Saturday, 29 October 2022

Pengantin Ekspres - Bab 1

SEBAIK sahaja kereta jenama Perodua Myvi berwarna hitam berhenti betul-betul di depan lobi hotel, Amiera  bergegas keluar dan membuka pintu di bahagian belakang untuk mengeluarkan kotak besar yang mengandungigaun pengantin perempuan.

Seorang pekerja hotel muncul dan turut membantu mengeluarkan kotak itu.

“Terima kasih.” ucap Amiera sambil menghulurkan kunci keretanya kepada pekerja itu.

Pekerja itu mengukir senyum dan segera menuju ke bahagian pemandu untuk mengalih kereta milik Amiera dan diletak di tempat parkir.

“Alamak, dah lewat ni! Nanti tak pasal-pasal aku kena marah.” Kalut Amiera berlari anak masuk ke ruangan lobi hotel mewah ini.

Amiera mula rasa semput nafas. Bukan dia sengaja datang lambat tapi disebabkan ada kemalangan berlaku dalam perjalanan tadi, dia tersekat hampir setengah jam. Jadi, dia tidak ada pilihan, selain dari terus menunggu sehingga pihak Bomba berjaya mengalih dua buah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu.

Tangan mencari telefon bimbit dari beg sandangnya.

“Ya Allah, kenapa aku boleh cuai pula malam ni? Masalah betul.” Tangan dihempuk ke dahi. Amiera makin kalut. Macam mana dia boleh tertinggal telefon di butik tadi? Kalut punya pasal sampai terlupa nak mengambil telefon yang diletak atas meja kerjanya. Satu hal pula dia nak menghubungi Puan Salina untuk mengetahui nombor bilik pengantin.

Mata melilau mencari kelibat seseorang untuk meminta bantuan. Nampaknya dia kena bertanya di kaunter concierge. Takkanlah dia nak terus berdiri macam patung di ruangan lobi ini. Itu kerja bodoh namanya. Tugas ini mesti dilaksanakan dengan segera. Dia tak nak kena marah. Nanti tak pasal-pasal dapat malu percuma.

“Maaf, boleh saya tanya, malam ni ada majlis perkahwinan kat sini, kan?” soal Amiera kepada gadis di kaunter concierge.

“Ya, betul. Kenapa, cik? Ada yang boleh saya bantu?” Gadis yang berada di kaunter itu memandang wajah Amiera dengan senyum nipis.

“Saya nak hantar gaun pengantin ni untuk pengantin perempuan, tapi saya tak tahu nombor biliknya. Nama pengantin pun saya terlupa nak tanya bos saya sebab kalut nak datang tadi,” ujar Amiera.

“Oh. Sekejap ya, saya check.”

Amiera mengeluh lega. Hati makin berdebar-debar. Maklumlah, ini kali pertama dia buat kerja menghantar baju pengantin ini.

“Tuan Qaisar...”

Tiba-tiba gadis di kaunter tadi menyebut nama seseorang.

Amiera yang berdiri di depan kaunter mula mencari empunya pemilik nama itu. Kemudian matanya tertumpu kepada seorang lelaki yang berkemeja kuning cair dan seluar hitam. Sekali pandang memang kacak orangnya. Eh, pembetulan. Bukan setakat kacak, tapi sangat kacak. Terpegun dia dibuatnya. Gaya pun macho, macam ala-ala model.

Yes?” Lelaki yang dipanggil dengan nama Tuan Qaisar tadi muncul di kaunter dengan wajah serius.

“Cik ni datang bawakan gaun pengantin untuk majlis nanti,” beritahu gadis itu dengan penuh sopan kepada lelaki itu itu.

Lelaki yang bernama Tuan Qaisar mula mengalih pandangan ke arah Amiera. Masih dengan wajah serius. Dia merenung lama wajah Amiera yang berdiri tidak sampai satu meter daripadanya. Beberapa kali juga wajah Amiera diamati dari atas ke bawah tanpa sebarang kata.

Amiera mula kecut perut. Takut melihat cara lelaki itu memandangnya. Otak dah mula fikir macam-macam. Walaupun mukanya sangat kacak sebagaimana yang dinyatakan tadi, tapi mukanya serius yang amat. Cukup pakej dengan wajah angkuh, sombong dan berlagak. Agaknya lelaki ini orang kaya. Sebab itu tengok orang dengan gaya sinis. Macamlah dia ni tak layak untuk menjejak masuk ke dalam hotel mewah ini. Dia pun bukannya teringin sangat nak datang ke sini. Lagipun, dia datang untuk menghantar gaun pengantin sahaja. Bukannya nak melepak ataupun menginap di sini. Dia lebih senang tidur di rumah sewanya sahaja. Tak mimpi pun nak tidur di hotel mewah ini.

