Thursday, 9 March 2023

Bakawali, Bunga Suci - Bab 8


PAGI Jumaat yang indah. Cempaka dapat rasa ketenangan yang agak luar biasa. Selepas solat subuh sebentar tadi, Cempaka terus sahaja turun ke dapur. Tidak pasti nak masak apa, dia memilih sahaja mihun untuk digoreng ringkas. Sarapan mihun goreng dengan telur hancur pun dah cukup menyelerakan. Sekejap lagi, selepas sarapan, dia berniat nak ke tanah perkuburan sekejap. Rasanya dah banyak minggu dia tak melawat kubur ibu, ayah, dan tok nek. Rindu membelenggu jiwa makin terasa-rasa sejak dua menjak ini.

“Cempaka, masak dah?”

Melihat Eton yang sedang menyanggul rambut sambil berjalan turun, Cempaka tersenyum kecil.

“Dah, dah siap dah. Jomlah makan.”

“Pakai baju kurung cantik-cantik nak pergi mana?”

Sekali lagi senyuman terukir kecil. Pandangan tunduk melihat baju kurung moden yang melekat di badan. Baju kurung yang baru siap dijahit itu baru pertama kali tersarung di tubuh. Masih teruja lagi perasaan di dada.

“Cantik baju ni, kan?” soalnya meminta pendapat Eton.

“Cantik... cantik sangat.”

“Mak Sulah yang jahit. Baru semalam Cempaka pergi ambil.”

Hmm. Nak pergi mana?”

Meletakkan sebekas mihun yang siap digoreng ke atas meja, Cempaka bergerak pula mengambil daun sup di dalam peti sejuk untuk dihiris dan ditabur ke atas mihun tersebut.

“Cempaka ingat nak pergi kubur kejap lagi. Eton nak ikut?”

“Oh, nak pergi kubur ke? Pergilah, Eton tak boleh solat.”

Hmmm, kena pergi soranglah ni.”

“Ya, sorang!”

Cempaka mencebik kecil sambil menyenduk mihun ke dalam pinggan.

Hmm, yalah. Makanlah.”

 

TURUN DARI kereta, kaki melangkah perlahan dalam nada yang cukup damai. Mata memerhati beberapa orang pelawat di hujung kiri dan kanan kubur yang turut datang menziarah. Di tangan, surah Yasin dan tikar kecil dibawa bersama. Sampai sahaja di kubur arwah ibu, salam diberikan lembut. Selang beberapa meter di kanan, terletak kubur arwah ayah dan tok nek. Bibir terlakar nipis dengan riak senang hati. Rindu, rindu sangat dengan orang-orang yang tersayang. Dapat duduk dihadapan kubur mereka sahaja pun sudah buatkan jiwa terisdengan perasaan bahagia. Walaupun sedikit.

Dulu sewaktu Cempaka masih bersekolah, dia selalu datang bercerita dengan arwah ibu tentang kehidupannya. Tapi setelah lama berlalu, dia dapat tahu yang bercakap dengan kubur itu perkara yang kurang baik. Bermula dari situ, dia hanya datang mengaji sahaja. Tiada lagi kata-kata rindu, kata-kata sayang ataupun cerita-cerita sedih yang diluahkan. Sedih, memang sedih. Tipulah jika dia katakan dia boleh berlagak biasa selepas tempat meluah perasaannya ‘hilang’.

Kata para ustaz, ahli kubur mampu mendengar, tapi seeloknya, kita bercakap perkara-perkara yang elok sahaja. Maka, Cempaka rasa, dia perlu lebih berhati-hati dalam meluah atau bercerita. Bimbang ‘lari’ daripada tujuan asal menziarahi kubur.

Tapi Islam itu indah, dia percaya ada hikmah dengan setiap apa yang dilarang dan dihalang. Jadi, selama mana dia berada di kubur, semuanya hanya diisi dengan mengaji dan doa-doa yang panjang sahaja. Lebih elok begitu. Dia nak jadi anak yang solehah. Anak yang dapat meneruskan amal ibu dan ayah yang sudah terputus.

Setelah tikar dihampar, duduk dilabuhkan dengan tenang. Cuaca redup yang dibayangi pohon tinggi buatkan dia bernasib baik hari ini. Bacaan doa dimulakan perlahan sebelum Surah Yasin dibuka. Dan setelah lebih kurang 10 minit bacaannya, Cempaka menutup dengan bacaan doa.

