Wednesday, 17 May 2023

Dia... Masih Di Sini - Bab 2


PUCAT wajah Zayed. Muka yang berpeluh itu diseka dengan tisu. Tajam matanya merenung wajah Qaireen.

“Awak nak ugut saya?”

“Tak. Saya cuma bagi encik pilihan. Dengan bukti-bukti ni, saya boleh serahkan kepada pihak sekolah untuk dapatkan bantuan.”

Tegak tubuh Zayed.

“Kau jangan nak pandai-pandai jatuhkan aku.”

“Encik takut malu?”

Tergerak-gerak rahang Zayed.

“Macam inilah, encik. Saya bagi pilihan. Encik perlu serahkan hak kami sebagai penghuni di sini dengan adil. Jadi saya akan tutup mata dengan perbuatan bodoh encik dengan Hana.”

Qaireen pun tak ingin nak dedahkan hal ini. Hana yang bodoh serahkan diri kepada Zayed. Bertepuk sebelah tangan, takkan berbunyi.

“Hak apa?”

“Encik jangan ingat saya bodoh. Kami tahu, ada banyak bantuan yang disalurkan ke sini. Tak logik makanan kami di sini dicatu.”

Terdiam Zayed.

“Saya harap, encik dapat betulkan semuanya. Tentang hubungan encik dengan perempuan tu, saya tak nak ambil tahu. Yang pasti, saya nak encik berikan hak kami kembali.”

Tegas Qaireen memberikan kata dua sebelum melangkah keluar dari bilik itu. Afia yang sudah lama menunggu, bergegas mendapatkan Qaireen.

“Kau okey?”

“Ada nampak aku tak okey ke?”

Afia julingkan biji mata. Sempat lagi dia dikenakan.

“Aku risaulah. Kenapa kita tak dedahkan hal ni kepada pihak sekolah?”

“Aku tak nak rumitkan keadaan. Nanti kita pula dipanggil jadi saksi. Tak naklah aku libatkan diri dengan polis.”

“Kau tak kesiankan Hana ke?”

Tergelak Qaireen.

“Dia yang serah diri. Bukan dipaksa. Kau sendiri nampak semalam, bukan main menggedik dia dengan jantan tak guna tu.”

Afia hela nafas lemah. Mereka duduk di kerusi yang ada di lobi.

“Kesian arwah Puan Zafirah, ada anak tak guna macam tu.”

Apabila nama arwah disebut, tubir mata Qaireen terasa hangat. Dulu dengan wanita itulah mereka menumpang kasih seorang ibu. Arwah meninggal akibat serangan jantung. Kehilangan wanita itu memberi kesan kepada Qaireen.

 

 

BEBERAPA HARI lagi mereka bakal menduduki peperiksaan SPM. Qaireen sudah bersedia. Sejak dia memberi amaran kepada lelaki itu, semuanya kembali normal. Makanan mereka tidak lagi dicatu.

Bukan dia tak sedar, Hana selalu memberi pandangan tidak puas hati kepadanya. Peduli apa Qaireen. Apa yang penting, dia tak nak nasib penghuni di sini ditindas.

Hujung minggu begini, mereka dikejutkan dengan kehadiran seorang usahawan terkenal. Lelaki itu datang bersama isteri dan anak lelakinya. Kedatangan usahawan itu ke sini dengan niat memberi sumbangan kepada mereka.

Dari jauh, Qaireen ternampak seorang pemuda sedang berbual mesra bersama ibunya. Hati Qaireen tersentuh.

“Kau tengok apa?” bisik Afia. Dari tadi dia perasan rakannya itu terlalu ralit memandang ke arah tetamu itu.

“Tu... suka aku tengok dia berbual dengan mak dia. Mesti seronok kalau kita ada mak.”

Afia terhenyak.

“Jom kita ke sana.” Tangan Afia ditarik agar mengikutnya.

“Eh, kau nak pergi mana?”

“Ikut ajelah.”

Qaireen terus melangkah ke arah meja yang menempatkan pasangan dua beranak itu. Dia memaniskan wajahnya di hadapan wanita itu.

“Assalamualaikum, puan.”

Perbualan dua beranak itu terhenti seketika. Wanita itu menoleh ke arah Qaireen.

“Nama saya Irsa. Ini kawan saya, Afia.”

Tangan dihulurkan kepada wanita itu. Wanita itu menyambut huluran itu dengan mesra.

“Umur berapa?” Ramah wanita itu menyoal.

“17 tahun. Tahun ni kami dah nak SPM.” Anak mata Qaireen melirik ke arah lelaki di sebelah wanita itu.

Lelaki itu masih ralit memandang telefon bimbitnya.

