Thursday, 9 March 2023

Bakawali, Bunga Suci - Bab 6


AATHIF tahu, emaknya tak akan izinkan dia pergi berjumpa Cempaka walau apa cara sekalipun. Nak curi-curi pergi ke rumah Cempaka pun dia jadi tak berani. Bukan apa, mak dia dah mula main ugut-ugut nak tinggalkan dia seorang diri di sini. Nak pergi duduk dengan Asmira di KL sana tu. Dia bukan takut kena tinggal sorang-sorang, tapi kalau tak ada mak dia di sini, macam mana dia nak uruskan segala macam benda di sini? Kolam ikan tu, tiap-tiap bulan pengeluaran kena urus dengan elok. Dan urusan dengan pembeli di pekan sana tu, emaknya yang selalu uruskan semua perkara. Kalau mak dia tak ada, tak ke pincang kaki dia ni nak bergerak. Dia ni dengan manusia, memang agak alahan sedikit. Anti-people!

Bukan anti-sosial, tapi dia memang tak ada skil nak bersemuka dengan orang. Kelemahan paling besar! Nak kenal dengan seseorang memang ambil masa. Dia tahu ramai orang seperti dia di luar sana. Dia cuma selesa dengan orang-orang yang dah lama kenal sahaja.

Itu baru bercakap tentang ugutan nak tinggalkan dia seorang diri di sini, belum cerita lagi fasal Alisa yang emaknya jemput datang ke rumah semalam. Ada-ada sajalah emaknya itu. Konon nak eratkan hubungan dengan bakal menantu. Tak perasan ke muka Alisa yang berkerut-kerut tak selesa bila soal nikah kahwin disebut-sebut? Itu daripada pihak Alisa. Daripada pihak dia pula, memang tentu-tentu dia tak setuju. Dia tahu soal perkahwinan yang dipaksa-paksa sangat itu sebenarnya berpaksikan pada pengakuannya tiga hari lepas.

Aathif bukannya bergurau. Sungguh, dia memang nak jadi suami kepada Cempaka. Tapi emaknya menentang macam nak ajak berperang. Dia faham kalau wanita itu masih marahkan Cempaka, tapi untuk hidup dengan cerita lama, sampai bila? Mereka semua perlu teruskan hidup seperti biasa. Hidup dengan aman damai tanpa fikirkan hal-hal lama yang menyakitkan itu lagi.

Semalam dia ada berbual ringkas dengan Alisa. Dan mereka berdua sendiri tahu yang masing-masing tak menaruh apa-apa perasaan. Habis tu untuk apa mereka kahwin kalau hati tak bersatu? Terlalu old-schoollah sikap paksa-memaksa dalam perkahwinan.

Mereka sekarang bukan hidup pada zaman 80-an lagi dah. Dah tak ada orang nak paksa anak-anak kahwin atas kehendak sendiri. Cuma emak dia sahaja yang terlalu menggantung ego sampai ke langit.

Selepas asar, Aathif bersiap-siap untuk pergi ke sangkar ikan. Niatnya, dia nak ke kandang kambing Cempaka selepas itu. Dia tahu, waktu petang begini, Cempaka akan ada di sana mengurus kambing-kambingnya. Lagipun, ini sahaja peluang yang dia ada untuk berjumpa gadis itu. Waktu dan hari lain, mak dia sah-sah akan siasat setiap kali dia nak melangkah keluar rumah. Risau benar dia akan menyusul ke rumah Cempaka.

Selesai memberi makan semua ikan-ikan di dalam sangkar, laju saja Aathif berlalu meninggalkan kawasan tersebut. Lewat-lewat nanti, bimbang hari dah berlabuh. Cempaka tak menunggu lama sebelum maghrib. Gadis itu cekap mengurus masa.

Menunggang motosikalnya ke kawasan ladang Cempaka, Aathif sempat terserempak dengan Jemin yang memandu motosikal perlahan melalui jalan merah untuk ke kandang kambing Cempaka. Lelaki itu sedang menarik daun kelapa sawit. Pasti daun tersebut untuk diberikan kepada kambing-kambing di dalam kandang sana itu. Tangan diangkat tinggi, menegur Jemin. Dan lelaki itu membalas ceria. Perlahan-lahan Aathif mengekor motosikal Jemin sehingga sampai ke kandang kambing Cempaka.

Melihat kereta Cempaka ada terparkir di bawah pohon mengkudu bersebelahan kandang kambing, terasa lega sahaja dada Aathif. Bimbang juga kalau-kalau Cempaka tak ada. Turun dari motosikalnya, Aathif bergerak terus ke arah Jemin yang sedang menarik turun daun-daun kelapa sawit dari motosikal.

“Dari mana ni, Thif? Sangkar ikan?”