Lama dia terdiam seketika, memerhati tanah kubur arwah ibu. Fikiran yang tenang makin buatkan segala akalan-akalan datang dengan mudah. Entah bila agaknya dia akan mengikut langkah mereka semua? Pergi meninggalkan dunia yang sementara ini. Jika diikutkan, dia tak menyesal apa-apa jika umurnya tak panjang sekalipun. Hidup yang selama ini sendiri, tak keberatan jika berakhir awal. Bukanlah dia meminta untuk mati, tapi ringkasnya, hidup dia tak berkisar kepada banyak benda. Hanya melangkah hari demi hari untuk tujuan yang tak pernah pasti. Dia tak pasti, jujur dia tak ada kepastian untuk hari mendatang.

Orang kata, hidup perlukan tujuan. Dan bagi Cempaka, dia sudah tidak ada tujuan kukuh seperti itu. Jangan salahkan dia jika dia berfikir seperti itu. Memang takdir hidupnya yang begitu. Dia hanya cuba untuk jalani semua yang hadir dengan sepenuh kudrat yang ada. Semangatnya terasa makin berkurang, hari demi hari. Jujurnya, itulah yang berbuku di hati. Tapi selagi kita bernyawa, hidup perlu diteruskan.

Malu untuk mengaku, tapi dia juga perlukan seseorang untuk sama-sama meneruskan hari-harinya. Sudah lama menghadap dunia seorang diri. Tak lama lagi, cukuplah 28 tahun dia hidup. Syukur ke hadrat Ilahi untuk kehidupan yang serba-serbi cukup. Cuma dia masih belum mampu merasa bahagia dicintai seseorang dengan sepenuhnya.

Dengan keluhan yang terasa memberat, Cempaka bangkit berdiri. Tikar kecil tadi dilipat semula dan bergerak ke kubur arwah ayah dan tok nek. Mencabut beberapa urat rumput yang meliar di kuburan tok nek, dia bergerak pula beberapa meter di hadapan.

Melihat kubur arwah Azlan yang bersih, bibir tersenyum nipis. Mesti Mak Wan atau Aathif sudah datang beberapa hari lalu. Al-Fatihah dibaca khas untuk Azlan.

Kemudian dia bergerak pula ke kubur arwah Fattah. Pun sama. Kubur Fattah bersih terjaga. Sekali lagi, bacaan Al-Fatihah meniti di bibir. Diniatkan khusus untuk cinta pertamanya. Tidak berbohong untuk dia katakan, cintanya masih kuat tersemat untuk Fattah. Sejauh mana pun berlalu masa, dia tak akan sesekali melupakan banyak kenangan dan bahagia yang pernah hadir antara dia dan arwah suami pertamanya itu. Terlalu istimewa semuanya untuk dibuang dan dilupakan.

Lama berdiri di situ, tubuh ditundukkan untuk menyentuh nisan perlahan. Ada rasa kurang selesa yang mula menjengah namun dibiarkan sahaja tak diendahkan.

Nafas ditarik dalam sebelum tubuh berpaling. Oh, baru terperasan rupanya kawasan kubur sudah kosong. Tak ramai rupanya yang datang berziarah hari ini.

Sekali lagi badannya terasa kurang selesa. Muka berkerut kecil. Pandangan dihalakan ke sekeliling beberapa kali. Tak ada sesiapa! Dada tak semena-mena terasa berdebar halus. Bibir spontan mengucap kalimah syahadah dan beristighfar perlahan. Memohon doa dan perlindungan daripada yang Maha Esa. Ya Allah, jauhkanlah dia daripada segala jenis kejahatan manusia ataupun jin.

Berjalan agak deras ke kereta, bibir tak henti-henti menyebut nama Allah dan doa-doa yang melekat di kepala. Tak tahu kenapa, tapi perasaan dia lain sangat sekarang. Beberapa langkah mendekati kereta, hati mula beransur-ansur tenang. Doa masih meniti yakin di bibir. Tapi dada sudah tak terlalu kuat berdetak.

“Hei, Cempaka.”

“Allahuakbar!” Terlucut tikar dan surah Yasin di tangan Cempaka. Jantung terasa mahu gugur jatuh ke bumi. Kepala terus sahaja tertekan kuat. Serta-merta perut terasa dihentak dari dalam. Hanya Tuhan yang tahu betapa hebat kesannya disapa kejutan.

