Tuesday, 1 November 2022

Pelangi Selepas Hujan - Bab 9

 

Hidung dicium, pipi digigit...

 

KAU jangan nak kedekutlah. Aku minta sikit aje. Bukan banyak pun, RM 50 aje.”

Reyhan mengeluh perlahan. RM 50 sahaja? Nada bicara Zainudin ibaratnya RM 50 itu dia dapat hanya dengan petik jari sahaja. Huh! Apa yang Zainudin faham? Si ayah hanya duduk melingkar kaki. Mana pernah Zainudin bertanya, apakah yang dia lakukan untuk mendapatkan duit itu? Bagaimana dia mengerah tulang empat keratnya untuk mendapatkan sesuap nasi, untuk bayar sewa rumah serta bil api dan air? Tak pernah sekali pun Zainudin bertanya sebaliknya yang kerap dia dengar... duit! Nak duit!

Agaknya otak Zainudin telah dirakam dengan perkataan itu sahaja. Dan muka dia ini muka orang cap duit! Adakala dia merungut apabila kepenatan menghambat kudrat. Siapa saja yang tidak penat. Kerja rumah dia yang lakukan. Setelah itu keluar mencari rezeki seperti dialah ketua keluarga. Tidak kenal siang dan malam, yang dia tahu kerja.

“Tak ada duit, ayah. Kalau Reyhan bagi ayah, macam mana nak bayar sewa rumah, nak bayar bil api dan air? Barang dapur pun dah habis. Beras hanya ada untuk sekali masak saja,” jelas Reyhan. Dia penat. Pagi, dia bekerja di pasar borong, balik rumah kena hadap ini pula. Kalau tak ada makanan untuk dimakan, Zainudin mengamuk juga.

Mata Zainudin mencerlang garang ke arah Reyhan. Huh! Dah besar kepala. Pandai membebel kepadanya. Hatinya sakit. Lalu tangan tua Zainudin mencekak dan menarik rambut Reyhan sekuat tenaganya. Wajah menyeringai Reyhan tidak dipedulikan.

“Oh, dah pandai mengajar aku sekarang!” Sinis dia berkata.

“Ayah, sakit!” adu Reyhan.

“Sakit? Huh! Kau dah besar kepala, mentang-mentang kau yang kerja, kau beli makanan. Hei, aku tahulah yang barang dapur dah habis. Aku...”

“Kalau ayah dah tahu ayah tak patut minta duit dengan Reyhan. Duit gaji Reyhan bukan Reyhan habiskan ke lain. Reyhan...”

“Cakap banyak kau sekarang, kan?” Kepala Reyhan ditujah ke depan dan ke belakang. Cengkaman pada rambut Reyhan dikemaskan lagi. “Kau kerja untuk bagi aku duit. Aku minta bagi sajalah!” jerkahnya kuat.

Nafas ditarik sedalamnya. Mencuba untuk bertahan dengan rasa sakit yang sangat mencucuk. Terasa mahu tercabut kulit kepalanya. Tapi dia tak mahu merayu dilepaskan. Bukannya Zainudin dengar rayuannya. Semakin galak lelaki tua itu menyakiti dia adalah.

“Saya kerja untuk bagi ayah makan, bukan untuk ayah guna buat judi. Tak ada makanan ayah juga yang marah... yang kelaparan,” tempelak Reyhan berani. Sumpah, jika ditanya masih tersisakah hormat dia buat lelaki itu, jawapannya tidak! Rasa hormat itu telah lama hilang. Dia masih bertahan hanya kerana ibunya. Jika bukan kerana wanita itu, sudah lama dia angkat kaki pergi dari situ.

Maka demi ibunya, dia sanggup bertahan walaupun jiwanya sudah rapuh; walaupun tubuhnya sudah lunyai menjadi bahan kaki dan tangan Zainudin. Tidak mengapa asalkan dia masih mampu melihat ibunya dan masih mampu berbakti kepada wanita itu.

“Menjawab!” Kepala Reyhan ditekan ke dinding rumah. “Jangan sampai aku jual kau, Reyhan.” Ugutan diberikan. Membara amarahnya melihat keberanian Reyhan menjawab kata-katanya. Selama ini anak gadisnya itu hanya menurut. Akur pada segala kemahuannya tetapi hari ini, Reyhan membantah. Bukan hanya membantah tetapi menempelaknya juga. Ego seorang bapa meluap tercabar.

Reyhan senyum senget. Zainudin ingat dia akan biarkan saja Zainudin perlakukan dirinya begitu? Membunuh pun dia sanggup jika Zainudin menyentuh maruah dirinya. Dia mungkin lemah di mata Zainudin, tetapi dia mampu bangkit jika dia mahukannya. Disebabkan itulah ada pepatah jangan dikejut harimau yang sedang tidur, kelak binasa jadinya.

