Thursday, 9 March 2023

Bakawali, Bunga Suci - Bab 3


SELESAI mengutip mangga-mangga muda yang bertaburan di atas tanah selepas digait sebentar tadi, Cempaka duduk semula di atas pangkin. Petang-petang begini, terasa nak makan mangga muda dengan colek budu pula. Bersungguh dia menyuruh Eton masuk ke dapur untuk sediakan colek budu.

Bulat yang bermain-main dekat di kaki ditampar lembut.

“Pergi main sana! Masamlah mangga ni, bukannya kau boleh makan pun,” ujarnya, bercakap dengan Bulat. Tapi degil Bulat, biasalah... sampai ke atas pangkin pun dia nak naik.

Seketika menanti, akhirnya Eton keluar dengan sebekas mangkuk dan pisau di tangan.

“Petik lada burung dekat tangga tu sekali, Ton,” jerit Cempaka sebelum Eton sempat memakai selipar. Pokok ladanya itu sudah banyak hari tak dikutip. Banyak dah buah yang masak merah.

Duduk di pangkin, Cempaka dan Eton menikmati mangga muda bersama. Buah mangga kecil yang dipanggil ‘pauh ringan’ itu memang biasa dimakan tanpa dikupas kulit. Cuma perlu dibasuh bersih sahaja. Orang kampung memang makan buah mangga tersebut sebagai colek. Kalau ada yang rajin, mereka akan buat sambal. Tumbuk mangga tersebut dengan cili bersama ikan masin. Memang terangkat dimakan dengan nasi yang panas-panas. Kalau buah yang masak, digigit macam tu sahaja.

Ralit menjamu colek buah mangga, bunyi enjin kereta masuk ke kediaman rumahnya buatkan Cempaka berkerut kecil.

“Tok penghulu mari sini nak apa?”

Cempaka tersenyum kecil mendengar Eton bersuara.

“Adalah tu apa-apa hal nak beritahu,” balasnya rendah.

Keluar sahaja bekas bapa mentuanya itu dari kereta dan berjalan ke arahnya, bibir spontan menayang senyuman.

“Ayah,” tegurnya lembut.

“Eh, besar dah kambing kamu ni. Rasa dulu, kecik lagi.”

Cempaka sekadar tertawa kecil apabila perihal Bulat disuarakan.

“Haah. Dah lama dah pun Cempaka bawa dia duduk dekat rumah ni,” ujarnya memberitahu. Bercakap tentang Bulat, dulunya Bulat lahir di kandang dengan semua kambing-kambing yang dia bela di ladang. Tapi ibu Bulat mati. Sebab itu dia ambil anak kambing itu untuk dibela di rumah. Susu dibeli khas untuk Bulat bagi menggantikan susu ibunya. Dan sampai sekarang, dah setahun Bulat duduk dengan dia. Nak lepaskan untuk duduk dengan kambing-kambing lain, Bulat sendiri yang tak nak. Jadi dia biarkan saja Bulat duduk dengan dia di sini.

“Ayah ada benda nak bincang dengan kamu ni, Cempaka.”

Cempaka diam sahaja menanti lelaki itu duduk dengan selesa.

“Pasal apa, yah? Naik ataslah. Kita sembang dekat atas.”

“Eh, tak payahlah. Sini pun okey.”

“Yalah,” balasnya bersetuju. “Colek pauh, yah?” pelawanya kepada lelaki itu.

“Makanlah...”

Hmm, Ton... buat airlah untuk ayah.”

“Tak payahlah. Tak apa, tak payah. Ayah dah minum tadi.”

Tak peduli dengan penolakan lelaki itu, Cempaka tetap menyuruh Eton masuk membuat air.

“Pasal tanah sebelah ni, ayah nak cakap dengan kamu.”

Cempaka mencuci tangan di dalam bekas sebelum kening berkerut rapat ke arah lelaki itu.

“Tanah sebelah ni? Kenapa pasal tanah ni?”

“Ayah tak tahulah kamu nak setuju ke tak. Tapi ada orang nak beli.”

Terdiam seketika Cempaka mendengar ucapan tersebut. Beli? Dia tak pernah cakap pun nak jual. Siapa pula yang nak beli?

“Macam ni, anak sepupu ayah yang nak buat chalet dekat sungai tu, dia beritahu ayah suruh carikan tanah. Katanya nak buat rumah. Nak duduk sinilah, senang katanya nak urus chalet tu nanti. Jadi, ayah nak tanya kamulah, nak minta kamu jualkan tanah tu kepada dia.”

