Saturday, 29 October 2022

Pengantin Ekspres - Bab 8


AMIERA mengayun langkah sebaik sahaja Honda HRV berwarna putih itu beredar dari depan Salina Bridal Gallery.

“Siapa lelaki tu?” Satu suara menyapa sebaik sahaja tangan Amiera menyentuh tombol pintu butik.

“Ya Allah!” Amiera melurut dada akibat disergah tanpa salam.

“Kalau ya pun nak menyoal, boleh tak bagi salam dulu? Kalau saya kena serangan jantung sebab sergahan encik tadi, macam mana? Lagi sadis kalau terus mati. Tak sempat saya nak mengucap, tau tak?” Amiera tarik nafas kasar. Hampir luruh jantungnya sebab terkejut.

Terpinga-pinga Qaisar kena marah oleh Amiera yang nampak sangat terkejut dengan sergahannya. Maklumlah selama ini, dia yang selalu marah orang. Tapi, kali ini dia yang kena marah.

“Kalau you mati, mendudalah I.” Itu yang keluar dari mulut Qaisar bersama gelak kecil.

Amiera juling mata ke atas. Sabar sajalah melayan kerenah lelaki ini. Ada-ada saja idea lelaki itu nak membalas. Nanti dia juga yang tak terbalas nanti.

“Apa hal encik datang sini? Nak jumpa saya atau nak jumpa Puan Salina?” soal Amiera. Malas nak berbalas soal itu lagi. Dia melangkah masuk ke dalam butik. Nak sambung kerja yang tertangguh tadi.

“Buat apa jumpa dia. I nak jumpa youlah.” Qaisar membalas sambil melirik ke arah Amiera yang mencuka di sebelahnya.

Sengaja dia melangkah seiring dengan Amiera. Sedikit pun tak pedulikan mata pekerja butik yang lain. Maklum sajalah, pekerja butik memang kenal dengan muka Qaisar ini. Nak pula, bila muka lelaki itu dah viral di media sosial sebagai cucu pemilik hotel terkenal yang baru sahaja menamatkan zaman bujangnya dengan seorang model yang baru meningkat naik. Tapi kecoh juga bila muka model yang dimaksudkan bertukar dengan perempuan lain dan hal itu masih menjadi tanda tanya.

“Jumpa saya? Nak buat apa? Takkanlah nak ajak makan?” tempelak Amiera bersama dengusan.

Sekali lagi Qaisar pamer senyum.

“You lapar ke? Belum makan? Kalau you lapar, I boleh temankan you pergi makan. I belanja. You cakap aje nak makan apa, nak makan dekat mana, I bawakan,” tutur Qaisar dengan nada teruja.

“Asal jumpa aje muka encik, terus ajak makan. Bosanlah. Dah jelas nampak perkataan m-a-k-a-n dekat dahi encik,” balas Amiera. Siap letak jari telunjuk ke dahinya sendiri.

“Tapi serius, I belum makan lagi. I datang sini sebab nak ajak you makan dengan I,” ujar Qaisar perlahan. Dia sanggup menahan lapar semata-mata mahu makan tengah hari bersama Amiera.

“Masalahnya sekarang, saya sudah makan. Masih kenyang lagi. Kalau encik lapar, encik pergilah makan. Tak payah nak ajak saya,” jelas Amiera.

“You keluar makan dengan lelaki tadi?” soal Qaisar. Masih segar di ingatannya kereta Honda HRV warna putih yang menghantar Amiera tadi. Dia nampak pemandu itu lelaki walaupun tak jelas mukanya.

“Ya. Tak salah, kan? Lagipun, encik bukan sesiapa pun untuk saya.” Amiera pamer senyum.

“Jadi, apa hubungan you dengan lelaki tadi? Boyfriend?” soal Qaisar.

Boyfriend?” Amiera pandang muka Qaisar. Otak mula berfikir maksud kata-kata itu.

“Bukankah you pernah cakap yang you belum ada boyfriend? Tapi kenapa I nampak bukan main mesra lagi you dengan lelaki tu berborak dalam kereta masa dia hantar tadi. Siap peluk cium lagi,” ujar Qaisar. Sengaja kawal rasa marah.

Mata Amiera terbeliak. Qaisar nampak angah ke tadi?

