DHIYA hanya memerhatikan telatah Layla yang sedang duduk di sofa menerusi ekor matanya. Khusyuk betul gelagat Layla yang sedang menonton ulangan berita dalam bahasa Perancis itu. Dia bertambah-tambah pelik kerana Layla sedang khusyuk menonton slot sukan yang sebelum ini pasti akan terus ditukar ke channel televisyen yang lain. Pelik!
“Layla.”
Suara Dhiya yang lembut memanggil itu membuatkan Layla terus menoleh ke sisi. Riak wajah berkerut dihadiahkan kepada cik housemate terchenta dia.
“Kau ni okey ke tak okey ni?”
“Okey aje.”
“Ya ke okey? Habis tu, kenapa sejak kau balik tadi kau macam bad mood? Senyap aje sambil pura-pura khusyuk tengok berita. Dahlah berita sukan yang memang kau tak suka pulak tu. Jangan cakap kau dah start buang tabiat pulak! 90 peratus selalunya memang Najmi punca kau bad mood, tapi kau sekarang bukannya kat Malaysia. Najmi tak boleh nak naikkan darah kau kat sini,” komen Dhiya panjang lebar.
“Eh, mana pergi lagi 10 peratus?” soal Layla dengan tawa yang ditahan.
“10 peratus tu selalunya bila favourite croissant kau kat kedai bawah tu habis atau bila crush kau yang kat kedai bunga hujung jalan tu senyum kat perempuan lain,” jawab Dhiya dengan riak wajah yang serius.
Terus Layla tergelak. Patutlah Dhiya asyik diam sejak tadi. Rupa-rupanya dalam kepalanya penuh dengan kemungkinan-kemungkinan rekaan sendiri.
“Gelak pulak. Eh, kau jangan buat aku takutlah!”
Semakin kuat ketawa Layla sebelum dia berhenti ketawa.
“Aku jumpa seorang pak cik ni dalam flight dari KL hari tu. Anak perempuan dia duduk sebelah aku dalam flight. Dahlah comel dengan muka mix dia tu. Cakap bahasa Melayu pun fasih sangat.” Kotak ingatan Layla melayang kepada Qadr dan si comel Orked. Sah yang isteri Qadr memang minah salih jika dilihat pada wajah Orked.
“Jadi?” Hampir bercantum kening Dhiya mendengar cerita Layla yang tiba-tiba.
“Isy, kau ni tak sabar betullah!”
Dhiya koyak sengih.
“Petang tadi, tiba-tiba pak cik tu datang cari aku kat kafe. Dia cari anak perempuan dia yang hilang. Dia ingat aku sorokkan anak dia.”
Kali ini biji mata Dhiya membulat dengan pakej mulut yang sudah ternganga.
“Kau sorok anak dia ke? Eh, sejak bila kau dah pandai nak main sorok-sorok anak orang ni?”
Pap!
“Aku gurau ajelah. Sensitiflah kau ni.” Dhiya mencebik sambil menggosok-gosok lengannya yang pedih dek tamparan Layla sebentar tadi.
“Dahlah pak cik tu datang kafe bising-bising tanya aku mana anak dia. Lepas tu dia siap panggil aku plain stupid lagi,” tambah Layla. Terngiang-ngiang sebaris ayat Qadr sewaktu di kafe tadi. Memanglah dia dah maafkan lelaki itu, tapi memaafkan tak bermaksud melupakan.
“Seriuslahhhh...”
Layla mengangguk.
“Abang Hugo aku tu dah angin semacam. Kalau kau tengok muka Hugo tadi, dia dah ada gaya nak bertukar jadi Thor. Orang Perancis macam dia memang pantang lelaki yang tak ada adab. Nasib baiklah Madame Ines cool aje. Aku yang orang Malaysia ni pulak naik segan sebab pak cik tu masuk kafe dan terus ‘sembur’ aku tak pandang kiri dan kanan.”
“Habis tu anak perempuan pak cik tu pergi mana?” soal Dhiya. Emosi pula dia mendengar cerita Layla. Takkanlah pak cik yang diceritakan oleh Layla itu tidak tahu yang budi bahasa tu penting? Bak kata watak Harry Hart dalam filem Kingsman; ‘manners maketh man’.
“Ada aje dengan adik perempuan pak cik tu,” jawab Layla.
Terus tergeleng-geleng kepala Dhiya.
“Jadi, aku rasa aku boleh buat conclusion sikit hari ni.”
Ternaik kening Dhiya mendengar butir bicara Layla.
“Lelaki yang handsome ni memang kurang adab dan budi bahasa yang elok. Helmi tu salah satu contohnya dan pak cik tadi pun,” ucap Layla serius. Teringat-ingat dia kepada Helmi; senior sepengajian dengannya yang pernah menolak perasaannya tanpa konar-konar dulu.
“Pak cik tu handsome ke?”
“Handsomelah for an uncle.”
Dhiya ketawa lagi. Dia boleh agak yang Layla sudah ‘sekolahkan’ budi bahasa pak cik itu sebentar tadi. Dia sudah masak sangat dengan perangai Layla yang kadang-kadang terlebih berani itu.
“Kau tak boleh buat kesimpulan macam itulah, babe. Dahlah sampling kau cuma dua lelaki handsome versus berjuta lelaki handsome yang wujud dalam dunia ni. Jadi, kesimpulan kau tu tak boleh diterima pakai. Tak adil untuk populasi lelaki handsome yang lain.”
