CITRA
memandang wajahnya yang berada di hadapan cermin. Baju kurung berwarna pink
lembut yang diberikan oleh Rasfal kelihatan cantik tersarung di tubuh genitnya
dipadankan pula dengan selendang halfmoon bercorak yang dililit di atas kepala
membuatkan Citra nampak ayu dan manis. Dia tersenyum nipis melihat penampilannya
dari dalam cermin.
Setelah semuanya dirasakan tiada cacat
cela, Citra keluar untuk mendapatkan Rasfal yang sedang menunggu di ruang tamu.
Dia tersenyum nipis apabila melihat Rasfal yang tertidur di atas sofa sambil TV
terpasang.
"Tak sampai setengah jam aku
bersiap, sempat lagi dia tidur..." omel Citra sambil menjengukkan wajahnya
hampir ke wajah Rasfal.
Citra mengayang-gayangkan tangannya di
hadapan wajah Rasfal namun tiada tindak balas.
"Tidur mati agaknya..." ucap
Citra.
Dia mengetuk dagu memikirkan cara yang
paling sesuai untuk mengejutkan Rasfal. Lama dia memandang wajah Rasfal sebelum
Citra menongkat dagu merenung wajah suaminya yang kacak.
Daripada rambut Rasfal yang hitam pekat,
mata Citra beralih pada kening Rasfal yang lebat. Tampak sesuai dengan mata
lelaki itu yang bulat dan besar. Hidung Rasfal yang mancung memang sesuai
dengan bibir lelaki itu yang sensual ditambah pula dengan kulit lelaki itu yang
putih kemerahan membuatkan Rasfal kelihatan kacak persis Lee Dong Wook pelakon
Korea yang terkenal tu.
Lama Citra merenung wajah Rasfal sebelum
dia tersedar.
"Tak, tak...Abang Qammar lebih
kacak.." ucap Citra spontan sambil menggelengkan kepala.
"Siapa lebih kacak?" sergah
Rasfal membuatkan Citra terkejut.
"Makkkk!!!" jerit Citra sambil
dia jatuh terduduk di atas lantai.
Rasfal ketawa lepas. Dia bangun dan
membetulkan duduknya.
"Siapa suruh kau tenung muka aku
tanpa izin? Tak pasal-pasal jatuh terduduk..." ucap Rasfal dengan ketawa
yang masih bersisa.
Citra mencebik. Dia bangun dan menggosok
belakangnya yang terasa sakit.
"Bos memang suka kenakan saya kan.
Sakit tahu tak..." balas Citra dengan mulut yang memuncung panjang.
Rasfal ketawa kecil. Dia menarik
pergelangan tangan Citra dengan lembut. Wajah itu dipandang.
"Betul ke Qammar lebih kacak
daripada aku?" soal Rasfal tiba-tiba
Citra tersentak. Alamak, apa aku nak
jawab ni?
"Kenapa diam pulak ni? Kau dengar
tak apa yang aku tanya ni?" soal Rasfal mengharapkan jawapan daripada
Citra.
"Errr...saya bergurau je bos. Saya tak bermaksud nak bandingkan bos
dengan orang lain. Abang Qammar tunang saya jadi tentulah saya akan cakap dia
lebih kacak daripada sesiapa pun sebab dia pilihan saya..." jawab Citra
teragak-agak.
Rasfal terdiam. Hampir dia terlupa yang
Citra adalah tunang kepada Qammar dan Qammar adalah satu-satunya lelaki yang
sanggup melihat tunangnya berkahwin dengan lelaki lain semata-mata untuk duit
yang diselindungkan atas dasar pengorbanan.
Rasfal tersenyum nipis. Dia meleraikan
pegangan di tangan Citra sebelum dia bangun.
"Jomlah gerak, kata lapar..."
ucap Rasfal tanpa membalas kata-kata Citra.
Citra mula tidak senang duduk. Dia
bimbang jika Rasfal terasa dengan kata-katanya tadi.
"Saya mintak maaf.." ujar
Citra membuatkan langkah Rasfal terhenti. Dia berpaling dengan wajah yang penuh
tanda tanya.
"Untuk apa?"
