Wednesday, 14 December 2022

My Kind Of Different - Bab 9


“AI... betul ke kau kerja syif malam hari ni?”

Terhenti langkah Zayyan yang baru mahu melintasi meja setiausahanya. Sepotong nama yang meniti di bibir sekretarinya mampu buat kakinya statik dengan sendirinya.

“Kenapa kau tak ambik cuti je? Hari tu bos kau ada boleh tolong hantar kau balik. Tapi hari ni dia takde, kan? Aku risaulah...” Karina menyambung kata. Nada suara Karina jelas tidak puas hati. “Apa kata kau naik teksi atau Grab je nanti?”

Lama Karina diam kali ini. Mendengar alasan daripada Aira di hujung talian agaknya.

“Okeylah kalau macam tu. Kau hati-hati tau. Apa-apa kau call aku. Babai.” Karina mematikan talian bersama suatu keluhan. Telefon diletakkan ke atas meja. Dia memalingkan tubuh menghadap ke skrin komputernya. Tegak dia berdiri tiba-tiba melihat Zayyan di depan meja.

“Ya, bos? Ada apa-apa?” Kalut.

Melihat Zayyan yang masih diam membuat Karina berasa serba salah.

Errr... sorry bos. Saya bercakap telefon dengan housemate saya tadi. Tak lama bos. Kejap je.” Sangkanya Zayyan marah kerana dia telah mengambil masa pejabat untuk membuat panggilan peribadi. Zayyan ni amat berdisiplin orangnya. Setelah lebih 2 bulan bekerja dengan Zayyan, dia kini lebih memahami serta menghormati bosnya ini.

“Bukannya saya tak bagi awak buat personal calls, Karina,” tegur Zayyan membetulkan salah sangka setiausahanya.

“Saya tahu, bos. Cuma, bos tak suka kalau saya buat personal calls kalau kerja saya tak sudah lagi.”

Zayyan mengangguk.

“Ada kes emergency ke?” soalnya agak berlapik untuk memancing Karina bercerita tentang panggilan telefonnya bersama Aira tadi. Hati meronta ingin tahu.

Karina menggigit bibir. Berkira-kira sama ada ingin berterus terang atau tidak dengan Zayyan. Zayyan merupakan ketua yang tidak suka mencampuradukkan kerja dengan hal peribadi.

“Bukan kes emergency bos. Saya risaukan housemate saya je.”

“Kenapa?”

“Bos kenal kan housemate saya tu? Rasanya bos pernah jumpa dia. Dia pelayan kat kafe...”

“Ya, ya, saya kenal,” cantas Zayyan laju. Lagaknya kurang sabar.

“Dia kerja syif malam hari ni. Dia jarang-jarang kerja malam. Dia fobia sebenarnya.”

“Kenapa?”

“Dia pernah kena kacau bos. Ada flasher kat dalam LRT. Masa tu, dalam gerabak ada dia dengan lelaki tu je. Dia tak boleh nak lari sebab tren tak berhenti lagi. Lelaki tu, errr... dia cuba nak... errr...” Karina tidak menemui kata-kata yang sesuai untuk memerikan kejadian yang telah menimpa temannya. Namun masih mampu difahami oleh Zayyan.

Was she hurt?” Keras suara Zayyan. Terangkat kecil bahu Karina tanda terkejut.

“Saya sebenarnya tak tahu setakat mana lelaki tu dapat sentuh kawan saya, sebab sampai sudah dia tak nak cerita. Dia cuma kata ada flasher malam tu dan lelaki tu cuba nak attack dia. Tapi sebabkan tulah kalau boleh, kawan saya tak nak kerja syif malam. Saya rasa dia trauma. Saya paksa dia buat repot polis pun dia tak nak.”

Zayyan menelan liur. Dada terasa ketat tiba-tiba. Jam di pergelangan tangan dikilas pandang. Dia tahu tindakan yang perlu dilakukannya pada malam ini.

“Cepat siapkan surat tadi tu. Tolong cancel dinner appointment saya untuk malam ni,” arah Zayyan sebelum masuk ke dalam biliknya.

