Wednesday, 14 December 2022

My Kind Of Different - Bab 4


LAMA Zayyan menilik sekretari yang duduk menunduk bersama buku nota di tangan di balik meja kerjanya ini. Laju jari-jemari Karina menulis arahan-arahan yang dilemparkan bak peluru. Sedikit pun Karina tidak meminta dia mengulangi arahannya. Sikap yang lazimnya perlu dimiliki oleh setiap sekretari dalam mana-mana organisasi. Sudah lebih seminggu dia menduga kecekapan Karina, dan dalam tempoh itu juga Karina mampu bertahan dengan tuntutannya.

Karina mendongak. Mungkin sudah selesai dengan catatannya.

“Ada apa-apa lagi bos?” Sopan Karina bertanya.

Mulut gatal mahu bertanya tentang Aira, namun egonya tidak membenarkan. Sejak melihat kemesraan antara Karina dengan Aira tempoh hari, Zayyan yakin sekretarinya ini sudah lama mengenali Aira. Cuma sejauh mana hubungan mereka, Zayyan tak tahu.

Takde. Saya nak semuanya siap sebelum lunch,” perintah Zayyan.

Karina hanya mengangguk seraya tersenyum. Sikap Aira yang sentiasa murah dengan senyuman kini sudah berjangkit pada dirinya. Pesanan Aira acap kali kepada dirinya juga tak mampu dilupakan, menyebabkan dia kurang sedikit mahu merungut tentang kerja, mahupun bosnya. Rungutan masih ada, cuma sudah banyak berkurangan.

“Kay, kita kerja kena ikhlas. Bos suruh buat apa pun, kita kena turut asalkan masih dalam skop kerja kita. Apa orang putih cakap? Just grin and bear it? Hah gitulah!”

Karina bangun. Hairan dia melihat riak Zayyan yang seolah-olah mahu berkata sesuatu kepada dirinya. Namun melihatkan Zayyan yang kekal membisu, Karina terus sahaja beredar dari bilik bosnya.

Zayyan tersandar ke dinding kerusi beroda lima sambil mata memandang ke siling. Mengapa gadis itu asyik hadir dalam ingatannya? Mengapa senyuman gadis itu membuat jantungnya berdebar tak menentu? Mengapa dia mahu tahu tentang gadis itu sedangkan selama ini dia tidak pernah kisah akan orang lain melainkan keluarga terdekatnya? Dia hilang dari tanah air pun kerana mahu hidup sendiri di tengah-tengah masyarakat yang tidak mengambil pusing akan hal peribadinya. Dia senang hidup begitu. Dia dengan hal dia dan pedulilah dengan hal orang lain. Nampaknya, hati masih belum rela kerana terpaksa pulang ke Malaysia demi melunaskan sebuah janji.

Belum 2 minggu dia mula bekerja di kilang milik papanya ini dia sudah mula rimas. Rata-rata staf wanita di sini, tak kira di bahagian pengurusan atau operasi, sudah mencuba pelbagai cara untuk mengambil perhatiannya. Karina dan beberapa staf lain saja yang terkecuali. Itu pun sama ada kerana mereka sudah berkahwin atau akan berkahwin tak lama lagi. Dia tahu Karina masih bujang, tetapi tidak sekali pun Karina pernah cuba menjangkaui garisan profesional antara bos dengan pekerja. Sebab itulah dia menukarkan sekretari asalnya, Wati, ke tempat lain. Wati dan mereka yang lain, bukan main gatal mahu mencuba berlakikan ‘anak bos besar.’ Huh!

Zayyan melonggarkan sedikit tali leher di bahagian kolar kemeja, menandakan kerimasan yang dirasakannya. Dan sekali lagi sepotong nama itu meniti di bibirnya...

Aira...

Ada apa dengan Aira? Dia tiada jawapan.

Setiap kali berjumpa dengan Aira, kata-kata yang meluncur dari celah bibirnya tak pernah yang baik-baik. Asyik nak menjerkah, nak marah saja. Namun sedetik pun Aira tak pernah melenting. Tinggi benar kesabaran gadis itu. Apa pujian yang diberikan oleh abang Karina kepada Aira tempoh hari?

Manis, tenang dan murah dengan senyuman...’

Benar! Memang semua itu menggambarkan diri seorang Aria. Agaknya, apakah lagi ciri-ciri yang dimiliki oleh gadis itu? Dia mula tertanya-tanya sendiri.

Zayyan melepaskan dengusan kasar sebelum merapatkan tubuh ke meja. Tidak suka dengan fikiran yang melayang entah ke mana. Fail di depan mata dibuka dan dokumen mula dibaca.

 

“BOS, HARI Ahad ni kan, boleh tak saya ambik syif kerja malam? Pagi saya tak boleh datang sebab saya nak lawat adik saya kat asrama,” pinta Aira.

Bergaris dahi Azim.

“Betul ke awak nak kerja syif malam?” soal Azim.

“Bukan awak dah serik ke nak kerja malam?”