“Kau sihat?”

Liur ditelan kesat. Mata tunduk ke bawah, mencari surah Yasin dan tikar kecil yang tadinya terlepas dari tangan. Cepat-cepat Cempaka tunduk dan mengambil kedua-duanya yang tak jauh dari kaki.

“Kau sihat, Cempaka?”

Sekali lagi liur terasa kesat melurut ke anak tekak.  Suara garau itu, entah kenapa terasa cukup menakutkan. Terasa berdiri bulu romanya tiba-tiba.

“Murad, kau buat apa dekat sini?” soal Cempaka kembali. Tubuh lelaki itu yang bersandar di pintu kereta ditilik sekilas sebelum mata dilarikan semula. “Aku nak balik ni.”

“Relakslah dulu. Dah lama aku tak nampak kau. Ada rezeki pula terserempak di sini.”

Cempaka diam sahaja. Rezeki apanya? Mengarutlah lelaki ini.

“Kau ni makin cantiklah, Cempaka.”

Dada semakin kuat berdebar. Tubuh terasa seram sejuk. Namun wajah masih cuba diriak normal. Tidak mahu lelaki itu nampak nilai kelemahan yang sedang menguasai.

“Aku nak balik ni, Murad. Kalau kau nak datang ziarah kubur bini kau, pergi ajelah.”

“Sabarlah dulu. Banyak benda aku nak borakkan dengan kau ni.”

“Aku nak cepat ni. Tepilah!”

“Boleh aku pinjam Yasin tu?”

Mata menghantar pandangan kurang selesa kepada lelaki itu.

“Aku tak bawa Yasin.”

Teragak-agak, Cempaka hulurkan juga surah Yasin di tangan.

“Terima kasih...” Tangan Murad bergerak mencapai huluran yang disuakan. Jari-jemari terhala lurus ke depan. Tak menarik surah Yasin, malah tangan Cempaka yang disentuh lembut dengan niat yang disengajakan.

“Murad!” Laju Cempaka menarik semula tangannya. Berderau darah di seluruh badan apabila melihat senyuman tak bersalah pada wajah lelaki itu. “Kau ni dah kenapa?”

“Cempaka, maaf, maaf! Janganlah marah. Aku tak sengaja.”

“Ke tepi! Aku nak balik!” Agak lantang suara yang meniti di bibir. Cuba bernada tegas.

“Sabarlah...” Langkah kaki Murad bergerak mendekati Cempaka perlahan.

“Murad. Tepi!”

“Aku jujur dengan kau, Cempaka. Aku dah lama berkenan dekat kau.”

Cempaka berkerut hebat. Dada ditujah-tujah dengan rasa bimbang. Takut jika Murad berani berlagak keterlaluan.

“Sumpah aku berkenan dengan kau dah lama.”

“Jangan nak mengarutlah, Murad. Kau tu ada bini!”

“Dulu... tapi sekarang aku dah bujang balik.”

“Murad!” Cempaka menjerit sedikit tinggi. “Kau jangan nak buat gila di sini.”

“Cempaka...” Tangan Murad sekelip mata mendarat di tangan kiri Cempaka.

“Tolong aku Cempaka. Aku dah lama berkenan dengan kau. Kau tahu kan, Maisarah dah lama tak ada.”

Bulat mata Cempaka melihat tangannya digenggam Murad.

“Lepaslah! Murad, kau ni dah gila ke? Lepas!”

“Aku janji aku tak buat jahat dekat kau.”

“Kau ni dah gila. Lepas, Murad!” Payah rasanya Cempaka nak menarik tangannya supaya terlepas. Kudrat dia nak melawan Murad, memang langsung tak terdaya.

“Lepaslah. Tolonglah lepas, Murad!”

Terasa mahu menangis di situ serta-merta apabila sebelah lagi tangan Murad berani menyentuh kepalanya. Wajah lelaki itu makin galak menunjuk riak berkuasa. Sumpah, demi Tuhan, Cempaka terlalu sesak dipukul dengan ketakutan yang belum pernah dirasai seumur hidupnya. Oh Tuhan, selamatkanlah dia daripada jantan durjana ini!

 

No comments:

Post a Comment