Tuesday, 27 September 2022

Cinta Atas Paksa - Bab 4


NABIL melangkah laju ke dalam rumah, selepas keretanya diparkir di depan pagar. Loceng rumah dibunyikan, sebelum dibuka oleh Mak Wan, pembantu rumah Daffa.

“Daff... polis dah mula cari isteri kau tu. Famili dia dah mula edar gambar. Lebih baik kau jumpa famili dia, jelaskan semua.” Nabil menyerahkan surat khabar dan beberapa helai kertas yang mempamerkan wajah Adra.

Daffa mengambil dan membeleknya seketika.

“Semalam pun Mak Wan dah beritahu. Aku pun terfikir juga. Budak tu pun hari-hari menangis. Tension aku!” keluh Daffa. Dia dan Nabil kemudiannya melabuhkan duduk di sofa. Mak Wan datang menatang dulang berisi air untuk mereka berdua.

So, tunggu apa lagi? Kita pergi sekaranglah, bawa isteri kau tu sekali.” Nabil bersuara. Daffa menggeleng laju, membuatkan dahi Nabil berkerut.

No... kau gila? Buat dia repot aku dera dia, pukul dia. Mampus aku!” kata Daffa. Gelas yang berisi air diambil lalu diminum.

“Hah! Baru kau takut, masa buat tak fikir. Buat dia call talian Nur, memang mampuslah kau, Daff!” Nabil menyindir tajam. Daffa berdecit, mungkin terasa dengan sindirannya.

“Kau kalau tak mengata aku memang tak sah!” Daffa membalas dengan nada bengang.

“Aku check Adra kejap lagi, tengok bila kita boleh serah diri,” tutur Nabil.

Daffa membuntangkan matanya.

“Bukan serah diri okey, aku tak bersalah. Kira okey aku tak saman dia, aku ambil hak aku aje. Kalau aku saman juta-juta?”

Nabil menjuih bibir, meluat mendengar kata-kata kawan baiknya itu.

Adra memberi salam setelah selesai solat zuhurnya. Tangannya menadah, memohon doa daripada yang Maha Esa. Dia memohon semoga Allah memberikan dia jalan keluar daripada kemelut yang melanda dirinya. Pintu bilik yang dibuka dari luar, membuatkan Adra cepat-cepat menyudahkan doanya.

“Maaf kami mengganggu.” Nabil bersuara sopan. Daffa masih dengan wajah bengis dan egoisnya.

“Tak apa, saya dah siap solat pun.” Adra menjawab lembut. Sejadah dilipat dan telekung dibiar membaluti tubuh sebagai pengganti tudung.

“Saya datang nak periksa Cik Adra.” Nabil menunjukkan beg peralatannya.

Adra sekadar mengangguk faham.

“Saya tukar pakai tudung kejap.” Adra melangkah ke bilik air selepas mengambil tudung yang disangkut di kerusi.

Nabil sekadar mengangguk.

“Jangan layan baik sangatlah.” Daffa yang memerhati mula bersuara.

Nabil sekadar tersenyum.

“Dia isteri kawan baik aku.”

Daffa menjuih bibir mendengar kata-kata lelaki ini.

Seketika kemudian Adra melangkah keluar, siap bertudung. Nabil memulakan tugasnya sebagai doktor kepada Adra. Beberapa minit kemudian, Nabil selesai menjalankan tugasnya.

“Semua okey. Cik Adra pun tak ada rasa sakit, kan?” tanya Nabil.

Adra mengangguk perlahan. Sudah seminggu, sakit-sakit yang dirasanya telah hilang sedikit demi sedikit. Lelaki yang mengaku sebagai suami dia juga tidak lagi mengganggunya. Dibiarkan sahaja dia terkurung di dalam bilik itu. Entah untuk apa. Sengaja menyeksa? Itu telahan Adra setelah lama di sini.

“Tinggal lebam di bibir dan luka di dahi yang sudah kering. Minggu depan bolehlah kita pergi.” Nabil berkata kepada Daffa yang setia berdiri di sisinya sepanjang dia memeriksa Adra. Nabil sedar ada aura cemburu di sisinya.

“Okey. Lagi cepat lagi bagus. Aku tak nak nanti nama baik famili dan business aku habis hancur sebab dia ni.” Daffa menuding jari ke arah gadis yang hanya mendiamkan diri.

