WABIL bersandar di kerusi malas. Balik dari melawat restorannya, dia ke rumah Ayoi. Ayoi merupakan kawan baiknya dan rumah lelaki itu selalu saja menjadi port dia dan kawan-kawannya yang lain melepak.
“Tak ke restoran ke Bil?” Ayoi muncul dengan dulang air teh.
Petang-petang begini, itu sajalah agenda mereka. Melepak dan berborak setelah seharian penat bekerja.
Wabil menggeleng kecil. Kemudian memicit keningnya. Pening dengan masalah yang menimpa.
“Kau kenapa ni? Runsing semacam aje aku tengok.” Hairan Ayoi melihat wajah Wabil yang seperti ayam berak kapur itu.
“Ke risau tak kahwin lagi?” Ejal menyampuk sambil memetik gitar kapok milik Ayoi itu.
Apa nak jadi,
Apa nak jadi,
Sampai sekarang tak kahwin lagi,
Bercinta dengan Siti Zaharah...
Buk! Satu sepakan Wabil beri di betis Ejal. Tak jadi Ejal bersenandung.
“Kau jangan nak merapu boleh tak? Aku runsing pasal restoran aku tulah. Sejak ada restoran hipster tu restoran aku tak laku dah. Bayang customer langsung tak ada. Kereta nak bayar, gaji pekerja aku pun nak kena bayar. Tak balik modal dah ni. Sakit kepala aku ni.” Wabil luah kegusarannya. Mana dia tak pening. Restoran kecil miliknya itu sudah hampir-hampir bankrap. Kalau berterusan begini memang betul-betul muflis dia jawabnya.
Restoran itu Wabil usahakan 3 tahun lepas. Waktu itu dia buat keputusan untuk membetulkan semula dirinya dan melupakan kisah silamnya. Walaupun kadangkala hati Wabil goyah inginkan kehidupan lama tapi Wabil meneguhkan juga semangatnya. Dia tak mahu emaknya bersedih lagi kerana dirinya. Perubahannya sekarang sangat menggembirakan hati si emak. Manalah dia sanggup melukai hati wanita kesayangannya itu sekali lagi.
Ayoi dan Ejal berpandangan sesama sendiri. Mereka turut simpati pada sahabat mereka itu. Apa boleh buat. Itulah adat berniaga. Ada untung dan rugi. Ada jatuh dan bangun.
Ejal menggaru dagu sambil memandang wajah sugul Wabil. “Aku ada cadangan. Apa kata siang kau buat GrabCar. Buat side income. Lepas tu kau rajin-rajinlah promo restoran kau tu. Iklankan kat mana-mana. Buat servis Foodpanda dengan GrabFood. Mana tahu dapat pulihkan semula restoran kau tu. Insya-Allah, ada jalannya Bil.” Ejal memberi cadangan. Ayoi ikut menggaru dagu memikirkan cadangan Ejal.
“Betul! Bernas sungguh cadangan tuan hamba. Cubalah Bil. Esok aku teman kau pergi daftar Grab. Aku rasa ini aje jalan untuk kau buat sementara waktu ni. Masyuk juga buat Grab tu.” Ayoi menepuk bahu Ejal. Kemudian memandang ke arah Wabil. Dia setuju dengan cadangan Ejal.
“Kepala hotak kau berguna jugak kan Ejal,” sambungnya lagi. Sengaja menyakat kawan baiknya.
“Kalau tak berguna, aku tak jadilah orang sekarang. Nak tanggung anak dara orang pun dah boleh.” Ejal menjeling Wabil.
“Wah! Macam dah ada calon aje bunyinya.” Ayoi menepuk lagi bahu Ejal.
Ejal sengih.
“Tengah tunggu abang dia approve aje. Masalahnya abang dia tengah serabut.” Ejal kerling lagi Wabil yang sedang termenung.
“Ejal, thanks bro! Esok aku pergi daftar Grab.” Wabil membalas semangat.
WABIL MENGELUH perlahan. Harap-harap adalah rezeki mereka nanti.
“Bos, aku dah habis edar kertas iklan kita ni.” Joe yang juga pekerjanya mendekati Wabil yang sedang duduk di tembok tepi jalan itu.
Wabil mengangguk dan memandang Joe yang ikut duduk di sebelahnya.
“Joe, kau tak nak balik kampung?”
“Kenapa bos tanya?” Hairan Joe dengan pertanyaan tiba-tiba Wabil.
“Entahlah Joe. Aku rasa business aku tu tak tahan lama. Aku kasihankan kau. Kalau kau tak nak balik kampung, kau nak cari kerja lain pun aku okey aje.” Wabil senyum. Dia dah anggap Joe macam adik sendiri.
“Bos lupa ke aku tak ada kampung? Jangankan kampung. Keluarga pun tak ada. Boslah keluarga aku. Aku dah janji aku akan setia dengan bos. Bos dah lupa ke?” Joe balas perlahan.
