Tuesday, 1 November 2022

Pelangi Selepas Hujan - Bab 7

 

Perjalanan sebuah hidup berliku kerana

tidak ada yang mudah untuk memiliki

‘syurga’...

 

HAKIM memerhati Reyhan yang sibuk menyusun buku di rak. Setelah memastikan tidak ada pelanggan di dalam kedai dia mengatur langkah mendekati Reyhan, gadis yang didambakan  dalam diam. Reyhan ni bukan spesies jinak merpati, kau dekat dia lari tapi memang sejenis Gunung Uhud barangkali. Tidak berkesan atau tergugat walau sebaik mana layanan yang diberikan malah dia sendiri pernah diingatkan Reyhan tentang itu. Terus terang Reyhan meletakkan sempadan antara mereka. Tapi itulah, dia tak nak mengalah sebelum berjuang.

Dia tetap mahu mencuba. Orang tua selalu kata perempuan ni dia keras kerak nasi. Rendam dengan air lama-lama lembut juga. Jadi dia cuba berpegang pada peribahasa itu. Hakim mahu mencuba sehabis daya selebihnya dia akan pasrah menerima jika Reyhan masih tak mampu menerimanya dalam hidup gadis itu.

“Reyhan.”

“Ya, Encik Hakim.” Tangan yang sedang lincah menyusun buku terhenti. Dia menoleh ke arah suara yang menegur. Senyum nipis dipamerkan sebagai adab pekerja dengan ketua.

“Banyak lagi ke buku yang nak disusun?”

Hmm, tak banyak dah. Tinggal buku novel Inggeris saja lagi. Kenapa Encik Hakim?”

“Kalau awak dah siap, masuk bilik saya kejap ya,” ujar Hakim. Dia senyum nipis sebelum berlalu. Takkanlah dia nak cakap di tengah ruangan kedai ni. Tak ada privasi langsung.

Berlalunya Encik Hakim, Reyhan termenung sendiri. Dia melepas nafas berat. Hatinya merasakan sesuatu. Cuak dan debar. Buku terakhir telah selamat disusun. Dia kembali ke kaunter. Hanya ada Azila di situ. Gadis itu hanya tersenyum nipis kepadanya. Pasti Azila nampak dia berbual dengan Hakim tadi.

 

HUJAN YANG turun mendamaikan tubuh juga hatinya. Dia menarik kardigan memeluk tubuh sendiri. Bersandar pada tiang memerhati bumi yang ditimpa hujan. Sudah berhari panas yang melampau. Kata ramalan cuaca, panas berpanjangan sepanjang bulan kerana pertukaran angin monsun tapi kata Allah, hujan akan mencelah di tengah-tengah perjalanan pertukaran angin tersebut. Maka inilah hasilnya. Tanah yang gersang dibasahi hujan, terasa sangat segar dan alam bagaikan mengeluarkan nafas baharu.

“Menung?” sergah Lila.

“Kau ni, kacau sungguh.”

“Ingatkan siapa? Encik Hakim?” giat Lila.

Reyhan menjeling tajam. Ada pula nama lelaki itu yang disebut. Hmm, bila nama Hakim disebut dia teringat akan perbualan mereka siang tadi. Tawaran yang agak menarik tapi dia yakin akan menimbulkan banyak soalan daripada pekerja lain. Kenapa dia? Itu soalan utama yang akan diutarakan atau mereka hanya bercerita di belakang.

Dia bukan lama bekerja di situ. Baru 5 tahun dan sudah banyak kursus yang disertainya atas saranan Encik Hakim. Pada mulanya dia rasa seronok dengan peluang yang diberikan tetapi apabila ada yang bercakap dan setelah Encik Hakim dengan jelas menunjukkan perasaannya, Reyhan mula rasa berat hati. Sekarang layanan baik lelaki itu dia sedayanya menolak. Tidak mahu menimbulkan lebih banyak salah faham pada mata yang memandang.

