Monday, 19 June 2023

Bibik High Class - Bab 1


GUYS! Guys! Guys! Five o’clock. Five o’clock!” Mahira bersuara teruja.

Five o’clock? Five o’clock siapa?” Lily melihat cermin di dinding. Bulat matanya melihat sekumpulan lelaki masuk ke dalam restoran. Dia menepuk lengan sahabatnya berkali-kali dengan rasa teruja. “Cyn... Cyn... Tengku Es Batu!”

Cynthia angkat kepala dan pusingkan ke kiri dan ke kanan. “Mana? Mana?”

“Tunduklah! Jangan tunjuk sangat muka perak tu.” Mahira ketap bibir sambil berkata. Takkan nak cakap kuat-kuat.

Mata Cynthia mengekori langkah sekumpulan lelaki itu. Tidak berkelip mata gadis itu melihat jejaka-jejaka tadi. “Wow! Heaven. I see my bidadara syurga.”

“Mulut tu jangan meloponglah. Buat malu saja.” Mahira menegur sahabatnya. Prinsip mereka boleh memuji tapi jangan sampai memuja. Melalui cermin dia melihat lelaki yang mereka semua sebut-sebutkan. Nampak kacak walaupun melalui biasan cermin. “Handsomenya. I think heaven lost one of its angels.

Korang cakap pasal siapa ni?” Katrina baru perasan yang kawan-kawannya sedang lari dari topik perbicaraan mereka. Dia goyang-goyangkan tapak tangannya di hadapan muka Cynthia. Kelihatan gadis itu sedang memerhatikan seseorang dengan mata tak berkelip. Dia tolehkan mukanya mencari siapa yang dilihat oleh sahabatnya.

“Baju biru,” beritahu Lily.

Katrina pakukan matanya ke arah jejaka yang memakai baju kemeja berwarna biru. Kenapa matanya nampak lelaki itu biasa sahaja? “Tak handsome pun.”

Babe! You cakap tak handsome? Dia tu diundi sebagai lelaki bujang paling kacak kat website Teh Tarik Buih Banyak. Beratur awek nak jadi makwe dia,” beritahu Mahira dengan mata sesekali menjeling cermin. Ah! Kenapa dia duduk di sebelah sini? Kan terpaksa lihat lelaki itu melalui  cermin.

“Tapi dia beku sama perempuan. Kerana itu kami panggil dia Tengku Es Batu,” terang Lily pula.

“Es batu tu apa?”

“Ni es batu. Orang Malaysia panggil air batu. You tahulah kan Lily ni nama saja duduk Malaysia sepuluh tahun. Slanga Indonesia dia pekat lagi.” Cynthia pula berkata. Dia tak salahkan Katrina kalau tak kenal lelaki itu. Sahabatnya jarang ambil tahu tentang dunia luar. Apatah lagi dunia lelaki-lelaki kacak.

“Dia tak ada nama ke? Kenapa panggil Tengku Es Batu?” Tak ada rasa atau keinginan untuk kenal dengan lelaki yang kawan-kawannya maksudkan. Mungkin kerana dia lebih suka lelaki-lelaki bermata sepet dan berkulit cerah berbanding lelaki berkulit sawo matang dan sedikit berjambang seperti lelaki itu.

“Nama dia Tengku Harraz Sulaiman. Dah empat tahun dia jadi CEO Teraju Megah. Dia memang beku dengan perempuan. Tak ada awek dan PA dia lelaki. Pejabat dia pun ramai pekerja lelaki. Kat rumah pun pembantu rumah lelaki saja.” Cynthia menceritakan tentang lelaki pujaan mereka serba ringkas.

Kalau Tengku Harraz seorang yang beku dengan perempuan, sahabat mereka Katrina pula beku dengan lelaki. Gadis itu memang tidak suka bercakap tentang lelaki apatah lagi mahu berkenalan dengan lelaki. Malah Katrina selamba sahaja menolak lamaran Syed Faiz, lelaki kedua paling kacak di KL.

