Tuesday, 28 June 2022

Gelisah Asmara - Bab 1


LELAKI itu berdiri lama merenung telefonnya. Sudah 5 hari tunangnya itu tidak menghubunginya. Lebih daripada itu, mesejnya tidak dibalas oleh Mariani sudah berhari-hari. Hati Saef Haris mula merasa tidak sedap. Cuba untuk memujuk hatinya yang mungkin Mariani sedang sibuk. Tidak mungkin Mariani akan berulang dengan perangai lamanya.

Masuk hari keenam, Saef pergi ke rumah sewa Mariani. Di depan rumah, kelibat Audi milik Mariani itu tiada. Senang saja hendak mengesan ada atau tidak gadis itu. Kereta Audi berwarna hitam itu, dia yang belikan untuk Mariani dua bulan yang lalu.

Lelaki itu menunggu seketika di dalam kereta. Namun dalam menungannya, dia hanya terkenangkan apa yang diucapkan ibunya beberapa bulan lalu. Dia gusar. Bimbang apa yang diucapkan mamanya itu menjadi nyata. Kerana hatinya juga sudah mula merasakan apa yang dibayangkan mamanya sedang berlaku di sekelilingnya. Mariani kembali liar sedangkan perkahwinan mereka akan berlangsung tidak sampai dua bulan saja lagi.

Ketika Saef duduk di dalam kereta, dia ternampak rakan serumah Mariani berjalan ke arah rumah. Dia segera keluar dari kereta.

“Abang Saef,” tegur Hanani setelah ternampak Saef mendekatinya.

“Tahu Mar di mana?” tanya Saef.

Hanani berdiri seketika memandang lelaki itu. Serba salah nak beritahu.

“Saya tak berniat nak masuk campur urusan Abang Saef dengan dia. Saya pun tak mahu jadi pengadu domba. Tapi semenjak kebelakangan ni, dia keluar dengan lelaki lain,” beritahu Hanani.

Saef hanya tenang. Jadi, benarlah telahannya. Mariani sudah bosan dengannya.

“Saya minta maaf, bang. Saya bukan nak lagakan abang. Tapi saya tak suka apa yang dia buat dan saya kesiankan Abang Saef,” ucap Hanani lembut.

“Nani kenal ke lelaki tu?”

“Saya tak kenal. Tak nampak jelas pun orangnya. Cuma, semenjak 2 minggu lepas, ada kereta akan datang sini dan dia pergi dengan kereta tu. Selalunya malam. Saya pernah cuba tengok. Nampak orang lelaki dalam kereta. Cuma mukanya saya tak nampak,” balas Hanani. Tidak pelik. Semenjak dari awal dia kenal Mariani, gadis itu perasan dirinya paling lawa dan melayan semua lelaki berduit. Kerana itu hidup Mariani sebagai siswi sentiasa senang.

Saef diam merenung Hanani. Nampaknya dia ditipu hidup-hidup oleh tunangnya itu. Malam adalah waktu Mariani study kononnya. Jadi mereka sudah lama tidak keluar bersama.

“Saya tahu Abang Saef sayangkan Mar. Tapi... tengoklah sendiri. Saya nak cakap lebih-lebih pun tak tahu. Tapi perbuatan macam ni bagi saya melampau. Saya nak cakap lebih-lebih pun saya bimbang dia kata saya dengkikan dia,” ucap Hanani. Dia rasa Mariani itu tidak sedar diri. Punya baik tunangnya, gadis itu masih dengan perangai playernya!

“Terima kasih, Nani.” Saef berpaling untuk pulang. Entah kenapa hatinya tidak merasa tersiat yang begitu menyakitkan. Namun rasa ini agak aneh. Seperti satu kelegaan. Tidak tahu kenapa dia merasai perasaan ini setelah mendapat tahu Mariani berpaling daripadanya.

Setiba di rumah, Saef mula memberi mesej kepada Mariani tentang apa yang diberitahu oleh Hanani.

Abang dapat tahu Mar keluar dengan

lelaki lain. Lambat atau cepat,

kebenaran akan terbukti juga. Jangan

lupa, Allah tidak pernah tidur.

Itu ayat yang diberikan Saef kepada tunangnya. Mesej itu cepat sekali dibaca oleh Mariani. Namun gadis itu tidak membalasnya. Saef menahan geram dengan perbuatan Mariani. Dia cuba menghubungi Mariani, namun gadis itu enggan menjawab panggilannya.

Lelaki itu cuba bersabar. Namun tarikh nikah semakin dekat agak merunsingkannya. Namun setelah agak lama Mariani berdiam diri, gadis itu tiba-tiba memberi mesej kepada Saef. Mesej yang tidak langsung mengejutkan.