“Reyhan, dah lama awak bekerja dengan Fancy Bookstore, kan? Dan prestasi kerja awak selalu cemerlang.” Encik Hakim jeda mencuri pandang reaksi Reyhan.

Dalam teragak-agak Reyhan mengangguk namun lidahnya tak juga menjawab. Jantungnya berdegup laju. Dalam kepala ada pelbagai andaian dan soalan. Yang paling dia risau dibuang kerja. Berada di sekolah Juvana, walaupun dia diberikan pelajaran namun jika latar belakangnya dari Sekolah Juvana Henry Gurney, tiada siapa pun mahu memberikan dia kerja kosong. Diterima kerja di Fancy Bookstore merupakan satu nikmat yang besar baginya. Disebabkan itulah dia sentiasa berikan yang terbaik dalam kerjanya apatah lagi apabila sekarang dia diberikan tugasan menyelia cawangan di pusat membeli-belah ini.

“Disebabkan prestasi kerja awak yang selalu cemerlang, Datuk Fared menawarkan awak jawatan sebagai pengurus di cawangan terbaharu Fancy Bookstore. Dan beliau juga mahu menghantar awak ke Turki untuk berjumpa dengan seorang blogger terkenal,” jelas Encik Hakim secara ringkas.

Jeda.

Lama Reyhan diam menghadam setiap apa yang disampaikan oleh Encik Hakim. Setelah itu dia menarik nafas dalam.

“Kenapa saya, Encik Hakim? Ramai lagi staf Fancy Bookstore yang berkelayakan. Saya ni dahlah belajar tak tinggi. Latar belakang saya pula...”

“Itu awak kena tanya Datuk Fared sendiri,” cantas Encik Hakim laju. “Tapi selama saya kenal Datuk Fared, beliau bukan seorang yang suka memandang rendah pada latar belakang orang lain. Tidak kira siapa orang itu, kesilapan apa yang pernah dilakukan, jika orang itu berubah dia akan memberi peluang. Saya rasa dalam kes awak begitulah. Lagi pula dia lihat setiap tingkah laku staf dia walaupun dia jarang turun padang,” ujar Encik Hakim sambil mengerdipkan matanya.

Reyhan mengeluh kecil. Bukan kecil tugasan yang diberikan. Dia mahu menolak tetapi sebahagian kecil hatinya menyuruh untuk terima. Peluang yang baik takkan datang banyak kali.

“Dan... siapa kata awak belajar tak tinggi? Awak ada sijil SPM, awak sambung belajar selepas kerja di sini cuma awak aje yang masih setia di sini. Untuk apa sijil awak tu  semua? Kalau awak mohon kerja di tempat lain mesti dapat.”

Reyhan tersenyum kecil. Sijil itu semua bukan untuk dia mulakan hidup, cuma untuk puaskan hatinya sendiri. Untuk buktikan yang dirinya juga mampu belajar hingga ke menara gading. Setelah dia dapat apa yang dia mahukan, dia fokus pada kerjanya pula.

Kenapa dia tak gunakan sijil untuk cari kerja yang lebih baik? Budi. Budi Datuk Fared yang menerima dia bekerja di situ tanpa pedulikan tentang status banduannya!

“Kenapa saya perlu ke Turki?”

“Ada Persidangan Buku Sedunia.”

Reyhan kerutkan kening. Kenapa dia rasa pelik saja? Kenapa dia perlu hadir ke majlis begitu sedangkan dia hanyalah pekerja biasa? Setakat nak jadi pengurus, rasanya tak perlu dia ke majlis persidangan begitu.

“Bos nak awak jumpa seorang lelaki. Cuba approach dia supaya dia setuju kita bukukan kisah hidupnya. Daripada maklumat yang kami dapat, lelaki tersebut akan join event tu,” jelas Encik Hakim.

“Oh,” ulas Reyhan. Dia masih bingung nak menghadam.