“Jangan kembali ke sini walaupun dengan apa alasan sekalipun.”

Itu kata-kata ibunya yang dilontarkan dengan lirih. Mata itu bergenang penuh harapan. Sejak itu, dia terpaksa pendam segala perasaan rindu yang ada. Ditelan walaupun dia benar-benar mahu melihat wajah ibunya. Untuk kali terakhir pun dia tak kisah namun janji yang terukir mengikat kaki daripada kembali ke tempat itu.

Guruh yang berdentum mengejutkan Reyhan daripada lamunan. Dia memandang ruangan bilik yang gelap. Keluhan dilepaskan perlahan. Sejak kebelakangan ini dia asyik mengeluh sahaja. Kadang-kadang dia rasa bersalah juga. Sepertinya dia tidak bersyukur dengan apa yang dimilikinya sekarang tapi hakikatnya bukan begitu.

Tubuh dibawa melompat turun dari katil. Dibuka pintu melangkah keluar. Sunyi. Ke mana Lila pergi? Rasanya tadi si teman ada di ruang tamu ini saja. Kaki diatur ke luar rumah. Melangkah ke tepi rumah, dia kedengaran sayup-sayup suara orang bercakap. Kaki melangkah hati-hati mendekati suara tersebut. Telinganya semakin jelas dengar suara yang sedang bercakap. Lila! Dengan siapa Lila bercakap?

“Tak boleh buat kerja dengan betul ke? Bukan setahun dua kau orang buat kerja ni. Dah bertahun! Takkan semua benda nak aku atur dan ajar!” bentak Lila keras.

“Lila...” tegur Reyhan terkelip-kelip memandang si teman.

Menoleh, Lila melontarkan senyum. Dia berikan isyarat sekejap yang dia sedang menerima panggilan. Usai itu dia mematikan panggilan lalu mendapatkan Reyhan.

“Kau cakap dengan siapa?”

“Kawan aku. Mengadu dengan aku pasal kerja. Lembap! Memang patut dia kena marah dengan bos dia,” cerita Lila ringkas. Dia memandang Reyhan sekilas. “Kau buat apa kat sini?”

“Cari kaulah. Aku keluar bilik, sunyi aje dalam rumah. Kutlah kau hilang.”

Lila ketawa kuat. Ada pula ke situ yang difikir Reyhan.

“Kau dah siap kemas pakaian kau?” tanya Lila.

“Dah. Aku pergi seminggu saja pun Lila.”

“Memang seminggu tapi kau ke Turki bukan ke Langkawi atau Cameron yang kau boleh terjah mall bila-bila masa. Sana mahal kut,” bebel Lila.

“Ya. Aku tahu,” ujar Reyhan menggeleng kecil.

“Dokumen penting dah kemas?”

“Ya Allah, Lila... aku bukan budak kecil.”

“Aku tanya ajelah.” Lila mencebik. Nak ingatkan pun salah.

“Ya, semua aku dah kemas. Dah letak dalam satu beg,” ujar Reyhan bersama senyum.

Puas hati dengan jawapan Reyhan, Lila duduk di kerusi. Kalaulah dia dapat cuti bolehlah dia menemaniReyhan. Tapi itulah, Encik Hakim kedekut beri cuti.

“Kau duduk apartmen nanti, kan?”

“Ya, syarikat dah aturkan semua. Aku pergi goyang kaki aje,” seloroh Reyhan.

“Amboi!” Lila menjegilkan mata. “Aku jealous. Hesy! Encik Hakim kedekut sungguh nak bagi aku cuti. Bukannya aku minta dia sponsor tiket pun,” bebel Lila.

Reyhan ketawa kecil. Sudah berkali-kali dia dengar Lila bebelkan Encik Hakim. Memang benar Lila memohon cuti untuk menemaninya ke Turki tetapi Encik Hakim tidak benarkan. Alasan Encik Hakim Fancy Bookstore kekurangan staf sekarang. Itu yang Lila marah sangat.

“Asal giliran aku mohon cuti aje mesti alasan yang sama. Tak cukup staf! Dah tu, dia ingat aku ni ada kuasa Naruto? Atau Boboi Boy?” sambung Lila. Tak puas hati lagi. Mengekek Reyhan ketawa.

“Nanti kita pergi lagi. Aku belanja kau,” pujuk Reyhan.

“Okey, aku anggap itu janji kau. Tak boleh tarik balik dah.”

Meledak tawa kedua-duanya. Seketika kemudian suasana kembali sunyi. Reyhan melontar pandangan ke depan sebaliknya Lila memerhatikan Reyhan.