Abang, Mar minta maaf. Mar nak

minta putus. Mar belum bersedia nak

kahwin.

Mesej itu sudah diagak oleh Saef. Dia kaku dikerusinya saat membaca mesej itu. Matanya dipejamkan rapat-rapat. Mariani sengaja menunggu selama beberapa hari untuk memberikan jawapannya. Itu memang kejam sementelah kad undangan pernikahan akan diedarkan sedikit masa saja lagi.

Hatinya meluap-luap oleh rasa sakit. Namun lelaki itu diam... diam dan diam sehinggalah dia bangun lalu pergi ke kamar kerja ayahnya.

“Papa,” sapa Saef setelah masuk ke dalam bilik CEO.

“Ada apa?” tanya Tan Sri Shahrin sambil memandang anak lelakinya itu.

Saef diam seketika. Berkira-kira bagaimana untuk memberitahu hal itu kepada sang ayah.

“Saya ada berita buruk, papa. Mariani meminta untuk putuskan pertunangan,” ucap Saef tenang.

Orang tua itu terus tersandar mendengarkan itu. Tiba-tiba dia membuka laci mejanya dan mengambil satu kad dari dalam meja itu. 

“Ni papa terima daripada mama kamu pagi tadi. Papa belum lihat lagi pun,” ucap Tan Sri Shahrin lantas melihat kad undangan perkahwinan sang anak. Sampel kad yang diberikan isterinya pagi tadi.

Tan Sri Shahrin memandang kad itu seketika. Dia kemudian menghela nafas perlahan sebelum membuang pandangan. Saef terus menunggu di situ untuk mendengar pendapat sang ayah. Namun Tan Sri Shahrin menggeleng kesal.

“Papa rasa keadaan ini tak semudah yang dia sangka. Datang dan pergi begitu saja. Papa dah kata dulu, Saef. Bukan dia orangnya yang boleh kamu letakkan kepercayaan,” ucap Tan Sri Shahrin perlahan.

Saef diam. Dia tahu ayahnya memaksudkan segala kemewahan yang dia berikan kepada Mariani itu. Gadis itu mata duitan.

“Beritahu ayahnya. Kita akan pergi ke rumahnya pagi esok,” ucap Tan Sri Shahrin lembut.

“Maafkan saya, papa. Keputusan yang saya buat akhirnya jadi begini,” ucap Saef perlahan.

Orang tua itu menggeleng kesal.

“Mama kamu dah kata semenjak awal lagi. Ayah dia sendiri pun dah ingatkan banyak kali. Nasi dah jadi bubur, Saef. Tiada apa yang hendak kamu kesalkan,” ucap Tan Sri Shahrin kepada anaknya itu.

“Kali ini saya akan biarkan papa dan mama buat keputusan untuk saya,” ucap Saef.

Lelaki itu bersandar memandang anaknya. Dia diam seketika sebelum dia akhirnya menyebut satu nama.

“Mikayla... kamu tahu pendirian papa dan mama tentang calon isteri kamu. Dan kamu juga sudah tahu pendirian papa dan mama tentang Mariani. Mikayla... atau tak payah. Kita akan batalkan.”

“Tetapi kita tak tahu pendirian Mikayla tentang saya, papa.”

Tan Sri Shahrin tersenyum.

“Kamu nak menguji kemampuan diri kamu dengan menjadi pembimbing kepada Mariani yang liar. Sekarang kamu risau pendirian Mikayla tentang kamu,” balas Tan Sri Shahrin.

Saef hanya mampu mengukir senyum kelat sebelum dia berpaling untuk keluar. Kepalanya kusut dengan masalah yang sudah dibuat oleh Mariani. Hatinya hampa. Saat ini dia rasa seperti mahu menjerit ke seantero dunia untuk meluahkan rasa marahnya. Tidak rela maruah keluarganya dipermainkan.

 

SEBELUM BERGERAK ke kampung halaman Mariani, Saef sempat singgah di rumah sewa tunangnya itu. Berharap akan bertemu sendiri dengan Mariani sebelum mereka pergi lebih jauh lagi. Namun menurut teman serumahnya, Mariani tidak pulang ke rumah sudah beberapa hari. Dia membawa pakaiannya pergi seolah-olah mahu pergi melancong.

Okay. Thanks for the information,” ucap Saef lantas kembali ke kereta. Lelaki itu kembali memandu ke rumah keluarga Mariani. Ketika dia tiba, ibu dan ayahnya masih belum sampai. Pak Cik Mohamad terkejut melihat Saef muncul di hadapan rumahnya. Orang tua itu mula merasa tidak sedap hati.