“Kau yang mulakan semuanya,” sindir Nabil.

“Dia dan bapak dia.” Daffa bersuara tegas.

Nabil sekadar menjongket bahu, dia mengemaskan peralatannya masuk ke dalam beg.

“Bila saya boleh keluar dari sini?”

Soalan Adra mematikan langkah Daffa dan Nabil yang mahu keluar dari bilik itu. Daffa tersenyum sinis.

“Selagi aku tak ceraikan kau, selagi itulah kau dekat sini.” Daffa berkata serius dengan wajahnya penuh kebencian.

“Kenapa kurung saya kalau awak kata saya isteri awak?” Adra menyoal lagi. Nabil sekadar memandang.

“Sekarang kau mengaku kau isteri aku?” Daffa menempelak.

Adra menggeleng laju.

“Bukan saya. Saya tak pernah berkahwin! Awak yang tegaskan saya isteri awak, jadi kenapa seorang isteri dikurung macam ni?” Adra bersuara tegas. Dia cuba memanipulasi keadaan. Tidak betah lagi dikurung macam burung dalam sangkar, ada sayap tapi seakan tidak berguna.

“Sebab kau licik! Kalau kau boleh lari masa hari nikah dulu, tak mustahil kau boleh lari dengan mudah dekat sini.” Daffa membidas lagi.

“Saya dah cakap, itu bukan saya. Mak saya, abang-abang saya akan jadi saksi yang saya tidak pernah dinikahkan atau bernikah dengan sesiapa.” Adra seakan-akan mendapat keberanian untuk bersuara membela dirinya.

Daffa melangkah menghampiri gadis yang berdiri di depan katil.

“Kau tunggu aje minggu depan. Aku pun tak sabar nak jumpa famili kau.” Daffa berdiri betul-betul di hadapan Adra. Jarak mereka hanya semeter sahaja.

“Kenapa tak hari ni?” Adra berani menyoal kerana dia sudah tidak sanggup dikurung lagi.

“Ni... ni... kau ingat aku bodoh?” Jari Daffa pantas sahaja menuding ke arah lebam di hujung bibir dan dahi Adra, membuatkan si gadis mengeluh lemah.

“Saya tak akan buat repot pasal ni,” kata Adra bersungguh-sungguh.

“Kau tu licik dan aku tak bodoh!” tengking Daffa.

“Kan saya dah kata tu bukan saya,” jelas Adra.

“Minggu depan.” Daffa baru mahu melangkah keluar.

“Saya tak nak dikurung macam ni, boleh jadi gila tahu tak!” Adra membentak.

Daffa tersentak. Nabil berkerut dahi melihat kedua-dua mereka. Kedua-duanya seakan tidak mahu mengalah.

“Hei, kau dah berani ya!” Daffa bersuara kuat.

Adra menelan liur. Dalam hatinya memaki hamun mulutnya yang celopar.

“Saya minta maaf tapi saya harap saya tak dikurung.” Adra bersuara lemah saat Daffa merenungnya tajam.

“Daff, kau biarlah dia keluar dari bilik ni. Dah seminggu lebih kau kurung dia dalam bilik.” Nabil mencelah setelah lama memerhati ‘suami isteri’ itu berbincang sesama mereka.

“Aku tak percaya dia ni.” Daffa bersuara. Nabil sekadar menggeleng manakala Adra mengeluh perlahan.

“Kau kurung dia dalam rumah, bukan bilik,” sinis Nabil.

Daffa memandang lelaki ini lama, mungkin berfikir. Tiada kata putus, Daffa terus melangkah keluar dari bilik itu. Nabil menjongket bahu apabila Adra memandangnya sayu.

Adra mengeluh lemah. Nampaknya dia akan terus berkurung di dalam bilik ini.

“Buka kunci di pintu. Awasi dia 24 jam. Pastikan dia tak keluar dari rumah.” Daffa mengarahkan dua lelaki berbadan sasa yang sejak minggu lepas, mengawasi bilik si gadis.

Nabil tersenyum sendiri. Dia kenal benar sahabat baiknya ini, dalam baran ada baiknya.

Keep away your smile.”

