Monday, 19 January 2015

Pengarah Cinta Terbaik - Bab 11



KERETA Honda CRZ milik Rasfal berhenti di halaman rumah Citra. Jam di dashboard sudah menunjukkan pukul sembilan malam. Nasib baik hari ini jadual kerjanya tidak padat jadi dapatlah dia pulang awal daripada kebiasaannya. Itupun setelah puas dileteri oleh Atif.
“Pergilah balik jenguk isteri kau tu. Entah apa jadi dekat dia sorang-sorang dalam rumah tu…” bebelan Atif terngiang di telinga Rasfal.
Rasfal mencebik apabila teringatkan gelagat Atif yang suka membebel kalahkan mamanya. Daripada telinganya sakit mendengar leteran Atif lebih baik dia ikutkan saja kata-kata sahabatnya itu kerana kata-kata lelaki itu ada benarnya juga.
Setelah mematikan enjin, Rasfal melangkah keluar dari kereta. Rumah papan yang terhidang di hadapan mata dipandang lama. Kelihatan lampu masih lagi menerangi dalam rumah tersebut.
“Tak tidur lagi ke perempuan ni?” soal Rasfal sendirian. Dia melangkah menuju ke rumah.
“Assalamualaikum…” salam dihulurkan sambil tangannya mengetuk daun pintu.
Dahi Rasfal berkerut apabila tiada jawapan dari dalam rumah. Sekali lagi pintu diketuk.
“Assalamualaikum…Citra, ini saya Rasfal!” jerit Rasfal kuat.
Sepi. Masih tiada jawapan daripada Citra. Rasfal mula kebingungan. Lalu, dia cuba menolak daun pintu, dengan sekali tolakan pintu kayu itu terkuak dengan sendirinya. Itu membuatkan Rasfal semakin pelik.
“Pintu tak kunci, ke mana dia pergi ni?” soal Rasfal sendirian.
Lantas, Rasfal segera melangkah masuk ke dalam rumah. Dia mengintai di ruang tamu tetapi kelibat Citra tidak kelihatan. Rasfal menuju ke bilik Citra namun bayang gadis itu juga tiada. Dia menggarukan kepalanya yang tidak gatal.
“Ke mana pulak dia pergi? Pintu tak berkunci, lampu tak bertutup…” bebel Rasfal sendirian.
Tiba-tiba hidungnya menangkap satu bau yang kurang menyenangkan dari arah dapur. Rasfal menggosok hidung dengan jarinya.
“Bau apa pulak ni?”
Lalu, langkahnya dihayunkan ke dapur. Bau hangit bercampur dengan bau gas semakin mencucuk hidungnya yang mancung. Sebaik saja sampai di muka pintu dapur, bulat mata Rasfal apabila melihat kendi yang hampir hangus terbakar dengan api dapur gas yang tidak tertutup.
“Ya Allah!” jerit Rasfal apabila terlihat tubuh Citra terbaring di atas lantai.
Dia menutup api gas terlebih dahulu sebelum mendapatkan tubuh Citra yang kelihatan tidak bermaya. Tubuh genit itu dipangku dan digoncang dengan lembut.
“Citra, bangun Citra. Kenapa dengan awak ni?!” soal Rasfal cemas. Dia meletakkan jari di hujung hidung Citra. Masih bernafas. Detik hatinya.
“Bangun, Citra! Ya Allah, apa aku nak buat ni?!” soal Rasfal lagi sambil tangannya lincah mengoncangkan tubuh Citra yang kaku tidak bergerak. Dia panik.
“Hospital!” jerit Rasfal tiba-tiba. Lalu, dia bangun lantas tubuh genit Citra dicempung sebelum dia berlari-lari anak menuju ke kereta. Tubuh Citra diletakkan di belakang. Namun, langkahnya terhenti apabila teringatkan sesuatu.
“Alamak, tudung Citra!” jerit Rasfal kelam-kabut lalu dia berlari menuju ke dalam rumah mencari tudung untuk menutupi kepala isterinya. Dia sempat mencapai selendang yang tersangkut di dalam bilik Citra sebelum dia kembali ke kereta.
Sepantas kilat, Rasfal menghidupkan enjin dan pantas keretanya hilang membelah kepekatan malam dengan had laju merbahaya. Apa yang berada di dalam fikirannya sekarang adalah keselamatan Citra. Dia tidak mahu apa-apa terjadi pada gadis itu.
“Sabar ya Citra. Awak akan selamat,” ucap Rasfal perlahan sambil hatinya berdoa kecil. Sesekali dia mengerling ke tempat duduk belakang untuk memastikan keadaan Citra. Ternyata Citra masih belum sedarkan diri.