“Saef, ada... ada apa ni?” Tergagap-gagap orang tua itu bertanya. Seolah-olah dapat meneka, ada sesuatu yang buruk telah berlaku.

“Ayah, saya tak berniat nak buat kejutan macam ni. Tapi kita perlu berbincang,” ucap Saef.

Seketika kemudian Maleq muncul. Lelaki itu memandang Saef, tidak mengenali anak muda itu.

“Saef... tunang Mariani.” Saef segera memperkenalkan dirinya.

“Oh... ada apa?” tanya Maleq lantas memandang ayahnya yang bereaksi semacam. Pak Cik Mohamad terduduk di atas tangga.

“Saya rasa kita tunggu orang tua saya sekejap.”

Pak Cik Mohamad sudah mengagak apa yang akan berlaku sekejap lagi.

“Sehingga ke hari Mariani nikah, setiap hari ayah seperti berjalan atas bara api, Saef. Akhirnya kau sampai juga di sini,” ucap Pak Cik Mohamad.

Saef hanya diam memandang orang tua itu. Tidak tahu mahu kata apa. Dia menoleh ke arah jalan utama setelah melihat BMW ayahnya sudah memasuki kawasan  rumah itu.

“Cakap dengan mak kau... buat air. Kita ada tetamu,” ucap Pak Cik Mohamad kepada anak lelakinya.

“Ya, ayah...” Maleq berpaling lalu pergi ke dapur.

“Jemput naiklah... kita bincang di dalam,” ajak Pak Cik Mohamad.

Saef memandang ibu dan ayahnya mendekat. Sempat terpandangkan ayahnya membawa dulang berisi dua bentuk cincin.

Pak Cik Mohamad tetap melayani tetamunya sebaik-baiknya walaupun dadanya gemuruh dengan apa yang bakal didengarinya.

“Pertamanya, maaf kerana datang mengejut begini...” ucap Tan Sri Shahrin lembut.

Pak Cik Mohamad mengangguk tanda dia sedia mendengar.

“Tapi berkenaan dengan rancangan anak-anak kita ni nak bernikah, nampaknya ada masalah sikit.”

“Masalah apa?” tanya Pak Cik Mohamad lantas memandang Saef.

“Dia minta putus daripada saya, ayah...” jawab Saef.

Tan Sri Shahrin mengangguk.

Pak Cik Mohamad tersandar di kerusinya.

“Dia kata dia tak bersedia nak kahwin. Hanya itu yang dia beritahu saya lebih seminggu yang lepas. Tapi sebelum itu, saya diberitahu rakan serumahnya yang Mariani keluar dengan lelaki lain. Saya anggap dia tak berminat lagi nak teruskan. Dan dah lebih seminggu dia tak hubungi saya. Tadi saya ke rumahnya, dia tak ada di sana. Bawa kain baju pergi... mungkin ke satu tempat kerana dia tahu saya akan cari dia,” tambah Saef.

Pak Cik Mohamad beristighfar sambil memejamkan mata. Cuba menenangkan dirinya.

Maleq memegang bahu sang ayah. Berharap sang ayah akan bertenang.

Buat seketika, keluarga Saef tidak berkata apa-apa. Memberi ruang kepada Pak Cik Mohamad dan Mak Cik Mariam untuk menerima berita itu dengan tenang.

“Apa saya nak buat, Tan Sri? Tak tahu saya nak buat apa sekarang. Persiapan semua dah siap.”

“Kita faham. Kita berdua hadapi masalah yang sama. Tapi sebetulnya, ini lebih besar daripada masalah persiapan itu semua,” ucap Tan Sri Shahrin lembut.

“Apa maksud Tan Sri?”

Tan Sri Shahrin memandang isterinya seketika dan mereka tersenyum.

“Saya datang untuk memutuskan pertunangan Mariani dengan Saef. Dan saya datang ini juga dengan hajat yang besar. Saya nak meminang anak Encik Mohamad... Mikayla.”

Berubah wajah Pak Cik Mohamad dan Mak Cik Mariam. Terkejut besar mendengarkan itu.

“Mikayla?”

“Tapi kenapa?” tanya Pak Cik Mohamad bersungguh-sungguh.

“Ada sebabnya. Saya boleh jelaskan,” ucap Tan Sri Shahrin lembut.

Pak Cik Mohamad berdiam mendengar penjelasan bakal besannya itu tentang mengapa rancangan ini tiba-tiba terhala kepada anak keempatnya, si Mikayla.

“Saya anggap inilah jalan yang terbaik untuk Saef... untuk maruah keluarga ini,” ucap Tan Sri Shahrin di penghujung ceritanya.

