“KELUARGA Cik Adra semua ada di bilik depan sana, bolehlah kita ke sana. Apa sahaja yang hendak dibincangkan, kita akan bincang di sana nanti. Mari ikut saya,” kata Inspektor Zali, selaku pegawai polis yang mengendalikan kes Adra.
Daffa dan Nabil sekadar mengangguk kecil sebelum terus membuntuti langkah Inspektor Zali.
“Tunggu apa lagi, bukan kau nak sangat balik ke?”
Sindiran Daffa membuatkan Adra yang terkaku, melangkah laju agar seiring dengan Daffa dan Nabil yang beberapa langkah di depannya. Dia berserah segala apa yang akan berlaku kepada Allah, kerana Allah sebaik-baik penolong.
“Adra...”
Adra yang menunduk wajah kini memanggung wajah tepat kepada suara lirih yang memanggil namanya. Emak... Air matanya kini mulai bergenang di kelopak mata. Wajah emak kelihatan sayu memagut hatinya yang menahan debar sedari tadi. Sungguh dia berasa pilu.
“Mak...” Tak tertahan dek kerinduan dan kesedihan yang dirasainya selama 3 minggu, Adra terus sahaja meluru ke arah wanita itu. Tubuh emak dipeluk seerat-eratnya.
Qayla yang memerhati turut menyertai saat pertemuan yang pilu itu. Qaliff kelihatan mengesat tubir mata dengan hujung jari. Anuar dan Azhar sekadar memerhatikan dari tempat duduk mereka.
“Saya minta maaf, bagi mempercepatkan kes ni, saya harap kita boleh mulakan perbincangan. Semua boleh ambil tempat dulu ya.” Inspektor Zali yang mengambil tempat di kepala meja, mula membuka suara.
“Boleh kita mulakan?” soal Inspektor Zali kepada semua yang ada. Pegawai polis itu terus memulakan perbincangan setelah tiada bantahan dibangkitkan.
“Keluarga Adra Malaeka telah membuat laporan kehilangan Adra pada 11 Mac 2018 iaitu 24 jam selepas kehilangan Adra. Saya sebagai pegawai yang mengendalikan kes ini, tidak dapat untuk mengatakan sama ada Adra diculik ataupun melarikan diri dengan rela hati. Pada 2 April 2018, Encik Daffa Jawhar Bin Dato’ Jauhari Daud membuat laporan yang Adra Malaeka tidak diculik tetapi bersama dengannya. Daripada maklumat yang diberikan kepada pihak kami, Adra Malaeka adalah isteri kepada Encik Daffa Jawhar. Maka oleh itu, selama 3 minggu kehilangan Adra, beliau berada bersama Daffa Jawhar, suami beliau.”
Pernyataan akhir yang keluar daripada mulut Inspektor Zali membuatkan seluruh ahli keluarga Adra yang hadir di situ mengucap panjang.
Adra yang berada di sebelah ibunya terus sahaja memeluk Puan Halimah dan menangis dalam pelukan. Anuar dan Azhar saling berbalas pandangan dengan dahi berkerut. Berita itu begitu mengejutkan mereka.
“Encik Daffa hadir hari ini untuk membincangkan hal pernikahannya dan Cik Adra dengan ahli keluarga Cik Adra sendiri, sebelum beliau mahu meneruskan dengan laporan penipuan yang telah dilakukan oleh Encik Ahmad Malik Bin Mahmood, iaitu ayah kepada Cik Adra Malaeka terhadap beliau dan ayah beliau, Dato’ Jauhari Daud pada 30 September 2017. Pihak kami akan hanya menjadi orang tengah dalam hal ini, Encik Daffa boleh teruskan apa yang encik mahu bincangkan.” Inspektor Zali mempersilakan Daffa Jawhar untuk meneruskan perbincangan.
“Assalamualaikum, seperti yang dinyatakan Inspektor Zali sebentar tadi, saya Daffa Jawhar suami kepada Adra Malaeka Binti Ahmad Malik.” Daffa memulakan perbincangan yang seterusnya.