“Dia gay kot.”

Choi! Simpang malaikat maut...” Cynthia cepat-cepat menafikan.

“Mulut you ni cabul betul.” Lily selamba sahaja mengutuk Katrina.

“Takkanlah dia gay. Janganlah cakap dia gay. Patah hati we all.”

Katrina tergelak. Dia hanya menebak. Mungkin dia salah dan tuduhan itu cuma fitnah. Memang aneh kalau seorang lelaki sanggup mengupah lelaki untuk menjadi pembantu rumah.

“Cuba you guys fikir, lelaki jadi bibik? Dah habis ke perempuan dalam dunia ni sampai lelaki kena jadi bibik?”

“Teman-teman... bibik itu mak cik. Orang Malaysia gelar orang gaji, bibik. Di Indonesia kami panggil pembantu rumah tangga. Jadinya laki-laki tidak boleh digelar bibik,” terang Lily. Ramai yang tersilap tentang ini.

“Habis tu drama Mr. Bibik tu sebenarnya Mr. Mak Ciklah ya.” Cynthia teringat drama Melayu yang dia tonton di aplikasi iQIYI.

“Iyaaa.”

Gelak besar Cynthia sebaik tahu perkara sebenar. Orang Malaysia memang kreatif. Rasanya satu dunia telah mengiktiraf orang Malaysia sebagai sangat kreatif. Kalau bercakap tu boleh campur 4 bahasa sekali dalam satu ayat.

“Aku yakin dia normal. Seratus peratus normal. Tak mungkin lelaki sekacak tu gay,” tegas Mahira. Yakin dengan sepenuh hati yang Tengku Harraz adalah lelaki normal.

“Matt Bomer handsome. You kata mata dia lawa. Tapi...”

Masing-masing terkunci mulut mendengar kata-kata Katrina. Ada logiknya juga kenyataan itu. Kalau dah sampai orang gaji pun lelaki, memang ia sangat mencurigakan.

Pleaselah... janganlah dia gay.” Lily merapatkan kedua-dua belah tangan seperti berdoa. Patah hatinya jika kenyataan itu betul.

“Tapi, mungkin juga dia lelaki jenis beriman. Jaga pandangan terhadap perempuan. Maybe belum muncul perempuan yang boleh buat dia jatuh cinta. Perempuan yang boleh buat dia mandi tak basah, tidur tak lena... makan tak kenyang. Sebab tu dia jauhkan diri dari perempuan.” Katrina rasa bersalah kerana membuat sahabat-sahabatnya patah hati. Lagipun berdosa menuduh orang tanpa bukti. Mungkin lelaki itu memang betul sekadar menjaga pandangan.

“You all kenal tak Ramona?” Lily menukar topik perbualan mereka.

“Ramona Tan Sri Kamaruddin?” Mahira meneka.

Laju Lily mengangguk.

“Kenapa dengan dia?” tanya Cynthia pula.

“Masa tu kat kolej ada function sekali dengan gathering. Tengku Harraz wakil company dia untuk sampaikan sumbangan. Ramona ni dekatlah dengan Tengku Harraz. Sekali dia kena tolak.”

“Kena tolak... meaning?” sampuk Mahira.

“Kena tolak sampai jatuh tergolek. Malu betul Ramona. Tapi salah Ramona juga. Pergi tarik-tarik tangan Tengku Harraz,” tambah Lily lagi.

Interesting.” Katrina tiba-tiba tersenyum nakal.

“Apa ada kat kepala you, babe?” Seram Cynthia melihat senyuman Katrina. Biasanya kalau Katrina senyum sebegitu pasti ada sesuatu yang gadis itu rancangkan. Sesuatu yang nakal dan mungkin juga berbahaya.

“I terfikir something. Macam mana agaknya perempuan yang akan berjaya mencuri hati Tengku Es Batu korang.”