What`s your name?” soal Qaisar dengan nada serius setelah puas menilik tubuh Amiera dari atas ke bawah beberapa kali.

“Nama saya, Amiera. Dari Salina Bridal Gallery,” beritahu Amiera dengan perasaan cuak. Menyampah pula dengan gaya lelaki di hadapannya ini. Pandang muka dia macam nak telan. Ingat dia spesies makanan ke yang boleh ditelan atau dikunyah sesuka hati? Dia masih ada ibu ayah lagi tau kat kampung. Ingat, ibu dan ayahnya membiarkan dirinya dijadikan makanan ke?

“Okey. You ikut I sekarang,” arah Qaisar yang masih belum mengeluarkan kedua tangannya dari poket seluar.

“Ikut encik? Nak pergi  mana?” soal Amiera dengan wajah tercengang. Yalah, tiba-tiba disuruh ikut lelaki itu tanpa arah tujuan.

Lelaki itu menghentikan langkahnya dan menoleh ke belakang. Kali ini kedua-dua tangannya dikeluarkan dari poket. Dan sekarang dia sudah bercekak pinggang. Matanya tajam merenung wajah Amiera yang masih belum  bergerak dari kaunter concierge tadi.

“You datang sini untuk apa?” soal Qaisar dengan nada yang sama. Tetap serius, seperti seriusnya wajah yang sedang dipamerkannya.

“Saya datang nak hantar gaun pengantin ni,” beritahu Amiera. Siap ditunjukkan kotak besar yang ada bersamanya.

“Habis tu, you ikutlah I. I nak tunjukkan bilik untuk you serahkan gaun tu. You ingat, I nak bawa you pergi mana?” ujar Qaisar. Keluhan kasar dilepaskan sejenak sambil merenung dalam wajah Amiera.

Amiera telan liur. Sempat matanya melirik ke arah gadis yang berada di kaunter tadi. Gadis itu mengukir senyum dan mengangguk kepala. Bermakna betullah tindakan lelaki yang bernama Qaisar itu. Ini bermakna,  dia akan selamat mengikut lelaki itu.

Amiera mengangkat kotak besar itu. Hati dah mula merungut.

Eee... mamat ni! Kalau ya pun, tak boleh ke bersikap baik hati sikit? Apa salahnya kalau tolong bawakan kotak ni? Ini tak, jalan menonong aje. Macamlah hotel mewah ni, mak bapa dia yang punya. Berlagak nak mampus,” omel Amiera. Bersusah payah dia bawakan kotak itu berjalan mengikut langkah panjang Qaisar.

“Tak payah nak merungut. Dah itu tugas you kan, bukan tugas I. Jadi, buat apa I nak tolong you,” tempelak Qaisar sebaik sahaja berdiri di depan pintu lif.

Amiera tercengang sejenak. Tak sangka lelaki itu boleh mendengar omelannya. Kuat ke dia bersuara tadi sampai lelaki itu boleh dengar? Ke lelaki ini ada ilmu yang boleh dengar apa orang cakap?

Pintu lif terbuka. Qaisar terus  melangkah masuk. Terkial-kial Amiera membawa kotak besar itu masuk ke dalam lif. Lelaki itu sedikit pun tidak membantu. Sebaliknya dia hanya berdiri tegak di belakang.

“You sedang mengumpat I ke?” Satu pertanyaan membuat Amiera menoleh ke belakang.

“Eh, mana ada saya mengumpat encik. Buang masa je buat benda tak berfaedah tu,” balas Amiera menahan rasa geram. Dada dah mula berombak.

“Betul ke you tak ada kutuk pasal I? Tapi kenapa mulut you terkumat-kamit? You baca doa ke?” Suara Qaisar menusuk ke telinga Amiera.

Amiera tarik nafas. Makin berombak dada dibuatnya.

‘Tahu-tahu aje, aku tengah kutuk dia.’ Amiera pejam mata sambil mengetap bibir.

“Memang betullah kan?” provoke Qaisar.