“Isy... mana ada peluk cium? Propa betul. Sekadar cium tangan ajelah. Tapi tak ada masalah pun kalau saya nak peluk cium dia. Kan saya dah cakap tadi, tak ada kena-mengena pun dengan encik. Yang encik nak emosi sangat ni apa hal? Lainlah kalau encik ni betul-betul suami saya. Memang encik ada hak untuk marah dan cemburu. Kan??” provoke Amiera.

Qaisar diam. Wajahnya nampak merah. Mungkin sedang menahan perasaan.

“Hari tu you cakap you tak ada boyfriend. Boyfriend you hanyalah kereta kesayangan you aje.” Suara Qaisar mula mendatar. Dia kembali membangkit soal boyfriend.

“Ya, memang masa saya cakap tu, saya tak ada boyfriend... tapi hari ini, dah ada. Jadi, tak perlulah encik nak ganggu saya lagi. Lebih baik encik pergi cari isteri encik yang hilang tu dari asyik datang sini jumpa saya. Dah tu, asyik ajak makan... makan... makan. Sampai saya naik bosan!” ujar Amiera.

“Jadi, you tak suka jumpa I?” soal Qaisar.

Tiba-tiba dia terasa hati dengan kata-kata Amiera. Sepertinya kedatangan dia tidak dihargai. Kalau dengan perempuan lain, mesti dia mendapat layanan yang berbeza. Tapi masalahnya, hati dia hanya melekat dekat sini. Itu yang membuatkan dia sendiri rasa pelik sejak bertemu dengan Amiera malam itu. Entah apa yang jadi pada dia sebenarnya sampaikan dia tak boleh nak melupakan Amiera.

“Bukan tak suka. Cuma saya tak nak encik selalu datang ke sini jumpa saya. Nanti pelbagai persepsi atau tuduhan yang akan kena dekat saya nanti. Saya tak nak jadi mangsa keadaan,” jelas Amiera. Tetap memberikan alasan yang sama. Dia berharap sangat lelaki ini tidak akan muncul lagi. Susah hati dia nanti kalau dia dah jatuh suka pada lelaki yang sudah berpunya.

Qaisar diam.

Amiera sudah mampu tarik nafas lega. Dia berharap sangat Qaisar akan faham apa yang cuba dia sampaikan.

“Tapi sekali sekala boleh kan kalau kita jumpa?” ujar Qaisar setelah seketika berdiam diri.

“Hah!” Amiera terkejut.

Qaisar tarik senyum.

“Buat pengubat rindu,” balas Qaisar bersama senyuman yang semakin lebar.

Amiera tarik nafas. Kepala yang tidak gatal digaru tiba-tiba.

“Banyaklah encik punya pengubat rindu. Daripada rindukan saya, baik encik rindukan isteri encik yang hilang tu,” komen Amiera. Kembali mengingatkan Qaisar akan statusnya.

“Kalau I betul-betul sayang dan rindukan isteri I, I akan cari dia di mana pun dia berada. Masalahnya sekarang, I tak pernah rindukan dia, apatah lagi cintakan dia. Buat apa I susah-susah nak cari dia? Baik I cari you, sebab you yang I lebih rindu,” tutur Qaisar membuat mulut Amiera terkunci.

Matanya terkebil-kebil melihat Qaisar melangkah pergi setelah mengutarakan kata-katanya.

 

AMIERA MASIH berdiri kaku di depan pintu rumah batu setingkat itu dengan perasaan berdebar-debar. Dia sudah tahu kenapa Saiful menggesa dan mengajak dia balik kampung bersama. Kalau dia tak balik, mesti orang tuanya akan bertambah bising. Entah siapa yang bawa mulut bercerita yang bukan-bukan pasal dia. Dalam diam dia merungut.

“Masuklah. Takkan nak kena berjemput atau hampar dengan karpet merah, baru nak masuk dalam rumah sendiri!” perli Saiful di sebelah. Ketika itu, dia sedang membimbit beg kecil miliknya dan juga milik Amiera.

“Ya, nak masuklah ni. Ingat achik nak jadi jaga kat depan pintu ke?” Amiera mendecit geram kena perli. Saiful pamer senyum dan segera melangkah masuk ke dalam rumah orang tuanya.

“Assalamualaikum. Ibu...” Saiful melaung kuat sebaik sahaja berada di ruang tamu. Beg di tangan sudah diletak atas karpet sebelah sofa di ruang tamu.

