Tuesday, 27 September 2022

Cinta Atas Paksa - Bab 10


SUDAH hampir 2 minggu selepas kejadian yang tidak disangka dan di luar jangkaan itu berlaku. Selepas Daffa menghantar dia pulang ke rumah, Adra mula menjalani kehidupan seperti biasa. Lagi sebulan majlis konvokesyen akan berlangsung.

Dalam pahit yang mendatangi hari-harinya, Adra mampu tersenyum dengan surat konvokesyen yang baru sampai sebentar tadi. Alhamdulillah, dia berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian kelas pertama. Tidak sia-sia dia belajar selama 4 tahun, cukup untuk membuatkan emak dan keluarga berbangga dengan dirinya. Adra tersenyum lebar, namun tidak lama.

Pesanan Puan Halimah sebentar tadi sedikit mengganggu kegembiraan yang dirasa.

“Nanti beritahu Daffa, mana tahu dia boleh datang masa tu. Lepas tu bolehlah Adra cari bukti yang Adra ada di universiti masa kejadian tu.”

Adra mengeluh perlahan, surat di tangan diperhatikan sekilas.

‘Perlu ke beritahu dia?’ Hati Adra berbisik sendiri. ‘Aku takkan lupa apa yang dia buat dekat aku!’ Hatinya kemudian membentak. Hampir ronyok surat yang digenggamnya dek menahan marah.

Adra yang dulunya pendiam, ceria dan sukar marah kini seakan berubah karakter. Dirinya sendiri yang menyedari semua itu. Setiap kali solat, itu yang dirungutkan dalam doa. Adakah dia sudah menjadi pendendam? Adakah hatinya sudah bertompok hitam?

Dalam lemah longlai, Adra tetap melangkah ke arah telefon bimbit yang diletakkan di ruang tamu rumah. Telefon kemudian dicapai lalu terus melangkah ke bangku batu di luar rumah.

“Assalamualaikum.” Salam diberi sebaik sahaja nombor yang didailnya itu disambut.

Waalaikumussalam, siapa?” Suara Daffa kedengaran tegas dan terburu-buru.

Busy ke?” Adra menyoal lagi, takut dia hanya mengganggu.

“Siapa ni?” Suara Daffa kian meninggi, mungkin kerana gadis itu tidak menjawab soalan.

“Adra,” jawabnya sepatah. Kemudian kedua-duanya menjadi sepi, sehinggalah kedengaran keluhan di sebelah sana.

“Kalau sibuk nanti saya telefon lagi.” Adra bersuara selepas beberapa saat mereka berdua hanya berdiam diri. Baru hendak mematikan talian, suara Daffa menahan.

Busy sikit, kenapa telefon?” soal Daffa lebih lembut namun masih kedengaran kasar. Adra yang sudah terbiasa tidak langsung berasa hati.

“Mak yang suruh saya beritahu awak ni, bulan depan 29 April saya konvo. Sekali saya pergi konvo tu, saya akan cari bukti yang saya berada di universiti masa kita nikah tu.” Sengaja ditekankan perkataan nikah itu.

Daffa tersenyum sinis di sebelah sana.

So?” Daffa seolah-olah tidak peduli.

“Mak suruh beritahu, sebab mak kata mana tahu awak nak datang konvo saya ke.” Adra mengulangi perkataan ‘mak suruh’ kesekian kalinya. Dia mahu lelaki itu tahu, bukan dia yang mahu tetapi semua kerana Puan Halimah.

Daffa ketawa kecil namun penuh lagak.

“Okey, cakap dekat mak, aku pergi. E-melkan aku surat konvo kau tu Puan Adra.”

Jawapan itu membuatkan Adra terlopong di talian.

“Awak nak pergi?”

“Mak suruh tanya, maksudnya suruh pergi. Aku ikut cakap mak aje. Lagipun aku nak juga jalankan tanggungjawab aku sebagai suami kepada Puan Adra, kan?” Daffa sengaja mempermainkan si gadis.

Mereka saling mengenakan, namun Adra yang masih lagi mentah pastinya kalah kepada orang yang lebih berpengalaman seperti Daffa. Perbezaan umur mereka sahaja sudah membuatkan Adra berasa kalah!

“Apa-apa ajelah. Bye.” Adra sudah penat, penat mahu melawan tapi kalah. Penat dan gelisah serta terus dirundung resah.

“Ingat, e-melkan surat.” Terus sahaja Daffa mematikan talian. Dia menguntum senyuman. Dari senyuman kecil sehingga terus melebar. Panggilan itu membuatkan dirinya yang berserabut dengan kerja menjadi sedikit ceria dan tenang. Kenapa ya?

“Isteri telefon ke?” Nabil yang datang entah dari mana terus menerjah.

Daffa yang tersenyum lebar dengan telefon masih di tangan, terus mematikan senyuman dan segera menyimpan telefon ke dalam poket seluar.

“Masuk tak bagi salam,” bidas Daffa. Sekadar melindungi diri yang sudah tertangkap oleh Nabil.

Should I use the microphone? Pekak badak ke kau ni? Tak korek bijih eh?” soal Nabil. Tangannya pantas sahaja menarik telinga Daffa untuk diperiksa.

Daffa menggeliat sakit dan cuba sekuat mungkin menolak tangan sahabatnya yang menarik telinganya.

“Isy... aku bukan pengotorlah!” marah Daffa. Telinganya yang mula memerah ditekup dengan tangan.

Nabil ketawa mengekek.

“Aku punya ketuk pintu, bagi salam dua tiga kali. Kau yang duk angau sampai tak dengar suara aku.” Nabil mengambil tempat di kerusi berdepan dengan si teman.

Excuse me? Angau? Oh! Never be me.” Daffa menjawab dengan riak.

