Wednesday, 29 June 2022

Bodyguard Hati Anne Dalisa - Bab 4


ANNE menyanyi kecil sambil menyarung flat shoesnya ke kaki. Malas dia mahu bergaya dengan heels. Cukup dengan gaya santai. Dress warna oren separas lutut dari jenama Burberry itu sudah cukup selesa baginya.

Bagasinya ditarik ke arah lif. Sambil menunggu pintu lif dibuka, dia menekan butang aplikasi GrabCar di telefon pintarnya.

Sara sudah ajarkan dia. Apa boleh buat, Sara ada hal kecemasan di kampung. Bapanya sakit. Jadi, terpaksalah Anne ke lapangan terbang sendiri. Mahu memandu sendiri, dia tak tahu. Trauma yang dia lalui bertahun dulu masih menghantuinya hingga dia takut untuk memandu lagi.

Masuk ke dalam lif, Anne membelek kukunya yang berkilat. Mungkin nanti habis shooting drama terbarunya ini dia kena buat manicure dan pedicure semula. Lama tak memanjakan diri. Asyik sibuk dengan kerja.

Anne sandar badan ke dinding lif. Mujur saja dia seorang diri di dalam lif. Jika tidak, pasti saja dia harus melayani peminat yang bergambar dan macam-macam lagi. Dia sendiri tak menyangka dia akan jadi seperti hari ini. Berdiri di dunia yang penuh kemasyhuran.

Sedang dia mengelamun, telefon pintarnya bergetar minta diangkat. Waktu itu juga pintu lif terbuka. Anne membuka langkah keluar dari lif. Bagasinya diheret bersama.

Nombor tak dikenali. Siapa pula? Sara ke?

Anne angkat panggilan itu.

“Helo sayang. You di mana? I on the way ke rumah you. You jangan ke mana-mana ya sayang.” Suara Andy menerpa di pendengarannya.

Anne menghela nafas keras. Nampaknya Andy memang biol. Tak faham-faham bahasa. Sudah diblock nombornya. Dia guna nombor lain pulak!

You ni bodoh ke apa Andy? I kata jangan ganggu I lagilah! Kita dah tak ada apa-apa!” Hampir menjerit Anne di situ. Panas betul hatinya. Terus dia putuskan panggilan.

Laju langkahnya menuju ke tempat menunggu Grab. Lebih kurang 5 minit lagi pemandu Grab itu akan sampai. Harap-harap dia sempat lari daripada Andy.

Anne sudah terjengah-jengah sambil menjeling aplikasi Grab itu. Cepatlah Encik Grab! Tiba-tiba sebuah kereta berhenti di hadapannya. Jantung Anne terasa ingin berhenti.

“Anne, jom I hantar you.”

Mata Anne mengecil melihat pemilik kereta itu. Bala lagi apa yang sampai ni? Dia malas nak layan.

Nope! Tak perlu. Ada orang hantar I.” Anne menolak pelawaan Helmi. Dia serik.

Come on Anne. I tahu Sara tak dapat ikut you kan? Dia balik kampung.” Helmi senyum meleret.

Look Helmi. I hargai niat baik you. Tapi you sendiri tahu isteri you macam mana. I penatlah nak layan cemburu dia.” Anne berdiri di tepi jalan itu.

Anne akui Helmi sahabat yang baik. Tak pernah mengambil kesempatan. Tapi Helmi punya isteri yang gila. Bukan setakat menyerangnya di set penggambaran, Rosa juga sibuk menabur fitnah di media sosial. Penat dia mahu menjawab pertanyaan peminat.

Helmi parkir kereta di tepi. Baru saja dia keluar dari kereta, tiba-tiba pipinya ditumbuk seseorang. Terbeliak mata Anne bila melihat Andy menyerang Helmi.

“Oh. Jadi, ini laki orang yang ganggu girlfriend aku tu.” Mencerlung mata Andy memandang lelaki ini.

Mata Anne meliar ke sekeliling. Matilah kalau wartawan tahu tentang ini.

“Andy! Stop it!” jerit Anne. Gila betullah bekas kekasihnya itu. Boleh pula serang Helmi di sini.

IPhonenya terlebih dulu berbunyi sebelum Anne membuka langkah mahu menyelamatkan Helmi. Cepat Anne mengangkat panggilan itu.

 

LIGAT ANAK mata Wabil mencari kelibat pelanggan yang menempah khidmat Grabnya.

Dia memandang skrin telefon. Nombor pelanggan itu didail.

“Helo cik...” Wabil memandang skrin lagi sekali.

“Cik Delicious?” Apa ke pelik-pelik letak nama.

“Ya. You dekat mana?” Cemas suara merdu itu bertanya.

