Sunday, 25 June 2023

Sisa Rasa Yang Tertinggal - Bab 6

 

HARI ini Hasnan dan Cikgu Dali ada tugasan di Sibu. Sekarang mereka dalam perjalanan pulang ke Kuching. Keadaan cuaca yang buruk menyukarkan Hasnan memandu. Hujan pula semakin lebat.

Keadaan jalan juga sudah mula becak. Kawasan jalan raya di sini masih belum sempurna lagi. Ditambah pula laluan yang sempit membuatkan Hasnan terpaksa memberi tumpuan yang lebih ketika memandu.

“Awak okey tak?” soal Cikgu Dali.

“Okey. Jalan ni yang tak okey.” Sudah beberapa kali kereta mereka meredah lubang di atas jalan yang rosak.

Agak lama juga Hasnan tidak memandu sejauh ini. Ketika di Semenanjung, dia lebih senang bermotosikal untuk mengelakkan kesesakan jalan raya. Tetapi sejak bekerja di Kuching, dia terpaksa menggunakan kenderaan ini untuk ke mana-mana sekiranya ada tugasan.

“Eh... apa benda yang besar kat depan tu Hasnan?”

Tiba-tiba Cikgu Dali terjerit.

“Mana?”

Disebabkan hujan semakin lebat, agak sukar untuk dia melihat dengan lebih jelas. Bulat mata Hasnan apabila sedar ada sekumpulan kerbau di hadapan mereka. Spontan Hasnan menekan brek mengejut. Cikgu Dali tidak putus-putus berdoa dalam hati agar mereka berdua selamat.

Hasnan terpaksa pusingkan stereng kereta agar mereka tidak melanggar kumpulan kerbau itu. Tindakan lelaki itu menyebabkan kereta berpusing 360 darjah di tengah-tengah jalan tanah merah yang becak. Lumpur pekat berwarna merah memercik di sekeliling badan kereta yang dipandu Hasnan.

Kesudahannya, kereta itu terbabas di pinggir semak. Cikgu Dali beristighfar dan mengucap panjang. Dadanya diurut sedikit. Hasnan kaku beberapa saat setelah kereta itu berhenti.

Tiba-tiba dia terasa pedih di bahagian dahi. Mungkin ada luka di situ akibat hentakan di cermin kereta. Mujurlah dia memakai tali keledar. Kalau tidak, sudah tentu tubuhnya tercampak keluar.

“Allah! Dahi awak dah berdarah ni.”

Hasnan sentuh dahinya dengan hujung jari. Ada kesan darah di situ.

“Sikit aje. Cikgu okey?” Hasnan toleh ke sebelah. Mujurlah lelaki itu tidak cedera.

“Jangan risaukan saya. Keadaan awak tu yang tak okey.”

Cikgu Dali terpaksa berbohong. Sebenarnya dia sedikit pening dan dadanya terasa sakit akibat terhentak di dashboard. Spontan dia memegang dadanya.

“Cikgu! Kenapa cikgu?” Cuak Hasnan.

“Sesak nafas sikit...” jawabnya sambil cuba menarik nafas dengan tenang.

“Kita keluar dari kereta ni dulu.” Hasnan pantas menolak pintu kereta di sebelahnya dan berusaha untuk keluar dari kereta. Dia bergerak ke bahagian belakang kereta dan mendapati badan kereta itu sudah kemik.

Cikgu Dali turut keluar dari kereta dan mendekati Hasnan. Mereka berdua berjalan ke arah jalan raya. Hujan masih tak berhenti. Kepala Hasnan mula berdenyut-denyut. Keadaan mereka berdua sudah basah kuyup.

Pandangan Hasnan semakin kabur. Dia sudah tidak mampu berdiri terlalu lama akibat rasa pening di kepala. Tubuhnya rebah di atas jalan yang berlumpur itu.

“Hasnan!”

 

 

SEDAR DARI pengsan, Hasnan sudah berada di hospital. Dia menerima rawatan di sana untuk memastikan tiada kecederaan dalaman.

Syukur dia tak perlu bermalam di sana. Hasnan dibenarkan balik selepas doktor mengesahkan keadaan dia baik-baik saja. Namun, Cikgu Dali masih risaukan keadaan Hasnan. Disebabkan itu, dia memaksa lelaki itu berehat di rumahnya.

