Sunday, 25 June 2023

Sisa Rasa Yang Tertinggal - Bab 4

 

TIGA bulan berlalu dengan pantas. Tak sedar dia sudah lama tinggal di bandar Kuching. Selain menulis, dia juga bekerja sebagai jurugambar. Hampir setiap hari dia sibuk menyempurnakan tugasan yang diberi.

Dia sekarang sudah diberi kemudahan kereta oleh pihak syarikat. Mudah untuk dia bergerak ke mana-mana. Selama dia tinggal di sini, sudah banyak daerah yang dia pergi untuk mendapatkan berita. Dalam masa yang singkat juga dia sudah menguasai sedikit sebanyak bahasa dan dialek Sarawak.

Dia perasan, ada juga orang-orang di sini tak mudah menerima orang Semenanjung. Tapi pelik juga apabila dia mendapat tahu ramai gadis yang berkahwin dengan askar berasal dari sana.

Hari ini dia perlu singgah ke bandar untuk mencuci gambar. Begitulah rutin kerjanya setiap hari. Dia memandu menghala ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Di situ terdapat sebuah kompleks membeli-belah yang terkenal di Kuching.

Hasnan menyerahkan filem yang perlu dicuci.

“Tunggu satu jam ya,” kata pemilik kedai itu.

Hasnan mengerling ke arah jam tangannya.

“Tak boleh cepat sikit ke?” Walaupun dia tidak sibuk, agak lama juga masa yang perlu dia tunggu.

“Banyak lagi gambar lain nak dicuci. Saya cuba siapkan cepat.”

Terpaksalah Hasnan bersetuju. Sementara menunggu gambar tadi siap, dia berjalan di kawasan itu. Ada sungai di sebelah jalan. Malah banyak juga perahu penambang di situ bagi yang hendak menggunakan pengangkutan air. Walaupun sudah tiga bulan berada di Kuching, dia belum berkesempatan untuk menaiki perahu penambang tersebut.

Lagipun dia lebih suka menggunakan jambatan yang merentangi Sungai Sarawak jika ingin ke kampung-kampung di seberang. Terdapat banyak kampung-kampung Melayu di sana. Di sana juga terletaknya rumah Zaton.

Saat ini dia teringatkan gadis kecil itu. Agak lama mereka tak berjumpa selepas Hasnan berpindah ke bilik sewa. Cikgu Dali tidak lagi menghantar Zaton ke tempat kerja kerana keluarga itu sudah mempunyai pemandu sendiri.

Ikutkan hati, mahu saja dia bertanyakan tentang Zaton kepada Cikgu Dali. Tapi dia segan. Nanti apa pula yang dikatakan oleh lelaki itu. Senyuman dan lirikan mata gadis itu masih segar dalam fikirannya.

Hasnan tersenyum sendirian. Boleh pula dia teringat anak dara orang. Dia duduk di atas bangku kayu yang ada tersedia di situ.

Hotel-hotel mewah mulai membangun dengan pesat di kawasan ini. Tidak jauh dari situ terlihat Hotel Hilton yang megah berdiri. Satu-satunya hotel bertaraf empat bintang yang menjadi tumpuan para pelancong, ahli-ahli perniagaan dan juga orang politik.

Tiba-tiba anak matanya terpandang satu susuk tubuh seseorang. Dia kenal dengan baju kurung yang dipakai oleh gadis itu. Spontan Hasnan berdiri tegak.

“Zara Zaton!”

Terhenti langkah gadis itu. Dia menoleh ke sebelah. Mulutnya ditekup laju.

“Encik Hasnan...” Hampir tak terkeluar suara Zaton.

Lain betul penampilan lelaki itu sekarang. Bertambah kacak di matanya. Kulit hitam manis itu menyerlahkan lagi ketampanan lelaki itu.

“Buat apa di sini?” soal Zaton.

“Saya ada kerja. Lama kita tak jumpa.”

“Ya. Sejak encik tinggalkan rumah kami dulu, encik dah tak singgah ke rumah kami,” balas Zaton sambil menunduk.

Ermmm... mungkin sebab awak tak ajak saya,” jawab Hasnan sambil tertawa kecil.

“Kalau ada yang menjemput, saya datang,” tambah Hasnan dengan senyuman manis di bibir.