“I pun terfikir benda yang sama. Siapa agaknya wife dia nanti?” Mahira menyokong kata-kata sahabatnya. Lelaki luar biasa selalunya akan memilih perempuan luar biasa sebagai pasangan. “Tak mustahil wife dia nanti kerabat raja. Paling cikai pun model.”

“Silap-silap wife dia perempuan tepi jalan. Bukan perempuan luar biasa macam korang sangka.” Katrina menyedut minumannya. Tekun dia menyedut hingga tidak menyedari sahabatnya berdiam dan merenung dia.

Katrina angkat muka. Baru dia perasan pandangan mata sahabatnya melekat ke arah dia. “Aku ada buat salah apa-apa ke?”

“Perempuan tepi jalan babe? Muka baik suci murni tu? Tak sesuai kut.” Lily kelihatan tidak puas hati.

“Lelaki baik-baik ujiannya lebih hebat dari lelaki biasa. Ingat tu. Tapi kan... aku macam berminat nak tahu sejauh mana baiknya dia. Betul ke dia tak suka perempuan? Kalau ada perempuan buka baju depan dia... macam mana?” Katrina tersenyum nakal. Kepalanya merencanakan sesuatu.

Of courselah dia tolak. Kalau Ramona dia boleh tolak, apa lagi perempuan murahan macam tu.” Mahira pula bersuara. Sama seperti Lily tadi. Kedengaran tidak puas hati.

“Sekali dua bolehlah dia tolak. Tapi kalau banyak kali... aku yakin dia tersungkur jugak.” Katrina berkata yakin. “Melainkan dia betul-betul gay.”

“Kau nak try goda dia ke?” Cynthia kelihatan berminat dengan kata-kata Katrina.

Why not?” Katrina tayang sengih dengan kening terangkat. “Babe... semua lelaki sama. Kelemahan dia orang... perempuan. Kalau dah ikan menari depan mata, kucing takkan mampu tutup mata selamanya.”

“Seriuslah babe. Kau saja nak cari nahas ke apa?”

“Taklah. Mana ada. Aku saja nak uji dia. Betul ke dia hebat sangat macam korang hebohkan?” Katrina sandarkan tubuh dengan senyum sinis. Iman lelaki zaman sekarang ibarat kulit bawang dibelah tujuh. Nampak sahaja baik tapi sebaliknya. Perangai mengalahkan syaitan.

Cynthia, Lily dan Mahira saling berpandangan. Nampaknya Katrina memang bersungguh mahu membuktikan Tengku Harraz bukan sebaik yang mereka sangka. Katrina ini lain daripada mereka. Nampak pendiam dan sukar didekati tetapi gadis itu paling berani antara mereka. Buktinya, tengok pakaian mereka sudahlah. Katrina paling seksi. Setakat skirt mini dan tank top sahaja. Lelaki pasti akan menoleh dua kali jika bertembung dengan Katrina.

Ketiga-tiga mereka saling berbalas senyuman. Pasti mereka sedang fikirkan perkara yang sama. Cynthia memberi isyarat agar Lily bersuara.

“Okey. Aku cabar kau buat dia jatuh dalam pelukan kau.” Lily tersenyum penuh makna. Jangan kata peluk, kalau Tengku Harraz pandang sahaja sudah cukup bagus.

“Kalau aku berjaya buat dia jatuh ke dalam pelukan aku, kau nak bagi aku apa?”

“Kau suka rantai Chopard aku, kan? Well, its yours kalau kau buat dia peluk kau.” Yakin yang Katrina pasti gagal, dia akan berikan sesuatu yang paling berharga baginya. Lily angkat keningnya sebelah sambil bersilang lengan.

“Seriuslah babe?” Katrina melopong dengan mata terbeliak. Rantai itu berharga hampir ratusan ribu.

“Serius.” Lily buat muka selamba.

“Mesti kau yakin sangat dia akan tolak aku.” Katrina  tidak sabar-sabar hendak menjalankan misinya. “Cyn...”