“Begini, untuk pembukaan cawangan baharu ini, pihak atasan mahu buat pembaharuan. Mereka mahu jadi penerbit buku di bawah label Fancy Bookstore. Jadi mereka mahukan lelaki itu sebab kisah hidupnya yang menarik. Seorang blogger terkenal. Pihak admin dah cuba e-mel tapi sampai sekarang belum ada balasan daripada pihaknya,” jelas Encik Hakim lebih terang.

Reyhan termenung seketika. Jika dengar sekali lalu tidak ada yang susah dalam syarat yang Hakim jelaskan. Dia hanya perlu ke Turki, hadiri persidangan itu dan yakinkan lelaki itu untuk menerbitkan buku di bawah Fancy Bookstore. Bahagian untuk meyakinkan lelaki itu yang dia rasa cuak. Macam mana mahu meyakinkan orang?

“Macam mana, Reyhan?”

“Saya hanya perlu yakinkan dia aje, kan?”

“Ya. Kita hanya perlukan persetujuan dia. Kalau awak nak, saya boleh forwardkan link blog dia kepada awak.”

Reyhan mengangguk perlahan. Kepala menekur meja. Memikirkan tawaran yang sedang datang kepadanya ini. Sangat menarik tetapi mampukah dia menggalas beban itu?

“Hoi, aku cakap kau termenung pula!” sergah Lila.

“Hah?” Terkebil-kebil Reyhan memandang Lila.

“Kau dah kenapa?” soal Lila pelik.

Nafas dihela perlahan. Ulas bibir melarik senyum kecil. Dia mendongak ke atas kemudian memandang Lila semula.

“Aku tengah fikirkan tawaran Encik Hakim.”

“Nak fikirkan apa lagi? Terima sajalah. Bukan mudah tau nak dapat tawaran begitu. Takkan kau nak lepaskan peluang begitu saja?”

Reyhan memandang Lila. Sahabat sejati.

“Aku terima tapi kau tahu sajalah, staf situ tak semua suka aku. Kejap lagi macam-macam gosip keluar,” ujarnya.

“Pedulikan!” Senang Lila menjawab. Kalau layan resah hati Reyhan, sampai bila-bila tak habis. Ada saja kerisauan gadis itu. Takut orang mengatalah, takut orang kata dia ambil kesempatanlah, guna kabel Encik Hakimlah... Argh! Kadang-kadang Lila rasa nak cuci otak Reyhan agar lebih positif.

“Kau senanglah cakap,” cemik Reyhan.

Lila olengkan mata ke atas.

“Kau dah tengok blog lelaki tu?” ajunya mengubah topik perbualan mereka.

Reyhan pusingkan tubuh menghadap Lila. Ini yang dia nak cakap kepada Lila, tapi terlalu asyik dengan hujan sampai dia lupa apa yang dia nak ceritakan kepada si teman. Hari ini seharian dia melayari blog lelaki tersebut. Tidak ada yang istimewa melainkan perkongsian tentang hidupnya. Tentang masa lalu dan juga... kenapa dia rasakan yang mereka berada dalam dunia yang sama?

Dia dan lelaki itu, mereka menyimpan kenangan pahit. Kenangan yang merubah kehidupan mereka sekarang. Membaca setiap entri yang dimuat naik di dalam blog tersebut membuatkan dia rasa mereka dekat. Berkongsi rasa yang sama. Dan kerana perasaan itulah buatkan dia goyah. Mampukah dia meyakinkan orang yang mempunyai latar belakang hidup kelam sepertinya sedangkan dia sendiri masih tak mampu yakinkan dirinya?

“Aku dah tengok dan baca setiap entri yang dia muat naik. Dan aku rasa aku tak layak untuk tugasan ni.” Teragak-agak Reyhan bersuara.

“Kenapa?” tanya Lila tak sabar.

“Aku... tak yakin.”

“Hah?”

“Macam mana kalau aku tak mampu buatkan dia setuju?” soal Reyhan.

“Apa yang buat kau rasa begitu?”

“Cerita hidup dia.” Perlahan Reyhan menjawab. Dia pusing kembali memandang ke laman. Hujan yang menderu lebat tadi sudah bertukar renyai.

