Monday, 19 January 2015

Pengarah Cinta Terbaik - Bab 12



TEPAT pukul dua pagi, Rasfal terjaga dengan sendirinya. Dia menoleh ke kanan dan ke kiri, dia dapat rasakan kelainan, hatinya seperti risau akan sesuatu. Lalu, fikirannya teringatkan Citra yang tidur di bilik sebelah. Kemudian, Rasfal menyelak selimut dan menghayunkan langkah menuju ke bilik Citra.
Pintu bilik itu dipulas perlahan-lahan sebelum dia melangkah masuk. Kelihatan Citra sedang tidur tanpa memakai apa-apa selimut yang dapat melindungi tubuh genit itu daripada kesejukan. Rasfal mengeluh, kenapalah Citra ini selalu memandang remeh soal kesihatan diri sendiri? Tanpa menunggu lama, Rasfal duduk di birai katil dan menyelimuti tubuh Citra menggunakan selimut tebal. Dia dapat melihat tubuh Citra seakan menggigil. Mungkin kesejukan. Fikir Rasfal.
Kemudian, dia melekapkan tapak tangannya di dahi Citra. Mak aii, panasnya. Desis hati Rasfal lalu dia menggigit kuku. Apa aku nak buat ni? Demam Citra masih belum kebah sepenuhnya lagi.
“Ibu…ibu…ibu…” kedengaran rengekan yang terbit daripada celah bibir Citra yang pucat membuatkan Rasfal tersentak. Lama dia memandang wajah Citra yang sedang memejamkan mata. Mengigau rupanya. Detik hati Rasfal. Dia menarik nafas lega. Kemudian dia mengelus rambut Citra, baharulah gadis itu terdiam.
“Rindu betul kau dekat ibu. Tapi apa yang aku boleh buat? Ibu takkan kembali walaupun kau menangis air mata darah sekali pun…” desis Rasfal perlahan sambil matanya tidak lepas memandang wajah Citra yang tidur nyenyak.
Rasfal akui dalam hati, Citra mempunyai wajah yang cukup ayu. Tidak terlalu cantik dan tidaklah seburuk mana tetapi wajah itu kelihatan manis apabila tersenyum. Setiap kali gadis itu tersipu malu, terserlah keayuan di wajah yang penuh keibuan itu. Inilah baru kali pertama Rasfal memberanikan diri untuk merenung wajah Citra dengan lama. Daripada kening gadis itu yang lebat, pandangan Rasfal jatuh pada mata Citra yang terpejam rapat. Mata itu cantik jika dia tersenyum ataupun ketawa. Tetapi apabila anak mata itu mengeluarkan mutiara jernih, Rasfal dapat rasakan hatinya terasa sakit dengan sendirinya.
Rasfal terus ralit merenung wajah Citra, kali ini hidung gadis itu pula yang menjadi santapan matanya. Hidung yang kecil dan comel itu amat sesuai dengan seulas bibir milik Citra yang terbentuk cantik seperti ulas limau. Ada belahan di tengah bibir yang mungil itu. Memang cantik. Akui Rasfal dalam hati. Dia menelan air liur apabila matanya tidak mahu beralih daripada merenung bibir mungil itu. Namun, sepantas kilat dia menyedarkan dirinya. Rasfal meraup wajahnya beberapa kali.
“Ya Allah, apa yang aku fikirkan ni?” soal dirinya sendirian.
“Sepatutnya aku jaga batas pergaulan antara aku dengan dia. Aku kena professional. Dia pekerja dan aku majikan, takkan lebih daripada itu. Come on, Ras Haqeemi. Lupakan pasal perempuan. Lupakan dia ini adalah isteri kau yang sah. Dia hanya isteri sementara kau saja. Bila kontrak dah tamat, dia bukan lagi isteri kau. Kau tak payah layan dia baik sangat, cukuplah layanan seorang majikan pada pekerjanya saja…” hati kecil Rasfal mengingatkan.