"Sebab saya cakap Abang Qammar
lebih kacak daripada awak..." jawab Citra spontan.
Rasfal ketawa mendengar kata-kata Citra
yang jujur. Gadis ini memang polos. Detik hati Rasfal.
"Aku tak kisahlah kalau kau nak
cakap Qammar lebih kacak daripada Tom Cruise sekalipun, itu pandangan kau.
Sekarang ni jom kita gerak, aku dah lapar ni.." ujar Rasfal lantas menarik
tangan Citra.
"Okey-okey..."
"KITA nak makan apa ni?" soal Citra sambil memandang ruang
restoran yang agak mewah pada pandangan Citra yang pertama kali menjejakkan
kaki ke restoran seperti ini.
Rasfal hanya mendiamkan diri. Dia
memilih tempat duduk yang agak tersorok daripada pandangan orang ramai.
Tidak lama kemudian, seorang pelayan
wanita datang untuk mengambil pesanan. Kelihatan wanita itu tersenyum-senyum
pada Rasfal.
"Encik Ras nak order apa?" soal pelayan tersebut dengan senyuman yang mekar
di bibirnya. Sedikit pun gadis itu tidak mengalihkan pandangan daripada
merenung wajah Rasfal.
"Bagi saya beef steak dan chicken chop.
Air pula...hmmm...give me orange juice and manggo juice..."
ucap Rasfal dengan senyuman.
"Okey. Encik Ras boleh tak kalau
saya nak sign, saya peminat Encik
Ras.." ujar pelayan itu dengan tersengih-sengih. Kelihatan beberapa orang
pelayan wanita di hadapan kaunter memandang ke arah mereka bertiga. Kesemuanya
seolah-olah teruja apabila melihat Rasfal.
Rasfal tersenyum. Dia memandang wajah
Citra sekilas. Gadis itu hanya menayang wajah selamba.
"Hmmm...boleh tapi lepas saya makan ye. Ajak kawan-kawan awak sekali,
kita bergambar..." ujar Rasfal.
"Betul ke, encik?" soal
pelayan itu hampir menjerit. Terpamer riak kegembiraan di wajah gadis muda itu.
Rasfal hanya mengangguk tanda
mengiyakan.
"Baiklah, encik. Saya bawak order encik secepat mungkin..."
ucap pelayan itu lantas beredar.
"Tak sangka ramai betul peminat
bos. Seronok tak jadi artis?" soal Citra tiba-tiba.
"Dah nama pun kerja, seronok atau
tak aku kena hadapi jugak. Aku yang pilih karier ni jadi aku kena tanggung semuanya…”
jawab Rasfal sambil menentang pandangan Citra.
“Tapi bos tak rasa rimas ke asal keluar
je ramai yang pandang-pandang. Kadang-kadang serbu bos, macam hidup tak
tenteram pulak…” ujar Citra lagi.
Rasfal tersenyum. Dia mengerling ke
sisi, kelihatan pelayan tadi menuju ke arah mereka berdua, lalu dengan pantas,
Rasfal memegang tangan Citra lalu digenggam jari-jemari isterinya itu. Dia tahu
Citra pelik lantas, Rasfal memberi isyarat mata bahawa gerak-geri mereka sedang
diperhatikan oleh orang sekeliling jadi mereka perlulah menunjukkan kemesraan.
“Jangan banyak tanya, sekarang ni kau
senyum je. Orang pandang tu…” ucap Rasfal dengan suara yang perlahan. Dia
mendekatkan wajahnya ke wajah Citra.
“Ehem, Encik Ras, ini makanannya. Jealousnya saya tengok Encik Ras dengan wife. Memang romantik, beruntung akak
dapat kahwin dengan jejaka idaman tanah melayu ni,” ujar pelayan yang bertanda
nama Nurul itu dengan tersenyum-senyum.
Rasfal dan Citra saling berpandangan.
Mereka ketawa kecil.
“Akak doakan adik dapat suami yang sama
macam Ras Haqeemi jugak. Insya-Allah…” ujar Citra ramah. Dia tersenyum manis.