 

Aku menjadi manusia yang terpenjara

dalam masa lalu. Yang mana aku mahu

bergerak ke depan ke belakang, tapi

aku asyik tersekat di tengahnya. Aku tak

mampu mengelak juga tak mampu untuk

menurut. Jadi apa aku? Perasaan yang

membuatkan aku lemah dan lemas. Aku

sering kali tertanya, adakah ikatan dosa

masih melingkar atau aku yang masih

membiarkan dosa itu menutup jalan aku?

Tapi adakah salah jika aku mengenang

dosa aku? Aku tidak mahu menjadi seperti

dulu. Aku mahu melangkah dan melangkah

sehingga aku mencapai cahaya Dia.

 

Petikan itu yang dibacanya dari blog lelaki tersebut. Perenggan yang menyentuh hati hingga ke tempat yang paling dalam.

“Reyhan.” Lila berdiri di depan Reyhan. Tangan naik mencengkam kedua-dua bahu si teman. Dia yakin ada sesuatu daripada kisah hidup si blogger yang mengganggu Reyhan.

“Dia... seperti ada masa lalu yang sama dengan aku. Mungkin bukan perjalanan kisah yang sama tapi aku yakin kami berkongsi arah yang sama. Dosa!”

“Dan dosa itu bukan bermula daripada kau, Reyhan. Jangan biarkan dosa tu menjerut leher kau dan menyekat langkah kau,” nasihat Lila.

“Tapi...”

“Terima tawaran tu dan lakukan yang terbaik. Anggap saja seminggu ni kau pergi bercuti. Aku rasa sejak kau keluar dari tempat tu kau belum tinggalkan bumi Malaysia, kan? Jadi, anggap ini peluang untuk kau lihat negara orang. Buka mata dan fikiran kau,” tambah Lila.

“Lila...”

“Lila! Lila!” Gadis itu mengajuk Reyhan. Dua tangannya naik mengapit pipi Reyhan. “Kau tak rasa nak tengok dunia luar? Kat sana lebih banyak keindahan, Reyhan...” pujuknya lembut.

“Kenapa bukan kau yang pergi?” duga Reyhan.

“Huh! Encik Hakim tu kalau ada tawaran apa-apa dari HQ, nama kau yang pertama dia ingat. Aku ni anak tiri dia saja,” rungut Lila mencebik.

“Haa, aku mengadu kat Encik Hakim,” ugut Reyhan.

“Silakanlah. Tak takut pun.” Lila mengangkat kening.

Seketika mereka bergabung tawa. Lila memandang Reyhan kemudian dia bersuara.

“Aku rasa ini juga peluang untuk kau lari daripada abang kau sekejap. Tenangkan hati dan fikiran kau,” sambung Lila. “Juga untuk keselamatan kau.”

Reyhan senyum kecil. Dia tunduk kerana tubir matanya terasa panas. Hidupnya sentiasa orang luar yang menjadi tulang belakang. Keluarga? Hanya pada nama.

“Aduh, menangis pula.”

“Kaulah. Suka sangat buat aku menangis. Kenapa kau baik sangat dengan aku, Lila?” soal Reyhan dalam sebak.

“Ya Allah, baik pun salah ke?” giat Lila meraih bahu Reyhan. Mengusap lembut bahu gadis itu. Dia faham apa yang Reyhan rasakan, cuma dia tak mahu Reyhan hanyut dengan perasaan. “Pergi Turki bawa balik hadiah banyak-banyak kat aku. Orang kata, manisan Turki sedap. Aku nak ya,” Lila kenyitkan mata.

Meledak tawa Reyhan. Dia senyum dan mengangguk kecil. Seperti kata Lila, mungkin tawaran ke Turki adalah ‘jalan’ singkat yang Allah sediakan untuk dia larikan diri sekejap daripada Rahmad dan lelaki tua itu. Mungkin perjalanan seminggu ini akan memberi nafas baharu kepadanya. Tak mustahil, bukan?

‘Turki, aku datang!’

 

No comments:

Post a Comment