Rasfal terangguk-angguk mengiyakan kata-kata hatinya. Lalu, Rasfal bangun dan meninggalkan bilik Citra setelah memastikan gadis itu dapat tidur dengan selesa.

BUNYI deringan telefon mengejutkan Rasfal yang sedang nyenyak tidur. Dengan mata yang masih terpejam rapat, dia mencapai I Phone 5 miliknya lalu dia menjawab panggilan yang entah daripada siapa.
“Hello…” suara Rasfal kedengaran malas. Kepalanya masih lekat di atas bantal.
“Hello, bro. Tidur lagi ke? Kau sempat tengok jam tak?” suara garau di hujung talian memang tidak asing lagi di telinga Rasfal.
Hmmm….kenapa dengan jam?” soal Rasfal masih dalam mood mamai.
“Kau tanya aku kenapa dengan jam? Kau tahu tak sekarang ni dah pukul sepuluh pagi! Pukul sebelas nanti kau ada photoshoot untuk majalah hiburan, kau dah lupa ke? Baru semalam aku ingatkan kau. Takkan baru dapat bini, semua kerja kau lupa kut…” bebel Atif lagi kedengaran bingit di telinga Rasfal.
Mata Rasfal membulat. Photoshoot?  Alamak, aku lupalah!
Pantas, Rasfal memandang jam loceng di atas meja sisi. Betul kata Atif, jam sudah menunjukkan hampir ke pukul 10.30, bermakna dia hanya ada setengah jam untuk bersiap. Ya Allah, macam mana aku boleh bangun lambat ni! keluh hati Rasfal.
Sorry, Atif. Aku tidur lambat semalam. Biasalah, kalau dah biasa tak tidur malam tup-tup kena paksa tidur malam, jadi lambatlah aku boleh tidur. Aku tak sangka boleh terbabas macam ni. Okey, kau bagi aku lima belas minit, aku bersiap. Aku jumpa kau kat set lokasi,” balas Rasfal lalu mematikan talian sebelum sempat Atif membalas.
Dia menyelak selimut dan bergegas ke bilik mandi. Inilah pertama kali dia terlewat untuk ke set lokasi, kebiasaannya, dialah artis yang selalu tepat pada waktu dan boleh dikatakan seorang artis yang berdisiplin tinggi. Tapi hari ini, semuanya hancur lebur.
Setelah siap mandi dan bersiap ala kadar, Rasfal pantas mencapai kunci kereta dan terus memulas tombol pintu. Sebaik saja pintu ditarik terjengul wajah Citra di hadapannya membuatkan Rasfal tersentak.
“Makkk!! Yang kau berdiri depan pintu bilik aku ni kenapa? Nak terkejutkan aku ke? Sorrylah aku dah lambat ni…” ujar Rasfal lalu merempuh tubuh Citra yang masih tercegat berdiri.
Citra tidak sempat berkata apa-apa apabila Rasfal dengan pantas berlari-lari anak menuju ke luar rumah. Hanya pandangan yang dapat Citra hadiahkan pada Rasfal yang sudah hilang di sebalik pintu utama.
“Bos, saya lapar….” Ucap Citra perlahan tapi suara itu tidak sampai ke telinga Rasfal.
Citra mengeluh hampa. Dia menggosok perutnya yang sudah berkeroncong. Apa yang boleh dia jadikan bahan makanan sedangkan satu barang-barang mentah pun tiada di dalam peti ais. Namun, tidak dapat tidak. Citra menghayunkan langkah menuju ke dapur. Sekali lagi peti ais dibuka, hanya ada sekotak susu segar dan roti potong yang sudah tamat tarikh luputnya ditinggalkan di dalam peti ais. Apa yang dia nak makan? Keluh hati Citra.
Citra menopang dagu di atas meja. Bibirnya diketuk menggunakan jari telunjuk. Dia perlu memikirkan sesuatu.
“Hah, agak-agak kalau aku beli barang dapur, dia marah tak?” soal Citra sendirian.