“Saya yang patut tanya cik. Cik dekat mana? Saya tak nampak...” Belum pun Wabil habis bercakap, tiba-tiba pintu tempat duduk belakang dibuka. Sebuah bagasi dihumban di situ sebelum pintu tempat duduk penumpang di sebelahnya pula dibuka.

“Cepat jalan!” arah wanita yang sedang tercungapcungap.

Wabil terkebil-kebil memandang wanita cantik ini.

“You pemandu Grab tu kan? Cepat jalan!” arah wanita ini lagi. Kelam-kabut Wabil hidupkan enjin kereta.

“Anne! Wait! You tak boleh lari daripada I!” Cermin tingkap sebelah penumpang itu tiba-tiba diketuk.

Wabil memandang wanita di sisinya. Apa kes ni?

“Jangan tanya apa-apa. Cepat bawa I pergi dari sini.” Anne bersuara garang.

Wabil ikut saja arahan itu. Namun, sempat juga dia menjeling cermin pandang belakang. Ada seorang lelaki sedang menunduk sambil tercungap-cungap. Penat mengejar si gadis ini kut. Tapi, kenapa dia rasa macam kenal lelaki itu dan wanita di sebelahnya ini?

Wabil menjeling sekilas. Pun macam kenal saja.

Anne melepas nafas lega bila bayang Andy sudah tidak kelihatan. 'I’m sorry, Helmi. I harap you tak apa-apa,' desis hatinya. Dia meraup muka. Rasa nak gila bila memikirkan tindakan Andy tadi.

Mujurlah Anne sempat menyelamatkan diri. Dia tahu Andy boleh bertindak lebih daripada itu. Lelaki itu mana tahu takut.

Anne menjeling pemandu Grab di sebelahnya.

“I’m sorry,” ucapnya perlahan.

“Ya? Kenapa pula nak minta maaf?” terjongket kening Wabil.

“I cakap I minta maaf sebab you nampak semua itu tadi. I harap you tak beritahu sesiapa.”

Makin tercengang Wabil mendengar permintaan itu. “Err... saya nak beritahu siapa?” Kali ini dahinya sudah berkerut.

Anne memandang pemandu Grab itu seperti tidak percaya. Seriuslah! Lelaki ini tak kenal dia?

“You tak kenal I?” Giliran Anne pula berkerut dahi.

Err... Cik Delicious?” Meremang pula Wabil menyebut nama itu. Dia menjeling lagi dengan ekor mata. Memang kelihatan sangat delicious. Astaghfirullahalazim Wabil! Apa kau fikir ni? Cepat Wabil beristighfar panjang. Apa boleh buat. Wanita ini seksi dan jelita. Dia lelaki tulen. Tentu saja dia tertarik melihat keindahan ciptaan Ilahi.

Anne ketawa besar bila lelaki ini sebut namanya. Itu nickname yang diletakkan sewaktu mendaftar aplikasi GrabCar itu. Nama itu yang disebut pemandu Grab itu. Sah! Ada juga yang tak kenal dia.

Wajah Wabil sudah memerah. Salahkah dia sebut nama itu? Siapa suruh letak nickname pelik-pelik.

“Okey. Sorry... I Anne. Anne Dalisa. And you?” Anne kenalkan diri seraya mengoyak senyum manis buat lelaki yang sedang memandu itu.

“Wabil.” Wabil jawab sepatah. Senyuman itu dibalas seadanya.

Tapi kejap, Anne Dalisa? Pandangan Wabil serta-merta terkalih kepada wanita di sebelahnya.

“Anne Dalisa? Artis kesayangan Mak Peah?” Pertanyaan itu terluah daripada bibir Wabil.

Berkerut dahi Anne. “Who’s Mak Peah?

Wabil ketawa kecil. “Mak Peah tu emak saya. Dia peminat Cik Dalisa nombor 1. Hari-hari kalau tak sebut nama cik memang tak sah.” Wabil senyum kemudiannya.

Melihat senyuman itu, jantung Anne tiba-tiba berdegup lain macam. Dah kenapa pula ni? Anne pegang dadanya. Bukan dia tak pernah jumpa lelaki kacak pun sebelum ini. Terpaksa dia akui senyuman lelaki ini sangat manis.

“Ya ke? Kirim salam dekat mak you nanti.” Anne ukir senyum. Wabil hanya mengangguk kecil. Kemudian Anne keluarkan iPhonenya.

Wabil hanya menggeleng. Kalau dah namanya artis, asyik nak berswafoto tak kira masa saja.

Anne sembunyi senyum licik. Badan disengetkan menghadap cermin. Curi-curi Anne mengambil gambar mereka berdua. Entah kenapa dia buat kerja gila sebegini. Yang pasti Wabil benar-benar menarik perhatiannya.

No comments:

Post a Comment