“SAYA
tak setuju! Semurah itu harga diri saya depan mata encik?!” suara Citra
melengking tinggi. Dia bingkas bangun daripada tempat duduknya. Wajah Atif
dipandang dengan renungan tajam.
“Sabar dulu, Citra. Jangan mengamuk
macam ni, kita boleh bawak bincang kan?” Qammar memujuk sambil menarik lengan
baju kurung milik Citra meminta supaya gadis itu duduk kembali.
Citra menurut. Dia duduk kembali sambil
matanya memandang tepat ke muka Atif dan sesekali dia menjeling pada Rasfal
yang kelihatan tenang. Sejak daripada pertemuan pertama lagi, Citra perhatikan
Rasfal lebih suka mendiamkan diri daripada berbicara. Hanya Atif yang selalu
menjadi bersuara bagi pihak Rasfal. Bisu ke lelaki ini? Benak hati Citra
tertanya-tanya.
“Ini bukan pasal murah atau mahal,
Citra. Ini pasal kepentingan kita masing-masing. Encik Ras perlukan seorang
gadis yang boleh dijadikan isteri sementaranya untuk mengaburi mata wartawan
agar gosip tentang dia gay dan gosip
hubungan dia dan Fiona itu tutup. Lepas semuanya selesai, awak resignlah jadi isteri dia. Bukan susah
pun. Anggaplah ini macam sebuah pekerjaan,” balas Atif selamba.
Bulat mata Citra memandang wajah Atif.
Tak tahu agamakah lelaki ini? Soal hati Citra tetapi tidak mampu diluahkan.
“Encik Atif ingat perkahwinan tu sebuah
pekerjaan yang ada tempoh tertentu ke? Encik nak kita buat perkahwinan mutaah
ke? Encik tahu tak perkahwinan kontrak itu haram? Encik cakap ni fikir tak
dulu?” bertalu-talu soalan yang terbit daripada mulut Citra membuatkan Atif
terdiam. Ketegasan Citra membuatkan dia kering idea untuk membalas.
“Citra, abang rasa cadangan Atif ini
boleh pakai juga. Encik Ras dah setuju nak bagi RM30,000 kalau Citra setuju
untuk jadi isteri sementara dia dan abang percaya pada Encik Ras. Citra fikir
pasal ibu, jangan fikir pasal Citra je…” Qammar bersuara menyebelahi Atif. Atif
tersenyum kemenangan.
Citra terkejut. Lama dia memandang wajah
Qammar. Dia bagaikan tidak percaya, seorang tunang sanggup menyerahkan
tunangnya untuk dikahwinkan dengan lelaki lain semata-mata kerana duit. Citra
menggelengkan kepala.
“Abang merepek apa ni? Abang sedar tak
Citra ni tunang abang? Tergamak abang…” Citra tidak dapat menghabiskan
kata-katanya.
“Abang sedar, Citra. Tapi seperti kata
Atif tadi, anggaplah perkahwinan ni seperti pekerjaan lagipun Citra memang
memerlukan duit kan. Abang sanggup berkorban asalkan Citra dapat selamatkan ibu
Citra. Selepas segalanya selesai, abang masih tetap boleh berkahwin dengan
Citra,” balas Qammar cuba menyakinkan Citra yang tampak kegelisahan.
Citra mendengus. Dia memandang tepat
pada wajah Rasfal yang kelihatan bersahaja.
“Kenapa Encik Ras tak kahwin je dengan
Fiona? Dia pelakon popular, satu jiwa dengan Encik Ras, tentu dia lebih sesuai
dengan Encik Ras…” ucap Citra.
“Saya tak suka dia dan jangan tanya
kenapa saya tak suka dia.” Rasfal bersuara juga akhirnya. Dia membalas
pandangan Citra namun dengan pantas gadis itu mengalihkan pandangan ke tempat
lain.
“Okey, kalau Citra atau Qammar tak
percaya juga, kami dah sediakan surat perjanjian. Dalam, surat ini ada tertulis
yang Rasfal akan membayar RM35,000 kepada Citra sebagai upah untuk menjadi
isteri sementaranya. Selepas mereka bercerai, Rasfal akan berikan pampasan
sebanyak RM10,000 lagi. Tetapi Citra akan dapat RM30,000 untuk pendahuluan,
lagi lima ribu akan diberikan setelah Citra selamat menjadi isteri Rasfal.
Sepanjang tempoh perkahwinan itu, Citra perlu menjadi isteri Rasfal hanya di
hadapan mata keluarga, orang ramai dan wartawan. Segala-gala hak peribadi tidak
akan disentuh walaupun halal menjadi suami isteri sebab ini untuk kebaikan
kedua belah pihak,” terang Atif sambil membaca perkara yang tertera di kertas
yang dipegangnya.