Ten thousand cash.” Cynthia kenyit mata. Pasti  sahabatnya itu akan gagal. Silap-silap nak dekat dengan lelaki itu pun tak mampu.

“Mahira?” Katrina pakukan mata ke arah Mahira.

Well, kau buatlah dia peluk kau dulu,” ucap Mahira dengan senyuman tersirat. Saling bertukar senyum dengan Cynthia. Mungkin keyakinan sahabatnya itu seteguh Gunung Kinabalu. Tetapi Katrina tidak tahu dingin Tengku Es Batu itu ibarat Kutub Utara dan Kutub Selatan digabungkan menjadi satu.

“Chopard tau. 10k.” Katrina tersenyum nakal. Terlihat Tengku Harraz bangun dan menuju ke tandas, dia turut bangun. “Minuman aku, korang bayar.”

Katrina berjalan penuh gaya ibarat seorang model sedang melangkah di atas pentas peragaan. Kasut tumit tinggi sengaja dihentak kuat bagi menarik perhatian para jejaka yang berada di dalam kafe itu.

Seorang pelayan sedang menuju ke arahnya sambil membawa dulang berisi minuman. Di belakang pelayan itu, Tengku Harraz sedang berjalan sambil bercakap di telefon. Senyuman nakal diukir tatkala dia semakin dekat dengan lelaki kacak itu.

Katrina buat-buat hilang imbangan. Terdengar bunyi kasut tumit tingginya patah. Selamba sahaja dia berpaut pada lengan Tengku Harraz yang sedang berjalan di sisinya.

Tengku Harraz terkejut. Spontan tangannya menahan tubuh itu daripada jatuh ke lantai. Tubuh gadis itu betul-betul jatuh ke dalam pelukannya. Tanpa sedar, matanya bertaut pada mata gadis itu. Lama dia leka dengan panahan mata itu.

Seketika baru dia terasa sesuatu. Tangannya bersentuhan dengan belakang si gadis yang hanya memakai tank top. Mahu dialih tangannya bimbang gadis itu akan jatuh. Cepat-cepat dia bantu gadis itu berdiri. Tak sengaja tersentuh tak apa. Lagipun bukan salah dia. Bukan dia yang mahu sentuh. Tengku Harraz pujuk dirinya sendiri.

Thanks awak. Kalau awak tak ada tadi memang dah pecah kepala saya agaknya. Rugi saya beli kasut ni mahal-mahal tapi patah tumit.” Katrina mencabut kedua-dua belah kasutnya.

Terbeliak mata Tengku Harraz melihat pakaian gadis itu. Cepat-cepat dia tundukkan pandangan dan beristighfar.

“Sekali lagi terima kasih. Next time kalau kita jumpa saya akan belanja awak minum.”

“Tak apa. Saya ikhlas tolong. Maaf.” Tengku Harraz tundukkan pandangan. Dia ayun langkah menuju ke tandas.

Katrina buat muka selamba dan melangkah dengan berkaki ayam menuju ke mejanya. Tidak dia pedulikan pandangan mata-mata lain yang memerhatikannya.

Babe, Manolo Blahnik tu!” Terbuntang mata Cynthia melihat kasut yang sudah rosak itu.

So?” Katrina buat muka selamba. Kasut diletakkan atas meja. Demi rancangan gilanya sanggup dia korbankan kasut itu. “Aku dah berjaya buat dia peluk aku.”

“Kau korbankan kasut harga RM5000, semata-mata nak buat dia peluk kau?”

Katrina senyum dan angguk. “Ada kau nampak dia tolak aku?”

Lily, Mahira dan Cynthia saling berpandangan sebelum sama-sama menggeleng. Mereka menyaksikan semuanya. Tiada sepatah kata pun dari mulut Tengku Harraz. Malah lelaki itu hanya memperlihatkan muka terkejut sahaja.

“Jangan lupa Chopard aku.” Katrina berkata dengan nada megah.

“Ehem... ladies.” 

 

No comments:

Post a Comment