Aathif mengangguk sahaja memberi jawapan kepada Jemin. Sambil itu tangan bergerak sama membantu lelaki itu.

“Aathif, buat apa datang sini?”

Melepaskan daun-daun kelapa sawit daripada tangan, kepala Aathif tertoleh ke belakang. Cempaka sedang berdiri di tangga kandang kambing. Gadis itu seperti biasa ringkas sahaja dalam persalinan rutinnya. Cuma hari ini Cempaka tak berkasut but. Gadis itu selesa sahaja berselipar.

“Saya datang cari akaklah,” jawabnya. Tangan ditepuk-tepuk melepaskan pasir dan habuk yang melekat di tangan. “Dua tiga hari tak jumpa, akak. Mana boleh!”

“Mak tak marah ke?”

“Mak marah ke, tak marah ke, sama aje.”

Cempaka mengeluh kecil sambil melangkah turun ke bawah. Dia bukan apa, dia cuma tak selesa apabila terkenangkan mak mentuanya itu. Tiap-tiap kali Aathif datang berjumpanya, tiap-tiap kali itulah soalan yang akan dia tanya. Walaupun diri sendiri dah tahu jawapannya, masih juga tak bosan dia menyoal.

Melihat senyuman ceria Aathif, dada Cempaka mula rasa tak selesa. Teringatkan pengakuan besar Aathif beberapa hari lepas, kepala masih tak mampu nak terima dengan elok. Risau dia kalau-kalau Aathif masih bersungguh ke arah itu.

Dia bukan apa, dia sedar kedudukan dia dan Aathif macam mana. Walaupun status mereka pernah terikat sebagai kakak dan adik ipar, sekarang bukan lagi macam tu. Dia faham kenapa lelaki itu baik dengan dia selama ini. Dan dia juga selesa dengan hubungan seperti itu. Tapi untuk menukar status yang sekarang kepada status suami dan isteri, dia tak pernah langsung terfikir walau sekali! Demi Tuhan, dia anggap Aathif sebagai adik sahaja. Tak lebih daripada itu. Dan untuk lelaki itu menaruh hati kepadanya, dia tak pernah dapat membaca apa-apa selama ini. Macam yang selalu dia katakan, mereka baik kerana menganggap hubungan mereka sebagai hubungan saudara dalam keluarga.

“Ada apa ni?” soal Cempaka, merapati Aathif.

“Nak jumpa akaklah!”

“Ya, sebab apa? Nak jumpa akak sangat sampai datang cari dekat kandang kambing ni?”

Aathif mengeluh kecil seketika. Wajah manis Cempaka ditatap lembut, lama. Sekarang apabila dia dah luahkan perasaan dan hasratnya kepada gadis itu, dadanya makin kuat pula menuntut untuk lebih lagi. Dia mahu Cempaka faham dan mengerti perasaannya yang sebenar-benarnya.

“Mak tak bagi Aathif pergi rumah akak. Sebab tu Aathif datang cari akak di sini,” jelasnya ringkas.

“Mak tak bagi datang rumah akak. Tapi datang sini boleh pulak?”

“Bukan macam tu,” keluh Aathif lemah. “Dia tak bagi langsung Aathif jumpa akak. So, Aathif datanglah senyap-senyap ke sini.”

Cempaka pula mengeluh mendengar penjelasan Aathif. Dah kalau tak bagi langsung, maknanya memang marah benarlah tu. Dulu taklah sampai perlu datang jumpa dia senyap-senyap macam ni.

“Kamu cerita dekat mak ke?”

“Cerita apa?”

Cempaka mencebik kecil dengan soalan buat-buat tak faham Aathif.

“Apa?” soal Aathif lagi. Walaupun faham apa yang cuba disampaikan, sengaja dia nak dengar sendiri Cempaka menyebut tentang topik tersebut.

“Aathif, mak tak akan saja-saja nak sekat kamu keluar rumah kalau bukan ada sebab dia. Betul, kan?”

Hmm, betullah tu!”

“Thif, boleh tak kamu dahulukan kehendak mak? Janganlah ikutkan kata hati sendiri sampai nak abaikan mak tu.” Lembut Cempaka cuba memberi nasihat. Katakanlah kalau dia setuju dengan niat Aathif itu, mereka tak akan ke mana-mana juga. Mak Wan bukan mudah untuk dipujuk. Dia sudah kenal benar dengan mak mentuanya itu.

Itu baru satu sebab. Sebab lain sudah semestinya dia anggap idea tersebut gila. Dia tak sanggup nak risikokan sesiapa hanya kerana nak menuntut bahagia sendiri. Dia sudah selesa macam ni. Cukuplah dengan segala yang pernah berlaku dulu. Dia sudah serik.

