BERHATI-HATI Ghaz meletakkan Suraya di atas katil. Puteri kecilnya itu terlena sepanjang perjalanan pulang ke rumah dari rumah orang tuanya. Ghaz membetulkan tubuh Suraya sebelum comforter tebal ditarik menutup sehingga ke dada si anak. Sejenak wajah polos yang sedang tidur itu dipandang lama.
“Dah besar anak papa ni,” ujar Ghaz menggumam.
Sekelip mata 4 tahun sudah berlalu. Dia sebagai seorang bapa tunggal membesarkan puterinya sendirian. Tidak mudah, tetapi sedaya upaya dia mahu memberikan kasih sayang yang cukup buat Suraya.
“Macam mana aku nak beritahu dia yang mama dia tak akan kembali kepada kami?” Ghaz mengeluh. Hatinya sarat dengan rasa sedih dan kecewa. Suraya semakin membesar dan semakin memahami ketiadaan seorang ibu di sisi.
Ghaz tunduk mencium dahi Suraya.
“Papa akan buat apa saja untuk bahagiakan Aya.”
Setelah itu, dia bangkit dan keluar dari bilik untuk menuju ke dapur. Rutin hariannya, setiap hari dia menghantar Suraya ke rumah ibu bapanya sementara dia bekerja. Pulang daripada kerja, dia akan mengambil si cilik itu.
“Sampai bila kau nak ibu jaga Aya? Ibu tu bukannya sihat sangat dah.”
Ghaz teringat kata-kata kakaknya, Amalia beberapa hari lalu ketika mereka berkumpul di rumah kedua orang tuanya. Dia sebenarnya merasa bersalah. Ikutkan hati, dia juga tidak mahu menyusahkan ibu bapanya lagi. Namun, dia tidak punya pilihan lain.
Ghaz meraup wajah. Kusut.
Tring! Tring!
Telefon pintarnya berdering. Tertera nama Puan Zaiton di skrin. Tanpa membuang masa, Ghaz menekan butang hijau.
“Helo, assalamualaikum ibu.”
“Waalaikumussalam.”
“Kenapa bu? Aya ada tertinggal apa-apa ke?” soal Ghaz dengan dahi berkerut. Pelik juga kerana kurang sejam lalu dia beredar dari rumah ibunya. Jadi, dia sedikit panasaran dengan panggilan tersebut. Lagipun hari sudah larut malam. Takut juga jikalau ada sesuatu yang menimpa orang tuanya itu.
“Bukan. Ibu telefon ni nak beritahu yang esok ibu dan ayah tak ada dekat rumah. Kami nak pergi ziarah orang meninggal dekat Melaka ni.”
“Oh... siapa yang meninggal, bu?”
“Kawan ayah sama-sama kerja di Bukit Aman dulu. Baru meninggal lepas maghrib tadi. Itu yang nak ke bumi tengah malam ni juga.”
Ghaz mengangguk-angguk.
“Tak apalah kalau macam tu. Ibu dan ayah hati-hati. Kalau penat rehat dulu.”
“Yalah, insya-Allah.”
Selepas berbalas salam, Ghaz mematikan talian. Terus dia bergerak ke rak dan mengambil sebiji gelas. Air daripada penapis air ditekan sehingga separuh gelas lalu diteguk habis.
“Esok aku kena bawa Aya pergi ofislah.”
Setelah itu, gelas dibasuh dan Ghaz kembali ke kamar. Malam ini dia perlu tidur awal memandangkan esok pagi dia perlu menyediakan sarapan dan bekalan untuk Suraya. Esok dia bakal melalui hari yang panjang!
KELAM-KABUT DURRANI mengambil tanda nama dari beg galas untuk dipakai ke leher. Semua pekerja yang mahu memasuki bangunan ini perlu memakai kad ID masing-masing. Durrani sedikit lewat hari ini kerana ada masalah di rumah. Nasib baik dia sudah menghubungi ketua bahagian untuk memaklumkan kelewatannya ini.
“Eh!” Dia tersentak apabila seorang kanak-kanak perempuan berlari dan memeluknya. Langkah Durrani mati di ruang lobi itu. Dia memandang sekeliling namun tiada orang dewasa lain selain budak perempuan berambut panjang ini.
“Err... adik cari siapa?”
Durrani meleraikan pelukan tersebut. Dia tersenyum memandang wajah polos kanak-kanak yang kebetulan juga sedang memandangnya. Dia perasan anak mata si kecil itu sebelah berwarna putih kelabu.
“Mama!”
Tiba-tiba budak perempuan itu memanggilnya begitu. Membulat mata Durrani. Sekali lagi dia memandang sekeliling untuk memastikan mungkin ada orang lain di situ. Namun tiada.
“Err... kakak bukan mama adik.”
“Mama! Mama!”
Si kecil itu kembali memeluk badan Durrani. Terkejut, namun tangan Durrani tetap memegang belakang tubuh anak kecil itu. Rambut panjangnya lurus melepasi bahu. Lembut apabila Durrani mengusapnya.
“Mana mak ayah adik?”