“Insya-Allah okey kut, bos. Saya akan cuba hati-hati.” Jelas Aira tak berapa yakin dengan kata-katanya sendiri. Sememangnya dia lebih suka bekerja dari pagi hingga ke petang saja. Kalau boleh, dia tak mahu bekerja giliran malam. Langsung tak mahu!

“Apa kata awak ambik cuti je? Awak ni jarang sungguh nak ambik cuti.”

Aira menggeleng sambil tersenyum.

Takpe bos, saya nak kerja. Sehari je saya ambik syif malam.”

“Okeylah kalau macam tu.” Azim beralah. “Adik awak macam mana? Dia okey ke?”

“Insya-Allah okey. Tak lama lagi dah nak SPM jadi saya dengan kak long bercadang nak lawat dia untuk bagi semangat sikit.”

“Eloklah kalau macam tu.”

Aira mengilas pandang jam di dinding kafe.

“Bos saya gerak dulu ya. Kejap lagi saya datang balik.”

Azim mengangguk.

“Elok-elok jalan.”

Seperti biasa, Aira mengangguk sambil mengangkat ibu jari tanda bagus. Kepala masih berpaling ke arah Azim sedangkan kakinya sudah pun melangkah ke hadapan.

“Aduh!” Bahagian tepi kepalanya sudah berlanggar dengan tembok batu. Tapi... mana ada tembok batu di tengah-tengah ruangan kafe ini? Oh tidak!! Dia terlanggar lelaki yang sama ke? Takut-takut Aira mengangkat wajah. Yakin yang dia bakal bertentang mata dengan lelaki yang amat gemar memarahinya itu.

Kan dah kata! Benar bagai disangka.

Zayyan melepaskan keluhan. Namun tiada api yang memancar daripada sepasang matanya kali ini. Tiada gas beracun yang terhembus dari rongga hidungnya. Zayyan tunduk mencari wajah yang kini sudah mendongak ke mukanya.

“Salah saya. Memang saya cuai. Saya minta maaf, encik. Encik nak marah ke?” Cepat-cepat Aira bersuara. Ikhlas dia meminta maaf. Dia tidak menyindir. Hanya bertanya.

Zayyan melepaskan tangan yang entah bila berpaut pada lengan gadis itu. Entah mengapa dia tiada keinginan untuk memarahi gadis itu kali ini. Lebih-lebih lagi melihat mata bulat Aira yang memandangnya begitu. Dahi hanya mampu berkerut. Liur hanya mampu ditelan.

Aira masih menunggu. Hairan dengan Zayyan yang hanya merenungnya tanpa sebarang kata.

“Encik?” tegur Aira.

Zayyan tersentak.

“Lain kali hati-hati...”

Tambah bulat mata Aira yang memandang ke wajah Zayyan. Itu saja? ‘Lain kali hati-hati?’ Itu saja? Takde nak jerkah, takde nak marah?

Aira tersenyum. Dan seperti biasa, cahaya daripada senyumannya terus memancar ke mata menandakan ketulusannya.

“Baik, encik, terima kasih.” Dia mengangguk kecil sebelum beredar. Hati lega bukan kepalang kerana diri tidak dimalukan di hadapan pelanggan kafe seperti yang terjadi beberapa kali sebelum ini di tangan lelaki itu.

Azim yang berdiri di belakang kaunter bayaran kehairanan. Bergaris dahinya. Sepupu dia ni dah kenapa?

“Lambat kau lunch hari ni? Sibuk ke?” soal Azim. Dia mengikut Zayyan ke meja yang kosong sebelum duduk bertentangan dengan sepupunya.

“Aku baru habis meeting. Baru nak makan.” Ada rasa kecewa yang bertandang di hati Zayyan. Ingatkan boleh mengintai si gadis sambil dia menjamu selera. Tengok-tengok si dia dah pergi pula. Dia pergi ke mana ya setiap selang sehari pada waktu tengah hari begini? Dia perlu lebih peka memilih hari untuk makan di sini.

“Kalau kau nak tahu, kau tanya jelah. Tak payah nak ego sangat,” ujar Azim tiba-tiba. Dia sudah bersandar ke dinding kerusi sambil tangan berlipat ke dada. “Come on, bro! Aku kenal kau dah lama. Kau datang sini bukan sebab nak makan pun, kan?” tebak Azim tanpa selindung.

Zayyan mengetap bibir. Takkan Azim bisa meneka hatinya?

“Lain kali, jangan datang ke sini hari Selasa, Khamis dengan Sabtu kalau waktu macam ni. Dia takde. Dia kena keluar. Nanti dalam pukul 4.00 baru dia akan datang balik dan kerja sampai pukul 6.00 macam tu. Kalau pagi, seawal pukul 7.30 dia dah ada sebab kafe bukak pukul 8.00. Hari Isnin kau jangan datang sebab dia cuti.” Tidak perlu Azim menyebut siapa si ‘dia’ itu. Dia yakin Zayyan tahu gerangan gadis yang dimaksudkan.

Laju Zayyan menyerap maklumat yang dilontar bak peluru oleh Azim. Maklumat yang akan direkodkan secara kekal dalam benaknya.

“Kenapa?” Sepatah saja Zayyan bertanya.

Azim menjongket bahu.