Zayyan duduk di kerusi sambil melemparkan pandangan ke luar tingkap. Percikan matahari berwarna jingga semakin hilang daripada dada langit menandakan waktu maghrib akan tiba tidak lama lagi. Dia tahu dia masih punya banyak masa. Sekiranya dia meneruskan dengan janji temu dengan klien pada malam ini pun, dia yakin dia masih sempat ke kafe sepupunya. Lazimnya kafe akan tutup pada jam 11.00 malam. Namun, dia yakin hati takkan tenang jika dia meneruskan jua janji temu pada malam ini.

Betul telahannya. Dengan ketiadaan Azim, tiada staf yang berani untuk menutup kafe lebih awal daripada jam 11.00 malam. Zayyan sengaja memilih detik ini untuk tiba di kafe. Kurang 15 minit ke pukul 11.00, dia melangkah masuk. Kelihatan rata-rata staf kafe sedang melakukan kerja-kerja pembersihan serta pengemasan.

Cappuccino to go, please.”

Aira menongkat wajah daripada mesin daftar tunai. Bertembung pandang dengan panahan sepasang mata yang sudah semakin kerap menjadi santapan matanya. Kuat degupan jantungnya tiba-tiba seakan ada halilintar yang menyambar menembusi dadanya. ‘Eh, aku dah kenapa?’ Pantas Aira merendahkan mata.

“Atau kafe dah nak tutup dan awak tak terima pesanan lagi sekarang ni?” soal Zayyan.

“Kalau setakat kopi, masih boleh encik. Yang dah tutup, dapur. Last oder untuk makanan, pukul 10,” jelas Aira.

Zayyan mengangguk.

Aira berlalu untuk menunaikan permintaan Zayyan. Tidak lama kemudian dia kembali ke kaunter.

“Duit cash ni semua, awak ke yang akan pegang?” soal Zayyan sambil menghulurkan kad debit.

“Saya akan pegang sampai ke mesin CDM je, encik. Tak berani saya nak bawak duit banyak-banyak ni balik ke rumah,” jelas Aira. Dahlah dia menaiki pengangkutan awam. Apa-apa terjadi dalam perjalanan pulang nanti, macam mana nak menjawab dengan bos?

“Bank mana?”

“Yang kat hujung barisan kedai ni.”

Zayyan mengangguk.

“Ada sesiapa yang akan temankan awak?”

Aira menggeleng.

“Kenapa, encik? Bos ada cakap sesuatu ke pada encik?” Hairan Aira jadinya. Kenapa banyak pula soalan daripada lelaki ini ya? Azim tidak pula meninggalkan apa-apa pesanan kepadanya tadi selain memasukkan duit ke dalam akaun syarikat milik bosnya.

“Ai, kita orang dah siap nak tutup kafe ni.” Seorang daripada staf kafe sudah pun bersuara.

Aira akur.

“Okey.” Wang tunai dimasukkan ke dalam sampul lalu dimasukkan ke dalam beg.

Kafe ditutup. Masing-masing menghalakan kaki ke destinasi masing-masing.

“Marilah saya temankan awak ke bank,” tawar Zayyan.

Terhenti langkah Aira. Dia mencari mata Zayyan. Lazimnya Aira akan menolak apa-apa jenis pelawaan daripada kaum lelaki. Namun, dia sedar tawaran Zayyan ini merupakan suatu perlindungan buat dirinya.

“Terima kasih, encik,” ucap Aira.

Sepanjang perjalanan ke bank, mereka tidak berbicara. Zayyan kekal berdiri di sebelah Aira di tepi mesin CDM. Pucat saja wajah gadis itu. Selesai saja tugasnya, Aira melepaskan nafas penuh kelegaan.

“Alhamdulillah...” bisiknya perlahan. Namun masih bisa ditangkap oleh telinga Zayyan.

“Kenapa?” Tak lepas mata Zayyan daripada wajah Aira yang kini sudah kembali berwarna.

“Ni amanah, encik. Kalau hilang duit ni, macam manalah saya nak ganti? Syukur bank dekat. Kalau jauh, tak tahulah saya.”

Hmmm...” Zayyan menolak pintu kaca. Memberi ruang agar Aira keluar mendahuluinya.

“Saya balik dulu, encik. Terima kasih,” pamit Aira.

“Kejap!” tahan Zayyan.

“Ya?”

“Saya hantar.”