Serba salah Hasnan. Sebenarnya dia takut untuk bertemu Mak Mon.

“Ikut saya baliklah, Hasnan,” kata Cikgu Dali.

“Saya okey aje. Rasanya tak ada masalah kalau saya berehat di bilik saya.” Hasnan cuba menolak.

“Jangan degil. Sekurang-kurangnya, kalau awak pengsan macam tadi, ada yang tolong tengokkan awak.”

“Tapi...”

Tak sempat Hasnan habiskan kata-kata, Cikgu Dali segera memotong.

“Dengar cakap saya. Ikut saya balik! Berehat di rumah jauh lebih baik daripada awak berehat seorang diri di bilik sewa.”

Hasnan akhirnya bersetuju untuk mengikut Cikgu Dali pulang ke rumahnya. Sepanjang perjalanan ke rumah Cikgu Dali, Hasnan hanya berehat sambil menutup mata. Kepalanya masih sakit.

Di rumah, Mak Mon sudah menunggu kepulangan mereka. Sejam yang lepas, anaknya ada menelefon dan memberitahu kemalangan yang berlaku. Zaton orang yang paling terkejut. Dia sangat risaukan keadaan Hasnan apabila emak memberitahu lelaki itu pengsan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Dali macam mana?”

“Dali tak apa-apa. Hasnan ni masih lemah.”

“Pergilah bawa dia ke bilik Jalal. Ton dah kemaskan bilik tu.”

Cikgu Dali membantu Hasnan masuk ke dalam rumah. Anak mata Hasnan terpandang Zaton sedang mengintainya dari dapur. Bibirnya ukir senyuman nipis buat gadis itu. Zaton turut membalas senyuman Hasnan.

Mak Mon segera ke dapur. Cepat-cepat Zaton melarikan diri ke singki. Takut orang tua itu perasan dia sedang mengintai anak teruna orang.

“Siapkan makanan, Ton. Kejap lagi Dali nak makan agaknya.”

Err... untuk tetamu Abang Dali macam mana?”

“Biarlah dia makan di bilik. Nanti Ton bawa makanan ke sana.”

Laju Zaton mengangguk. Pantas tangannya mencedok nasi ke dalam pinggan. Sedikit lauk diletak ke dalam pinggan yang lain.

Berdebar dada Zaton ketika menghantar makanan ke bilik. Kali terakhir mereka bertemu, hampir seminggu yang lepas. Dia masih belum berikan jawapan kepada Hasnan.

Pintu diketuk terlebih dahulu. Terdengar suara Hasnan memberi arahan masuk. Zaton membuka pintu itu dengan berhati-hati.

“Ton nak hantar makanan.”

Hasnan terus bangun dari berbaring dan bersandar di kepala katil. Terubat rasa rindunya dapat melihat wajah Zaton.

“Makanlah sementara lauk masih panas.” Dulang makanan itu diletak di sebelah meja yang ada di tepi katil.

“Ton ke yang masak?” soal Hasnan tanpa mengalihkan anak matanya dari wajah putih milik Zaton.

“Ya. Sup tulang ni Ton yang masak bila tahu abang terlibat dalam kemalangan.”

Ceria wajah Hasnan.

“Boleh bagi abang sup tu? Teringin pula abang nak hirup kuah sup tu.”

Zaton berikan mangkuk berisi sup itu kepada Hasnan. Lelaki itu menghirup sup dengan penuh nikmat. Dia terus terlupa tentang sakit di dahinya.

“Sedapnya sup ni. Sup yang Ton masak ni, buat abang teringatkan air tangan emak abang di kampung.” Sebak dada Hasnan. Tiba-tiba dia rindukan emak di kampung. Agak lama juga mereka tak berhubung.

Zaton yang mendengarnya, turut berasa sedih. Berjauhan dari keluarga tersayang, sudah tentu memberi kesan terhadap lelaki itu. Lebih-lebih lagi dalam keadaan tubuh yang sakit.

“Kalau abang rindukan air tangan emak abang, beritahu Ton. Nanti Ton cuba masak.”

Makin lebar senyuman Hasnan. Sikap Zaton inilah membuatkan dia semakin jatuh hati.