“Takkanlah dia nak marah. Aku lapar, kalau aku tak makan ikut masa, nanti dia jugak yang marah. Tak boleh ke kalau sehari kau tak menyusahkan aku?” ejek Citra sambil meniru gaya Rasfal membebel.
Dia mencebik benci apabila teringatkan perangai Rasfal semalam. Memang cukup menyakitkan hati. Masih terasa sakit pinggangnya dipeluk oleh lelaki itu semalam gara-gara dia tidak mahu makan nasi goreng. Memang Rasfal buang tebiat. Sudahlah bercakap dengan bahasa yang kasar, perbuatannya juga makin kasar dari hari ke hari. Kalau aku tahu ini perangai dia sebenar, mati hidup balik pun aku takkan setuju jadi isteri sementara dia. Dasar mamat tak cukup matang! Maki Citra dalam hati bagi meluahkan rasa tidak puas hatinya.
“Apa aku nak buat ni?” soal Citra sendirian. Lantas, dia mengambil keputusan untuk keluar membeli makanan atau apa saja yang boleh dijadikan bahan untuk makan. Perutnya sudah tidak henti-henti berkeroncong.
Selepas bersiap ala kadar, Citra keluar tanpa meminta keizinan daripada Rasfal terlebih dahulu. Dia berharap agar dia dapat pulang terlebih dahulu daripada Rasfal, barulah tidak akan menimbulkan kekecohan nanti.

ATIF memandang pelik pada Rasfal yang sedang sibuk bergaya di hadapa kamera. Walaupun bibir lelaki itu mengukir senyuman tetapi jelas terpamer riak keresahan di wajah Rasfal. Sesekali lelaki itu akan mengerling jam di tangan, kadang-kadang fokus Rasfal seakan lari ke tempat lain. Agaknya apa yang berada di dalam fikiran lelaki itu?
“Atif!” laung Rasfal sambil berlari-lari anak mendapatkan Atif yang berdiri di bawah pokok. Di tangan lelaki itu terdapat dua plastik beg.
Atif hanya mengangkat tangan dan tersenyum. Dia menunggu Rasfal untuk menyapanya.
“Kau dah beli apa yang aku pesan?” soal Rasfal dengan termengah-mengah.
“Kau dah habis photoshoot ke?” soalan dibalas soalan.
“Aku break sekejap. Panaslah pulak. Ada tak barang yang aku pesan?” Rasfal mengulangi pertanyaannya lagi.
“Ada, ni hah. Kau nak buat apa dengan baju kurung dan tudung ni? Kau nak bagi pada mama kau ke?” soal Atif dengan pelik. Tidak pernah selama dia menjadi pengurus Rasfal, lelaki itu menyuruh dia membeli pakaian perempuan. Inilah kali pertama.
“Taklah. Aku nak bagi pada Citra. Kesian dia, pakaian semuanya dekat rumah dia. Aku tak sempat nak ambil…” jawab Rasfal sambil menilik baju kurung yang dibeli oleh Atif.
Dahi Atif berkerut. Citra?
“Citra tinggal dengan kau ke? Bukan ke dia tinggal dekat rumah dia?” soal Atif lagi. Wajah Rasfal yang sedang membelek-belek baju kurung yang dibelinya dipandang dengan penuh tanda tanya.
Rasfal mendongak membalas pandangan Atif yang kelihatan terkejut. Dia tersengih.
“Semalam, masa aku melawat dia dekat rumah, aku terjumpa dia pengsan sebab seharian dia tak makan. Tambah pulak sekarang dia demam sebab rindukan ibu dia, jadi aku bawak dia balik ke apartment aku. Kau juga suruh aku tengok-tengokkan dia. Kalau boleh kau nak aku bawak dia balik ke apartment, itu yang aku bawak tu tapi aku terlupa nak ambil pakaian dia. So, aku mintaklah kau tolong belikan,” terang Rasfal tanpa selindung.
Atif terangguk-angguk. Dia memeluk tubuh.
