Tuesday, 20 June 2023

Bibik High Class - Bab 10


TENGKU Harraz pandang tempat duduk adiknya yang kosong. Sudah lebih setengah jam dia menunggu di meja makan. Adiknya tak muncul-muncul. Bukan Tengku Harlina tak tahu peraturan rumah menetapkan jam makan malam pukul lapan. Dan tepat pukul 8 harus ada di meja makan.

“Tengku, saya minta izin tengok Cik Harlina.” Katrina bersuara memecah kebuntuan. Rasa tak sedap pula kedua-dua beradik itu bergaduh kerananya.

“Pergilah tengok.”

Katrina menunduk sebelum ayun langkah menuju ke bilik Tengku Harlina. Mujur tadi Roslan sudah tunjukkan di mana letaknya bilik gadis itu. Belum pun 24 jam dia menghuni rumah itu, banyak perkara terbongkar. Perkara yang paling mengejutkan adalah Tengku Harraz pernah ada  kekasih. Pasti ada sesuatu terjadi sehingga lelaki itu begitu membenci perempuan.

Tok! Tok! Tok!

“Cik Harlina, saya ni Tijah. Boleh saya masuk?”

“Masuklah.”

Pintu ditolak. Tengku Harlina sedang duduk di sofa sambil memeluk lututnya. Segera Katrina merapati gadis itu.

“Tengku Harraz tunggu kat meja makan.”

“Malaslah nak tengok muka dia. Semua dia betul. Semua kita salah. Bapa tiri tak ada beza dengan bapa betul. Dua-dua kita kena hormat. Lagipun papa dah jaga kami sejak kecil.”

Katrina melabuhkan duduk di sebelah gadis itu. “Tak semua orang boleh terima bapa tiri. Jadi tak boleh salahkan Tengku Harraz jugak.”  

“Arwah mama kahwin dengan arwah papa lepas saja saya lahir. Dua tiga hari lepas saya lahir rasanya. Atau seminggu. Itu yang buat along marah sangat. Tapi kata arwah nenek, masa tu mama kemurungan teruk. Nak jaga saya pun tak boleh. Papa yang jaga saya. Sebenarnya papa kahwin dengan mama sebab wasiat arwah papa.” Tengku Harlina mula bercerita. Memang arwah mamanya terlalu cepat mencari pengganti, tapi tak boleh salahkan arwah mamanya juga. Siapa boleh hadap ujian kehilangan suami saat hampir melahirkan?

“Saya rindu papa. Dah tiga tahun dia dekat Sarawak sana. Tak balik-balik sini.” Tengku Harlina memeluk Katrina dan hamburkan air matanya.

Sebak dada Katrina. Matanya berkaca. “Saya tak pernah tahu siapa ayah saya. Nama ayah saya pun saya tak tahu. Mak saya meninggal masa umur saya 12 tahun. Saya tak pernah rindukan ayah saya. Sebab saya tak kenal dia.”

“Awak lagi kesian dari saya.” Bertambah lebat tangisan Tengku Harlina.

“Ujian kita lain-lain. Cik Harlina bertuah sebab ayah tiri cik sayangkan cik.” Katrina mengurut belakang gadis itu. Semoga Tengku Harlina bertambah tenang.

“Saya nak papa saya balik sini. Tapi along dah larang dia jejakkan kaki kat rumah ni.” Tengku Harlina lepaskan pelukannya.

“Tengku Harraz sayangkan cik. Saya yakin dia akan ikut semua kemahuan cik.”

“Betul ke?”

“Cik nak orang gaji perempuan, kan? Tara! Tijah di sini.” Katrina tunjuk diri sendiri sambil tersenyum lebar. Nampaknya tak susah hendak mengambil hati Tengku Harlina. Silap-silap gadis itu boleh jadi sekutu dalam rancangannya.

“Okey. Saya akan buat sampai along izinkan papa balik sini.” Tengku Harlina kesat air matanya. Dia turun dari katil dan tuju ke meja belajar. Dia keluarkan buku nota dan tulis sesuatu. Selepas itu kertas dikoyak lalu diberikan kepada Katrina. “Tolong bagi along.”

Dalam terpinga-pinga dia ambil juga kertas itu. Terus dia keluar dari bilik dan tuju ruang makan. Nampak seperti hidangan belum berusik. Tengku Harraz belum makan lagi. Menunggu adiknya barangkali.

“Tengku.” Katrina menyerahkan nota tadi kepada Tengku Harraz.

Berkerut-kerut dahi Tengku Harraz membaca nota itu. Serta-merta wajahnya berubah. Kertas tadi dironyokkan lalu dicampak ke lantai. “Cakap kat dia saya tak izinkan.”

Katrina tegak berdiri. Tak faham sebenarnya apa yang perlu dia buat sekarang.

“Pergi bilik dia. Cakap saya tak izinkan!”

Terpaksa Katrina berlari semula ke bilik Tengku Harlina. Mujur banglo itu hanya setingkat. Kalau dua tingkat memang jenuhlah kena panjat tangga. Pintu diketuk lalu ditolak.

“Tengku Harraz kata dia tak izinkan.”

“Beritahu along... Selagi dia tak izinkan papa balik sini, saya tak mahu makan.”

Katrina mengangguk. Dia kembali ke ruang makan untuk menyampaikan pesanan Tengku Harlina pula. Agaknya kedua-dua beradik ini lupa handphone itu wujud. Ingat dia tukang sampaikan pesanan ke?