Wabil senyum lagi. Rambut serabai Joe diusap kasar.
“Terima kasih sebab setia dengan aku. Terima kasih sebab kau tak berpaling ke jalan lama.”
“Alahai... bos. Habis rosak stail rambut aku.” Joe menolak tangan Wabil. Rambutnya dikemas kembali.
Wabil ketawa. Macam-macam si Joe ni.
“Eh! Eh, bos! Tu Anne Dalisa kan? Artis top tu.” Joe tunjuk pada sebuah kereta yang terparkir.
Pandangan Wabil menghala ke arah yang ditunjukkan oleh Joe. Wabil kecilkan mata. Tajam betul mata si Joe ni. Yang Wabil nampak hanya kelibat 2 orang perempuan di bawah lampu jalan itu. Seorang sedang masukkan barang ke dalam boot kereta. Seorang lagi sedang bercakap di telefon.
“Entah. Aku mana kenal artis-artis ni.” Wabil bangkit berdiri. Malas nak ambil tahu. Dia nak balik. Tentu saja Mak Peah di rumah sedang menunggunya.
“UNCLE SAM dah tak dapat nak tolong kita. Isteri dia jatuh sakit.” Sara beritahu Anne tentang masalah yang mereka hadapi. Barang-barang dimasukkan ke dalam kereta. Kerja mereka telah selesai.
Anne bersandar di tepi kereta. Bahu yang lenguh diurut perlahan.
“Hmmm... tak apalah. Nanti kita tengok macam mana. Jomlah balik. Aku letihlah. Esok aku nak kena fly pulak.” Anne menguap kecil. Baru sekarang dia terasa penat.
“Haa... ini aku dah downloadkan aplikasi Grab kat handphone kau. Nanti kat rumah aku ajar kau cara nak guna.” Sara memberi iPhone Anne semula. Tadi Anne menyuruh dia yang memegangnya. Rimas diganggu seseorang. Siapa lagi kalau bukan bekas kekasih Anne itu.
Anne menyambut iPhonenya. Berderet panggilan tidak berjawab daripada Andy, bekas kekasihnya. Baru 2 minggu mereka berpisah. Andy setiap hari tak pernah jemu mengganggunya.
“Entah apa masalah mamat ni? Eeii... menyampah aku!” Anne menggumam geram.
“Eh! Salah siapa kan? Dari dulu lagi aku larang kau bercinta dengan dia. Tapi kau degil. Ikutkan juga saranan abang kau tu. Sebab apa? Sebab Andy handsome. Tapi tengoklah, handsome saja tak guna kalau kuat cemburu. Samalah dengan bini si Helmi tu.” Sara mula membebel.
Siapa suruh tak dengar nasihat dia. Sekarang rasakan, asyik kena kejar dengan Andy. Sudahlah lelaki itu rupa-rupanya mafia. Itu pun Anne boleh tak perasan. Maklumlah mabuk bercinta.
Anne merengus kasar bila iPhone miliknya itu bergetar lagi tanda panggilan masuk.
“You nak apa lagi Andy? Berapa kali I nak cakap jangan ganggu I. You ni bodoh ke pekak sampai tak faham-faham?” Marah Anne sudah meluap. Mafia ke tak mafia, dia peduli apa. Sakit sungguh hatinya. Mati-mati dia ingat Andy hanya lelaki biasa. Rupa-rupanya Andy terkenal sebagai ketua mafia. Cuma, Anne saja tidak tahu.
Anne rasa nak carut diri sendiri. Dia sepatutnya tahu siapa Andy. Bukankah Kyle, abangnya itu yang kenalkan mereka? Bukan dia tak kenal siapa Kyle sebenarnya. Dunia mereka berputar dalam putaran yang sama.
“Come on Anne. Takkan you masih marah I pasal hal sekecil tu? Yang penting I sayangkan you. Yang lain you pejam mata sudahlah. You bukan datang dari syurga pun Anne.”
Makin panas hatinya bila mendengar pujukan selamba Andy. Ya. Dia bukan dari syurga. Tapi, dia mahu keluar dari neraka itu. Dia tak mahu hidup macam dulu!
“Get lost! You cari I lagi, I repot polis!” ugut Anne akhirnya. Biar Andy tahu dia memang bersungguh untuk tinggalkan lelaki itu.
Andy ketawa jahat. “Repotlah, I tak hairan pun. Yang penting you tetap akan jadi milik I.” Ugutan Anne langsung tak menakutkan.
Anne letak panggilan itu. Sakit betul hatinya!
“Jom balik!” Anne masuk ke tempat duduk penumpang.
Sara menggeleng kecil. Macam-macam hal. Pandangannya tertancap pada sehelai kertas yang diselitkan di cermin hadapan kereta.
Sara mengambil kertas itu. Dahinya berkerut.
“Anne, aku rasa kita dah dapat pengganti Uncle Sam.” Sara senyum lebar sambil menayang kertas di tangannya.
No comments:
Post a Comment