“Ooo... semoga berjaya ya.” Tangan Qaireen diusap lembut.

“Terima kasih.” Serentak Qaireen dan Afia menjawab.

“Umi, Elman nak keluar kejap. Nak buat panggilan.”

Suara garau itu menarik perhatian Qaireen. Pada masa yang sama, lelaki itu turut memandangnya. Senyuman manis diberikan kepada lelaki itu.

Namun lelaki itu tayang wajah biasa dan terus keluar dari dewan tersebut. Berubah air muka Qaireen. Malu pun ada.

“Duduklah sini. Temankan aunty.” Tangan Qaireen ditarik agar duduk di sebelahnya. Afia turut melakukan perkara yang sama.

“Dah lama tinggal di sini?”

“Sejak saya dilahirkan. Kata arwah Puan Zafirah, saya ditinggalkan di hospital. Sampai sekarang, saya tak tahu siapa ahli keluarga saya. Nama saya pun diberi oleh arwah.” Qaireen tak malu pun menceritakan kisah peribadinya.

Wanita itu tayang wajah simpati.

“Maaf kalau aunty tanya soalan yang sensitif.” Rasa bersalah pula wanita itu.

“Tak ada apalah. Dah nasib kami. Err... aunty ada anak seorang aje?”

Wanita itu tersenyum manis.

Aunty ada dua orang anak. Yang tadi, Elman. Baru habis belajar. Seorang lagi, Elisa. Dia sebaya Irsa.”

Qaireen mengangguk perlahan. Patutlah lelaki itu nampak lebih matang. Tak lama kemudian, Elman muncul kembali. Nampak riak wajahnya kurang selesa melihat kehadiran Afia dan Qaireen di situ.

“Kami pergi dululah. Terima kasih sudi datang berikan bantuan kepada kami.”

“Sama-sama. Nanti ada rezeki, kita berbual lagi.”

Wanita itu memeluk erat tubuh Qaireen dan Afia. Sebaik saja kedua-duanya berlalu pergi, Puan Natasya menghembus nafas kasar. Dia duduk di kerusinya dengan wajah tegang.

“Mana walid Elman?”

“Dia jumpa Encik Zayed. Mungkin tengah berbincang tentang peruntukan bantuan yang nak diserahkan nanti.”

Elman menghabiskan minumannya.

“Umi cakap apa dengan budak-budak tadi?”

“Berbual kosong.”

“Nampak mesra.”

Laju Puan Natasya menoleh ke sebelah.

“Elman sindir umi ke?”

Elman ketawa kecil.

“Jadi, betullah umi cuma berlakon tadi?” Dia dah agak. Ketika umi bercakap lembut dengan dua orang remaja tadi, semua itu hanya lakonan. Tak sanggup dia melihat lakonan itu, dia beredar dari situ. Tak sangka, lama pula umi berbual bersama mereka.

“Budak tadi tu tak ada asal usul. Ikutkan hati, umi tak sukalah bersentuhan dengan budak macam tu.” Menggeletis tubuh Puan Natasya.

Elman gelengkan kepala.

“Tak baik umi cakap macam tu. Bukannya mereka minta dilahirkan begitu.”

“Apa-apa ajelah. Ni umi nak ingatkan. Kalau nak cari pasangan hidup, jangan cari perempuan tak ada asal usul. Umi tak suka.”

Terlepas ketawa Elman. Kepalanya digeleng berkali-kali.

“Umi ni... ke situ pula. Elman baru 24 tahun. Tak terfikir lagi nak berkahwin.”

“Umi cuma nak ingatkan. Walid dan umi berkahwin masa umur 21 tahun. Kalau umur macam Elman ni, dah ada anak seorang agaknya.”

Elman geli hati dengan kenyataan wanita itu. Mungkin bagi ibu bapanya dalam usia 24 tahun, dirinya layak mendirikan rumah tangga. Tapi bukan buat dirinya. Masih banyak impiannya yang perlu dicapai sebelum memikirkan soal rumah tangga.

Dari jauh, Elman melihat dua orang remaja tadi sedang berbual mesra. Ada rasa simpati yang muncul dalam hatinya setelah mendengar cerita daripada mulut umi.

“Pandang apa?” sergah Puan Natasya.

Elman hela nafas panjang.

“Tak pandang apa-apa.”

Berdecit lidah wanita itu.

“Jangan ingat umi tak nampak. Ingat... jangan nak cuba buat perkara yang umi tak suka.”

Elman pandang ke arah lain. Malas nak melayan bebelan umi. Dia sendiri pun tidak mahu memilih pasangan hidup daripada keturunan tidak jelas. Sudah tentu dia ada cita rasa yang lebih baik.

 

No comments:

Post a Comment