“Macam itulah baru lelaki sejati. Tapi aku tengok kau macam resah semacam ni kenapa?” soal Atif lagi.
“Aku nak balik,” ujar Rasfal selamba.
What? Tak sampai sejam tau kau photoshoot takkan dah nak balik? Macam mana dengan interview kau dengan wartawan nanti?” soal Atif bagaikan tidak percaya dengan ayat yang terbit daripada mulut Rasfal.
“Entahlah. Kau tolonglah bagi pihak aku, boleh? Petang karang aku dah kena balik rumah mama aku sebab nak settlekan soal majlis resepsi minggu depan. Kalau aku tak balik dengan Citra mahu kena leter. Sakitlah telinga aku dengan bebelan mama aku tu,” Rasfal mencipta alasan. Dia menyeka peluh di dahi.
Atif melongo seketika. Inilah kali pertama Rasfal mengutamakan keluarganya berbanding dengan kerjanya. Jika selama ini banyak mana pun leteran Datin Rohana, lelaki itu sanggup dengar asalkan kerjanya berjalan dengan lancar.
“Cuba kau terus-terang dengan aku, Ras. Kau nak balik cepat sebab nak ke rumah mama kau atau kau risaukan Citra?” teka Atif sambil memandang tepat ke dalam anak mata Rasfal.
Rasfal tersentak. Dengan pantas dia menggelengkan kepala walhal dalam hati dia mengiyakan.
“Taklah. Aku betul-betul kena balik cepat hari ini. Kau arrange interview aku dengan wartawan lepas majlis resepsi, boleh tak? Aku rasa dia orang semua faham. Aku dah tak ada masa nak settlekan pasal majlis ni kalau aku tak start hari ni,” dalih Rasfal lagi.
Padahal, memang dia risaukan Citra. Dia bimbang jika sesuatu berlaku pada gadis itu semasa ketiadaannya maklumlah Citra masih belum sihat sepenuhnya lagi.
“Yelah, aku tolong kali ni. Nasib baik kau ni bos aku, kalau tak dah lama aku ketuk-ketuk kepala kau tu. Suka buat keputusan last minute…” bebel Atif tidak puas hati.
Rasfal hanya tersengih. Dia tahu dia memang boleh harapkan Atif.
“Terima kasih, Atif. Tak sia-sia aku ambil kau jadi PA aku. Bulan ni aku naikkan gaji kau…” ujar Rasfal membuatkan Atif tersenyum lebar.
“Kau nak rasuah aku ke?” soalnya.
“Bukan rasuah tapi hadiah. Kalau kau tak nak, aku tak kisah…” balas Rasfal sambil memeluk tubuh.
“Eh, gila kau. Orang gila je tak nak duit.” Balas Atif.
“Tahu pun kau, jadi jangan nak banyak songeh.”
“Hah, sebelum aku terlupa. Ada beberapa syarikat barang kemas yang nak taja majlis kau tu. Macam mana, kau nak terima tak tajaan tu?” soal Atif dengan wajah yang kembali serius.
“Tajaan? Aku tak pernah terfikir pun nak ditaja. Aku mampu lagi nak handle perkahwinan aku ni. Kau faham kan, perkahwinan aku ni macam mana? Aku tak nak nanti bila aku berpisah, akan timbul masalah lain. Kau cakaplah pada syarikat tu yang aku tak terima mana-mana tajaan. Aku dah ditaja oleh Datin Rohana…” jawab Rasfal dengan sengihan yang melebar.
“Kau tak takut ke orang akan cakap kau kekwat?” balas Atif.
Rasfal mengeluh kecil.
“Mulut orang Atif takkan boleh kita tutup. Kalau kita terima tajaan dia orang akan cakap kita berlagak tapi bila kita tak terima tajaan, orang tetap akan cakap kita sombong. Jika kita asyik fikirkan apa yang orang cakap, sampai bila kita tak boleh buat keputusan sendiri.” Jawab Rasfal membuatkan Atif terangguk-angguk.