“Terima kasih, Ton.”

Zaton tersenyum kecil.

“Ton tak boleh lama. Nanti mak bising. Pinggan kosong biarkan di sini. Kejap lagi Ton ambil,” pesan Zaton sebelum keluar dari bilik itu.

Belum sempat Zaton menutup bilik itu, terdengar namanya dipanggil dari dalam.

“Abang panggil Ton?” Lembut Zaton menyoal.

Hasnan mengangguk kecil.

“Abang nak cakap... abang rindukan Ton.”

Berbahang wajah Zaton. Pertama kali dia mendengar ungkapan seperti ini dari lelaki asing. Zaton tak menjawab. Dia segera menutup pintu itu.

Dadanya ditekap dengan tapak tangannya. Senyuman manis terukir di bibirnya.

“Ton pun rindukan abang.”

 

 

AWAL PAGI lagi Hasnan sudah terdengar suara budak-budak di ruang tamu. Dia turun ke bawah selepas membersihkan diri. Tergamam Hasnan melihat Cikgu Dali sedang bermain dengan dua orang kanak-kanak.

“Macam mana keadaan pagi ni? Ada sakit lagi?” soal lelaki itu.

Hasnan duduk di kerusi berhadapan dengan Cikgu Dali.

“Alhamdulillah dah makin okey. Siapa ni?”

“Ooo... saya lupa nak beritahu. Ini anak-anak saya. Yang sulung ada dalam bilik. Tidur lagi agaknya. Cuti sekolah macam nilah isteri dan anak-anak saya akan balik ke sini.”

Tercengang Hasnan. Baru dia tahu lelaki itu sudah berkahwin.

“Sebelum ni isteri cikgu tinggal di mana?”

“Brunei. Orang rumah saya jaga emak dia di sana. Kami berjumpa bila ada cuti panjang. Sesekali saya akan ke sana juga.”

Patutlah Hasnan tidak pernah melihat isteri dan anak-anak lelaki itu.

“Saya dah hubungi datuk tentang kemalangan kita semalam. Dia bagi awak rehat seminggu.”

“Tak menyusahkan kerja di pejabat ke?”

“Insya-Allah, ada yang akan gantikan tempat awak. Yang penting awak berehat dulu.”

“Rancaknya berborak. Sarapan dah siap! Jemputlah makan, Encik Hasnan,” kata Mak Mon yang baru keluar dari ruang dapur.

Wajah Mak Mon dah berpeluh. Di badannya masih tersarung apron menandakan dia baru selesai memasak.

“Cucu-cucu atuk... semua mari makan!” teriak Mak Mon kepada tiga orang cucu-cucunya.

Ceria wajah cucu-cucu Mak Mon berlari mendapatkan orang tua itu.

“Jom, Hasnan. Kita makan. Lepas makan nanti saya nak bawa isteri dan anak-anak keluar berjalan,” kata Cikgu Dali.

“Cikgu nak ke mana?”

“Ke zoo dan taman.”

“Kalau macam tu, saya balik ke bilik sewa saya lepas sarapan.”

Laju Cikgu Dali membantah.

“Hari minggu ni, rehat saja di rumah saya. Buat macam rumah sendiri. Lagipun saya keluar sekejap saja.”

Hasnan tak mampu menolak. Mereka bergerak ke ruang makan. Tertelan air liur Hasnan melihat hidangan kegemarannya di sini. Mi kolok.

Di meja makan, baru dia berpeluang bertemu Dayang Sulina, isteri Cikgu Dali. Wanita itu bertudung litup dan berjubah. Anak mata Hasnan bertembung dengan Zaton.

“Ton ke yang masak?” bisik Hasnan.

“Tak. Mak yang masak. Kalau cucu-cucu dia balik, mak tak suka sesiapa yang tolong dia masak. Mungkin tak nak rasa mi kolok ni jadi lain. Abang nak makan?”

Hasnan mengangguk kecil.

“Ton sendukkan untuk abang.”

Hasnan tersenyum lebar. Tanpa disedari oleh pasangan itu, wajah Mak Mon sudah merah menahan marah. Dia tak suka melihat anaknya berkawan rapat dengan lelaki itu.

No comments:

Post a Comment