Beberapa minit kemudian, Rasfal sampai ke hospital. Dengan kelam-kabut dia menutup kepala Citra dengan selendang sebelum tubuh gadis itu dicempung dan dibawa lari ke dalam hospital. Terjerit suaranya memanggil jururawat yang berada berhampiran dengan unit kecemasan. Hatinya sudah tidak keruan saat ini, hanya keselamatan dan nyawa Citra yang berada dalam fikiran Rasfal.
Rasfal hanya mampu memandang saat tubuh Citra ditolak memasuki unit rawatan. Melihat keadaan itu tiba-tiba sahaja bayang wajah seseorang menerpa ke ruang matanya.
“Maafkan saya, Ras. Saya tak layak untuk awak. Biarlah saya pergi. Semoga awak dapat mencari pengganti diri saya…” gemersik suara itu masih kedengaran di telinga Rasfal sebelum suara itu hilang saat mata pemiliknya tertutup rapat.
Rasfal panar seketika. Sudah sekian lama bayang wajah itu luput daripada ingatannya tetapi kini, bayang itu menjelma lagi menjemput rasa pedih di jiwa Rasfal. Dia tidak mahu perkara lalu kembali menghantui hidupnya lagi.

MATA Citra yang terpejam rapat akhirnya terbuka sedikit demi sedikit. Cahaya putih yang menerangi bilik itu mengganggu tidur Citra. Dia cuba mengamati di mana dia berada namun hampa, semuanya kelihatan cukup asing di mata Citra. Kemudian, matanya terhenti pada seorang lelaki yang segak berkemeja sedang bercakap-cakap dengan seorang wanita yang berjubah putih. Perbualan mereka cukup serius pada pendengaran Citra.
“Isteri Encik Ras tak ada penyakit yang serius cuma isteri encik ni ada penyakit gastrik. Dia pengsan kemungkinan disebabkan gastrik ataupun tekanan perasaan yang dihadapinya. Saya nasihatkan supaya Encik Ras jaga isteri encik sebaik mungkin. Penyakit gastrik ini tidak boleh dipandang remeh walaupun bukan satu penyakit yang serius tetapi kalau dibiarkan sampai pengsan sebegini, nanti boleh dapat penyakit lain pulak. Saya harap encik dapat pantau jadual pemakanan isteri encik ni kalau boleh pastikan dia makan mengikut waktu…” nasihat doktor wanita itu panjang lebar sambil tangannya mencatat sesuatu di dalam fail.
Rasfal mengeluh. Buat seketika dia mengerling pada Citra yang sudah pun membuka mata. Memang wajah gadis itu kelihatan pucat dan tidak bermaya.
“Kalau macam tu bila saya boleh bawa dia pulang, doktor?” soal Rasfal selepas kembali mengalihkan pandangan pada wajah doktor muda itu.
Doktor tersebut tersenyum ramah.
“Sekarang pun boleh, encik.”
Rasfal mengangguk dan meminta diri untuk menjenguk isterinya itu. Doktor itu berlalu dan meninggalkan Rasfal bersama dengan Citra.
“Macam mana saya boleh ada dekat sini?” soal Citra lemah.
“Saya yang bawakan. Awak pengsan dekat dapur tadi. Nasib baik saya cepat kalau tak awak dengan rumah awak tu meletup, awak tahu tak?” ujar Rasfal. Dia cuba mengawal suaranya agar tidak meninggi. Sebenarnya, dia cuba untuk bersabar dengan perangai Citra tapi kali ini dia dapat rasakan kesabarannya semakin menipis.
“Saya tak tahu macam mana saya boleh pengsan, kepala saya pening sangat waktu tu…”
“Awak pengsan sebab awak gastrik. Awak tak makan ke satu hari ni, Citra? Awak nak seksa diri awak ke dengan bersikap macam ni? Awak ingat dengan mogok lapar macam ni ibu awak boleh kembali ke?” hambur Rasfal lagi dengan suara yang tertahan-tahan. Dia yakin, Citra sengaja ingin menyeksa diri sendiri kerana asyik memikirkan Puan Cempaka yang sudah pergi menghadap Ilahi.
Citra terpempan dengan kata-kata Rasfal. Sampai hati lelaki itu menuduhnya sedemikian rupa sedangkan memang benar kepalanya sakit dan dia pengsan sebelum sempat menjamah apa-apa makanan. Sehari suntuk dia tertidur kerana badannya sungguh letih dan lesu. Bukan niatnya untuk menyeksa diri sendiri.