“Suraya!”
Tiba-tiba ada suara lelaki. Lantaran itu pelukan si kecil di tubuh Durrani terus terlepas. Kelihatan seorang lelaki menghampiri. Mata Durrani terus mengecil. Cuba mengenal pasti gerangan lelaki itu. Orangnya tinggi dan bergaya.
“Encik Ghaz?” Terkeluar soalan itu daripada mulut Durrani.
“Kenapa Aya lari? Bahaya tahu tak turun lif sorang-sorang. Kenapa tak tunggu papa?” Ghaz membebel lantas memegang kedua-dua belah bahu si kecil.
Durrani hanya memerhatikan tingkah dua beranak itu. Dia dapat mengagak budak perempuan ini ialah anak Ghaz, bos besarnya.
“Aya jumpa mama.” Si kecil itu menunjuk ke arah Durrani.
Kali ini Durrani dan Ghaz pula bertatapan mata. Sebentar saja sebelum Ghaz kembali merenung si anak.
“Ini bukan mama.”
“Mama! Mama!” Suraya terus berpaling dan kembali memeluk Durrani. Suasana berubah kekok antara Ghaz dan Durrani.
Ghaz berdiri dan berpeluk tubuh.
“Sorry, cik...”
“Durrani. Saya kerja di bahagian HR.” Laju Durrani menunjuk tanda namanya kepada Ghaz. Dia kenal lelaki ini, pemilik syarikat penjualan atas talian BeliMall. Tempat dia bekerja sekarang ini.
Ghaz mengangguk.
“Maaf sebab anak saya mengganggu Cik Durrani.”
“Eh, tak apa encik.” Durrani memandang ke bawah dan tangan Suraya masih lagi melekap di tubuhnya. Melihat bosnya tidak senang duduk, dia menunduk dan duduk setara dengan ketinggian Suraya.
“Suraya ya? Nama kakak, Durrani.” Durrani memulakan perbualan. Sesekali dia mengerling ke arah Ghaz yang sedang memandangnya.
Suraya diam. Matanya tidak lepas daripada memerhatikan figura yang dianggap mamanya.
“Aya jumpa mama...” Pelat si kecil itu bercakap.
Sekali lagi Durrani berbalas pandangan dengan Ghaz. Raut wajah lelaki itu kelihatan tegang. Mungkin marah dengan kedegilan anaknya yang masih memanggilnya ‘mama.’
“Erm... macam nilah, Suraya pergi dekat papa. Mama ada kerja sikit nak kena buat.” Durrani akhirnya mengikut rentak si kecil. Sesekali matanya menjeling Ghaz, takut juga jika lelaki itu marah. Namun, Ghaz sekadar memandang tanpa suara.
“Mama nak pergi mana?” Suraya bertanya. Tangannya kemas menggenggam hujung baju Durrani.
“Mama nak pergi kerja dulu. Suraya duduk dengan papa ya?”
Laju Suraya menggeleng.
“Tak nak. Nanti mama tinggal Aya lagi.” Lantas si kecil menyembamkan mukanya ke dada Durrani.
Mendengar ayat itu membuatkan Durrani terkesima. Ia kedengaran sangat sedih. Lebih-lebih lagi datang daripada anak sekecil ini. Sudahnya, dia turut membalas pelukan tersebut.
“Mama tak akan tinggalkan Aya lagi. Lepas balik kerja, mama akan jumpa kita. Betul tak, mama?” Suara garau Ghaz memecah hening.
Dari kedudukan yang sedang memeluk Suraya itu, Durrani berbalas pandangan dengan empunya suara tadi. Lelaki itu memberi isyarat agar dia mengiakan sahaja kata-kata itu.
“Betul. Nanti balik kerja mama jumpa Suraya,” ucap Durrani dan berjaya menarik minat si kecil.
Suraya lantas meleraikan pelukan. Wajahnya berseri-seri sambil tersenyum comel.
“Mama janji?”
“Janji sayang...” Durrani menggosok kepala Suraya.
Suraya terus melompat suka. Kesempatan ini Ghaz ambil untuk mendukung anaknya. Durrani turut berdiri.
“Kalau macam tu mama pergi kerja dulu ya.” Durrani meminta diri. Bulat matanya memandang Ghaz. Sebelum ini dia hanya melihat lelaki itu di dalam gambar. Tidak pernah pula dia berjumpa bos besarnya ini secara berdepan.
“Mama jangan tinggalkan Aya lagi.” Suraya melambai-lambai dari dukungan Ghaz.
Durrani tersenyum. Dalam hati timbul rasa bersalah kerana menipu si kecil ini. Namun, sebelum beredar, Ghaz sempat membisikkan sesuatu ke telinganya.
“Jumpa saya di tingkat 10 nanti.”
Durrani terkesima. Lambat-lambat dia mengangguk. Kaki menjauhi dua beranak itu sambil kepalanya bermain teka-teki. Keliru dengan apa yang baru berlaku.
‘Kenapa Suraya panggil aku mama?’ desis Durrani pelik.
No comments:
Post a Comment