“Mengarut! Perkahwinan itu satu ikatan
yang suci, kenapa perlu dipermainkan?” soal Citra dengan rasa marah yang
tertahan-tahan.
“Siapa cakap saya permainkan
perkahwinan? Kalau awak setuju, kita berkahwin secara sah dengan majlis yang
sepatutnya. Cuma saya takkan sentuh awak sebagai isteri saya sebab saya tahu
awak sayangkan tunang awak. Anggap saja perkahwinan sebagai pengorbanan awak
pada ibu awak. Awak perlukan duit, saya perlukan isteri untuk sementara jadi
saya bayar awak untuk tolong saya. Win
win situation kan? Tak ada siapa yang rugi pun,” jawab Rasfal petah.
Atif menganggukkan kepala. Kata-kata
Rasfal ada benarnya juga.
“Berapa lama Citra kena berlakon jadi
isteri sementara Encik Ras?” soal Qammar pula.
“Setahun je,” jawab Atif yakin.
Qammar tersenyum puas. “Untuk aku tak
ada ke? Memandangkan aku tunang Citra, jadi kau kena bagi aku upah juga sebab
setuju berikan dia pada kau,” Qammar mula menunjukkan taringnya.
“Abang, siapa cakap saya setuju?!”
terjerit suara Citra mendengar kata-kata Qammar.
Qammar tersenyum pada Citra. Orang nak
bagi duit pun tak nak ke? Aku tak fahamlah perangai perempuan ni. Detik hati
Qammar.
“Kau jangan risau, Mar. Bahagian kau
tetap ada,” balas Atif dengan senyuman penuh makna.
“Citra dengar tadi kan, Encik Ras cuma
nak Citra jadi isteri sementara dia saja. Selepas setahun, Citra boleh kahwin
dengan abang. Abang sayangkan Citra tapi abang tak nak tengok Citra kerja siang
dan malam cari duit macam ni. Bulan depan ibu dah nak kena bedah, mana nak cari
duit lagi Citra. Citra tak kesian dekat ibu ke?” soal Qammar sambil menatap
wajah Citra yang kusut.
Sebaik saja nama ibunya disebut, Citra
menjadi lemah. Terbayang wajah si ibu yang teraba-teraba setiap kali ingin
berjalan. Kadang-kadang langkah ibunya itu akan tersadung apabila tertinggal
tongkat. Sedih, sayu dan pedih itulah yang dirasakan setiap kali melihat wajah
Puan Cempaka.
“Berikan masa untuk saya berfikir. Kalau
pun saya setuju ini semua untuk ibu saya. Hanya untuk ibu saya…” jawab Citra
perlahan.
Atif dan Rasfal berpandangan. Mereka
tersenyum gembira. Dia tahu, Citra tengah terdesak dan orang akan lakukan apa
saja jika sudah terdesak.
“Saya tak halang pun untuk awak
berfikir. Saya tak nak perkahwinan ni jadi disebabkan terpaksa. Saya nak awak
rela hati kahwin dengan saya meskipun hanya sementara. Awak jangan risau, saya
pun bukan jenis yang suka terikat dengan mana-mana perempuan. Tempoh setahun
itu pun sudah cukup lama pada saya. Awak boleh percayakan saya sebab saya
seorang yang professional. Perkahwinan ini tidak melibatkan apa-apa perasaan
pun. Saya tak cintakan awak dan awak hanya sayangkan Qammar jadi anggaplah ini
sebagai satu pekerjaan dan pengorbanan,” ujar Rasfal cuba menyakinkan Citra.
Dia tahu hanya Citra yang dapat
membantunya terlepas daripada belenggu masalahnya ini. Jika dia berkahwin
dengan Citra, pasti gosip tentang gay
dan hubungannya dengan Fiona akan tamat begitu saja. Memandangkan Citra bukan
dalam kalangan artis jadi lebih senang untuk dia menguruskan Citra selepas
perkahwinan mereka tamat nanti. Dia yakin semuanya akan berjalan seperti biasa.
Dia yakin pada dirinya sendiri.
Citra diam membisu. Kata-kata Rasfal
sedikit sebanyak menganggu hatinya. Benarkah perkara ini akan semudah yang
disangka? Bagaimana kalau tiba-tiba perkara ini terbongkar? Tetapi apa lagi
pilihan yang aku ada untuk selamatkan ibu? Bukan senang untuk dapat duit dalam
jangka masa yang terdekat ini. Pelbagai persoalan yang muncul dalam hati Citra
sehingga membuatkan dia mengeluh entah ke berapa kalinya.
