TERBELIAK mata Afia. Nilai yang ada pada cek itu dilihat sekali lagi.
“Banyaknya! Dia ke yang bagi?”
“Dialah. Mangsa aku yang tak lama lagi bakal menjadi arwah.” Berdekah-dekah Qaireen ketawa.
Cek itu diambil kembali dan disimpan ke dalam beg. Esok dia akan ke bank untuk memasukkan duit itu ke akaun simpanannya.
“Tak baiklah kau buat macam ni. Kali ni berapa lama pula kau nak gunakan dia?”
“Ermmm... rasanya yang ni paling pendek. Dua bulan.”
Berkerut dahi Afia.
“Kenapa dua bulan? Biasanya kau akan minta putus lepas enam bulan.”
“Sebab lelaki tak guna tu dah ada isteri.”
Jatuh rahang Afia. Tangan Qaireen ditarik agar duduk menghadapnya.
“Kau biar betul! Kalau isteri dia serang kau, macam mana?”
Qaireen betulkan duduknya.
“Sebab tu aku tak nak lama-lama dengan jantan tu. Lepas habis kerja aku di Singapura, barulah aku tinggalkan dia.”
Itulah permainan Qaireen terhadap mana-mana lelaki kaya. Afia sangat risaukan perubahan Qaireen. Sudah puas dia cuba menasihati gadis itu tetapi tidak diendahkan.
Selepas Qaireen mula hidup berdikari di luar, dia menyertai agensi peragaan. Dengan wajah Qaireen yang cantik, mudah untuk dia diterima bekerja. Disebabkan kerjaya itu juga, Qaireen berubah 180 darjah. Tiada lagi selendang di kepalanya. Malah rakannya itu sudah berani memakai pakaian yang seksi.
Dengan hasil kerja tersebut, Qaireen membiayai pelajarannya. Dia terpaksa mengambil peperiksaan SPM sekali lagi. Selepas mendapat keputusan yang baik, dia menyambung pelajaran di kolej. Itulah sikap yang Afia suka tentang Qaireen.
“Aku betul-betul risaukan kau. Kau berhentilah kerja model ni. Kebetulan, tempat kerja aku ada buat temu duga untuk pekerja baharu. Kau cubalah.”
“Euww... tak naklah. Bosan nanti kerja seharian dalam pejabat. Itu belum lagi kerja dengan manusia yang toksik.”
Selama dia bekerja dalam bidang peragaan, Qaireen tidak mempunyai kawan yang rapat. Sekadar bekerjasama dalam pertunjukan fesyen saja. Hanya Afia rakannya yang rapat.
“Cubalah dulu. Sampai bila kau nak kerja macam ni?”
“Tengoklah dulu. Buat masa ni, aku lebih selesa kerja macam ni. Duit pun masuk.”
“Dan kau dapat kenakan lelaki kaya, macam tu?” celah Afia.
Qaireen tersenyum sinis. Sejak kejadian hitam yang menimpa dirinya, dia sangat membenci lelaki kaya yang cuba mengambil kesempatan. Disebabkan itu, dia akan membalas dendam dengan mempermainkan perasaan mereka.
“Kadang-kadang aku ada terfikir juga.”
“Fikir apa?” soal Qaireen sambil menggigit buah epal di tangannya.
“Macam mana kalau kau ditakdirkan bertemu jodoh dengan orang kaya?”
Tersedak Qaireen. Lehernya digosok menghilangkan rasa perit di situ.
“Kau cakap apa?”
“Aku cakap, macam mana kalau ditakdirkan jodoh kau tu memang dengan orang kaya? Yalah, sebelum ni kau benci sangat dengan orang yang berduit.”
Qaireen terdiam.
“Kenapa kau diam?”
“Mustahil. Aku tak pernah terfikir pun nak kahwin.”
Mencebik bibir Afia.
“Sekarang ni memanglah kau tak nak. Kalau dah jumpa Mr. Right, silap-silap kau yang ajak dia kahwin.”
Qaireen menghadiahkan jelingan tajam kepada Afia. Tiba-tiba soal kahwin yang muncul.
“Tak semua orang kaya ni jahat. Contoh macam anak bos aku. Dia baik sangat. Solat tak pernah tinggal. Selalu belanja kami makan.”