“Saya tak bermaksud nak seksa diri saya sendiri. Saya…saya…” Citra kehilangan kata. Air matanya mula menitis menuruni lekuk pipi.
Rasfal mendengus marah. Ada je alasan yang nak diberikan, bukannya nak mengaku salah. Bebel hati Rasfal. Geram dengan sikap Citra.
“Sudah! Aku tak nak dengar apa-apa alasan daripada kau lagi. Jom balik!” arah Rasfal. Bahasanya sudah mula bertukar kasar.
Citra terpempan. Aku? Kau? Dia betul-betul marah nampaknya, tapi apa salah aku? Detik hati Citra.
“Bos, saya boleh jelaskan….”
“Aku kata jom balik!” jerkah Rasfal membuatkan Citra diam tak berkutik. Selepas membetulkan selendangnya, Citra bangkit membuntuti langkah Rasfal.
Rasfal cuba meredakan rasa kemarahannya. Entah mengapa dia terasa panas dengan setiap jawapan yang diberikan Citra. Rasa risau membuatkan Rasfal hilang pertimbangan sehingga sanggup berkasar dengan Citra. Mungkin dengan cara begini saja, Citra akan mengikut kata-katanya. Fikir Rasfal.
Setelah mengambil ubat di farmasi, Citra mengikuti langkah Rasfal sehingga ke tempat letak kereta. Dalam hatinya terasa kecut apabila melihat wajah Rasfal yang bengis. Dia takut untuk menegur apatah lagi untuk bertanya.
“Kita balik apartment aku. Mulai hari ni kau tinggal dengan aku dekat apartment,” ujar Rasfal sebelum melangkah masuk ke dalam kereta. Nampaknya, dia lebih selesa ber ‘aku’ dan ber ‘engkau’ dengan Citra.
“Tapi saya nak balik rumah saya…” Citra memberanikan diri untuk bersuara.
Serentak dia terdiam apabila Rasfal berpaling. Pandangan lelaki itu cukup mengerunkan menyebabkan Citra menundukkan wajah dengan pantas.
“Ini yang buat aku panas hati ni, kau sedar tak yang kau tengah sakit sekarang? Kalau kau balik rumah kau, siapa yang nak jaga kau dekat sana? Kalau kau pengsan sekali lagi macam mana? Siapa yang susah? Aku juga kan? Boleh tak kalau buat sesuatu perkara tu fikir dulu. Ini tak, buat sesuatu ikut suka hati je. Dah tahu diri tu sakit, diamkan aje. Aku risau macam nak mati, bukannya nak ikut cakap aku. Asyik nak membantah…” bebel Rasfal sambil menghidupkan enjin kereta.
Citra mati kutu. Ayat yang dilontarkan oleh Rasfal dengan bahasa yang agak kasar menghiris hatinya. Mana pergi kelembutan lelaki itu dulu? Tanpa sedar, air mata Citra merembes sebelum diseka dengan kasar oleh jari jemarinya.
“Saya mintak maaf…” ucap Citra. Wajahnya dipalingkan ke luar tingkap. Bimbang jika dia terus menentang wajah Rasfal, air matanya tidak akan berhenti mengalir.
Rasfal mendengus. Permohonan maaf Citra tidak mampu meredakan kemarahannya. Entah apa yang dimarahkan sangat, Rasfal sendiri tidak tahu cuma saat dia melihat Citra terbaring tidak sedarkan diri, dia cukup bimbang. Bimbang jika sesuatu berlaku pada gadis itu. Disebabkan itulah, dia rasa dia perlu memberi Citra pengajaran agar tidak membuatnya bimbang sekali lagi.
Suasana di dalam kereta sunyi sepi. Citra tidak bersuara begitu juga dengan Rasfal. Saat Rasfal memberhentikan kereta di pinggir jalan, Citra tidak ambil peduli. Dia pejamkan mata buat seketika, berharap agar rasa pening di kepalanya hilang.
Dia tersedar apabila sekali lagi kereta Rasfal terhenti. Tapi kali ini Rasfal mematikan enjin membuatkan Citra membuka matanya dengan luas.
“Bangunlah, jangan pengsan lagi sudahlah. Tak larat aku nak dukung kau…” perli Rasfal sambil menolak pintu kereta.
Citra mencebik. Siapa suruh dia dukung aku? Panggil jelah ambulans, biar nurse yang angkat aku. Bebel Citra cuma dalam hati. Akhirnya, dia melangkah keluar dari kereta dan berdiri menghadap bangunan yang tinggi melangit.
“Tingginya…” ujar Citra.
Rasfal mengerling ke sisi. Dia tersenyum nipis.