CITRA
menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Entah mengapa kali ini ujian yang
dirasakan terlalu berat malah semakin menghimpit dada. Dia perlu membuat
keputusan yang tepat kerana ini bukan saja membabitkan dirinya malah masa depan
ibunya juga.
“Nak terima ke? Tak nak terima?” soal
Citra sendirian. Dia mengira-ngira jarinya.
“Kalau aku terima, ibu dapat buat operation tapi aku kena hidup dengan mamat tu. Siapa dia yang sebenarnya pun
aku tak kenal. Kenapa dia tak nak kahwin dengan Fiona ye? Nak pula dia kahwin
dengan orang biasa-biasa macam aku ni. Entah-entah dia nak guna-gunakan aku,”
fikir Citra sambil meneruskan perjalanannya ke rumah. Dia mengetuk dagu
memikirkan hal yang sangat merumitkan fikiran saat ini.
“Tapi kalau aku tak terima, dekat mana
lagi aku nak cekau duit? Nak pinjam dengan bank, memang taklah akan lulus dalam
masa yang terdekat. Takkan aku nak pinjam dengan along? Ish, boleh gadai nyawa
aku kejap lagi. Ya Allah, bantulah aku dalam membuat keputusan,” detik hati
Citra.
“Assalamualaikum….” Salam dihulurkan sebaik
saja dia sampai di hadapan pintu rumah.
Senyap. Tiada siapa yang menjawab
salamnya membuatkan dahi Citra berkerut. Mana ibu pergi? Soal hatinya.
“Ibu! Citra dah balik!” laung Citra
sambil melangkah masuk ke dalam rumah. Dia mencari-cari kelibat Puan Cempaka
namun batang hidung ibunya tidak kelihatan. Hanya tongkat ibunya saja yang
masih bersandar di tepi dinding. Citra pelik.
“Ibu!” laungnya lagi. Langkahnya
dihayunkan ke bilik ibunya. Langsir pintu diselak namun bayang ibunya tidak
kelihatan.
Hati Citra mula terasa kurang enak lalu
dia mengatur langkah ke ruang dapur. Alangkah terkejutnya apabila dia melihat
Puan Cempaka terbaring kaku di atas lantai dengan matanya yang berdarah.
“Ibu!” jerit Citra lalu mendapatkan Puan
Cempaka. Tubuh Puan Cempaka dipangku. Air matanya sudah tidak henti-henti
menuruni lekuk pipi.
“Ibu, kenapa dengan ibu ni? Kenapa mata
ibu berdarah ni? Ya Allah!” rintih Citra lagi dengan tangisan berlagu. Dia
menggoncang-goncang tubuh ibunya dengan kuat berharap agar Puan Cempaka sedarkan
diri namun hanya nafas Puan Cempaka saja yang kedengaran lemah.
Dengan pantas, Citra meletakkan kepala
ibunya ke atas dengan berhati-hati sebelum dia berlari ke ruang tamu untuk
mencari telefon bimbitnya yang diletakkan di dalam beg. Nombor telefon ambulans
didail pantas. Dia tidak sanggup kehilangan satu-satunya ibunya. Dia perlu
melakukan sesuatu agar ibunya selamat.
Tidak lama kemudian sebuah ambulans tiba
di rumah Citra dan tanpa membuang masa, Citra melompat masuk ke dalam ambulans.
Nyawa ibunya lebih penting. Sayu hatinya apabila melihat mata Puan Cempaka yang
mengeluarkan darah. Darah itu disapu dengan menggunakan jari jemarinya. Air
mata yang mengalir sudah tidak diendahkan lagi.
Sebaik saja sampai di hospital, Puan
Cempaka dikejarkan ke unit ICU manakala Citra terpaksa menanti ibunya di ruang
menunggu. Sungguh saat ini dia resah. Hatinya kacau bilau melihat keadaan
ibunya yang tidak sedarkan diri. Apa yang berlaku pada ibu sebenarnya? Itu yang
mengganggu fikiran Citra sekarang ini.
Citra meraup wajahnya dengan kedua belah
tapak tangan. Tiba-tiba dia teringatkan Qammar lalu dengan pantas nombor
telefon Qammar dihubungi.
“Hello, abang…ibu masuk hospital..abang
datang ye…” ucap Citra apabila talian disambungkan.
“Abang tengah kerja ni, Citra. Tak boleh
keluarlah. Balik kerja nanti abang melawat ibu ya,” ucap Qammar langsung tidak
mempedulikan perasaan Citra saat ini.