Nabil terus ketawa dengan amaran Daffa. Mungkin terasa sinis dengan senyumannya sebentar tadi.

Adra melangkah perlahan menuruni anak tangga. Matanya melilau ke segenap pelosok rumah. ‘Besarnya!’ getus hati Adra. Dia kagum melihat rumah yang menjadi tempat kurungannya. Dia memberanikan diri keluar dari bilik setelah mengetahui dirinya tidak lagi dikurung di dalam bilik itu. Kunci dan mangga pintu telah dibuka oleh dua lelaki sasa yang mengawasinya.

“Nak ke mana?” Suara garau yang amat dikenali itu memeranjatkan Adra yang sedang terhendap-hendap dari tangga.

Adra berdiri tegak memandang ke arah lelaki yang sedang berpeluk tubuh di belakangnya.

“Nak lari?” soal Daffa dingin.

“Eh... tak... saya cuma tengok-tengok rumah ni, besar dan cantik.” Laju Adra berbicara dalam senafas.

Daffa tersenyum sinis.

“Jangan sekali pun terfikir nak lari dari sini!” Tegas sahaja amaran daripada Daffa,

Adra terangguk-angguk seperti burung belatuk yang mematuk pokok.

“Saya tak lari.” Dia bersuara perlahan.

Daffa memandang gadis itu sekilas kemudian melangkah pergi.

“Encik...” Panggilan Adra mematikan langkah Daffa. Dia kalih sekilas.

“Kita dekat mana?” soalnya ingin tahu.

“Ipoh,” jawab Daffa. Kemudian dia terus menghilangkan diri di balik pintu biliknya.

Adra terlopong.

“Jauhnya!” getus bibir mongel itu. Keluhan berat dilepaskan.

 

PUAN HALIMAH meraup wajah tuanya. Air matanya sudah kering, menangisi kehilangan anak perempuannya. Qayla sedari tadi menghadap komputer ribanya, mencari maklumat dan mengedar maklumat sebanyak mungkin mengenai kehilangan kakaknya di Facebook dan blog miliknya. Beberapa mesej takziah serta sokongan daripada rakan-rakan kakaknya itu dibaca. Sesekali dia mengesat air mata yang mengalir di hujung tubir mata.

“Ada along dengan angah kirim apa-apa berita?” Puan Halimah bertanya sebaik sahaja susuk tubuh Qaliff kelihatan memasuki ruang tamu itu. Qayla turut kalih memandang lelaki yang berwajah muram itu. Kepala digeleng perlahan.

Gelengan Qaliff itu membuatkan Puan Halimah mengeluh perlahan.

“Malam nanti mak dah minta orang surau buatkan solat hajat dan bacaan Yasin. Jangan lupa mesej dekat along dengan angah, kita semua pergi surau malam nanti.” Puan Halimah terus melangkah masuk ke dalam biliknya.

Setiap hari, itulah yang akan disoal oleh Puan Halimah selama seminggu ini. Qayla memandang Qaliff yang turut memandang ke arahnya, mereka sekadar tersenyum tawar sebelum kembali dengan hal masing-masing.

“Angah dah telefon Inspektor Zali siang tadi. Macam semalam juga, masih dalam siasatan dan proses mencari. Kita berserah kepada Allah aje sekarang, along.” Azhar bersuara sebaik saja mereka berdua melabuhkan duduk di kerusi batu di depan rumah.

Anuar menyisip perlahan kopi yang dihidangkan isterinya sebentar tadi. Azhar sekadar bermain-main jarinya di bibir cawan.

“Seminggu lebih ngah, along sendiri tak tahu nak buat apa lagi. Berserah? Tak mungkin, kita tetap kena berusaha. Along rasa bersalah, kalaulah...” kata Anuar.

“Isy... along jangan salahkan diri along. Polis sendiri cakap mereka belum dapat tahu motif kehilangan Adra. Diculik atau lari, kita sendiri pun tak boleh nak jawab.”

Azhar memintas kata-kata Anuar. Alongnya sejak hari kehilangan Adra, menyalahkan diri sendiri atas kehilangan adik perempuannya itu. Kata Anuar, kalau bukan kerana kendurinya mungkin Adra masih ada bersama mereka hari ini.