“Daripada saya kutuk pasal encik, baik saya berzikir. Dapat juga pahala,” balas Amiera dengan berani. Kemudian dia memejam mata. Cuba menahan sabar yang semakin menipis. Kalau ikutkan hati, nak saja dia terus balik. Tapi memandangkan dia sedang menunaikan amanah, terpaksalah akur.

Tanpa Amiera sedar, setiap tingkah lakunya diperhati oleh Qaisar di belakang. Tambahan pula lif ini dikelilingi cermin.

Sebaik sahaja pintu lif terbuka, Amiera terlebih dahulu keluar kerana dia berada di hadapan. Kemudian barulah Qaisar keluar dan melajukan langkah tanpa suara. Amiera hanya akur dan mengikut langkah lelaki itu. Selepas itu, dia berhenti di depan pintu. Pintu bilik dibuka dengan kad yang baru dikeluarkan dari poket seluarnya.

“Masuklah.” Kali ini barulah Qaisar memberi ruang untuk Amiera masuk.

Melilau mata Amiera melihat bilik hotel yang agak mewah itu. Tak ramai penghuni. Kalau dibilang, ada empat orang penghuni ketika ini, dua orang lelaki dan dua orang perempuan.

“Jay, sini kejap,” panggil Qaisar kepada lelaki sedang bercakap di telefon.

Mendengar suara Qaisar itu, lelaki yang gaya lembut itu segera mematikan panggilan dan mendekati Qaisar sambil mengukir senyum manis.

Amiera masih berdiri kaku sambil memegang kotak besar itu. Hati pula tertanya-tanya, yang mana satu agaknya pengantin perempuan sebab dua orang perempuan muda yang ada di dalam bilik ini sudah siap didandan. Mungkin mereka berdua kawan pengantin perempuan a.k.a. pengapit kut. Agaknya pengantin perempuan berada di dalam bilik air. Itu telahannya.

“Maaf, kotak gaun pengantin ni nak letak dekat mana?” soal Amiera. Takkanlah dia nak terus berdiri kaku di situ berjam-jam. Dia hanya ditugaskan untuk menghantar gaun pengantin sahaja. Selepas itu, dia akan beredar kerana tugasnya sudah selesai.

“Letak aje atas katil tu.” Suara salah seorang perempuan itu.

Tanpa berlengah, Amiera meletak kotak di atas katil dan bersedia untuk beredar.

“Maaf, Encik Qaisar.” Amiera mendekati lelaki yang dikenali dengan nama Qaisar itu.

Qaisar memandang wajah Amiera. Begitu juga lelaki lembut yang sedang bercakap dengannya.

Yes?” Suara Qaisar itu membuat Amiera tertelan liur. Bukan hanya nada suara tetap tegas tapi cara tenungan lelaki itu membuatkan jantung Amiera seakan berhenti berdenyut.

“Tugas saya sudah selesai. Saya nak balik sekarang,” beritahu Amiera setelah mengumpul tenaga untuk bersuara. Memang dia tidak tahan melihat cara Qaisar memandangnya. Ditambah lagi dia turut ditenung oleh lelaki gaya lembut yang ada bersama Qaisar ketika itu.

“Tugas you belum selesai. Jadi you tak boleh balik sekarang,” tutur Qaisar.

Alahai, serius memanjang sahaja muka lelaki ini. Rimas pula Amiera dibuatnya.

“Hah? Apa yang tak selesai? Tugas saya hanya hantar gaun pengantin tu dekat hotel ni aje. Lepas tu, saya boleh balik.” Amiera tercengang.  Apa halnya dia kena tunggu lagi? Dia bukannya ada menerima jemputan untuk hadir di majlis ini.

“Jay!” Suara Qaisar memberi isyarat kepada lelaki lembut yang bernama Jay.

“Okey. Saya yang menurut perintah,” ujar Ray sambil mengukir senyum. Kemudian lengan Amiera ditarik Jay.

“Eh, eh eh... Apa tarik-tarik tangan orang ni? Awak nak tarik saya pergi mana ni? Saya nak baliklah!” Amiera terjerit dek terkejut ditarik tiba-tiba. Dahlah yang menarik tangannya lelaki. Walaupun berwatak lembut tapi tetap berjantina lelaki. Dengan kudrat yang ada, tangannya ditarik kuat.