“Akak, Aathif bukan nak abaikan mak. Aathif Cuma nak mak faham yang Aathif betul-betul nak akak jadi isteri Aathif.”

“Tak mungkin, Thif. Tak mungkin!” Cempaka menarik langkah ke arah pokok limau bali. Ada pangkin kecil yang dibuat Jemin untuk beristirahat di situ. Duduk dilabuhkan dengan nafas yang tertahan. Mula rasa sesak dadanya.

Aathif mengeluh berat sambil mengikut langkah Cempaka.

“Kenapa tak mungkin, kak? Aathif boleh buktikan yang akak bukan terkena sumpahan mengarut apa semua tu,” ujarnya bersungguh sebelum duduk dilabuhkan sama di atas pangkin kayu di situ.

“Tak payahlah sampai macam tu sekali Aathif. Kalau sebab itu aje kamu nak kahwin dengan akak, itu memang kerja gilalah, Thif.”

“Akak, dengar sini.” Liur tertelan agak berat. Payah rasanya nak meluahkan kehendak sendiri supaya mudah difahami. “Saya tahu bunyi dia gila sebab sumpahan tu sendiri pun mengarut. Saya nak kahwin dengan akak sebab saya ikhlas nakkan akak. Akak rasa saya main-main ke pasal benda besar macam ni? Tak, kak. Aathif tak main-main!”

Lama Cempaka merenung wajah Aathif yang serius cuba menunjukkan keyakinan. Tapi demi Tuhan, dia betul-betul payah nak tetapkan pendirian. Jiwa wanita dia tersentuh dengan sikap bersungguh-sungguh lelaki itu. Mereka berdua sudah kenal lama, dan dia sendiri sudah faham benar dengan perangai Aathif. Tapi, dia tak rasa mereka layak bersama.

“Cuba akak fikir elok-elok. Aathif tahu, Aathif ni muda daripada akak, tapi percayalah Aathif memang betul-betul yakin dengan benda ni. Akak bagi Aathif peluang dulu.”

Cempaka menarik nafas panjang. Semakin sesak dadanya dihimpit kata-kata Aathif. Keliru, keliru dan keliru. Dia patutnya menolak keras idea ini, tapi sikap Aathif betul-betul buatkan dia tersentuh.

“Tak mungkin, Thif. Mak takkan bagi kita kahwin.”

“Kita sama-sama pujuk mak.”

“Tak. Akak tahu mak tak akan makan pujuk rayu kita. Lupakan idea mengarut ni, Thif. Akak dah banyak kali cakap yang akak memang selesa macam ni. Akak boleh hidup seorang diri tanpa suami.”

“Tapi Aathif ikhlas nakkan akak.”

“Akak faham, Thif. Akak cuma tak bersedia untuk semua tu lagi. Maafkan akak, tapi akak tak boleh nak tipu diri akak.”

“Tipu apa? Akak tak sukakan Aathif?”

“Bukan macam tu.”

“Habis tu?”

Payah jadinya Cempaka nak membalas pandangan redup Aathif kepadanya. Apabila sudah jauh soal hati dan perasaan dibualkan, macam inilah jadinya. Mereka sepatutnya tetap jadi kakak dan adik sahaja. Tapi kenapa, kenapa boleh sampai macam ni sekali? Kahwin?

“Akak takut, Thif. Akak serik!” luah Cempaka lemah.

“Apa ni, kak? Kita dah banyak kali bincang pasal ni.”

“Tapi akak tak boleh nak anggap benda ni macam tak ada apa-apa.”

“Akak!” tegas Aathif mengeluarkan suara. “Stop, kak. Akak bukan Si Dara Suci yang terkena sumpah. Tolonglah...”

“Kamu tak tahu, Thif!”

“Tahu apa? Cuba cakap. Kak, sumpah, Aathif dah penat dengan cerita mengarut ni! Sebab tu Aathif nak kita kahwin. Kita teruskan hidup kita macam biasa. Kita buktikan yang akak pun layak bahagia. Kita buktikan yang akak tak pernah terkena apa-apa sumpah pun. Mengarut aje semua tu!”

Bodoh rasanya kalau Cempaka kata jiwa dia tak terkesan dengan segala yang Aathif ucapkan. Kesungguhan lelaki itu meyakinkan. Tapi hati dia berat nak terima. Dia takut. Jujur dia takut untuk menyambut sinar bahagia yang ditawarkan. Bimbang jika bahagia yang ditawarkan tersebut sebenarnya sama dengan kisah-kisah lalu. Terselit dengan kesakitan dan kekecewaan yang bukan sedikit. Demi Tuhan, dia serik. Dan itu juga menyakitkan!

 

No comments:

Post a Comment