Rasfal hanya memerhatikan gelagat Citra
yang berbual kosong dengan Nurul. Gadis itu memang ramah walaupun tampak macam
pemalu. Senyuman yang mekar di bibir Citra membuatkan Rasfal turut tersenyum.
Tak sia-sia aku ambil kau bekerja, Citra. Pandai kau berlakon.
“Saya ke belakang dululah, kak.
Nampaknya, Encik Ras Haqeemi kesayangan ramai ni dah tak nampak orang lain
selain akak. Saya yang cantik ni pun tak dipandang…” gurau Nurul membuatkan
Citra ketawa. Dia mengangguk apabila Nurul meminta diri.
Citra menarik nafas lega apabila bayang
Nurul hilang di sebalik pintu dapur. Matanya kini tertancap pada pinggan yang
berisi chicken chop. Dahinya
berkerut. Macam mana aku nak makan ni? Takkan nak makan dengan tangan? Arghh…bantai jelah. Aku dah lapar betul
ni. Desis hati Citra lalu dia cuba memegang peha ayam itu dengan menggunakan
tangannya.
Mata Rasfal membulat, sepantas kilat dia
menampar tangan Citra dengan lembut. Pinggan itu ditarik supaya menjauhi Citra.
“Kau nak buat apa tadi?” soal Rasfal
dengan suara yang perlahan.
Citra mendongak. Dia mengangkat kening.
“Nak makanlah. Lapar…”
“Siapa suruh kau guna tangan? Kalau nak
makan, guna pisau dan garfu ni. Takkan itu tak tahu?” soal Rasfal serius. Dia
menatap wajah Citra yang kelihatan tenang.
Citra terdiam. Masalah sekarang dia tak
pandai makan menggunakan sudu dan pisau. Nak makan macam mana kalau guna pisau?
Makan pakai tangan cukuplah. Lagipun itu sunnah nabi. Jika niat atas mengikut
sunnah, pasti akan dapat pahala.
“Tapi saya…saya…” Citra kehilangan
kata-kata.
“Saya apa?” pintas Rasfal.
“Saya tak pandai….” Ucap Citra sambil
menundukkan wajahnya. Dia segan.
“Tak pandai?” Rasfal mengeluh kecil.
Inilah padahnya kalau beristerikan orang kampung. Semua benda tak tahu padahal
menjadi orang kampung tidak semestinya harus berada di takuk yang lama.
Sesekali perlu keluar daripada kotak untuk melihat apa yang terjadi di dunia
luar.
“Apa yang kau pandai?”
“Saya pandai makan je…” jawab Citra
lurus.
Rasfal hanya menepuk dahi. “Aku nak kau
belajar makan dengan menggunakan garfu dan pisau ni, masa akan datang kau akan
lebih banyak terdedah dengan dunia-dunia artis memandangkan kau dah kahwin
dengan aku jadi sedikit sebanyak kau kena belajar gaya hidup macam artis…”
bebel Rasfal.
Lalu, tangannya lincah memotong chicken chop itu sehingga menjadi
kepingan yang kecil sebelum pinggan itu ditolak ke hadapan Citra.
Citra terkedu melihat perbuatan Rasfal.
Dia termangu seketika apabila Rasfal ingin menyuapkan kepingan ayam itu ke
dalam mulutnya. Hai, pelakon terkenal ni dah buang tebiat ke? Fikir Rasfal.
“Bukalah mulut tu. Jangan malukan aku.
Kita tengah berlakon sekarang ni…” bisik Rasfal sambil menayang senyuman palsu.
Lambat-lambat Citra membuka mulut
membiarkan Rasfal menyuapnya. Wajahnya sudah berbahang panas namun Citra cuba
bersikap selamba tetapi saat Rasfal mengesat sisa mayonis yang tercalit di tepi
bibirnya, pantas darah merah menyerbu ke mukanya. Citra malu lalu dia
menundukkan wajahnya.
Rasfal tersenyum melihat Citra yang
tersipu-sipu. Suka pula dia melihat pipi Citra yang merona merah. Baru usik
sikit dan merah. Pemalu betul minah ni. Detik hati Rasfal.
“Makanlah sampai habis. Nanti petang
kita balik rumah mama…” ujar Rasfal.