“Kau tak rasa nak bercinta ke Reyhan?”

“Kenapa tiba-tiba ni?” aju Reyhan dengan dahi berkerut. Tiba-tiba sangat soalan Lila ini. Tak pernah sekalipun si teman bercakap tentang lelaki apatah lagi cinta. Bukan dia tak tahu Lila ada pengalaman tak elok dengan lelaki. Dicurangi teman lelaki okey lagi, tapi dengan tunang sendiri sangat tak okey kata Lila. Dia hampir mengamuk tapi ditenangkan ibu bapanya. Nasib baiklah orang tua Lila seorang yang menyokong dan tidak menyalahkan Lila di atas apa yang terjadi.

“Saja. Random talk.”

Random sangat ni babe.” Tawa Reyhan hambar.

Hmm, aku teringatkan pemberi buku kau tu. Macam mana kalau nanti kau ditakdirkan jumpa dia?”

“Aku ucap terima kasihlah.” Selamba Reyhan menjawab.

Lila mengolengkan matanya. Pura-pura buat muka menyampah. Jawapan Reyhan klise sangat. Setakat jumpa ucap terima kasih tak rare pun. Dia merasakan ada tarikan antara Reyhan dengan si pemberi buku tersebut. Mustahil insan yang memberi sekadar memberi, kan?

“Aku ingat dah sampai masa aku buka hati aku,” omelnya dengan kepala terangguk-angguk.

“Oh, okey. Dengan siapa? Orang yang bagi aku buku tu ke?” Reyhan polos bertanya kembali.

“Isy, minah ni!” Dek geram, Lila membaling kusyen kecil ke arah Reyhan.

Reyhan angkat kening bertanya. Salahkah komennya tadi? Bukan dia doakan yang tak elok. Pelik pula Lila ni.

“Dengan dia tu buat apa. Sah-sah dia syok kat kau. Kalau dia syok kat aku, mestilah dia bagi buku tu kat aku. Jadi... aku nak kau juga buka hati kau. Bagi peluang untuk hati kau merasa bahagia,” ujar Lila tersenyum manis. Dia angkat kening mengusik namun senyum hambar Reyhan mematikan tingkahnya.

Senyum hambar terus mati tanpa rasa. Buka hati? Soalnya bila pula dia tutup hatinya? Tak pernah! Dia tak pernah menutup pintu hatinya tetapi siapa yang nak dekat dengan perempuan sepertinya? Manusia sekarang memandang darjat. Susur galur dan latar belakang yang elok itu yang dicari oleh lelaki di luar sana. 

Apatah lagi dia yang punya latar belakang yang gelap. Bapa kaki judi. Abang pula jadi tahi dadah. Apa yang baik dia mahu ceritakan tentang keluarganya? Tiada! Jadi siapa yang akan dekat dengan dia? Tiada sesiapa melainkan... tak! Tak ada sesiapa akan menerima dirinya. Disebabkan itu dia tidak pernah memberikan dirinya harapan.

“Aku pernah dimalukan kerana siapa aku, Lila tapi aku tak pernah tutup pintu hati aku. Aku sentiasa buka hati namun... siapa yang nak dekat dengan manusia berbau dosa ni, Lila?” soal Reyhan perlahan. Terconget senyum sengetnya.

Dia tak salahkan takdir yang membawa dia ke jalan itu. Jika keadaan itu berulang lagi dia tetap akan buat keputusan yang sama. Tidak pernah dia takut tapi dia kesal. Mereka yang membuat keputusan untuk membuangnya tanpa bertanya kenapa dan mengapa dia mengambil keputusan begitu.

“Encik Hakim sukakan kau.”

Meletus tawa Reyhan. Dia memandang Lila selajur menggeleng kepala. Kemudian dia melepaskan nafas berat. Andai kata Encik Hakim tahu siapa dia yang sebenar, adakah lelaki itu akan setia mengejarnya?

“Dia tak tahu siapa aku, Lila.”

“Jadi beritahu dia,” balas Lila pantas.

“Untuk apa? Dihina sekali lagi?”

“Reyhan!”

“Lila, mati ke hidup aku tanpa lelaki? Ya, aku tahu kahwin itu sunnah. Nabi tak mengaku umat bagi mereka yang menolak perkahwinan. Aku tak menolak perkahwinan Lila, cuma aku menjaga hati aku. Aku tak kisah dihina jika mereka bertanya kenapa. Tapi mereka tak tanya, Lila. Mereka terus hina aku setelah tahu siapa aku. Dan aku tak pernah menyesal dengan apa yang aku lakukan dulu. Tak pernah!” tegas Reyhan.