“Yang tu aku tak boleh nak kongsi. Tu hal peribadi dia. Aku rasa taklah rahsia sangat pun kalau aku nak beritahu kau, cuma dia tu jenis tak suka jaja kisah peribadi kepada orang sembarangan. Aku tak nak dia hilang kepercayaan dia pada aku kalau aku bukak cerita pada kau.”

Zayyan diam kali ini.

Why? Are you interested?” duga Azim. Mata tak lepas daripada wajah Zayyan. Kening sengaja dijongketkan berulang kali.

Bergerak-gerak rahang Zayyan. Tidak suka dengan pertanyaan daripada Azim, kerana dia sendiri tidak suka akan jawapan yang bakal meluncur keluar daripada mulutnya.

Chill, bro. Aku tanya je. Apa pun yang kau fikirkan kat dalam kepala kau tu, kau lupakan jelah,” cadang Azim. “Dah ramai yang mencuba dalam tempoh 3 tahun dia kerja dengan aku ni. Tak pernah sorang pun yang berjaya. Takde sorang lelaki pun yang berjaya ajak dia keluar dating, walaupun sekali.”

Terangkat kening Zayyan. Lagaknya seolah-olah tidak percaya dengan kata-kata sepupunya.

“Serius, bro! Kau percayalah cakap aku. Pelayan lain datang dan pergi, tapi Ai tetap setia kerja dengan aku. Aku kenal betul dengan dia. Dia dah macam adik aku. Pelayan ke, tukang masak ke, pelanggan ke, siapa je yang tak pernah try si Ai tu? Supplier aku pun pernah nak try. Pelanggan aku bukan calang-calang tau! Orang hebat macam kau pun ada. Tapi dia tetap macam tu. Semua dia bolayan.”

“Kenapa?” soalan yang sama diutarakan oleh Zayyan.

“Yang tu aku tak tahu. Dia tak pernah cerita. Tapi aku yakin housemate dia tahu.”

Housemate?”

Hmmm... housemate dia selalu jugak datang ke sini. Kau tak kenal kut. Karina nama dia. Ai panggil dia Kay.”

Ah... tahulah dia kini Karina dengan Aira merupakan teman serumah. Padanlah mereka nampak begitu mesra tempoh hari.

“Karina tu sekretari aku,” jelas Zayyan.

Membulat mata Azim. Tangan kini berlabuh ke atas meja.

“Karina? Karina tu sekretari kau?”

Zayyan mengangguk.

“Laaa... what a small world,” ujar Azim. Lama Azim memandang ke wajah sepupunya seakan cuba mencari sesuatu. Sudah lama Zayyan hidup dalam dunianya sendiri. Sudah terlalu lama! Hidup tanpa sebarang ikatan dengan mana-mana kaum hawa. Jadi, mengapa kini Zayyan seolah-olah berminat dengan pekerjanya? Kedua belah tangan kembali dilipat ke dada.

She’s not for you, Zack. Just forget it okay? Korang tak sepadan!” Agak keras nada suara Azim, seolah-olah melaungkan amaran.

“Aku tak kata pun aku minat kat dia, kan?” tangkis Zayyan cuba menolak andaian sepupunya itu. Namun, ada rasa yang tidak enak melingkar di hatinya? Mengapa Azim begitu yakin dia tak padan untuk Aira?

“Baguslah kalau kau tak minat kat dia. Nanti kau yang akan malu kalau kena reject dengan dia,” usik Azim sambil tersengih.

Zayyan mendengus.

“Daripada kau lepak kat depan aku ni, baik kau ambik menu cepat. Aku dah lapar gila ni!”

Terletus tawa daripada bibir Azim. Dia bangun.

“Baik, bos,” guraunya. Wajah ketat Zayyan tidak diendahkan. Azim cuba mengusir rasa tidak senang dalam hatinya. Kalau betullah Zayyan menaruh minat pada Aira, bagaimana jika Aira menolak Zayyan nanti? Dan bagaimana pula jika Aira tahu Zayyan itu sepupunya? Semestinya Aira tidak mahu bekerja dengannya lagi! Tidak sanggup dia kehilangan Aira. Aira seorang pekerja yang cemerlang. Dia yakin Zayyan takkan berjaya melenturkan kekerasan hati seorang Aira.

Rata-rata pelanggan yang datang adalah daripada golongan profesion yang pelbagai. Daripada pemakaian mereka pun tidak sukar untuk meneka. Tidak seorang pun yang pernah berjaya menarik perhatian Aira untuk menjalin hubungan yang lebih daripada seorang pelanggan dan seorang pelayan. Aira tak pernah dibutakan dengan wang ringgit. Dia lebih sanggup bekerja keras daripada mengambil jalan pintas untuk meringankan beban kewangannya. Lelaki yang galak mengiklankan status serta pangkat diri di hadapan Aira hanya akan termalu sendiri kerana Aira takkan pernah tertarik dengan gelaran mereka.

Aira masih sama seperti mula-mula dia bekerja di kafenya ini. Di mata Azim, Aira seorang yang sangat sederhana dan sangat, sangat istimewa...

 

No comments:

Post a Comment