“Eee... susahlah kalau bercakap dengan bakal engineer macam kau ni. Tak boleh ke kau setuju aje dengan aku kali ni? Sekurang-kurangnya boleh jugak mengubat hati aku yang telah disakiti ni?” balas Layla, geram.
Sekali lagi Dhiya ketawa.
“Aku ada aje kenal dengan lelaki handsome yang baik. Contohnya lecturer subjek math engineering aku. Dr. Louis tu handsome macam muka Hugo Becker, French actor yang famous tu.”
“Tak habis-habis dengan Dr. Louis kau tu. Kau ingat sikit pesan mak kau kat KL tu. Mak kau nak menantu dia rambut hitam, bukannya rambut brunette.” Layla sudah buat muka bosan.
“Aku suruhlah Dr. Louis warnakan rambut dia dengan warna hitam,” usik Dhiya tidak mahu kalah tetapi hanya dibalas dengan jelingan tajam oleh Layla.
“Ala, aku gurau ajelah. Sabarlah, Layla. Biasalah, hari tak selalunya cerah sebab kadang kadang dugaan tu akan datang. Mungkin Allah nak uji kesabaran kau sikit hari ni,” pujuk Dhiya sambil memaut erat bahu Layla.
“Aku dengan ringan mulutnya buka ceramah lima minit tentang sifat sabar dekat pak cik tu tadi.”
Dhiya tergelak lagi. Dia agak dah!
“Tapi kan Dhiya...”
Jeda dan Dhiya kembali menoleh ke arah Layla yang kelihatan seperti sedang berfikir itu.
“Aku yakin aku pernah jumpa dengan pak cik tu waktu Pahlawan CafĂ© buka baking class. Tapi...”
“Berapa banyaklah kau punya tapi ni?”
“Tak ada apa-apalah.” Layla koyak sengih memandang Dhiya yang sedang berkerut dahi memandangnya.
“Suka sangat cakap tak habis.” Dhiya sudah menggeleng perlahan dan pandangan mata kembali ke arah skrin leper televisyen.
“Tak, aku teringat yang esok aku nak jumpa Sara.” Terus Layla menukar topik perbualan.
“Kau setujulah nak tengok-tengokkan anak buah Sara sepanjang abang Sara ada kat sini?”
Layla mengangguk.
“Kenapa abang Sara tak bawa wife dia sekali? Kan senang boleh tengok-tengokkan anak.”
“Kan? Aku dah tanya, tapi Sara kata kakak ipar dia tak ada. Mungkin sebab bekerja, jadi tak boleh ambil cuti untuk ikut abang Sara ke sini.”
“Kau setuju pula dengan idea Sara tu?”
“Aku sebenarnya kesiankan anak buah Sara tu bila Sara kata memang tak jumpa babysitter langsung.” Entah mengapa, tiba-tiba hati Layla jadi tidak sedap pula.
SEAWAL PUKUL 7 pagi, Layla sudah sampai di hadapan unit apartmen seperti yang diberitahu oleh Qaisara semalam. Bangunan apartmen mewah di kawasan elit ini menarik perhatian Layla kerana ada ruang balkoni apartmen yang mempunyai pemandangan menghadap Menara Eiffel walaupun dari jauh. Hotel-hotel di sekitar kawasan itu yang mempunyai pemandangan sebegitu juga semuanya mencecah harga ribuan ringgit semalam.
Nafas ditarik dalam-dalam bagi meredakan dada yang sejak tadi berdebar kuat. Dia risau bagaimana dia mahu menjadi babysitter bidan terjun selepas ini. Dengan dada yang semakin berdebar kuat, Layla menekan loceng di tepi pintu rumah.
Tidak lama kemudian, terus pintu dibuka dari dalam dan saat itu sepasang mata Layla terus membulat. Terkejut!
“Hi, is there...”
Lelaki tinggi lampai yang sudah berdiri di muka pintu itu sudah terkebil-kebil memandang Layla.
“Pak cik?”
“Layla?”
Tidak lama kemudian, muncul Qaisara dari dalam rumah dengan sebelah tangan memimpin tangan Orked.
“Eh, angah dengan Kak Layla memang dah kenal antara satu sama lain ke?” soal Qaisara sedikit pelik melihat reaksi Qadr dan Layla.
“Angah?” Pandangan mata Layla bergerak mencari Qaisara. Takkanlah...
“Haah, inilah abang Sara yang Sara ada ceritakan dekat akak tu. Ini pula Orked.”
Terus Layla menelan liur sendiri dan sempat pandangan mata bertemu dengan Qadr yang sudah memandangnya dengan tajam sebelum cepat-cepat dia memandang ke arah lain.
“Hai, Kak Layla!” sapa Orked mesra dan terus mendapatkan Layla yang masih berdiri tegak di luar.
“Eh, Orked pun kenal dengan Kak Layla?” Qaisara menjadi semakin pelik dengan apa yang sedang berlaku.
Layla sudah mengeluh perlahan memandang Qadr yang masih terkejut dan Orked yang nampak seronok berjumpa dengannya. Adakah kota Paris ini terlalu kecil sehinggakan dia boleh bertemu lagi dengan Qadr?
**BERMINAT? Boleh hubungi/ WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /
: 019-3729676 (Admin Shida)
No comments:
Post a Comment