Zaton tersenyum malu. Boleh dikatakan setiap hari dia teringatkan lelaki itu. Tak sangka doanya termakbul dapat berjumpa Hasnan di sini.

“Saya balik dulu. Risau terlepas perahu penambang nanti.”

“Eh, kenapa naik perahu penambang pula petang ni?” tanya Hasnan.

“Drebar tu hantar mak dan ayah ke Sibu. Ada saudara sakit di sana. Buat sementara ni, saya naik perahu penambanglah. Encik jangan beritahu abang saya. Saya sebenarnya tak nak susahkan dia.”

Zaton bergerak ingin menuruni tangga jeti untuk menaiki perahu penambang. Pantas lengan gadis itu dipegang.

Tergamam keduanya. Cepat-cepat Hasnan tarik tangannya kembali.

Err... janganlah balik dulu. Kita jumpa pun, bukannya senang.”

Zaton gigit bibirnya menahan debar di dada.

“Saya belanja awak minum. Kita berbual dulu. Lagipun Cikgu Dali mesti lambat sampai ke rumah. Saya janji akan hantar awak balik.”

Zaton teragak-agak menerima pelawaan Hasnan.

“Jomlah. Kita minum sekejap di kedai dekat kompleks tu. Tak jauh dari sini.”

Akhirnya Zaton mengangguk. Mereka berjalan beriringan menuju ke arah kompleks membeli-belah yang terletak di tebingan Sungai Sarawak. Pertama kali dalam hidup Zaton keluar berdua dengan lelaki asing.

 

 

SEPERTI YANG dijanjikan, Hasnan menghantar gadis itu pulang ke rumah. Hasnan berasa sangat gembira dapat berbual panjang dengan Zaton. Ternyata gadis itu sangat ramah ketika berbual dengannya.

Kereta diberhentikan di tepi rumah Zaton. Keadaan di rumah itu kelihatan sunyi. Kata Zaton, hari ini Mak Mon belum balik ke sini lagi. Tak jadi masalah kalau dia pulang bersama Hasnan. Risau juga kalau orang tua itu mengamuk.

“Sunyi aje rumah.” Hasnan turut keluar dari perut kereta.

“Ada Mak Joha. Hanya tinggal kami berdua kalau mak dan ayah keluar. Abang Dali pula ada masanya tidur di pejabat.”

Hasnan mengangguk faham.

“Terima kasih hantar Ton balik.” Zaton sudah mula membiasakan dirinya dengan panggilan Ton.

“Sama-sama.” Hasnan tersenyum lebar.

Zaton berura-ura untuk masuk ke dalam rumah. Namun langkahnya terhenti saat terdengar permintaan Hasnan.

“Malam ni boleh saya call Ton? Biasanya malam saya tak ada buat apa-apa. Kalau bosan sangat, baru saya habiskan masa di pejabat.” Belakang tengkuknya diusap perlahan.

“Malam-malam pun encik buat kerja juga ke?” tanya Zaton.

Hasnan mengangguk.

“Selagi mata belum mengantuk saya akan buat kerja. Nak buat apa lagi? TV pun tak ada.” Dia masih belum mampu untuk membeli televisyen. Duit yang ada, cukup-cukup untuk dia menampung kehidupannya di sini. Selebihnya dia mengirimkan wang di kampung.

“Kami ada TV lama tapi masih elok lagi. TV tu ada dalam bilik tidur Ton. Ton tak pernah pasang sebab Ton suka tengok di ruang tamu. Ton bagi encik ya TV tu.”

Hasnan berfikir sejenak. Serba salah juga dia nak menerima.

“Apa pula kata Cikgu Dali nanti?”

“Janganlah beritahu TV tu saya yang bagi. Abang Dali tak akan tahu. Nanti Ton pergi ambil. Encik masuk dulu dalam rumah. Mak Joha mesti ada di dapur tu.” Ceria wajah Zaton.

Hasnan sekadar menurut. Sementara menunggu gadis itu, dia duduk di ruang tamu. Tak lama kemudian Mak Joha bawakan dia segelas air. Hasnan berbual sejenak dengan Mak Joha. Ramah wanita itu ketika bercerita.