“Tapi abang…Citra….”
“Abang banyak kerja ni nanti director marah pulak abang bercakap
lama-lama, petang nanti kita jumpa ya…” ujar Qammar lalu memutuskan talian
tanpa sempat Citra membalas.
“Abang…abang!” terjerit suara Citra
memanggil Qammar namun talian sudah diputuskan. Citra mengeluh kuat. Air
matanya semakin lebat membasahi pipinya. Saat dia memerlukan seseorang untuk
meluahkan perasaan, Qammar seolah-olah melarikan diri. Sungguh dia terasa
dengan perbuatan Qammar.
“Cik…Cik ni anak Puan Cempaka ke?” satu
suara yang menegurnya daripada belakang membuatkan Citra menoleh. Lalu, dia
menganggukkan kepala. Air mata yang menuruni lekuk pipi diseka dengan jari.
“Sila ikut saya ke bilik sekarang…” ucap
Doktor Hafeez sambil mempersilakan Citra untuk ke biliknya.
“Jemput duduk Cik…”
“Citra. Panggil saya Citra…” ucap Citra
perlahan. Dia melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Doktor Hafeez
yang kelihatan segak dengan pakaian doktornya.
Doktor Hafeez tersenyum. Dia memandang
laporan di tercatat di atas kertas sebelum matanya kembali menatap wajah manis
milik Citra.
“Apa yang berlaku pada ibu saya, doktor?
Kenapa mata ibu saya berdarah?” soal Citra ingin tahu.
“Sebelum tu saya nak tanya, macam mana
ibu awak boleh hilang penglihatan?” soal Doktor Hafeez sambil matanya
difokuskan pada laman wajah Citra yang kelihatan keruh.
“Ibu saya terlalu banyak menangis sejak
ayah saya meninggal. Hampir setiap hari ibu saya menangis dan pada satu hari
itu, ibu saya adu sakit mata, lepas saya letakkan ubat titisan untuk mata tak
lama selepas tu, ibu saya tak dapat nak melihat dah,” cerita Citra.
Doktor Hafeez hanya mengangguk-anggukkan
kepala. Dia mencatatkan sesuatu di atas kertas.
“Tapi, dua minggu lepas saya ada jumpa
dengan doktor mata, dia cakap ibu saya boleh melihat lagi kalau buat operation,” sambung Citra lagi.
“Ya, memang betul ibu awak boleh melihat
semula kalau buat operation. Tetapi operation tersebut kena lakukan secepat
mungkin, disebabkan kejadian hari ini saya tengok tisu mata ibu awak dah rosak.
Korneanya juga kelihatan dan rosak. Ibu awak perlu lakukan operation dengan kadar segera sebelum dia menjadi buta sepanjang
hayat,” ujar Doktor Hafeez lagi.
Citra mengeluh. Perlukan pembedahan
secepat mungkin? Dari manalah aku nak dapat duit secepat ini? Ya Allah,
tunjukkan aku jalan keluar. Desis hati Citra.
“Saya akan cuba dapatkan duit untuk operation ni secepat mungkin, doktor.”
Ujar Citra. Suaranya kedengaran lirih.
“Baiklah, saya harap awak takkan
hampakan ibu awak,” balas doktor muda itu.
Citra hanya menganggukkan lemah.
Nafasnya dihela panjang.
CITRA
menyandarkan belakang badannya di dinding hospital. Mata bundarnya tegak
memandang siling hospital yang putih bersih. Satu keluhan dilepaskan.
“Manalah aku nak cekau duit ni?” soalnya
sendirian. Dahinya diketuk-ketuk dengan jari.
“Kalau awak setuju, kita berkahwin
secara sah dengan majlis yang sepatutnya. Cuma saya takkan sentuh awak sebagai
isteri saya sebab saya tahu awak sayangkan tunang awak. Anggap saja perkahwinan
sebagai pengorbanan awak pada ibu awak. Awak perlukan duit, saya perlukan
isteri untuk sementara jadi saya bayar awak untuk tolong saya. Win win situation kan? Tak ada siapa
yang rugi pun,”
Suara si pelakon popular kembali
terngiang di telinganya. Citra tersentak. Isteri sementara! Hatinya menjerit
lalu dia mencari nama Atif yang tersimpan di dalam telefon bimbitnya. Nombor
telefon lelaki tersebut ditekan. Dia sudah nekad, demi ibunya yang tercinta dia
sanggup korbankan segalanya. Segala-galanya…
“Hello, assalamualaikum, Encik Atif saya
Citra. Saya setuju!”
No comments:
Post a Comment