“Apa ni? Awak ingat saya ni apa? Sesuka hati  aje nak main tarik-tarik,” tengking Amiera dengan perasaan hangat.

Tengkingan kuat itu membuat penghuni bilik itu terkejut dan memandang ke arah Amiera.

Amiera tarik nafas kasar. Tak peduli pun dengan suara kuatnya tadi. Bukan dia yang bersalah. Buat apa nak takut? Dia hanya ditugaskan membawa gaun pengantin sahaja. Hal-hal lain, tak ada kaitan dengannya.

“Encik Qai?” Jay memandang wajah Qaisar.

Okay. I`ll handle it.” Qaisar bersuara. Dia mendekati Amiera. Berdiri betul-betul di hadapan Amiera. Anak matanya memandang wajah Amiera. Tapi kali ini, cara pandangnya bukan lagi tajam dan serius. Ada sedikit lembut.

“Maaf, kerana I terpaksa libatkan you malam ni,” ujar Qaisar berdepan dengan Amiera.

“Libatkan apa ni? Saya tak faham!” Amiera merenung wajah lelaki kacak di hadapannya.

“I nak you gantikan tempat pengantin perempuan malam ni,” beritahu Qaisar. Nada suaranya makin lembut dan penuh pengharapan. Maklumlah, nak minta bantuan kan?

What? Saya? Gantikan tempat pengantin perempuan?” Amiera menuding jari ke dirinya sendiri.

Qaisar mengangguk kepala perlahan. Suasana sunyi. Hanya kedengaran suara mereka berdua sahaja. Yang lain hanya sekadar menjadi pemerhati. Tak ada yang berani nak mencelah.

“Encik tengah mengigau ke apa ni? Atau encik nak kenakan saya?” soal Amiera lagi.

“Tak. I tak mengigau. I bukan nak kenakan you. I memang serius nak you gantikan tempat pengantin perempuan malam ni. Please... tolong I gantikan tempat tu,” tutur Qaisar.

“Habis tu, mana pengantin perempuan sebenar?” soal Amiera. Dia memberanikan dia membalas tatapan mata Qaisar. Pelik. Tak ada hujan tak ada ribut, dia diminta menggantikan tempat pengantin perempuan? Ini mimpi atau kenyataan?

Qaisar memandang penghuni bilik itu. Masing-masing diam. Hanya mata saling memandang antara satu sama lain. Macam tadi, tak ada yang berani nak bersuara.

“Pengantin perempuan tak ada. Dia dah lari,” beritahu Qaisar dengan nada perlahan. Wajahnya yang nampak angkuh tadi sudah berubah. Nampak jelas wajahnya kecewa dan kesal.

“Hah? Pengantin perempuan dah lari? Kenapa dia lari?” Disebabkan terkejut, Amiera ulang balik apa yang diungkapkan oleh Qaisar tadi. Dalam masa yang sama, dia rasa nak tergelak mendengar jawapan yang baru sahaja keluar dari mulut Qaisar, tapi dia cuba tahan. Kan jadi lain pula kalau tiba-tiba dia gelak.

“Ini bukan benda lucu kalau you nak gelak,” ujar Qaisar seolah-olah faham situasi Amiera yang sedang menahan gelak itu.

“Saya tak cakap pun benda ni lucu.” Amiera berani menjawab.

Qaisar melepas keluhan kasar.

“Habis tu, kenapa I nampak you macam nak gelak?” provoke Qaisar merenung wajah Amiera seakan tak puas hati.

“Macam nilah. Kalau ya pun pengantin perempuan dah lari, kenapa tak gantikan dengan orang lain aje? Kenapa saya? Saya memang tak ada kena-mengena dalam hal ni, encik faham tak?” Amiera melahirkan rasa.

Walaupun terdetik rasa takut dan gabra, tapi dia cuba beranikan diri untuk bersuara. Dia ada hak. Tak salah kalau dia luahkan pendapatnya.

Setiap penghuni bilik itu dipandang Amiera. Masing-masing diam.

Lagi satu, dia yang memang tak ada kaitan dalam hal ini, tiba-tiba dipanggil masuk jadi pelakon tambahan. Apa kes?

Amiera sempat mengerling ke arah Qaisar. Kelihatan lelaki itu sedang mengusap lehernya sambil tunduk. Nampak jelas yang dia serba salah dan nampak tertekan.