Cempaka diam seketika menimbal tara. Tanah sebelah ini tanah pusaka. Memanglah tanah itu atas namanya, tapi sayang juga nak jual tanah pusaka tersebut. Memang dekat sahaja dengan sebelah rumahnya. Tanah seekar itu memanglah kosong sahaja tak diusahakan apa-apa. Cuma banyak dengan pokok durian dan langsat. Itulah buah-buah yang ada untuk dia makan setiap kali musim buah datang. Tanah-tanah yang lain, semuanya dibuat ladang getah dan kelapa sawit. Tanah yang agak dekat yang satu lagi itu, dia usahakan ladang kambing. Jadi tanah itu sajalah yang mudah untuk dibeli agaknya.

“Daripada bela semak tu, baiklah kamu jual aje. Sekurang-kurangnya, meriah sikit kawasan dekat dalam ni kalau ada banyak rumah. Ini tak, rumah kamu sorang aje kesik (sunyi) malam-malam.”

Tersengih kecil Cempaka dengan gurau halus tersebut.

“Ya tak?”

“Bukan apa, tanah tu macam sayang aje, yah.”

“Sayang apanya... kamu tu ada berekar-ekar lagi tanah sana sini. Setakat tanah seekar ni apalah sangat. Kalau nak, letak aje harga mahal-mahal. Dia beli sebab dia memang betul-betul cari tanah nak buat rumah di sini.”

Diaorang mana, yah?” Tak nak tergesa-gesa membuat keputusan, Cempaka menyoal untuk berbasa-basi.

“Dia duduk KL. Tapi dah dua tahun duduk ulang-alik mari sini. Dah biasa sangat di sini. Chalet dia tu pun dah nak siap. Sebulan dua lagi, dia bukalah.”

“Oh...” balas Cempaka seadanya.

“Muda lagi. Tak silap, belum masuk 30 lagi.”

Kepala Cempaka mengangguk sahaja dengan cerita tersebut. Belum 30 dah pandai buat business chalet. Orang kayalah tu agaknya.

“Kalau Cempaka cakap tak nak jual?”

“Kalau tak nak jual, ayah kena cari tanah dekat tempat lainlah. Tapi janganlah tak jual. Ayah dah cakap dah nak usahakan untuk dia. Lagipun tak ada orang nak jual tanah sekarang ni. Sayang nak simpan belaka. Kamu tu lainlah, tanah banyak.”

“Tak tahulah Cempaka nak cakap macam mana ni, yah.”

“Setuju ajelah. Nanti esok lusa dia mari, ayah bawa dia datang sini, boleh?”

Payah Cempaka nak mengangguk atau menggeleng untuk memberi jawapan. Sejurus itu juga Eton sampai membawa dulang air. Cepat-cepat dia sambut dan tuangkan kopi panas tersebut ke dalam cawan. “Air ni, yah.”

“Yalah.”

Diam seketika tanpa ada apa-apa yang terbit daripada mulut masing-masing, akhirnya Cempaka bertanyakan soal mak teh, bekas mak mentuanya. Dia maklum yang wanita itu selalu sakit-sakit.

“Mak kamu tu macam tulah. Duduk dekat rumah pun berjalan dengan tongkat. Semalam Liza balik, bawa dia pergi jumpa doktor.”

“Kirim salamlah dekat dia, yah. Nanti ada masa, Cempaka pergi melawat.”

“Yalah. Ni ayah nak tanya pasal kamu. Kamu tak rasa nak cari pengganti? Anak-anak kawan ayah ada yang bujang-bujang. Ayah bukan apa, kamu pun muda lagi. Tak sedap juga dekat mata orang-orang, anak muda seorang diri, tak menikah.”  

Tertelan liur yang terasa kesat mendengar topik tentang dirinya disebut. Mata tunduk, tak jadi diangkat melawan panahan mata lelaki itu kepadanya. Menikah? Galau terus hatinya mendengar satu patah perkataan tersebut. Rasanya kejutan yang semalam pun belum reda lagi akibat pengakuan Aathif. Sekarang lelaki ini pula cuba mencadangkan perkara tersebut.

“Tipulah kalau ayah tak dengar cakap orang-orang kampung,” tuturnya lemah. Tak mahu terdengar macam terlebih kecewa.

“Orang kampung cakap apa?”

“Ayah takkanlah tak tahu.”

Hmm, entahlah Cempaka. Kita ni orang Islam, tak baik percaya yang bukan-bukan. Memanglah hal yang ghaib itu ada. Kita pun kena yakin pasal tu. Tapi untuk sandarkan atas hal-hal dunia yang berlaku dekat diri kita ni, itu dah jatuh terpesong.”

