Monday, 30 May 2022

Pernah Benci - Bab 8


GUGUP pasangan itu apabila berada di rumah Puan Rosmah. Setelah 3 hari melarikan diri, baru hari ini dia muncul bersama keluarga Daim. Seperti yang dijangka, kedatangan mereka ke sini agak mengejutkan Puan Rosmahdan Encik Ghani.

“Maaf kalau kedatangan kami secara tiba-tiba. Saya Haji Daus dan ini isteri saya. Tujuan kedatangan kami ni untuk bincang tentang perkahwinan anak saya bersama anak saudara puan.” Haji Daus mula bersuara.

Tergamam Puan Rosmah. Tajam dia merenung wajah Raiqa.

“Jadi inilah jantan yang kau bawa masuk dalam rumah aku hari tu?”

Tersentak mereka yang berada di situ. Raiqa semakin gelisah. Janganlah mak su membuat hal di hadapan orang tua Daim.

“Puan cakap apa ni?” Hajah Rogayah sudah mula mencelah.

“Dah 3 hari anak saudara saya larikan diri lepas kantoi bawa jantan dalam bilik. Suami saya yang tangkap. Tapi disebabkan nak selamatkan diri, sanggup mereka cederakan suami saya.” Puan Rosmah menjeling ke sebelah. Suaminya sejak tadi cuma menunduk. Pelik pula dengan sikap lelaki ini.

“Kenapa abang diam? Beritahulah mereka apa yang abang nampak,” gesa Puan Rosmah.

Terkulat-kulat Encik Ghani. Terasa ada sesuatu yang tersekat di kerongkongnya. Jujur dia agak terkejut melihat kehadiran Raiqa bersama keluarga asing ini. Pada masa yang sama, dia takut perbuatannya tempoh hari bakal terbongkar.

“Dahlah, sayang. Perkara dah lepas. Abang dah maafkan mereka,” ucap Encik Ghani.

“Kau tengok. Sampai sekarang suami aku masih nak sebelahkan kau. Dasar budak tak kenang budi!” tempelak Puan Rosmah.

Raiqa menjeling geram. Ikutkan hati mahu saja dia mengamuk. Demi menjaga air muka keluarga Daim, dia terpaksa bersabar.

“Dan kau... patutlah anak saudara aku berubah. Kau bagi pengaruh tak baik dekat budak ni. Sampai sanggup buat perkara terkutuk dalam rumah aku,” sembur Puan Rosmah.

“Jaga mulut awak tu. Anak saya bukan macam tu. Saya yakin anak saudara awak yang goda anak saya sampai dia lupa halal dan haram!” Hajah Rogayah membantah.

Keadaan semakin tegang apabila kedua-dua wanita ini bertengkar. Raiqa dan Daim masih menikus di tempat masing-masing. Nak mencelah, mereka sendiri tak berani.

“Sudah!” Tinggi nada suara Haji Daus. Nafas dihembus sedikit kasar. Kepalanya digeleng tanda kesal dengan sikap isterinya yang kurang sabar. Sebagai seorang ayah, dia juga terkesan dengan kata-kata yang dilemparkan kepada si anak. Dia hanya bersabar kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

“Saya minta maaf atas sikap anak lelaki saya. Mungkin salah saya kerana terlalu memberi kepercayaan kepada anak lelaki saya.” Bergetar nada suara Haji Daus.

Makin sebak dada Daim. Perasaan bersalahnya semakin tebal. Gara-gara dia, abah terpaksa menjatuhkan ego dengan meminta maaf atas kesalahan yang tak pernah dia lakukan.

“Lagi 2 minggu, saya nak mereka berkahwin. Saya harap, puan tak keberatan untuk berikan keizinan,” ucap Haji Daus.

Encik Ghani kurang senang dengan permintaan keluarga ini. Baginya, Raiqa perlu menjadi miliknya terlebih dahulu.

“Saya dah tak peduli hidup mati dia. Dia nak kahwin ke apa, itu dia punya pasal. Yang penting, saya tak nak ada kaitan dengan dia lagi,” sinis Puan Rosmah.

Terasa hangat tubir matanya. Bibirnya dikemam kuat. Kata-kata yang dilemparkan oleh mak su sangat menggores perasaannya. Daim di sebelah turut bersimpati.

“Jangan macam tu, puan. Baik buruk dia, dia tetap anak saudara puan. Jangan disebabkan satu keburukan dia, puan nak buang dia.” Haji Daus masih cuba memujuk.

Puan Rosmah terdiam seketika. Terkesan juga dia dengan kata-kata lelaki ini.

“Kami balik dulu. Saya harap, puan datang ke majlis mereka nanti. Demi maruah kedua-dua keluarga, tolonglah datang.” Haji Daus berdiri sambil berjabat tangan dengan ayah saudara Raiqa.

Gugup Encik Ghani melihat cara lelaki itu merenungnya.

Hilang saja kelibat tetamu yang muncul tadi, Puan Rosmah terus masuk ke dalam bilik. Dadanya ditepuk berkali-kali. Hatinya masih sakit dengan sikap Raiqa. Tergamak budak yang dijaga dengan penuh kasih sayang dulu, menjatuhkan maruah keluarganya.

“Abang tak setuju Mah benarkan dia berkahwin.”

Tiba-tiba suaminya muncul dengan wajah yang tegang.

“Mah dah tak peduli. Biarlah dia keluar dari rumah ni. Mungkin ini lebih baik.”

Encik Ghani merengus kasar. Putih matalah dia kalau Raiqa berkahwin dengan Daim.