“Masa dah suntuk. I tak ada masa nak cari orang lain. You tiba-tiba muncul, jadi you yang paling layak,” balas Qaisar seperti serba salah. Wajahnya nampak sedikit merah ketika menuturkan kata-kata itu.

Amiera tergelak juga akhirnya. Bukan sebab lucu tapi dia tak tahu kenapa dia boleh tergelak. Mungkin sebab dia dijadikan mangsa. Bodohnya dia. Sepatutnya Gina yang datang menghantar gaun pengantin di sini, tetapi Gina pula ada hal malam ini. Terpaksa dia yang menggantikan. Kalau dia tak datang malam ini, mungkin dia sudah selamat dari musibah ini.

Please... tolong gantikan tempat pengantin tu untuk malam ni,” rayu Qaisar.

Amiera memandang wajah Qaisar seakan tak percaya. Betul ke lelaki ini sedang minta pertolongannya? Dan merayu padanya?

“Maaf, saya tak nak terlibat dalam masalah.” Amiera bertegas menolak.

Qaisar menarik nafas panjang. Dia nampak kecewa kerana permintaannya ditolak.

“Saya masih tak faham, apa sebenarnya yang encik nak daripada saya?” selidik Amiera bingung. Saat ini, hanya mereka berdua yang sedang berbicara sambil diperhati oleh orang lain yang menghuni di bilik itu.

“Kan I dah cakap tadi, I nak you jadi pengantin malam ni. Itu aje yang I nak dari you,” pinta Qaisar penuh harapan.

“Apa? Encik ni betul-betuk serius ke? Encik ni betul ke tidak?” Amiera masih belum dapat terima permintaan itu. Memang di luar jangkaan. Tersentap segala organ dalamannya bila tiba-tiba disuruh menjadi pengantin walaupun sekadar jadi pengganti.

Kenapa tak minta sahaja perempuan lain gantikan? Kenapa mesti dia? Dua orang perempuan yang ada di bilik ini, kenapa tak minta diaorang gantikan? Dia yang tak ada kaitan pula yang diheret dalam masalah lelaki itu. Mana aci? ‘Kang aku repot kat ibu ayah aku kat kampung baru tahu!’

“I terdesak dan I memang tak ada pilihan lain. Cuma you aje harapan I sekarang,” ujar Qaisar memandang wajah Amiera.

“Saya masih tak faham sebab permintaan ni di luar pemikiran saya. Macam mimpi.” Amiera menggeleng kepala.

“Ini bukan mimpi. Ini kenyataan dan I sedang minta tolong daripada you. Please... I merayu sangat-sangat dekat you, tolong I selesaikan masalah ni,” ujar Qaisar.

“Habis tu, kalau dah pengantin perempuan sudah lari, macam mana dengan pengantin lelaki? Di mana pengantin lelaki sekarang? Takkan dia tak buat apa-apa?” soal Amiera. Nak juga dia tahu apa sebenarnya yang sudah berlaku.

“Maksud you?” Qaisar tercengang.

“Yalah... takkanlah encik pandai-pandai nak suruh saya gantikan tempat pengantin perempuan tu. Apa kata pengantin lelaki tu nanti? Tak ke dia terkejut bila melihat pengantin perempuan sudah bertukar? Paling penting, kalau dia tiba-tiba mengamuk dan marahkan saya dan anggap saya ambil kesempatan, macam mana? Siapa yang nak bertanggungjawab?” tutur Amiera. Melahirkan rasa tak puas hati.

Qaisar memandang mereka yang ada di bilik itu. Dan semua mata memandang ke arah Qaisar.

“Pengantin lelaki yang you cakapkan itu sedang berada di hadapan you sekarang,” tutur Qaisar dengan nada tenang.

“Hah! Encik? Encik pengantin lelaki?” Amiera seakan tidak percaya bahawa yang berdiri di hadapannya adalah pengantin lelaki. Sangkanya lelaki ini mungkin kenalan pengantin perempuan sebab penampilannya biasa sahaja. Kalau pengantin, mesti sedang bersiap.

“Betul. Malam ni adalah malam majlis perkahwinan Encik Qai. Dialah pengantin lelaki.” Jay terlebih dahulu bersuara.

Lagi sekali Amiera memandang wajah lelaki yang berdiri di hadapannya. Dia terpaksa mendongak sedikit disebabkan ketinggian lelaki itu.