Waalaikumussalam. Dah sampai pun. Ingatkan tak jadi balik.” Puan Safura muncul di depan mereka sambil menurunkan lengan baju kurung yang dipadankan dengan kain sarung.

“Ibu...”

Amiera dan Saiful bergilir bersalam dan mencium tangan orang tua mereka.

“Ibu tengah buat apa?” soal Amiera.

“Tengah siang ikan dekat dapur,” beritahu Puan Safura.

“Patutlah tangan ibu bau ikan,” ujar Amiera bersama sengih lebar. Akibatnya telinga dia kena piat dengan Puan Safura.

“Sakitlah ibu. Dah tua-tua pun kena piat telinga juga!” Amiera muncung mulut sambil menggosok telinga yang kena piat tadi.

“Memang padanlah kena piat telinga. Banyak songeh punya anak dara,” komen Saiful.

Amiera melempar jelingan ke arah Saiful.

Hmm... Yang achik ni, kalau tak sebab kena paksa, tak teringat nak balik kampung? Ke seronok sangat tinggal dekat KL tu sampai lupakan ibu dan ayah dekat kampung? Ataupun dah lupa jalan nak balik kampung?” Amiera terus kena leter dengan Puan Safura.

Amiera telan liur. Dia hanya mampu pamer sengih.

“Ibu... apa pula cakap macam tu. Mana ada lupa. Achik tak pernah lupa ibu dan ayah. Cuma, achik sibuk dengan kerja aje.” Amiera segera memegang lengan ibunya. Kepalanya dilentok di bahu Puan Safura.

“Nak bodeklah ni. Menempel sebelah ibu. Dah tahu buat salah tapi terus diamkan aje,” ujar Puan Safura lagi. Kali ini, pipi Amiera menjadi mangsa cubitan Puan Safura.

“Ibu!!!” Amiera menjerit sambil menggosok pipinya. Saiful gelak kecil. Seronok melihat Amiera kena perli dengan Puan Safura.

“Anak bongsu ibu ni walaupun dah jadi anak dara tapi belum akil baligh lagi. Itu yang tak tahu nak bezakan yang mana betul, yang mana salah,” ujar Saiful. Dia faham apa yang cuba disampaikan oleh Puan Safura tadi.

Anak mata Puan Safura tajam merenung wajah Amiera.

Semput nafas Amiera dibuatnya gara-gara kena marah. Tak lain tak bukan, mesti pasal isu kahwin dia dengan Qaisar beberapa malam yang lepas.

‘Jaga kau Encik Qaisar. Sebab kau, aku kena marah.’

 

SELEPAS MAKAN malam, Amiera berkurung di bilik tidurnya sambil melayan Facebook. Tapi tumpuannya terganggu bila ada panggilan yang masuk. Termenung dia sekejap melihat nombor yang tertera di skrin.

‘Hai, siapa yang rajin telefon aku ni?’

Lama telefon dibiarkan berdering. Berhenti dan berdering lagi. Dan akhirnya dia menyentuh ikon berwarna hijau dan menekap telefon di telinga.

“Helo? Siapa ni?” soal Amiera dengan perasaan teragak-agak. Maklumlah, zaman sekarang ni kena banyak berhati-hati sebab ramai sahaja yang berniat tak baik.

“Saya, Qaisar.” Terdengar balasan di hujung talian.

Terdiam seketika Amiera mendengar suara itu. Memang sah, itu suara Qaisar.

Err... Macam mana Encik Qaisar boleh dapat nombor telefon saya ni?” soal Amiera. Seingatnya dia tidak pernah memberikan nombor telefonnya kepada lelaki itu.

“I dapat daripada bos you,” beritahu Qaisar.

“Hah? Encik minta nombor telefon saya daripada Puan Salina?” Ternganga mulut Amiera dibuatnya. Sungguh tak sangka yang Qaisar sanggup meminta daripada Puan Salina.

“Ya. Kenapa? Tak boleh?” ujar Qaisar.

“Kalau cakap tak boleh, encik dah dapat pun nombor telefon saya. Dah tak boleh nak buat apa,” ujar Amiera. Terdengar gelak halus di hujung talian. Pastilah suara gelak Qaisar.

“Apa hal encik telefon saya? Dah tak ada kerja nak dibuat ke?” soal Amiera. Pelik tiba-tiba lelaki itu menghubunginya.

