Monday, 30 May 2022

Mama Untuk Suraya - Bab 5


TEPAT jam 2 petang, Durrani meminta diri untuk kembali ke pejabatnya di tingkat bawah. Waktu rehatnya sudah habis. Nanti apa pula kata ketua jabatan kalau dia tiada di meja kerjanya. Sewaktu Durrani berlalu tadi, Suraya masih tidur. Jadi, dia tidak mahu mengganggu anak kecil itu. Lagi pula tentu Ghaz juga ada kerja yang hendak disiapkan.

“Kau dari mana Durra? Dekat kafe bawah tak ada.” Rakan meja sebelah bertanya kepadanya.

Durrani hanya tersenyum. Dia menarik kerusi dan melabuhkan punggung. Sambil membuka komputer, fikirannya teringat akan permintaan Ghaz tadi. Dia perlu menyamar menjadi mama Suraya.

“Ha, termenung pula. Kau ada masalah ke Durra?”

Durrani menoleh ke meja sebelah. Lama dia memandang Hamima di meja sebelah.

“Kau dah kerja lama dekat sini, kan?” Durrani menyoal.

“Haah. Kenapa?”

“Kau kenal bos besar?”

“Bos? Siapa?” Hamima mengangkat kening.

“Encik Ghaz.”

“Oh... kalau Encik Ghaz aku tahu. Kenapa kau tanya pasal dia?”

Durrani menelan liur. Melihat anak mata rakannya merenung tajam, dia jadi takut hendak bertanya. Bukan apa, nanti orang fikir yang bukan-bukan pula. Tetapi, ada satu hal yang bermain dalam benaknya sejak tadi.

Erm, kau pernah jumpa wife dia?” Berhati-hati Durrani menyoal. Dia lihat Hamima mengerutkan dahi sebelum menggeleng.

“Sepanjang 6 tahun aku kerja di sini, aku tak pernah nampak lagi isteri bos. Tapi, aku tahulah dia dah pernah kahwin. Ada anak seorang.”

“Ohh...”

“Tapi sayang... aku dengar mereka dah bercerai 4 tahun yang lepas. Sebab itu isteri dia tak pernah muncul dekat sini.”

Mulut Durrani memuncung. Tertarik dengan cerita yang baru dia dengar ini. Rupa-rupanya status lelaki itu seorang duda anak satu. Dan kata Ghaz tadi, Suraya tidak pernah bertemu dengan ibu kandungnya.

“Kenapa kau tanya?”

“Tak ada apa.” Cepat-cepat Durrani ketawa bagi menutup gelodak rasa yang muncul di hati. Mengetahui kondisi Ghaz sebagai bapa tunggal, dia jadi simpati. Dia mula berkira-kira hendak setuju dengan permintaan lelaki itu. Lagipun niat mereka baik. Semuanya dibuat kerana Suraya.

‘Aku boleh cuba,’ ujarnya sendiri.

 

GHAZ MEMIMPIN tangan Suraya masuk ke dalam perut lif. Sesekali dia mengerling si kecil yang sedang termenung lama memandang pintu. Terjaga daripada tidur tadi, Suraya terus mencari Durrani. Hatinya risau mengingatkan keinginan si kecil ini yang mahukan dia dan Durrani bersama. Terlalu mustahil kerana mereka orang asing.

“Papa, kita pergi jumpa mama?” Tiba-tiba Suraya bertanya. Mata bundar si kecil itu merenung lama ke arah Ghaz. Kelemahan seorang bapa, tidak mampu melawan pandangan suci murni tersebut. Sudahnya tangan Ghaz menggosok atas kepala Suraya.

“Yalah. Kita pergi dekat mama.”

Yeay! Yeay!” Suraya melompat suka.

Dalam perjalanan turun ke tingkat 3, hati Ghaz dilanda debar. Sebelum ini dia jarang turun ke bahagian tersebut. Hanya setiausahanya yang akan turun jika ada perkara yang perlu diuruskan di bawah.

Ting!

Pintu lif terbuka luas. Ghaz mengangguk apabila beberapa orang staf menegurnya di hadapan lif. Masing-masing sudah bersedia untuk pulang.

“Encik Ghaz. Ada urusan apa turun ke sini?” Ketua bahagian HR berlari anak apabila ternampak bos besar di situ.

Ghaz meliarkan pandangan ke sekeliling ruang pejabat. Suasana agak lengang menandakan ramai pekerja sudah pulang. Dia menjatuhkan pandangan ke arah Suraya. Melihat si anak yang ternanti-nanti, dia tidak sampai hati hendak beredar dari situ.

“Saya nak jumpa Cik Durrani. Dia dah balik ke?”

“Oh, Durrani. Dia ada dekat belakang. Nanti saya panggilkan.”

“Tak apa. Saya pergi cari dia sendiri. Awak boleh balik.” Ghaz tersenyum pendek. Melihat ketua bahagian HR itu sudah membawa beg tangan, tentu saja dia dalam perjalanan hendak pulang. Dia tidak mahu melengahkan wanita yang agak berumur itu. Selepas berpamitan, pekerja berpengalaman itu berlalu pergi.