“I sanggup bayar berapa aje yang you nak  kalau you sudi jadi pengantin I malam ni. You hanya perlu pakai baju pengantin yang you bawa tadi, berarak masuk ke dalam dewan, kemudian duduk sebelah I... dan berlakon seolah-olah you adalah pengantin sebenar. Itu sahaja tugas you,” ujar Qaisar memberitahu perjalanan majlis nanti.

“Sampai bila?” soal Amiera.

“Sampai majlis selesai. Lepas tu, you bebas dan tak ada kaitan dengan I lagi,” beritahu Qaisar.

Amiera diam. Macam tak logik saja permintaan itu.

“Kenapa tak berterus terang aje kepada tetamu? Beritahu mereka yang pengantin perempuan dah tak ada. Kan senang? Selesai masalah. Ini tak pasal-pasal nak kaitkan saya dalam hal ni. Paksa saya jadi pengantin pula. Itu menipu namanya,” ujar Amiera. Tak kisahlah dianggap membebel pun. Dia katakan yang benar, tak salah.

Lagipun, kenapa perlu nak rumitkan keadaan? Berterus terang adalah jalan penyelesaian yang terbaik. Tak perlu nak melibatkan dia dalam hal ini. Kalau timbul apa-apa isu selepas ini, siapa yang nak bertanggungjawab dan selesaikan? Yang tanggung malunya, siapa? Mestilah dia.

“I tak nak keluarga I dapat malu kalau tetamu tahu pengantin perempuan sudah lari,” ujar Qaisar. Sekali gus menyatakan kenapa dia terpaksa membuat keputusan ini.

“Pasti tetamu akan rasa pelik sebab pengantin perempuan sudah bertukar, kan?” tutur Amiera pula.

“You tak payah fikirkan hal tu. Tak payah nak fikir yang lain-lain. Selesai majlis, I akan bayar you,” tutur Qaisar. Kali ini nadanya kembali tegas. Bengang bila Amiera seperti mempertikaikan apa yang dimintanya.

Tiba-tiba telefon Qaisar berdering.

“Mama jangan risau, Qai sedang uruskan hal tu.  Qai akan bawa pengantin perempuan masuk ke dalam dewan sekejap lagi.”

Amiera mendengar bicara ringkas Qaisar dengan mamanya.

Look... I tak ada masa. Majlis sudah nak bermula. I dengan you belum bersiap lagi,” ujar Qaisar.

“Tapi encik, saya...” Amiera tetap rasa serba salah.

“I bayar you RM10 ribu untuk malam ni,” tutur Qaisar tanpa berfikir panjang.

“Hah! RM10 ribu?” Mata Amiera dah bulat.

“Kenapa? Tak cukup? I tambah lagi, jadi RM20 ribu. You hanya perlu berlakon jadi pengantin perempuan malam ni. You kena sentiasa ada di sisi I sehingga selesai majlis. Itu sahaja tugas you,” tutur Qaisar tegas.

Amiera diam. Masih memikirkan tawaran dan tugas yang akan dia laksanakan nanti. Ada baik dan buruknya tapi bila difikirkan pasal tawaran tu, bunyi macam menarik juga. Susah nak lepaskan peluang ini walaupun rasa serba salah.

Sorry, I dah lupa nama you tadi,” soal Qaisar.

Serius, dia lupa nama perempuan yang bakal menjadi pengantinnya sebentar nanti.

“Nama saya tak penting. Jadi, buat apa nak tahu?” soal Amiera acuh tak acuh.

“Mestilah kena tahu. Nak tulis nama you dekat cek nanti. You jangan risau, cek tu nanti bukan cek tendang.”

“Amiera binti Hamzah,” beritahu Amiera nak tak nak sahaja.

Okay. Miss Amiera. Get ready. We don’t have much time,” ujar Qaisar.

“Baik, Encik Qai. Cik Amiera, kita kena bersedia sekarang kerana majlis akan bermula tidak lama lagi.” Jay kembali menarik lengan Amiera.

See you soon,” ujar Qaisar sebelum keluar dari bilik itu.

Saat ini Amiera rasa dia dah nak pengsan. Pelbagai andaian muncul di benak fikirannya. Bagaimana kalau gambarnya tersebar dan sampai ke pengetahuan keluarganya? Pasti pengsan ibu dan ayahnya, atau lagi teruk dia kena halau dengan mereka nanti.

‘Matilah kau, Miera!’

No comments:

Post a Comment