselongkar kabinet atas dan bawah.

Tanpa sedar, ada seseorang masuk ke ruang pantri.

“Awak cari apa tu?” soal Wany yang bertugas sebagai penjaga kaunter di tingkat bawah. Dia meletakkan 2 tin biskut di situ. Mungkin Wany juga bertindak sebagai penjaga stok makanan di setiap aras bangunan itu. Kalau diikutkan hati, ada sedikit rasa tidak puas hati dengan Wany sebab wanita inilah yang membuatkan dia dimarahi oleh Tasya pada hari pertamanya melapor diri. Mungkin waktu itu Wany hanya mahu bergurau, namun sememangnya itu tidak patut berlaku. Gurauan itu agak melampau.

“Oh, Kak Wany. Kak, nak tanya. Dekat pantri ni mana letaknya mineral coffee ya? Dari tadi saya cari tak jumpa.”

“Awak minum mineral coffee ke?”

“Taklah. Cik Tasya yang suruh saya bancuhkan.”

“Oh, Cik Tasya suruh. Kopi tu kopi biasa aje, tapi letak garam sikit. Sebab tu namanya mineral coffee. Itu pun tak tahu ke?”

Setelah memberitahu, Wany kemudian berlalu pergi bersama senyuman sinis.

‘Huh, berlagak juga minah kaunter ni! Ni mesti kroni Cik Tasya juga ni. Sepesen saja perangai tu,’ detik hatinya.

Fatehah mengambil kopi uncang yang sedia ada. “Kopi letak garam. Sedap ke? Kalau tak cuba, takkan tahu. Tapi kalau air kelapa letak garam jadi sedap berlemak, inikan pula kopi. Mesti kaw-kaw kut rasanya.” Fatehah kemudian mengambil muk yang bertutup di atas rak. Dia mula membancuh kopi. Letak gula secukup rasa. Tetapi kemudian ditambah dengan sedikit garam dan dikacau perlahan. Cuba dirasa sedikit di hujung sudu. Hmm... sedap rupanya. Kopi itu kemudian dihantar ke bilik Tasya. Selajur kopi diletakkan di atas meja, dia diminta keluar.

Baru melabuhkan punggung di atas kerusi, dia lihat Tasya sudah keluar dari bilik sambil membawa minuman yang dibancuh tadi. Tak tahulah nak dibawa ke mana. Ah, lantaklah. Yang penting dia dah buat apa yang disuruh.

Sedang dia kembali menyiapkan kerja, dia dikejutkan dengan suara tegang Tasya. “Fatehah, sini kau!”

“Ya, Cik Tasya. Kenapa?” Fatehah segera berdiri.

“You buat air apa ni, huh?” Tasya sudah memetir sambil meletakkan muk kopi itu di atas meja Fatehah.

“Mineral kopilah. Macam yang cik minta.”

“Macam mana you buat kopi ni? You ambil kopi ni dekat mana?” soal Tasya sambil menjegilkan mata.

“Kopi uncang yang sedia ada tu saya buat macam biasa aje. Lepas tu letaklah mineral sikit.”

“Mineral apa yang you guna?” soal Tasya ingin tahu. Berkerut juga dahinya.

“Garamlah.”

“Garam apa?” Mata Tasya kian membulat.

“Garam yang ada kat pantri tu.”

“Huh, garam putih yang ada kat pantri tu? Kalau macam tu, I nak you minum air ni sekarang! I said now!” Nampaknya marah Tasya sudah memuncak. Tangannya sudah bercekak pinggang.

Tanpa banyak bicara, Fatehah mencecap sedikit air yang dibancuhnya itu. Apa yang tak kenanya? Rasa okey saja. “Habiskan!”

“Maaf, Cik Tasya. Kopi ni panas lagi. Nanti saya habiskan. Apa yang tak kena dengan air ni, Cik Tasya? Saya rasa sedap aje airnya.”

“Oh, berani ya menjawab. You jangan cuba nak permainkan I. Sedar sikit you tu budak baharu. Jangan nak tunjuk lagak dekat sini!” Nada itu berbaur amaran.

“Maaf, Cik Tasya. Saya tak faham apa maksud Cik Tasya sebenarnya,” soal Fatehah. Dia tidak ingin mewujudkan salah faham dengan gadis itu. Sudahlah dia baru bekerja di sini. Jika salah faham ini berpanjangan maka rasa tidak seronok untuk bekerja. Boleh mengganggu emosi.

“Sekarang I nak you masuk bilik Encik Iftitah, pergi minta maaf dengan dia.” Tasya memberi arahan.

“Hah? Encik Iftitah? Tapi apa kena-mengena dengan kopi yang saya buat ni?” tanya Fatehah bingung.

“Untuk pengetahuan you, kopi yang you bancuh ni tadi untuk dia. You sedar tak kopi yang you bancuh tu rasa entah apa-apa. Memang you sendiri yang cari nahas. I suruh you bancuh mineral coffee. Tapi yang you bancuh tu kopi apa? So, silalah jumpa dia ya, Cik Fatehah. Jawab sendiri dengan dia!” Tasya tunjuk lagak yang menjengkelkan.