“Eleh, neverlah konon. Sudah tu yang kau tersenyum lebar kenapa?”

Daffa kembali tersenyum menampakkan gigi. Nabil mengerut kening.

“Bukan angau tapi revenge. It’s show time bebeh!” Daffa bersuara teruja dan penuh makna yang tersirat.

“Hah? Apa pula yang kau nak buat ni?” Nabil menyoal gusar lalu terus menukar posisinya daripada menyandar terus duduk tegak.

Daffa sekadar tersenyum penuh makna.

“Adalah, belum masanya untuk aku beritahu kau. Eh, kau datang tiba-tiba ni kenapa?” Daffa mengubah topik perbualan mereka.

Nabil dapat merasakan Daffa cuba membuat sesuatu yang buruk, namun malas bersoal panjang, dia membiarkan sahaja kerana ada perkara lebih penting yang perlu dibincangkan.

“Aku dah cuba contact balik beberapa orang yang ada masa hari pernikahan kau tu. Jurukamera, jurusolek dengan butik baju pengantin yang diaorang sewa baju masa akad nikah tu. Jurusolek aje yang kenal perempuan tu, jurukamera dengan orang dekat butik tu tak boleh nak tolong sebab papa kau yang urus semua.”

Daffa sekadar mengangguk mendengar penjelasan daripada Nabil.

So, bila kita nak turun Melaka?” soal Daffa tidak sabar.

“Agak kecewa, next month. Dia pergi Korea malam ni.”

Daffa mengeluh lemah.

“Itu buat kita jadi lambat nak kejar penipu tu.” Tangan dihempas kuat ke meja. Keluhan dilepaskan beberapa kali.

Next month tu berapa hari bulan?” Daffa kembali menyoal dengan kening yang sedikit terangkat.

“Dalam 26 hari bulan, kenapa?”

“Nampaknya schedule aku untuk bulan depan kena rearrange. Adra konvo 29 hari bulan.” Daffa berkata tanpa perlu Nabil bersoal lanjut. Jawapan itu membuat Nabil tersengih-sengih.

“Tak seperti yang otak jahat kau tu fikir okey!” Daffa cepat sahaja menafikan setelah melihat renungan nakal sahabatnya yang penuh pengertian. Nabil ketawa besar.

“Aku kata kau angau, kau kata never. Sekarang apa cer?” Nabil sengaja mengusik sahabatnya itu.

Daffa tersenyum sumbing. “Macam aku cakap tadi, revenge.”

“Jangan buat pelik-pelik dan menyusahkan!” Nabil yang sudah masak dengan sikap Daffa cuba mengingatkan dan memberi amaran.

Daffa sekadar mencebik dan menjongket keningnya dengan maksud tidak peduli.

Nabil merengus perlahan dan menggelengkan kepalanya.

“Beringatlah Daff, she’s only 23, opposite number of you.” Nabil menudingkan jari telunjuknya kepada Daffa sebelum dia melangkah keluar dari pejabat lelaki itu.

Nice number isn’t it?” Daffa bertanya sendiri setelah Nabil menghilang di balik pintu. Dia menguntum senyuman penuh makna. Hanya dia yang tahu apa yang dirasa, apa yang dilaluinya dan hanya dia yang tahu apa yang bakal dilakukan. Baik atau buruk? Cukup memuaskan hatinya yang menyimpan 1001 dendam!

 

ADRA TERMENUNG sendiri di bangku batu di luar rumahnya. Sesekali dia mengubah posisi duduknya. Sekejap berlunjur, sekejap bersila. Mulutnya tidak berhenti berdecit.

“Kenapa macam cacing nak jadi umpan pancing aje akak ni?” Qayla yang baru pulang dari tuisyen menegur kakaknya itu yang berkelakuan pelik.

Adra menoleh sekilas, lalu terus menggelengkan kepalanya.

“Sejak bila dah tak pandai kongsi dengan Qayla ni? Sejak dah jadi isteri?” Qayla mengusik. Bukan membuat Adra tersenyum atau ketawa malah makin mencebik. Qayla melabuhkan duduk di sisi kakaknya itu.

I miss you so badly kakak.” Qayla bersuara lirih.

Adra agak terkejut dengan pernyataan yang keluar daripada mulut adiknya itu. Dipandang lama wajah adiknya yang sudah ditumbuhi jerawat kecil. Adra kemudian menguntum senyum, lalu memeluk erat Qayla.

“Akak minta maaf. Terlalu banyak yang akak fikirkan sejak kebelakangan ni. Akak sampai tak tahu mana satu yang akak nak ceritakan dekat Qayla. Akak keliru.” Adra masih erat memeluk si adik.

“Cerita satu per satu. Jangan simpan dan pendam sorang-sorang. Qayla sentiasa ada untuk akak.” Pelukan dirungkaikan perlahan. Adra masih dengan senyuman yang nyata jelas kehambarannya.

‘Akak bencikan Daffa,’ jerit Adra dalam hati. Tidak terluah oleh bibirnya. Entah kenapa, dia sendiri tidak tahu. Tidak berani? Mungkin.

“Sampai suatu saat nanti, bila akak sudah hampir gila simpan semua yang akak rasa, waktu itu akak akan cerita satu per satu sampai habis dekat Qayla. Sekarang ni, Qayla kena fokus SPM dulu.” Takut pula dia membebani hati adiknya itu kala sedang beradu emosi dengan debaran peperiksaan yang sudah tidak lama lagi akan menjelang.

“Janji?” Qayla bertanya sambil menghulurkan jari kelengkengnya kepada Adra.

Pinky promise! Adra tersenyum dan mengangguk lalu menyambut huluran itu dan membuat janji.

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

 

No comments:

Post a Comment