Diam sahaja Cempaka. Tak mampu untuk membalas apa-apa. Tapi tipu daya iblis dan syaitan itulah yang kita tak sedar bila menyusup masuk dalam hati kita. Dia sendiri takut. Jujur, dia mula takut dengan kemungkinan yang akan dia terima. Banyak kali dia dengar orang kampung bercakap tentang ilmu-ilmu tok nek yang pelik-pelik. Entah betul atau tidak, dia tak berani nak setuju ataupun tak. Yang dia tahu, dia takut.

“Aathif beritahu, dia nak kahwin dengan saya.”

“Aathif? Adik ipar kamu tu?”

Cempaka mengangguk perlahan.

“Tapi Cempaka tahu Cempaka tak boleh terima dia. Bukan sebab lain, tapi sebab Cempaka tahu Mak Wan tak akan izinkan. Buat apa Cempaka nak porak-perandakan keluarga Mak Wan lagi? Cukuplah dengan pemergian Abang Azlan dulu tu,” tuturnya dengan ayat sehabis baik.

“Aathif tu baik budaknya. Belajar pun tinggi. Tapi siapa aje yang tak suka dengan kamu, Cempaka. Kamu boleh pilih siapa saja kamu nak. Cuma betullah cakap kamu tu, Mak Wan tak akan izinkan. Ayah pun yakin. Buatlah keputusan elok-elok.”

“Jujurnya saya malas dah, yah nak fikir pasal ni. Ramai aje orang tak kahwin zaman sekarang ni, kan?”

“Tak bolehlah cakap macam tu. Mungkin jodoh kamu yang betul-betul ditakdirkan untuk kamu belum sampai lagi. Kita tak tahu, kan?”

Bercambah kecil senyuman di wajah Cempaka mendengar kenyataan tersebut. Entahlah, dia risau nak risikokan nyawa orang lain demi kebahagiaan sendiri yang belum tentu ada.

“Tak apalah. Kamu fikirlah elok-elok. Batang tubuh kamu tu dah jadi buah mulut orang. Jujur ayah sendiri pun tak tahan dengar orang bercakap. Tapi itulah, mulut tempayan boleh kita nak tutup, mulut orang...”

“Betul, yah.”

“Kamu kenalah kahwin. Harta kamu yang banyak nak wariskan dekat siapa kalau tak ada anak-anak? Cuba kamu fikirkan baik-baik.”

Cempaka mengangkat pula kedua-dua belah bahu. Belum sampai ke situ lagi dia berfikir. Hal harta dunia, tak terlalu dirisaukan sangat. Dia selesa mengurus semua itu seorang diri.

“Jangan cakap kamu takut nak kahwin.”

“Hah?”

“Kamu takut kalau apa orang kata tu betul?”

Berkerut-kerut wajah Cempaka cuba mencari jawapan yang sesuai.

“Ayah reda Fattah pergi dulu. Tapi ayah tak pernah terfikir dia meninggal sebab mengarut macam sumpahan ni semua. Ajal dan maut tu di tangan Allah. Allah yang berhak nak ambil kita bila-bila masa aje yang Dia nak.”

Terangguk-angguk Cempaka, tak tahu nak balas apa.

“Sumpah-sumpah ni, tak betullah! Cuba fikir logik elok-elok. Boleh ke makhluk halus ni beri mudarat dekat kita?”

“Cara jin dan iblis kita tak tahu macam mana, yah. Kalau Allah izinkan diaorang, kita tak boleh nak tidakkan. Betul tak?”

“Kamu yakin ke? Ini pasal diri kamu sendiri, Cempaka.”

“Tak tahulah, ayah. Sebab tu Cempaka rasa, Cempaka tak nak fikir lagi pasal kahwin. Biarlah Cempaka hidup macam ni. Eton ni ada. Selalu ada dengan Cempaka.”

Ketawa kecil Eton di sebelahnya apabila dia menyebut nama wanita itu.

“Tak reti dah ayah nak cakap. Dah makin payah sebenarnya. Ayah harap kamu jumpalah bahagia yang kamu cari. Walaupun ayah ni tak ada apa-apa pun dengan kamu, tapi ayah tetap nak tengok kamu hidup senang. Tenang, bahagia. Kamu usahalah elok-elok.”

Cempaka tersenyum pahit sambil mengucap terima kasih. Tersentuh kecil dilayan penuh baik dan prihatin daripada bekas bapa mentuanya itu.

“Ini ayah balik dululah. Kamu fikir-fikirlah macam mana dengan tanah tu. Esok atau lusa ayah bawa anak sepupu ayah tu datang jumpa kamu.”

Tak tahu macam mana nak dibalas permintaan tersebut, Cempaka terpaksa mengangguk sahaja. Tak selesa untuk menolak mentah-mentah harapan lelaki itu. Tak apalah, nanti kalau tuan badan sendiri yang datang berjumpa dia, mungkin dia ada kekuatan sikit nak menolak.

 

No comments:

Post a Comment