Fatehah terdiam. Rupanya itulah sebab gadis itu beria-ia sangat marah padanya. Pastinya tadi dia dimarahi oleh bosnya. Jadi sekarang dilepaskan pula rasa tak puas hati itu kepada dirinya. Huh, sekarang ni dia pula disuruh masuk berjumpa lelaki itu! Ini bermakna dia juga bakal disembur. Oh, tidak!

“Dah. Tunggu apa lagi. Pergi sekarang!” Tegang suara itu kedengaran. Mata-mata yang memerhati terpaksa berbuat tidak tahu dan tak mahu masuk campur. Silap-silap mereka juga dimarah secara berjemaah oleh gadis itu.

“Baik, Cik Tasya.” Fatehah terpaksa akur. Kakinya terasa lemah untuk melangkah ke bilik bosnya. Untuk pertama kalinya dia akan masuk ke bilik itu. Memang bercampur baur perasaannya. Dia berselawat sebanyak mungkin bagi menenangkan perasaannya. Lagilah apabila mengenangkan insiden yang berlaku terhadap lelaki itu sebelum ini.

Setibanya di situ, Kak Nori selaku setiausaha lelaki itu tiada di tempatnya. Fatehah jadi serba salah. Boleh ke dia ketuk pintu dan masuk terus ke bilik itu tanpa kebenaran? Hampir 5 minit dia berdiri di situ, namun Kak Nori masih belum muncul. Mungkin ke bilik air barangkali.

Mahu tak mahu, Fatehah ketuk saja pintu bilik itu bersama debaran hebat di dada. Sesaat kemudian kedengaran suara di dalam membenarkannya masuk.

Masuk ke bilik itu, dia rasa debar dadanya semakin menyeksakan sehingga dia sendiri rasa berpeluh. Walaupun bilik itu terasa nyaman dan berbau harum, namun tetap tidak mampu membuat perasaannya lega.

Who are you?” Lelaki  yang duduk membelakangi dirinya itu mula bersuara. Nada suara itu memang tidak menyenangkan. Tidak mesra malah kedengaran angkuh di pendengaran.

“Saya Fatehah, encik.” Fatehah menjawab dengan wajah sedikit tertunduk.

“Siapa suruh awak datang sini?”

“Cik... Cik Tasya,” tergagap-gagap Fatehah bersuara.

“Untuk?”

Err... saya datang nak minta maaf. Fasal air kopi tadi tu,” tutur Fatehah agak takut-takut.

“Oh... kopi tu. Kopi nak bunuh orang tu!” jerkahan itu mengejutkan Fatehah. Sinis benar bicara lelaki ini.

“Saya minta maaf ya, encik. Saya janji perkara ni tak berulang lagi.” Fatehah memohon maaf.

Anything else?” suara itu sedikit menjengkelkan.

“Tak ada, encik.”

So, silalah keluar ya. Tak ada hati saya nak hadap muka awak!” Tuan punya badan masih tidak berpaling wajah. Malah masih sibuk dengan iPhone di tangan.

“Terima kasih, encik.” Fatehah terus berpaling dan membawa langkah laju ke pintu. Buka pintu, dia terus keluar. Fuh, terasa lepas azabnya di bilik itu.

Tidak lama selepas Fatehah keluar, Iftitah turut keluar. Sempat dia memicing anak mata pada tubuh kecil molek itu daripada belakang.

“Gaya macam gadis Melayu terakhir. Bancuh kopi pun tak reti. Apa daa... memang rejectlah kalau nak buat bini.” Iftitah berjalan pergi dengan wajah yang masih kelat.

Kembali ke mejanya, Fatehah duduk dan mencecap kembali kopi yang dibancuh itu. Beracun ke? Sedap saja air itu masuk ke tekaknya. Orang kata jangan buang rezeki. Jadilah orang yang bersyukur. Dekat negara yang susah, secawan air pun orang boleh berebut. Tak kisahlah kopi dicampur garam ke gula. Yang penting nikmat air itu memang tiada tolok bandingnya.

‘Tapi, kenapa aku rasa Abang Jambang tu seiras wajah dengan Encik Iftitah. Orang yang sama ke? Atau pelanduk dua serupa? Harap-haraplah bukan. Baru nak acah-acah suka dekat Abang Jambang tu,’ bebelnya dalam hati. Fatehah mengukir senyum sambil menepuk lembut kedua-dua belah pipi sendiri.

Sekembali ke mejanya, Qistina sudah buka mulut bertanyakan apa yang terjadi. Tadi dia ada urusan di tingkat 3. Tahu-tahu sahaja Fatehah sudah pergi ke bilik Encik Iftitah.

Akhirnya Fatehah bercerita saja. Buat apa diselindung kalau ada mata-mata lain yang telah menyaksikan kejadian itu. Kalau bukan dia sendiri yang bercerita, wanita itu pastinya akan bertanya kepada pekerja yang lain.

“Mineral coffee tu kopi ni, Teha. Kopi ni campuran garam buluh. Kak Qis memang minum kopi ni. Tapi sekarang namanya dah berubah. Min Kaffe.” Qistina tunjuk sepeket kecil kopi itu. “Nah, ambillah. Cuba rasa. Sedap ke tidak. Kalau berminat boleh oder dengan akak. Akak ni ejen.” Sempat juga Qistina mempromosikan kopi tersebut.

“Oh, terima kasih kak.” Sepeket kecil kopi itu kini bertukar tangan.

No comments:

Post a Comment