“Entahlah, ngah. Along rasa bersalah.” Anuar mengeluh lemah. Azhar lantas menggelengkan kepalanya.

“Esok genap 20 hari Adra hilang. Insya-Allah, berkat doa kita, mak dan orang-orang kampung, kita pasti jumpa Adra.” Azhar menepuk bahu Anuar, memberikan keyakinan bagi menghilangkan rasa bersalah yang menyelubungi Anuar.

Mereka melayan fikiran masing-masing sambil menghirup air kopi panas di kerusi batu itu. Seketika lamunan mereka diganggu dengan deringan telefon bimbit milik Azhar. Berkerut dahinya.

“Siapa?” Anuar memerhatikan reaksi aneh angahnya yang sedang memandang ke skrin telefonnya.

Soalan Anuar tidak dijawab, talian terusdisambungkan.

Waalaikumussalam, ya tuan?”

Anuar mula merapatkan diri sebaik sahaja mendengar tutur Azhar yang menjawab telefon dengan begitu formal.

“Betul ni, tuan? Alhamdulillah, baiklah esok kami ke balai. Terima kasih tuan.” Wajah serius Azhar berubah riak gembira sejurus mendapat khabar itu.

Anuar masih menanti angahnya untuk menjelaskan berita yang baru diterimanya.

“Along... Adra...” Azhar begitu gembira. Dari duduk kini dia mula berdiri.

“Kenapa dengan Adra?” Anuar resah melihat Azhar begitu gembira. Tidak mahu mengharap apa-apa, dia takut kecewa.

“Alhamdulillah, pihak polis dah jumpa Adra, esok kita semua kena ke balai. Jom kita masuk beritahu mak.” Azhar terus menarik lengan Anuar supaya menyaingi langkahnya. Senyuman di bibir Azhar masih tidak lekang. Sebaliknya Anuar masih terdiam, berita itu tiba-tiba. Dia seolah-olah tidak percaya.

“Mak! Mak!” jerit Azhar kuat sebaik saja memasuki ruang tamu. Qayla dan Qaliff yang berada di dapur segera keluar. Puan Halimah kemudian membuntuti langkah Qayla dan Qaliff.

“Ada apa ni ngah terjerit-jerit?” Belum sempat Puan Halimah menghabiskan kata, Azhar meluru memeluk ibunya. Puan Halimah tercengang, begitu juga Qayla dan Qaliff. Anuar tersenyum sendiri, isterinya yang menghampiri digamit supaya mendekat.

“Subhanallah... kenapa dengan kamu ni ngah?” soal Puan Halimah hairan.

“Alhamdulillah mak, pihak polis dah jumpa Adra. Esok Inspektor Zali suruh kita ke balai.” Semua terdiam buat seketika, kemudian masing-masing mengucap syukur  yang tidak terhingga. Keadaan rumah tersebut riuh, masing-masing berasa lapang dada dengan berita itu.

“Kenapa polis tak hantar Adra balik rumah terus?” Puan Halimah menyoal sebaik saja semua mengambil tempat di sofa.

Azhar menggeleng perlahan.

“Inspektor Zali ada cakap, Adra tidak diculik. Lepas tu, dia kata esok datang balai untuk selesaikan semua.” Kata-kata yang keluar dari bibir Azhar itu membuatkan semua yang ada tercengang.

“Tak diculik? Maksudnya Adra lari?” Anuar mencelah.

Sekali lagi Azhar menggeleng.

“Itu kena tunggu esok. Apa-apa pun Inspektor Zali cakap, Adra dalam keadaan selamat.”

Puan Halimah menghela nafas dengan perlahan, lega rasanya mendengar perkhabaran itu

“Tak apalah, asalkan kita dah jumpa Adra dan Adra selamat. Sebelum tidur, jangan lupa sujud syukur. Allah dah makbulkan doa kita.” Puan Halimah bersuara mengingatkan.

Anak-anaknya mengangguk perlahan, seorang demi seorang menghampiri Puan Halimah dan memeluknya erat sebelum melangkah ke bilik masing-masing. Hari sudah pun melabuhkan tirainya. Esok akan bermula episod yang baharu bagi mereka juga manusia yang lain. Esok, hari yang paling dinanti-nantikan.

 

No comments:

Post a Comment