“Abang nak Mah beritahu mereka untuk batalkan perkahwinan tu. Rai tu muda lagi. Abang tengok, lelaki tu pun masih belum mampu nak jadi suami.”

“Kenapa abang tak cakap aje depan mereka tadi?” Dek terlalu marah, dia lontarkan soalan itu kepada si suami. Tadi bukan main diam lagi.

Encik Ghani berdeham perlahan. “Abang tak nak keruhkan keadaan. Mah pun masih marah tadi. Belum terlambat untuk kita suruh Rai balik ke sini dan lupakan hal perkahwinan tu.”

“Mah dah tak nak pedulikan dia. Keputusan Mah muktamad. Biarlah dia hidup di luar sana tanpa kita.”

“Kenapa degil sangat ni? Rai tak boleh jadi milik orang lain!”

Tersentak Puan Rosmah saat dia ditengking oleh si suami. Wajahnya sudah berubah riak.

Encik Ghani yang terlepas cakap, sudah mula tidak senang duduk. Lekas dia keluar dari rumah itu untuk menenangkan fikiran.

Puan Rosmah masih lagi terkejut dengan reaksi si suami. Kata-kata terakhir lelaki itu agak mencurigakan.

 

RAIQA MEREBAHKAN tubuhnya di atas katil. Terasa lega segala urat sendinya setelah berjaya mengemas pinggan mangkuk di dapur. Bibirnya mencebik. Bengang dengan layanan daripada bakal ibu mentuanya.

Selama 2 minggu dia tinggal di sini, dia terpaksa melakukan kerja rumah. Kononnya dia perlu belajar cara menguruskan rumah tangga selepas berkahwin. Paling dia terkejut, rumah ini tiada orang gaji.

Semua kerja di rumah ini dilakukan oleh Hajah Rogayah. Sakit pinggangnya dipaksa mop lantai di rumah ini hampir setiap hari. Bukan dia tak biasa melakukan kerja berat. Cuma dia sakit hati mendengar kata-kata wanita itu. Terngiang-ngiang sindiran pedas Hajah Rogayah.

“Dah duduk dalam rumah ni, pandai-pandailah buat kerja rumah. Ini bukan rumah kebajikan.”

“Kau ingat rumah aku ni hotel. Asyik nak berkurung dalam bilik. Nak makan, ikut suka hati bila nak melantak.”

“Macam manalah anak aku boleh suka perempuan macam kau ni! Umur dah 19 tahun, masih tak nak bertudung. Suami aku tu bukan mahram kau!”

Bantal ditekup ke mukanya. Sekuat hati dia menjerit di sebalik bantal itu. Kalau bukan disebabkan Daim, dah lama dia larikan diri.

Bunyi deringan telefon melenyapkan perkara yang berlaku beberapa hari ini. Dia segera menjawab panggilan itu tanpa melihat nama si pemanggil.

“Sayang dah tidur?”

Raiqa menjulingkan biji mata mendengar ayat pertama lelaki itu. Meluat dia dibuatnya. Makin hari, makin menyampah Raiqa dengan sikap keluarga Daim.

“Sayang...”

“Ya. Rai dah nak tidur. Penat.”

Terdiam Daim. Daripada cara gadis itu bercakap, nampak sangat ada rasa tidak puas hati.

“Kenapa ni?”

Raiqa terus bangun daripada perbaringan. Rambut panjangnya diselak kasar ke belakang.

“Mak abang tu dah melampau. Hari-hari dia sengaja cari gaduh dengan Rai.”

“Mak abang buat apa?”

Raiqa terus mengadu tentang apa yang berlaku. Malah kata-kata sindiran daripada saudara-mara Daim turut diceritakan.

“Tak payah pedulilah kata-kata orang. Anggap aje mereka dengki tengok kita bahagia. Tentang mak, abang rasa mak masih marahkan kita. Kita sebagai anak, sabar ya.”

Terketap-ketap rahang Raiqa. Dia dah agak. Memang itulah jawapan Daim. Sabar!

“Mak abang tu sebenarnya baik sangat. Kalau sayang dah mula rapat dengan dia, percayalah. Rai mesti sayangkan mak lebih daripada abang.”

Berdecit lidah Raiqa. Macam mustahil saja perkara itu berlaku. Pantang berjumpa, ada saja yang tak kena di mata orang tua itu. Haji Daus pula lebih suka berdiam diri.

“Tidurlah awal. Jangan fikirkan sangat apa yang berlaku. Esok kita dah nak bernikah. Abang tak sabar nak jumpa sayang. Rindu.”

Meluat Raiqa mendengarnya. Selepas mereka mengambil kursus kahwin, mereka berdua tidak pernah berjumpa lagi. Walaupun esok majlis pernikahan mereka, persiapan yang dilakukan terlalu hambar baginya. Bukan ini yang dia mahu.

“Kenapa ni? Marah abang ke?”

“Tak ada sebab Rai nak marah,” bohong Raiqa.

“Abang minta maaf kalau ada yang terkurang dalam majlis kita. Abang janji, bila abang dah kumpul duit, kita buat majlis yang sayang nak ya.”

“Betul ke?”

“Abang janji.”

Wajahnya sedikit ceria. Dia yakin Daim takkan hampakannya. Setelah selesai berbual, dia kembali berbaring di atas katil. Saat ini dia teringatkan mak su. Walaupun ada rasa marah dengan sikap wanita itu, dia masih berharap mak su muncul di majlis pernikahannya esok.

No comments:

Post a Comment