“Tapi kau kena jaga hubungan kau dengan syarikat-syarikat yang nak taja kau ni. Nanti senang kau nak berurusan dengan mereka semua…” sambung Atif lagi.
Rasfal terdiam seketika. Apa yang dikatakan oleh Atif ada benarnya juga. Dunia seni yang diceburinya memang perlu menjaga hubungan dengan orang lain tetapi bagaimana dengan prinsipnya pula?
“Macam inilah, kalau kau rasa nak terima tajaan itu, kau deal dengan mereka tapi pastikan yang press tak tahu pasal berapa jumlah tajaan tu. Aku tak nak nanti timbul gosip lain tentang majlis aku pulak dan aku nak kau pastikan yang tajaan itu tak lebih dari lima puluh ribu. Aku tak nak sebarang pembaziran, lebih baik dia orang taja anak-anak yatim daripada taja majlis aku…” ucap Rasfal tenang.
Atif mengangguk tanda faham. Itulah yang dia bangga dengan Rasfal, walaupun artis popular tetapi lelaki itu tidak pernah meninggi diri walaupun ada segelintir yang mengatanya sombong tetapi bagi Atif sikap Rasfal boleh dicontohi oleh artis lain.
“Baiklah kalau itu yang kau nak, nanti aku pertimbangkan yang mana baik untuk majlis kau,” balas Atif.
Rasfal hanya tersenyum dan menganggukkan kepala.

PINTU dipulas dengan perlahan sebelum dia melangkah masuk ke dalam rumah. Suasana yang sunyi sepi itu membuatkan Rasfal pelik. Ke mana Citra? Soal hatinya sambil menjenguk di balkoni luar. Bayang gadis itu tidak kelihatan.
“Citra!” laung Rasfal sambil menjengah ke dapur. Kosong. Dia bergegas ke bilik Citra namun sebaik saja pintu bilik gadis itu dipulas, tiada satu bayang pun yang kelihatan. Bilik itu kemas dan rapi.
“Ke mana pulak dia pergi?!” dengus Rasfal. Dia bercekak pinggang memikirkan ke mana hilangnya Citra.
Anak mata coklat miliknya melirik jam yang berada di pergelangan tangan, jam sudah menunjukkan pukul satu tengah hari tetapi bayang Citra hilang entah ke mana. Lantas, I Phonenya dicapai, nombor Citra didail. Tetapi telinganya dapat menangkap bunyi deringan yang jelas lalu dengan pantas Rasfal mencari-cari arah deringan itu sebelum dia menjumpai telefon bimbir milik Citra yang berada di bawah bantal.
Rasfal mengetap bibir. Sakit betul hatinya dengan perangai cuai Citra. Hatinya mula dipagut resah. Resah memikirkan Citra.
“Dia ni memang nak kena dengan aku. Suka betul cari pasallah…” bebel Rasfal sendirian. Kemudian, dia keluar dari bilik Citra, dia mencapai kunci kereta namun belum sempat dia melangkah keluar dari rumah, pintu utama terkuak. Rasfal menanti dengan hati yang panas berbahang.
Wajah Citra terjengul di sebalik pintu dengan riak yang kelihatan. Kulit yang kuning langsat itu kelihatan sedikit merah dibakar terik mentari. Hampir dua jam dia berjalan mencari kedai tetapi satu kedai pun tidak kelihatan mungkin kawasan apartment ini agak tersorok dari orang ramai jadi tiada satu pun kedai yang dibina. Penat. Memang penat ditambah pula dengan rasa lapar yang tidak hilang-hilang. Akhirnya, Citra mengambil langkah untuk pulang ke rumah.
“Kau ke mana?” sergah satu suara menyentakkan Citra yang sedang menutup pintu. Dia berpaling. Serentak, air liur ditelan apabila melihat wajah Rasfal yang mencuka.
“Saya…saya…”
“Saya apa?” pintas Rasfal sambil matanya melotot memandang wajah Citra yang berpeluh.