“You rasa kenapa I call you?” Saja Qaisar main tarik tali.

“Eh, manalah saya tahu. Hajat encik, enciklah yang tahu,” tempelak Amiera. Terdengar suara gelak sekali lagi di hujung talian. Amiera dah rasa tak tenang mendengar tawa itu. Macam mesra saja suara tawa itu. Bikin hati dia rasa dup dap dup dap.

“I nak tunaikan hajat hati I,” beritahu Qaisar dengan suara tenang.

“Hajat hati encik? Hajat apa?” Sekali lagi mulut Amiera melopong.

“Hati I cakap,  dia rindukan orang dekat sana. Sebab itu, ‘dia’ minta I telefon you,” ujar Qaisar lagi.

Amiera yang mendengar rasa nak pengsan sekejap.

“Jadi, encik telefon saya ni sebab hati encik rindukan saya? Begitu?” Tanpa berlengah, Amiera menyoal. Biar hatinya tak rasa sangsi.

“Ya, betul. Bukan setakat hati I yang rindukan you, tapi juga  jantung, limpa, hempedu I pun rindukan you juga!” Tanpa tunggu lama, Qaisar terus mengakuinya.

Perasaan Amiera  pula yang rasa semput. Parah ni!

‘Lagi lama aku layan dia, hati aku yang menjadi masalah nanti.’

“You rindukan I tak?” soal Qaisar.

Amiera diam. Dia tak tahu jawapan apa yang harus diberikan.

“Diam itu, maknanya betullah you rindukan I,” ujar Qaisar memprovoke Amiera.

“Eh, mana ada. Saya tak cakap apa-apa pun.” Amiera terus bersuara. Risau kalau Qaisar fikir yang dia rindukan lelaki itu.

“Takkanlah sikit pun you tak rindukan I. I punyalah rindukan you sampai terbayang-bayang wajah you depan mata. Kalau boleh, sekarang juga I nak jumpa you!” ujar Qaisar.

Amiera kemam bibir. Nak tergelak pun ada.

“Eleh... propa aje lebih. Bukan boleh percaya. Encik lupa, yang encik tu dah  ada isteri?” tempelak Amiera. Dia tak mahu perasaannya jadi lemas dan hanyut dilambung badai.

“You ni... Kenapa selalu ingatkan I pasal tu? I sikit pun tak teringatkan perempuan tu. Kalau I ingatkan dia, buat apa I call you? You dah lupa, apa yang I cakap? Hanya you yang boleh menjadi pengubat rindu I.” Kali ini suara Qaisar macam berjauh hati.

Amiera memang tahu yang Qaisar tak suka bercerita pasal ‘isterinya’ tapi dia tetap kena ingatkan Qaisar yang lelaki itu sebenarnya suami orang. Hakikat itu tak boleh diubah. Kecuali memang sah lelaki itu telah berpisah dengan isterinya.

“Tak apalah encik. Saya ada hal ni. Tak boleh borak lama-lama.” Amiera memberi alasan.

“Habis tu, you rindukan I ke tak ni?” tekan Qaisar.

Amiera dah tepuk dahi.

“Tak!” tegas Amiera menjawab.

“Kalau macam tu, pagi esok juga you akan pandang muka I depan pintu rumah you!” tutur Qaisar.

What?”

I’m serious!”

“Melainkan you mengaku yang you rindukan I.” Suara Qaisar kembali ceria.

“Eee... dia ni!” Amiera mendecit geram.

“Kalau I boleh dapat nombor telefon you, I juga boleh dapatkan alamat rumah you dekat kampung. You nak satu kampung kecoh kalau I datang bawa rombongan Cik Kiah?” ujar Qaisar.

“Ya Allah! Apa kena dengan encik ni? Patutlah isteri encik lari. Kahwin dengan orang tak betul rupanya!” balas Amiera bertambah geram. Menyesal betul kerana dia melayan lelaki ini. Ingatkan betul, rupa-rupanya tiga suku. Kalau tahu nak jadi macam ni, baik dia tak angkat panggilan telefon tadi.

Bebelan Amiera hanya disambut tawa oleh Qaisar. Dan tawa Qaisar itu benar-benar membuatkan hati Amiera jadi tak tenang. Sampaikan terbawa ke dalam mimpi sebaik sahaja dia matikan panggilan itu tanpa menjawab soalan Qaisar.

No comments:

Post a Comment