Dia bingkas bangun berlalu masuk ke dalam bilik. Pintu dihempas kuat dan dikunci dari dalam. Bukan marahkan Lila tapi marahkan diri sendiri. Nyata luka demi luka tak mampu pulih dengan masa. Kaki melorot membawa tubuhnya jatuh ke bawah. Duduk di tengah ruang bilik menekur lantai tanpa suara. Tanpa esak tangis. Hanya deru nafas yang lelah. Dia penat namun dia tak boleh mengalah. Dia harus terus bangun walaupun terpaksa bersaing dengan masa lalu. Apa lagi yang boleh dia lakukan selain menghadapinya? Hendak hilangkan ingatan? Dia tak sanggup. Menjadi manusia tanpa memori itu lebih menyakitkan.

“Kau tak layak untuk anak aku!”

Kepala dipanggung memandang wanita anggun di depannya. Bicara yang kasar. Sejak awal dia diperkenalkan, mereka tak pernah memandangnya dengan pandangan yang sopan, sebaliknya memandang dia dengan pandangan jelik dan jijik.

“Saya...”

“Aku nak kau tinggalkan dia. Ini cek kosong. Kau boleh isi berapa saja yang kau nak, dengan syarat kau tinggalkan Wafiq.”

Jeda.

“Kau tak telek muka kau kat cermin ke sebelum goda Wafiq? Kau sedar tak diri kau siapa? Kau berangan nak jadi Cinderella ke? Atau kau ni sejenis manusia yang tak ada muka? Tak tahu malu? Oh, lupa pula aku... perempuan macam kau dengan latar belakang keluarga begitu dan kau sendiri... hurm, nak sebut pun aku malu.”

Kedua-dua tangan digenggam kemas. Kolam mata yang hangat cuba ditenangkan agar airnya tidak melimpah. Dia tak boleh menangis di sini. Di depan wanita bongkak ini. Keturunan? Latar belakang? Huh! Allah berikan panduan mencari pasangan harta, kecantikan, keturunan dan agama, namun Allah telah katakan agama yang utama.

“Berapa lama kau nak sorok kebenaran daripada aku?” Kertas putih itu dibaling tepat ke muka Reyhan. Mata terpejam rapat saat kepingan kertas itu jatuh di wajahnya. Malah dia terasa pedih pada pipi namun diabaikan. Bukan dia yang mahu sorok kebenaran, tapi Wafiq sendiri. Malah dia tak pernah menggoda Wafiq. Lelaki itu yang beria-ia mahukannya. Memujuk dan merayunya saban hari. Kerana tergoda dengan kesungguhan Wafiq, dia mengalah dan kini... dia sedar sesuatu. Mata bisa membohong tapi hati... tidak! Dia sepatutnya lebih percayakan hati dan perasaannya daripada mata yang membuatkan jiwanya  terharu dengan kesungguhan lelaki itu.

Mata dibuka perlahan. Dia mendongak memandang siling bilik. Kipas yang berputar tidak mampu menyejukkan tubuh yang kepanasan. Tangan digenggam kemas. Dia tahu kini dia sedang beremosi. Jiwanya yang terluka sedang memberontak dan dia tak mahu itu terjadi. Cukuplah apa yang terjadi dulu walaupun tiada penyesalan, namun ia cukup meletihkan untuk menghadapi tanggapan masyarakat.

Reyhan bangun dari lantai beralih ke katil. Dia menoleh ke meja di sisi katil melihat buku yang menjadi hiasan meja tersebut sejak hari pertama dia dapat. Reyhan diam namun mata masih menatap buku tersebut. Hatinya menggerutu untuk membukanya.

Dia menghempas nafas perlahan lalu mencapai buku Noktah Terjahit karya Nik Nur Madihah itu. Dibelek helaian pertama membaca inti sari dan matanya tertancap pada tajuk Bagasi Luka. Lantas dia membelek helaian, membaca satu per satu setiap bait aksara yang tertulis dan terhenti pada sebaris kata.

 

Belajarlah menggapai luka dengan selayaknya.

Luka bukan untuk dicaci cerca. Kita tidak hina

kerana banyaknya parut luka, kerana Tuhan

selalu ada untuk menerima penyesalan kita.

 

Bibir menguntum senyum sinis. Sebaris kata yang menampar diri sendiri. Baru tadi dia merungut dengan apa yang terjadi dalam hidupnya. Ditutup buku tersebut. Bola mata tertangkap pesanan yang ditintakan pada halaman hadapan buku.

“RQL...” omel Reyhan perlahan. “Siapa kau?” bisiknya lagi.

Pertemuan tidak menjadikan insan itu sahabat tapi ia boleh menjadi pencetus pada sebuah kebaikan jika itu yang dipilih oleh mereka.

 

No comments:

Post a Comment