Qaireen menjulingkan biji mata.
“Kalau dia baik sangat, kau ajelah kahwin dengan dia.”
Panjang muncung Afia.
“Aku ni tak berani macam kau. Lagipun aku dengar dia dah ada seseorang. Perempuan tu kawan baik dia.”
“Baru kawan. Bukannya dia dah kahwin.” Selamba Qaireen berikan hujah. Dia bangun dan berura-ura untuk masuk ke bilik.
“Kau betul ke tak nak cuba kerja dekat tempat aku?”
“Tak nak.”
Malas Qaireen bekerja di tempat yang sama dengan Afia. Di rumah, telinga dia dah panas terpaksa menadah bebelan gadis itu. Tak mustahil dia akan jadi pekak kalau 24 jam terpaksa menghadap Afia.
QAIREEN TERSENYUM puas apabila kerjanya selesai. Dia segera bergerak untuk menukar pakaiannya. Malam ini, ada sesuatu yang istimewa bakal berlaku.
Tiba-tiba pintu bilik persalinannya dibuka. Mujurlah dia masih belum menanggalkan pakaian.
“Sorry, I masuk tak minta izin.” Ferhad masuk ke dalam bilik. Pintu ditutup rapat dari dalam.
Qaireen cuba bersikap tenang.
“I really miss you.” Pinggang ramping milik Qaireen ditarik rapat ke arahnya.
Kedua-dua tapak tangan Qaireen melekat ke dada lelaki itu. Ikutkan hati, ada juga tapak tangannya melayang ke wajah itu.
“Sabarlah. I pun rindukan you. You dah janji nak jumpa I malam esok. Malam ni I ada hal.”
“Lama sangat, sayang.”
Ferhad semakin berani. Tubuh itu didakap erat.
Qaireen cepat-cepat menghalang apabila bibir lelaki itu semakin menghampiri wajahnya.
“Please. Wartawan masih ada di luar. I tak nak timbul apa-apa isu. Kita jumpa malam esok. ”
Ferhad menghembus nafas kasar.
“I janji, I akan pastikan pelaburan yang you buat ke atas I, sangat berbaloi.” Jari runcing Qaireen bermain di pipi Ferhad.
Lebar senyuman lelaki itu. Tubuh Qaireen dilepaskan perlahan-lahan.
“Okey. Kebetulan malam ni I ada hal juga.”
Qaireen pura-pura sedih. Macamlah dia tak tahu lelaki itu mahu berjumpa skandalnya di sini.
“Esok ya kita jumpa.”
“Ini kad bilik I. Datang bilik I esok,” bisik lelaki itu di telinganya.
Qaireen menghadiahkan senyuman penuh menggoda kepada lelaki itu. Sebaik saja Ferhad keluar dari bilik itu, cepat-cepat dia mengunci pintu dari dalam. Jantungnya masih berdegup laju.
Menggigil tangan Qaireen mengeluarkan telefon dari beg tangannya. Nombor seseorang dicari. Dia menghantar mesej tersebut kepada seseorang.
Setelah menghantar mesej tersebut, dia segera menukar pakaian. Dia perlu kembali ke bilik penginapannya dalam masa setengah jam.
Di bilik, semua barang-barang peribadinya dimasukkan ke dalam bagasi. Tiket yang telah ditempah sejak dia berada di sini, disimpan ke dalam beg galas. Penutup mulut dipakai. Dia turut mengenakan topi di kepalanya.
Setelah yakin tiada sesiapa yang melihat kelibatnya, dia bergegas turun ke lobi hotel. Kad yang diserahkan oleh Ferhad, diberikan kepada petugas di kaunter. Dia memberi arahan ringkas kepada petugas tersebut bersama sedikit tip.
Qaireen segera bersembunyi di sudut hotel. Tidak lama kemudian, dia nampak orang yang ditunggu sudah tiba. Senyuman penuh makna terukir di bibirnya.
“Bingo!”
Qaireen melangkah penuh berani keluar dari hotel itu. Kebetulan pula ada beberapa orang wartawan melintasi Qaireen.
Mudah saja dia mengenakan lelaki itu. Esok, pasti nama baik Ferhad tercemar disebabkan kejadian malam ini.
No comments:
Post a Comment