“Ayah saya Dato’ Jauhari Daud sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah mengahwinkan saya dengan anak kepada sahabat baiknya, Encik Ahmad Malik Bin Mahmood pada 30 September 2017. Namun begitu, harga perkahwinan saya dengan Adra ini bernilai RM200 000. Ayah saya yang mahukan Adra menjadi menantu dan inginkan Encik Ahmad Malik menjadi besannya, telah pun membayar sejumlah wang tersebut. Namun selepas majlis akad nikah, Encik Ahmad Malik dan isteri yang baru saya nikahi, Adra telah pun menghilangkan diri bersama-sama wang tersebut.”
“Setelah beberapa bulan mencari, akhirnya saya menjumpai alamat rumah Adra sekeluarga. Saya mengakui saya membawa pulang Adra secara paksa tanpa keinginannya, saya melakukan dalam keadaan marah dan dendam. Oleh itu, saya mohon maaf kepada semua ahli keluarga Adra. Sebelum saya meneruskan laporan polis mengenai penipuan yang dilakukan oleh Encik Ahmad Malik dan sesiapa yang terlibat, saya mahukan kesahihan serta pengakuan daripada pihak Adra Malaeka sekeluarga.” Daffa menamatkan penjelasannya yang panjang lebar.
Nabil tersenyum dengan sikap Daffa hari ini yang menyerlahkan sikap profesionalnya dalam menyelesaikan masalah tersebut.
“Adra, boleh angah tanya? Adra ada jumpa ayah ke waktu tarikh tu?” Azhar menyoal Adra yang hanya tunduk mendiamkan diri sewaktu perbincangan dijalankan.
Adra lantas mengangkat wajah.
“Tak. Lepas ayah tinggalkan kita dulu, Adra dah tak pernah jumpa ayah. Telefon pun tak pernah. Masa tarikh tu Adra dekat UTM, final exam.” Adra menjawab dengan jelas.
“Maaf Encik Daffa, saya sebagai abang kepada Adra sangat yakin yang Adra tidak terlibat dalam isu pernikahan tu. Ya, ayah kami memang bernama Ahmad Malik tapi mungkin kebetulan namanya sama.” Azhar bersuara lagi manakala Anuar mengangguk menandakan dia bersetuju dengan pernyataan adiknya.
“Saya ada salinan kad pengenalan Encik Ahmad Malik dan Adra. Berbekalkan kad pengenalan ini saya dapat menjejaki kedudukan Adra di Kedah.” Daffa menyerahkan salinan tersebut kepada Azhar dan Anuar.
“Saya hanya boleh katakan, yang adik saya, Adra tidak terlibat. Saya yakin. Kalau boleh saya tahu, di mana majlis nikah itu dijalankan?” Anuar pula bersuara.
“Alor Gajah, Melaka. Ini semua dokumen pernikahan saya dan Adra.” Daffa mula berkompromi, tidak pula meroyan seperti selalu. Mungkin dia rasa bersalah menuduh Adra, setelah merasakan gadis itu sebenarnya telah berkata benar.
“Boleh kami berbincang sesama keluarga dahulu?” Azhar meminta izin, setelah itu mereka sekeluarga berbincang. Puan Halimah sesekali mengesat air matanya yang berlinangan. Adra segera memeluk erat ibunya.
“Adra beritahu angah betul-betul. Adra betul ke tak tahu hal ni? Betul tak ada jumpa ayah?” Azhar menyoal lagi.
Adra menggeleng kepala.
“Demi Allah angah, Adra memang tak tahu. Adra pun baru tahu lepas Daffa beritahu yang dia paksa Adra ikut dia sebab Adra isteri dia.” Air mata yang mengalir dikesat.
Anuar tidak bersuara dan hanya mengeluh. Tak tahu apa lagi ujian yang melanda. Azhar juga mengeluh perlahan. Beberapa minit berbincang, mereka semua buntu tanpa jawapan dan Anuar sebagai ketua keluarga membuat kesimpulan bagi hal tersebut.