“Tengku, Cik Harlina kata dia tak akan makan selagi tak diizinkan...”

“Saya tak akan izinkan!”

Tersentak Katrina ditengking begitu. Kenapa dia yang kena marah? “Saya beritahu Cik Harlina ya.”

Sempat Katrina memberi isyarat mata kepada Roslan. Lelaki itu hanya mengangkat bahu sahaja. Entah berapa lama agaknya kedua-dua beradik ini akan bergaduh. Kali ini dia tak ketuk pintu sebelum masuk.

“Tengku Harraz kata...”

“Saya tak akan makan selagi dia tak izinkan papa balik sini.” Tengku Harlina segera membalas. Tak perlu Katrina habiskan ayat. Dia tahu apa yang abangnya katakan.

“Cik...”

Tengku Harlina mengangkat sebelah kening.

Tanpa banyak soal, Katrina segera keluar. Kali ini tidak perlu jalan laju-laju. Langkah diayun santai-santai, ibarat berjalan di tepian pantai. Sambil berjalan sambil  menikmati hiasan rumah itu.

“Cik Harlina...”

Tengku Harraz mengangkat tangan menghentikan bicara pembantu rumahnya. Dengan muka masam dia bersilang lengan. Mulut dikunci rapat.

Memandangkan tiada arahan daripada Tengku Harraz untuk melakukan apa-apa, Katrina mengambil tempat berdiri di sebelah Roslan. Seperti tadi Roslan hanya mengangkat bahu. Muncul Cef Haziq dan juga Fadzli dari dapur menyertai mereka berdua berdiri. Cef Haziq adalah tukang masak di banglo ini. Fadzli pula adalah pembantu dapur merangkap steward. Mungkin mereka semua tertanya-tanya kenapa lewat sangat makan malam hendak selesai.

Tengku Harraz melihat jam di telefon bimbitnya. Sudah pukul 9.15 malam. Adiknya ada penyakit gastrik. Risau pula kalau lambat-lambat makan. Tapi dia tak mungkin akan mengalah dengan permintaan adiknya. Dia sudah melarang ayah tirinya dari menjejakkan kaki ke rumah ini. Takkan dia hendak jilat ludah sendiri pula? Dia yakin degil adiknya tak akan lama. Dia terus memeluk tubuhnya.

Katrina mencuit Roslan. Berapa lama mereka akan begini? Masa kerja mereka tamat sebaik sahaja dua beradik itu selesai makan. Sekarang sudah pukul 9.30 malam. Dia sudah berjanji akan menelefon Akil pukul 9. Mesti adiknya sedang risau.

Roslan menggeleng. Dia berpandangan dengan Cef Haziq dan juga Fadzli. Nampaknya mereka habis kerja lambat hari ini. Mujur mereka boleh menuntut gaji kerja lebih masa. Masalahnya sekarang mereka semua pun belum makan. Perut pun sudah mula berkeroncong.

Tengku Harraz sekali lagi melihat jam di telefon bimbitnya. Sudah pukul 10 malam. Dia tak boleh bersabar lagi. Bimbang kalau adiknya sakit. “Pergi cakap kat dia, saya izinkan.”

Katrina tersenyum lebar. Tak sia-sia usaha Tengku Harlina. Para pekerja lain menarik nafas lega. Dia terus berlari ke bilik Tengku Harlina. Tak sabar-sabar hendak sampaikan berita itu. Pintu terus sahaja dibuka.

“Tengku Harraz kata dia izinkan.”

Tengku Harlina melompat turun dari katil lalu memeluk Katrina. “Terima kasih, Tijah! Terima kasih. Saya lapar.”

“Saya pun lapar. Dari siang tadi tak makan lagi.” Katrina usap perutnya. Dia jarang makan malam. Tapi sebab tengah hari tadi dia tak makan, perutnya sudah meragam.

“Kesian awak. Jomlah kita makan.” Tengku Harlina berkata dengan nada gembira. Dia tarik tangan pembantu rumahnya untuk ke ruang makan. Sampai sahaja di ruang makan dia terus memeluk bahu abangnya.

“Terima kasih, along. Besok adik call papa. Adik rindu sangat papa.”

Tengku Harraz hanya mampu bersabar. Demi adiknya dia akan lapangkan hati menerima kehadiran lelaki yang paling dia benci.

“Abang Lan dah makan ke belum? Abang Haziq, Abang Li...”

Ketiga-tiga mereka menggeleng serentak. Cef Haziq meletakkan lauk yang baru sahaja dia panaskan ke atas meja. Lauk tadi sudah sejuk.

“Jomlah makan sekali.” Tengku Harlina mengajak.

“Tak apa. Kami makan kemudian.” Roslan menolak.

“Duduk makan sekali. Dah lewat sangat ni.” Tengku Harraz bersuara. Rasa bersalah kerana menyebabkan pekerjanya makan lambat. Sewaktu hendak menyuap makanan, dia terpandang Katrina yang duduk berhadapan dengannya. Entah kenapa hati kecilnya yakin semua ini ada kaitan dengan pembantu rumahnya yang baharu itu.

Tak pernah-pernah adiknya melawan dia. Pasti gadis itu dihantar oleh ayah tirinya. Entah-entah gadis itu kekasih ayah tirinya. Sungguh licik orang tua itu. Dan dia sudah jatuh ke dalam perangkap orang tua itu.

Tengku Harraz sabarkan dirinya. Kalau ayah tirinya mahu bermain dengan api, dia sedia menyalakan sumbunya.

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/ WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

No comments:

Post a Comment