Pak Cik Mohamad diam memandang dulang cincin meminang dan tunang untuk Mikayla.

“Saya terpaksa terima saja keputusan Tan Sri untuk putuskan pertunangan Saef dengan Mariani. Tak ada gunanya kita teruskan kalau dia macam tu,” ucap Pak Cik Mohamad lantas disambut oleh anggukan Tan Sri Shahrin.

“Tapi tentang Mikayla... Saef, kau tak kenal dia. Dia tak sama macam Mariani.”

“Saya percaya itu sebabnya papa dan mama saya memilih dia,” jawab Saef hanya tenang.

“Tapi ayah bimbang, Saef. Selesai satu masalah, tambah lagi satu masalah.”

“Begini sajalah, ayah. Sama ada dia terima atau tidak, kita sudah pergi sejauh ini. Dan saya perlu lakukan sesuatu untuk selamatkan keadaan ini. Masalah? Ia memang masalah sekarang. Saya sudah berhabis cukup banyak untuk Mariani dan saya hanya perlu datang sini putuskan pertunangan ini dan balik begitu saja seolah-olah semua ni tak pernah berlaku? Paling tidak, saya akan tuntut di mahkamah setiap sen yang sudah saya bazirkan demi bakal isteri yang tak mengenang budi!” balas Saef.

Nada Saef itu membuatkan Pak Cik Mohamad terdiam pula. Tegas. Dalam nadanya ada tertera kemarahan. 

“Saya tak berniat nak berkeras pada ayah dan mak. Maafkan saya. Tapi ini hajat orang tua saya. Saya akan memikulnya atas nama maruah mereka yang sudah tercalar kerana saya memilih Mariani suatu masa dulu. Sekarang dia tidak mahu berdepan dengan saya. Dia larikan diri daripada saya. Seseorang perlu memikul bebannya,” ucap Saef.

Pak Cik Mohamad terdiam. Dia malu... seolah-olah dialah yang tidak pandai mendidik anak.

“Boleh kami minta gambar Mikayla? Sementelah anak bujang saya ni tak pernah jumpa Mikayla,” Puan Sri Zabeha mencelah. Enggan anaknya itu berkeras kepada bakal mentuanya.

Mak Cik Mariam pergi mengambil bingkai gambar Mikayla ketika konvokesyen anaknya beberapa tahun lalu.

Saef memandang lama gambar itu sebelum diletakkan di atas meja di tengah. Dia tidak berkata apa-apa.

“Ayah setuju, Saef. Tapi kali ini ayah minta kamu fikir baik-baik kesannya. Kerana ia tak semudah yang dibayangkan,” ucap Pak Cik Mohamad setelah agak lama berdiam.

Saef memandang ibu dan ayahnya. Hal seterusnya diserahkan saja kepada orang tua itu. Sementara orang tua berbincang, Saef melihat satu album yang diberikan oleh Mak Cik Mariam. Di dalamnya terdapat gambar Mikayla semuanya.

Bibirnya tersenyum sendiri saat melihat wanita itu dalam kostum tradisional orang Melayu bersama rakan-rakan yang menyertai tarian tradisional Melayu ketika di zaman sekolah. Cantik sekali dilihatnya. Dan banyak gambar lain yang menunjukkan wanita itu aktif dengan seni tarian Melayu ketika zaman sekolah dan universiti.

Lelaki muda itu mengambil satu gambar yang paling dia suka. Kemudian dia memandang ibunya, lalu gambar itu diberikan kepada Puan Sri Zabeha.

Wanita itu merenung gambar itu dan tersenyum.

“Yam, boleh ke saya minta gambar ni?” ucap Puan Sri Zabeha lembut.

“Nak buat apa?” tanya Mak Cik Mariam hairan. Jangan dibomohkan anaknya itu sudahlah.

“Tak ada apa. Suka saya tengok gambar ni. Berapa umur dia waktu ni?” tanya wanita itu lantas menyerahkan gambar itu kepada Mak Cik Mariam.

“16 tahun. Waktu tingkatan 4.” Mak Cik Mariam kembali menyerahkan gambar itu kepada Puan Sri Zabeha. 

“Lawa betul Mikayla ni,” ucap Puan Sri Zabeha.

“Kalau nak gambar tu, ambillah,” ucap Mak Cik Mariam lembut.

Puan Sri Zabeha memandang anaknya itu. Lalu gambar itu diberikan kepada Saef.

Saef terus berdiam, menatap foto itu tanpa jemu. Dalam hatinya mengalir satu rasa yang aneh. Namun dia suka rasa itu.

No comments:

Post a Comment