Setelah menyerahkan TV itu kepada Hasnan, barulah lelaki itu beredar. Tersenyum lebar Zaton ketika melambai lelaki itu.

“Amboi... cerianya dia.”

Malu Zaton diusik begitu.

“Jangan beritahu mak yang Ton bagi TV tadi pada Encik Hasnan,” bisik Zara Zaton pada Mak Joha.

Mak Joha hanya mengangguk dan tersenyum. Tak disuruh pun, dia tak akan memberitahu hal itu kepada majikannya.

Zaton bergegas naik ke biliknya untuk membersihkan diri. Tak sabar pula untuk dia menunggu lelaki itu menghubunginya. Kata Hasnan, lelaki itu akan menelefonnya jam 8.30 malam.

Seperti yang dijanjikan, Zaton menunggu di tepi tangga. Telefon rumah ini diletak di bawah tangga. Dia setia menunggu sehingga matanya hampir terlelap.

Bunyi deringan telefon mengejutkan Zaton. Pantas dia berlari anak turun ke bawah untuk menjawab panggilan itu. Terdengar suara garau itu memberi salam.

“Terang gambarnya, Ton. Terima kasih banyak-banyak bagi saya TV ni.” Ceria nada suara lelaki itu.

“Alhamdulillah. Harap encik dah tak bosan lepas ni,” tambah Zara Zaton sambil diikuti dengan ketawa kecil.

“Janganlah panggil encik.”

“Habis tu nak panggil apa?”

Terdengar suara lelaki itu ketawa.

“Saya tua lima tahun dari Ton. Tak salah kalau Ton panggil abang.”

Pijar kulit wajah Zaton.

“Boleh ke Ton panggil abang?”

Zaton hanya membisu. Nak tergeliat lidahnya untuk menyebut perkataan abang. Selama ini dia hanya memanggil gelaran abang itu untuk Dali dan Jalal.

“Ton... err...” Hasnan teragak-agak untuk bersuara.

Zaton masih memasang telinga.

“Kalau... Kalau mak Ton belum balik, Ton naik perahu penambang lagi ke esok?” tanya Hasnan ingin tahu.

“Ya,” jawab Zaton.

“Petang esok, abang nak jumpa Ton lagi boleh? Abang tunggu Ton di jeti macam hari ini.”

“Terpulanglah. Kalau tak menyusahkan,” jawab Zaton hampir tak kedengaran.

“Betul ni, abang akan tunggu Ton tau!”

“Ya. Jumpa esok.” Zaton pantas letakkan gagang telefon. Wajahnya ditekup dengan kedua tapak tangan.

“Bercakap dengan siapa?”

Terperanjat Zaton. Tak sedar sejak bila Cikgu Dali balik ke rumah. Janganlah lelaki itu dengar perbualannya tadi.

Err... dengan kawan pejabat,” jawab Zaton teragak-agak.

“Lelaki ke?” tanya Cikgu Dali.

“Taklah. Perempuan.” Zaton cuba mengelak daripada bersoal jawab dengan Cikgu Dali.

“Baguslah kalau perempuan. Ingat sikit perangai mak tu. Dia tak suka Ton berkawan dengan lelaki.”

Zaton mengangguk faham sebelum berlari anak naik ke tingkat atas. Di bilik, dia keluarkan buku diari kesayangannya. Ada sesuatu yang istimewa perlu dia catat hari ini.

Tangannya pantas mencapai pen. Dia berfikir sejenak sebelum menulis catatan di diari itu.

 

Tentang si dia...

Pertemuan hari ini seperti rahmat buat aku. Tak sangka dia datang menegur aku terlebih dahulu. Mendengar nama aku disebut dari bibir dia, lidahku terasa kelu. Adakah ini dinamakan cinta?

Semoga selepas ini, kita akan kerap bertemu lagi.

Aku yang menyukaimu dalam diam.

Zara Zaton.

 

Dia akui dirinya sudah jatuh cinta dengan lelaki dari Semenanjung itu. Namun senyumannya berubah kendur saat teringatkan emak. Tak mustahil wanita itu akan mengamuk besar jika perkara ini sampai ke telinga Mak Mon.

Nafas dihela berat. Kehidupannya tersekat selagi dia tinggal di rumah ini.

No comments:

Post a Comment