Citra mendongak. Mata mereka
bertentangan sebelum Citra mengalihkan pandang ke tempat lain.
“Untuk apa?”
“Next
week majlis resepsi, jadi kita kena siapkan apa yang patut. Awal-awal mama
dah pesan supaya aku bawak kau balik jadi aku rasa lepas ni bolehlah kita balik
ke rumah mama…” terang Rasfal sambil menyuapkan beef steak ke dalam mulutnya.
“Nanti majlis ni akan masuk TV ke?” soal
Citra ingin tahu.
“Insya-Allah, mengikut perancangan
memang akan masuk tapi untuk program Ijab dan Kabul dekat Astro Ria, jadi kau
kena bersedialah untuk di temu ramah.” Terang Rasfal lagi.
Mata Citra membesar. Temu ramah lagi?
Ini yang aku lemah ni. Mesti nak kena berbohong lagi. Keluh hati Citra.
“Saya nak jawab apa? Saya malulah nak
masuk TV lagi. Mesti ramai kawan-kawan saya yang tak sangka saya dah kahwin
dengan bos…” ucap Citra sambil menguis-nguis sisa makanan yang berada di dalam
pinggan.
“Ingat, perkahwinan ni satu pekerjaan
bagi kau jadi pedulikan pasal orang lain. Kau buat kerja kau, kau yang dapat
gaji. Kalau dia orang nak cakap pun, semuanya tak dapat nak merubah takdir,”
balas Rasfal bersahaja.
“Tapi saya…”
“Syyyhhhh….”
Rasfal meletakkan jari telunjuknya di
bibir Citra membuatkan isterinya itu terdiam. Terkebil-kebil Citra memandang
wajah Rasfal. Jantungnya berdenyut dengan tiba-tiba dengan sentuhan Rasfal. Lalu,
tangan Rasfal dialihkan daripada bibirnya.
“Apa bos ni? Malulah orang tengok…”
tegur Citra sambil tersipu-sipu.
“Malu apanya, kitakan dah kahwin…” balas
Rasfal sambil tersengih.
Citra mencebik. Kahwin pun hanya lakonan
semata-mata, kahwin apanya macam tu. Detik hati Citra.
“Malaslah nak layan bos, lebih baik saya
makan. Lepas ni saya nak balik rumah saya….”
“Nak buat apa? Kan aku dah cakap tak
payah…” pintas Rasfal pantas.
“Saya nak ambil pakaian sayalah. Untuk
jangka masa setahun ni kan saya kena berkhidmat untuk bos jadi saya kenalah
kunci rumah saya tu…” terang Citra.
Rasfal tersengih. Malu kerana terlalu
cepat salah sangka terhadap gadis itu. Namun, bibirnya mengukir senyuman nipis
saat melihat gelagat Citra yang masih menjamah makanan. Gadis itu seolah-olah
tidak mempedulikan orang sekeliling malah jelas di pandangan Rasfal, Citra
memang seorang gadis yang selamba.
Tiba-tiba Citra mengangkat muka.
Pandangan mereka berdua bertembung membuatkan Rasfal terkedu seketika.
“Kenapa bos pandang saya macam tu? Ada
yang pelik ke dengan muka saya?” soal Citra sambil meraba anggota wajahnya.
“Ada…” balas Rasfal bersahaja.
“Hah, apa yang pelik?” soal Citra
kelam-kabut.
“Kau nak tahu apa yang pelik dekat kau?”
soalan dibalas soalan. Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Citra. Anak mata Citra
yang bulat dan bundar itu ditenung lama. Jelas gadis itu mengharapkan jawapan
daripada Rasfal.
“Apa dia, bos?” soal Citra turut
mendekatkan wajahnya ke wajah Rasfal.
“Hmmm…otak
kau yang pelik…” jawab Rasfal sambil menghamburkan ketawa.
Citra tersentak kemudian dia mengetap
bibir. Dia terkena kali ini. Lalu dengan pantas dia mencubit lengan Rasfal
dengan spontan.
“Aduh, sakitlah!” jerit Rasfal sambil menggosok-gosok
lengannya yang terasa perit.
“Rasakan, padan muka!”
No comments:
Post a Comment