“Saya keluar sekejap…”
“Kenapa tak mintak izin dengan aku dulu? Dah tak reti nak cakap kau nak keluar ke mana? Kalau kau pengsan tengah jalan macam mana? Dengan telefon tak bawak. Kau ni tak ada kerja lain ke selain menyusahkan aku?” bebel Rasfal meluahkan rasa yang meluap panas. Dia bercekak pinggang.
Citra terpempan. Dia menundukkan kepala. Hatinya cukup terguris dengan kata-kata Rasfal. Semalam kena marah, hari ni kena marah, apalah malang sangat nasib aku dapat suami garang macam dia. Keluh hati Citra.
“Saya mintak maaf. Saya dah nak cakap dengan awak pagi tadi, tapi awak nak cepat jadi saya tak sempat nak bagitahu awak…” ujar Citra perlahan. Dia tunduk menekur lantai.
Rasfal terdiam. Dia baru teringat yang Citra ada berjumpa dengannya sebelum dia bergegas keluar. Bukan salah gadis itu juga kalau keluar tanpa izinnya. Detik hati Rasfal cuba meredakan kemarahan yang bersarang dalam hatinya.
“Dah tu tak boleh call aku bagitahu kau nak ke mana. Takkan semua benda aku nak cakap…”
“Kredit telefon saya dah habis. Saya lupa nak isikan. Saya mintak maaf kalau asyik menyusahkan bos je. Saya tak sengaja…” balas Citra sayu.
Rasfal menarik nafas panjang sebelum menghembuskannya dengan perlahan. Dia mendekati Citra yang sedang tertunduk menekur lantai. Wajah itu kelihatan keruh seperti ingin menangis.
“Kau ke mana tadi?” soal Rasfal dengan suara yang sudah mengendur. Dia melabuhkan punggung di atas sofa.
Citra mendongak. Wajah lelaki itu sudah kembali tenang membuatkan Citra menarik nafas lega.
“Saya lapar. Saya keluar cari makanan tapi kedai macam tak ada je dekat kawasan ni. Dalam peti sejuk tu kosong, nak masak pun tak ada barang…” adu Citra dengan suara yang tersekat-sekat. Bimbang Rasfal akan mengamuk lagi.
Rasfal berpaling pada Citra.
“Maknanya kau tak makan lagilah ni?” soal Rasfal tidak percaya.
Citra mengangguk pantas.
“Tak. Tak ada apa yang boleh saya makan. Ada roti pun dah tamat tempoh. Saya nak cakap kat bos pagi tadi tapi tak sempat, bos dah keluar dulu…” terang Citra agak polos.
Rasfal menepuk dahi. Hampir dia terlupa yang sememangnya dia tidak pernah membeli barang-barang dapur. Hidup bujang jadi dia tidak perlukan semua itu. Nampaknya kali ini memang salahnya.
Hmmm…kau pergi bersiap sekarang…” arah Rasfal dengan nada yang lembut.
Mata Citra membulat.
“Nak bersiap pergi mana?” soalnya lurus.
“Nak pergi makanlah takkan nak pergi kelab pulak. Ambil pakaian ni, aku tak sempat nak singgah rumah kau jadi kau pakailah apa yang ada ni…” ucap Rasfal sambil menghulurkan beg plastik pada Citra.
Lambat-lambat Citra menyambut huluran Rasfal. Walaupun dirinya dipenuhi dengan tanda tanya tapi dia tidak berani meluahkan bimbang Rasfal akan memarahinya lagi.
“Terima kasih, bos…” hanya itu yang terluah.
Hmmm…dah. Pergi bersiap cepat, aku tunggu. Jangan nak bersolek lama-lama, aku makan kau kan…” ujar Rasfal bergurau.
Citra mengangguk lalu terus menuju ke biliknya untuk bersiap. Nasiblah kau bos aku, kalau tak dah lama aku cekik kau. Bebel hati Citra namun dia tetap akur dengan arahan Rasfal.


No comments:

Post a Comment