Aira menelan liur. Tawaran yang amat-amat melegakan dirinya, namun dia tetap tak selesa. Minda sudah mencerna baik buruk menerima atau menolak tawaran lelaki itu. Nak balik sendiri menggunakan LRT atau bersama lelaki yang tidak dikenalinya ini ya? Walaupun Zayyan merupakan sepupu kepada bosnya, lelaki itu tetap asing bagi dirinya. Tapi... sanggup ke dia menggunakan LRT pada waktu malam begini?

Sabar Zayyan menunggu. Riak wajah Aira begitu ketara. Sedar apa yang bermain dalam fikiran gadis itu.

“Saya... saya...”

“Nak ke tak?” potong Zayyan tidak membenarkan Aira berfikir terlalu lama.

Aira menelan liur. Lambat-lambat dia mengangguk. Tidak sanggup lagi melalui pengalaman lalu, walaupun kejadian yang menimpanya dulu mungkin tidak akan terjadi sekali lagi pada dirinya. Yalah, mungkin dia saja yang tidak bernasib baik pada malam itu.

“Jom,” ajak Zayyan. Kaki melangkah menuju ke kereta.

Aira masuk ke dalam perut kereta Audi Q7 milik Zayyan. Terasa janggal sekali.

“Awak takut ke?” duga Zayyan.

“Bukan takut, encik. Tak selesa je.” Ikhlas Aira menjawab.

Zayyan menghidupkan enjin. Kereta dikeluarkan dari petak parkir. Aira memaklumkan alamat rumahnya. Zayyan hanya mengangguk.

“Adik awak tak kerja ke hari ni?”

“Hari ni, dia kerja siang. Saya kerja malam.”

“Kenapa?”

Errr... kakak saya tak sihat. Jadi kami bergilir jaga dia.” Kekok Aira menerangkan sebab dia bekerja giliran malam pada hari ini. Nak menolak daripada menjawab, lelaki ini sudah pun menabur budi untuk menghantarnya pulang ke rumah. Rasa seperti tak beradab pula kalau dia mengelak daripada menjawab.

“Azim kata awak nak sambung belajar. Jadi ke?”

Aira mengerling seketika ke arah kanan.

“Saya tak pasti lagi... masih mencari tempat yang sesuai.”

“Kenapa tak pasti?” Zayyan tidak dapat menahan diri daripada menyoal. Akhir-akhir ini, ringan pula mulut dia bertanya. Dia pun hairan dengan kelakuannya sendiri.

“Sebab saya lagi suka kalau adik saya yang sambung belajar. Tu lebih penting buat saya.”

“Kalau awak sambung belajar, dia tak boleh sambung belajar sekali ke?”

Aira menggeleng.

“Kenapa?”

Semakin tidak selesa Aira jadinya. Perlu ke dia menjawab ya?

“Sebab nanti takde siapa nak jaga kakak kami.” Ringkas jawapannya.

Zayyan mengeluh. Nampaknya dia perlu bertanya lagi. Jawapan Aira masih tidak memuaskan hatinya. Masih samar-samar.

“Kakak awak kenapa?” Wajah Aira di sebelah kiri dikerling seketika. Sedar yang gadis itu tidak selesa dengan soalannya yang bertubi-tubi.

“Dia ada penyakit buah pinggang, encik. Tiga kali seminggu dia kena pergi dialisis kat hospital.”

Bertaut kening Zayyan.

How old is she?”

“28 tahun.”

“Mudanya lagi...” komen Zayyan. Tahulah kini sebab Aira keluar dari kafe pada waktu tengah hari setiap hari Selasa, Khamis dan juga Sabtu. Pastinya untuk menjemput kakaknya dari hospital.

“Serius ke?” tanya Zayyan lagi.

Errr... rasanya dah dekat setahun kakak saya tu mula dialisis. Rupanya kakak saya dah lama sakit, tapi dia tak beritahu sesiapa. Tekanan darah dia tak menentu dari zaman dia belajar lagi. Lepas tu ada macam-macam lagi komplikasi. Kami ada penderma buah pinggang, tapi...” Jeda. Tak sanggup Aira menyudahkan kata.

“Tapi?”

Aira kekal bisu. Dan kebisuan Aira memberikan jawapan yang begitu jelas kepada Zayyan. Zayyan menelan keluhan. Dan sepanjang baki perjalanan ke bangunan rumah pangsa Aira, mereka kekal membisu.