“Kami sekeluarga minta maaf dengan Encik Daffa. Kami sejujurnya tidak tahu-menahu hal pernikahan Adra, apatah lagi duit RM200 000 tu. Kami rasa mungkin ini dirancang oleh ayah kami yang hampir 10 tahun berpisah. Tapi kami tidak pasti dan tak berani nak cakap lebih, takut nanti salah. Yang pasti kami memang tak tahu langsung soal ni. Isu nikah kahwin bukan hal main-main, tak mungkin kami sanggup perdagangkan adik sendiri. Menurut dokumen nikah ini, saksi-saksi nikah kami langsung tidak kenal. Jadi, terpulang kepada Encik Daffa untuk tindakan seterusnya.” Anuar bersuara dengan jelas.
Daffa meraup wajahnya.
“Saya akan teruskan dakwaan terhadap Encik Ahmad Malik. Ayah saya meninggal seminggu selepas hari pernikahan saya kerana terlalu kecewa. Kepercayaannya dikhianati oleh sahabat baiknya sendiri. Saya sendiri tidak dapat memastikan bahawa Adra atau orang lain yang menjadi pengantin perempuan pada hari tersebut. Oleh itu, saya mahu pihak keluarga Adra mengeluarkan alibi yang ada, yang membuktikan Adra tidak terlibat dalam kes penipuan ini.”
Daffa yang mempunyai latar belakang undang-undang mula bersuara bak peguam pendakwa raya. Seketika itu Puan Halimah berkerut dahi, nama bekas suaminya yang terus disebut-sebut dan nama ayah kepada Daffa terlalu dekat dengannya. Mungkinkah hal lama itu telah kembali? Terlalu awal untuk membuat andaian. Gusar andai tersalah andaian, makin memburuk hal ini nanti.
“Insya-Allah, kami akan berikan bukti yang Adra tidak terlibat,” kata Azhar.
“Saya minta maaf sekali lagi kerana melarikan Adra dengan paksa,” akui Daffa sejujurnya.
“Kami akan menarik kembali laporan tersebut dan hal ni selesai di sini sahaja. Kami pun rasa bersalah dengan Encik Daffa, jadi kami akan membantu dengan cuba menjejaki ayah kami melalui saudara-mara dan kawan-kawan ayah. Insya-Allah.” Anuar bersuara lagi sebelum mengakhiri perbincangan mereka selama 3 jam itu.
Nabil menepuk bahu Daffa beberapa kali, memberikan semangat kepada rakan baiknya itu. Daffa sekadar tersenyum hambar, sesekali dia mengeluh berat.
“Nampaknya kena terus mencari.” Daffa bersuara lirih. Kecewa apabila terpaksa menyerahkan ‘isteri’ yang dicarinya beberapa bulan ini kembali kepada keluarganya.
“Aku akan sentiasa membantu kau, jangan sedih.” Nabil menepuk bahu Daffa kuat. Daffa tersenyum kecil. Baru hendak memasuki kereta, langkah mereka disekat.
“Nak balik terus ke? Mari singgah ke rumah dulu.” Puan Halimah menjemput. Ada perkara yang membuatkan dia menahan lelaki itu dari terus pulang. Jika andaiannya benar, maka benarlah Daffa menantu yang dinantikan.
“Tak apalah mak cik, saya nak cepat.” Daffa menolak dengan baik. Segan pula nak berdepan dengan keluarga Adra, tambahan pula dia telah menyeksa gadis itu dengan teruk. Hampir sahaja dia mengambil kesempatan ke atas gadis itu. Kini mahu berdepan dengan mereka sekeluarga. Malu!
“Mak, panggil aje mak. Bukan jauh pun rumah mak. Singgah dulu ya. Ikut belakang kereta mak nanti.” Dia tetap memaksa Daffa ke rumahnya. Puan Halimah ada agenda tersendiri. Firasat hatinya tidak salah. Seperti kehilangan Adra, benar kata hatinya bukan diculik!
No comments:
Post a Comment