Ghaz menarik tangan Suraya.

“Jom, kita cari mama.”

“Mana mama?”

“Dekat dalam sana.” Ghaz menunjuk ke arah dalam pejabat lalu dia melangkah masuk bersama Suraya. Dari jauh sudah ternampak Durrani sedang menutup komputernya.

Tidak menunggu lama, Suraya mula berlari namun kali ini dia menarik sekali tangan Ghaz. Nak tak nak, Ghaz terpaksa melebarkan langkah mengikut arah si kecil.

“Mama!”

Durrani terkejut. Matanya terus mencari Ghaz sebelum dihalakan ke arah Suraya. Bibirnya automatik tersenyum. Sempat dia memerhatikan ruang pejabat yang sudah kosong. Nasib baik! Takut kalau ada orang dengar Suraya memanggilnya mama.

“Hai, sayang.” Durrani tunduk.

Tanpa bicara, tangan kiri Suraya mencapai tangan Durrani. Tangan kanannya masih setia memegang tangan si ayah. Tindakan spontan gadis kecil itu membuatkan Durrani dan Ghaz saling bertatapan. Kedudukan mereka berdua menjadi rapat kerana ditarik Suraya yang berada di tengah.

“Aya...” Ghaz menegur.

“Aya ceronok. Ada papa, ada mama... yeay!” Si kecil itu melompat suka. Senyuman di bibir lebar menampakkan dua batang gigi yang agak besar. Gigi arnab.

Ghaz tersentuh. Tidak pernah dia melihat Suraya segembira ini.

“Malam ni Aya tidur dengan papa dan mama.”

Bulat mata Durrani dibuatnya. Dia perasan Ghaz juga terkejut dengan bicara tersebut.

Ghaz menunduk. Kedua-dua belah bahu Suraya dipegang lama. Dalam kepala dia mencipta ayat untuk menerangkan kepada si kecil tanpa membuatkan anaknya itu sedih.

“Mama tak boleh balik dengan kita, sayang.”

“Kenapa?” Suraya menoleh kepada Ghaz dan Durrani bersilih ganti. Air mukanya yang gembira tadi kini bertukar sedih.

“Mama tak cayang Aya ke? Sebab itu mama tinggalkan Aya.”

“Bukan macam tu, sayang...” Buru-buru Durrani menafikan. Dia sendiri terkejut dengan kepantasan dia menjawab. Seolah-olah dia memang mama sebenar Suraya.

Durrani mengetap bibir. Perlahan dia juga menunduk. Kepala Suraya diusap lembut.

“Mama sayang Suraya.”

“Kalau cayang kenapa mama tinggal Aya?”

Terdiam dua orang dewasa itu. Anak seusia Suraya sudah bijak menuturkan kata seperti ini. Sudahnya Ghaz dan Durrani saling berpandangan dalam sepi. Hanya mata saling berbicara sebelum Durrani mengalihkan pandangan ke arah lain. Menatap lama sepasang mata Ghaz membuatkan hatinya berdebar lain macam.

“Mama tak tinggalkan Aya. Mama pergi kerja. Tengok, hari ini Aya dah jumpa mama.” Ghaz memberi jawapan. Walaupun agak tidak logik, dia tetap berharap alasan itu akan difahami Suraya.

Suraya mula memuncung sedih. Kepala pula sudah menunduk dan kakinya menguis-nguis lantai.

“Yalah... mama teman Suraya sampai rumah, sampai Suraya tidur.”

Mendengarkan itu, Suraya yang tadi merajuk terus berubah ceria semula. Dipeluk badan Durrani.

Ghaz mengeluh. Tersepit dalam keadaan ini dan perangai Suraya yang terlalu inginkan perhatian dan kasih sayang seorang ibu.

“Jom, balik!”

Mesra, Suraya mencapai kembali tangan Ghaz dan Durrani. Dipegang erat seperti tidak mahu dilepaskan. Akhirnya Ghaz dan Durrani turuti juga perlakuan dan kemahuan Suraya. Mereka bertiga beriringan keluar dari pejabat sehingga ke ruang tempat letak kereta.

“Naik satu kereta saja. Nanti saya hantar awak semula ke sini,” ujar Ghaz selepas dia menutup pintu bahagian belakang di mana Suraya sedang duduk.

Durrani teragak-agak.

“Awak yang berjanji dengan Suraya nak temankan dia sampai tidur,” Ghaz mengingatkan Durrani.

“Saya tahu tu. Tapi...”

Don’t worry. Saya tak makan orang.” Usai berkata begitu, Ghaz segera meloloskan diri ke tempat pemandu meninggalkan Durrani sendirian.

Dengan dahi berkerut, perlahan bibir Durrani mengulum senyum. Tidak pasti Ghaz sedang bergurau atau apa. Tetapi, wajah lelaki itu serius sahaja.

Durrani ketawa dalam hati. Sedikit lega dengan cara Ghaz menenangkan dia. Sudahnya dia membuka pintu hadapan sebelah pemandu dan masuk ke dalam kereta.

Ghaz terus memecut pergi dari situ.

No comments:

Post a Comment