Semakin hampir ke rumahnya, Aira mula menunjukkan arah. Akhirnya, kereta diberhentikan di tepi jalan. Aira menanggalkan tali pinggang keledar. Dia menoleh ke arah kanan pada waktu yang sama Zayyan berpaling ke arahnya.

“Terima kasih, encik. Saya tak tahu macam mana nak balas.”

Kata-kata Aira bagaikan bulan jatuh ke riba.

“Awak nak balas? Senang je. Keluar dengan saya.”

Bulat mata Aira. Lama mata mereka bersabung pandang. Bergetar bibirnya tiba-tiba mendengar permintaan Zayyan.

Keluar dengan Zayyan? Inilah satu daripada sebab dia tidak suka meminta pertolongan daripada sesiapa pun. Tidak suka termakan budi, lantas perlu membalas dengan cara yang dia tidak rela!

“Hari apa awak cuti?” Zayyan bertanya walaupun Azim sudah pun memaklumkan hari cuti Aira kepadanya sebelum ini.

“Isnin, encik.” Bergetar suara Aira. Terasa diri tersepit kini.

“Saya tak paksa. Dan sebenarnya, awak tak perlu pun nak balas apa-apa. Saya ikhlas hantar awak balik rumah sekarang ni. Saya cuma nak ajak awak keluar dengan saya,” ujar Zayyan melihat reaksi Aira. Seumur hidupnya, dia tidak pernah perlu memaksa mana-mana gadis untuk keluar dengannya. Namun, dia mahu Aira menyatakan kata setuju atas kerelaan hatinya sendiri.

Aira masih diam.

“Kalau awak tak selesa dengan saya, saya minta maaf sebab saya pernah marah-marah awak sebelum ni,” ujar Zayyan. Walaupun sudah lebih 2 bulan kejadian itu berlaku, Zayyan sedar yang dia tidak pernah meminta maaf pun daripada gadis itu. “Saya dah malukan awak depan orang lain masa tu. Saya minta maaf.” Terasa janggal buat Zayyan mengucapkan kata-kata maaf. Rasanya, dia tidak pernah meminta maaf daripada sesiapa pun jua selama ini.

Kali ini Aira menggeleng. Lesung pipit di tepi bibir sudah muncul semula.

“Saya dah lupa pun kejadian tu, encik. Memang salah saya pun sebab asyik langgar encik je.”

Terpanar Zayyan melihat senyuman manis Aira. Jantung sudah bergendang hebat. Zayyan menelan liur. Sedikit pun Aira tidak perasan akan reaksi tubuh lelaki itu.

“Encik betul ke nak keluar dengan saya?” Berhati-hati Aira bertanya.

“Ya.”

“Bila?”

“Isnin ni.”

“Tapi...”

“Tapi apa?”

“Kenapa encik nak keluar dengan saya, ya? Encik tak rasa pelik ke nanti?”

“Kenapa mesti pelik?” tanya Zayyan sebagai balasan kepada soalan Aira.

“Sebab saya... saya...”

“Hanya seorang pelayan?” Zayyan menyudahkan kata-kata Aira.

Aira menggigit bibir sebelum mengangguk.

“Kalau pelik, saya tak ajak.”

Aira diam seketika.

“Encik tak kerja ke?”

I can be flexible,” balas Zayyan ringkas. Macamlah dia tak boleh nak ambil cuti, kan? Syarikat tu kan milik papanya.

“Sekali je, kan?” Aira mahukan kepastian.

We’ll see,” balas Zayyan selamba. Wajah berkerut Aira menggelikan hatinya. Sedar yang jawapannya tidak memuaskan hati gadis itu.

So, Isnin ni okey?” tanya Zayyan lagi.

Kepala yang lazimnya akan menggeleng setiap kali diajak keluar oleh kaum lelaki, kini mengangguk pula. Mulut yang sentiasa akan menolak, kali ini berkata setuju. Aira kehairanan. Namun sudah terlambat. Zayyan sudah pun mengangguk.

“Saya jemput awak kat sini pukul 11.30 pagi,” putusnya.

Lambat-lambat kepala Aira mengangguk. Pintu kereta dibuka.

“Saya balik dulu, encik. Sekali lagi terima kasih.”

Tak berkalih mata Zayyan daripada wajah Aira.

I’ll see you on Monday.”

Dan dengan kata-kata itu, Aira menutup daun pintu kereta sebelum berpaling.

 

No comments:

Post a Comment