“Dah nama pun apartment memanglah tinggi. Kau pernah jumpa ke apartment rendah?” soal Rasfal membuatkan Citra menjeling. Nak cakap aku kampunglah tu. Detik hati Citra.
“Kenapa bos tak tinggal dengan mama dan papa?” soal Citra berani.
“Sebab aku ni kadang-kadang balik, kadang-kadang tak balik, daripada menyusahkan mama nak bukakan pintu rumah untuk aku malam-malam, lebih baik aku duduk sendiri. Nak balik pukul berapa, nak shooting sampai pagi pun, tak ada menyusahkan orang…” balas Rasfal dengan suara mendatar.
Citra terangguk-angguk. Dia mengerti, maklumlah kerja sebagai artis memang jadual kerjanya tidak menentu, kadang-kadang outstation, pasti sangat memenatkan.
“Rumah awak tingkat berapa?” soal Citra lagi.
“Jom ikut aku…” balas Rasfal sambil berjalan mendahului Citra. Di tangannya penuh dengan beg plastik. Entah apa yang dibelinya, Citra tidak mengambil pusing.
Nampaknya mood Rasfal semakin baik cuma bahasa lelaki itu masih lagi kasar. Citra mengeluh kecil. Angin apa yang melanda lelaki itu Citra tidak tahu. Dia lebih suka Rasfal yang dulu. Bahasa lelaki itu lebih lembut berbanding sekarang.
“Apa lagi yang nak dimenungkan tu? Cepatlah!” panggil Rasfal.
Citra tersentak.
“Ya, saya datang ni!”

SAYA tak nak! Jangan paksa saya!” bangkang Citra sambil berlari menjauhi Rasfal yang duduk di atas sofa. Dia menggelengkan kepala.
“Kenapa kau ni degil sangat? Aku suruh minum susu bukannya minum racun. Sehari suntuk kau tak jamah apa-apa, perut kau tu kosong. Minumlah susu ni dulu…” arah Rasfal sambil bangun dan cuba mendapatkan Citra.
Citra menggelengkan kepalanya beberapa kali. Dia tak suka dengan susu. Rasa nak termuntah kalau minum susu.
“Saya tak nak. Saya tak suka susu. Jangan paksa saya!” bantah Citra lagi.
Rasfal mendengus. Ini dah lebih ni. Dah tua-tua pun nak buat perangai macam budak kecil lagi. Entah apa-apalah perangai perempuan ni. Gumam hati Rasfal geram.
“Kalau tak minum susu ni, macam mana kau nak dapat tenaga? Nak sihat? Sampai bila kau nak sakit macam tu. Lepas minum susu ni kau makan nasi pula. Aku dah belikan nasi bungkus tadi…” ujar Rasfal masih lagi berlembut.
Dia menghampiri Citra yang cuba melarikan diri apabila disuakan segelas susu pada gadis itu. Kepala Rasfal tergeleng-geleng melihat tingkah Citra yang tidak ubah seperti kanak-kanak kecil.
“Saya boleh makan nasi, tapi saya tak nak minum susu. Saya tak suka! Tolonglah faham saya…” rayu Citra lagi. Dia memandang susu dan wajah Rasfal silih berganti. Dia berharap agar Rasfal faham.
“Aku tak kira, kau jangan nak banyak songeh sangat. Buat penat aku beli dan bancuh susu ni kalau kau tak nak minum. Lebih baik kau minum sebelum aku paksa kau!” tegas Rasfal dengan wajah yang sengaja dibengiskan.
Laju Citra menggelengkan kepala.
“Tak nak!”
“Minum cepat!” arah Rasfal tegas.
“Tak nak! Tak nak! Tak naklah!” bantah Citra juga dengan suara yang tegas.
Rasfal mendengus. Kesabarannya semakin menghilang dengan kerenah Citra. Lalu, dia menghampiri Citra, tubuh itu ditolak rapat ke dinding sebelum dihimpitkan dengan tubuhnya. Sebelah tangannya lagi memegang dagu Citra sebelum susu yang berada di tangan kanannya disuakan ke mulut Citra. Sepantas kilat, susu tersebut dituangkan ke dalam mulut isterinya.
Citra meronta-ronta untuk melepaskan diri. Sesak nafasnya apabila terpaksa meminum susu dengan cara paksa. Terasa ingin dimuntahkan segalanya namun dia terpaksa menelan juga sisa-sisa susu yang disuakan ke mulutnya. Citra terbatuk-batuk apabila Rasfal mengalihkan tangan kasarnya daripada mencengkam dagunya.
“Hah, minum susu pun nak kena paksa. Kalau kau ikut cakap aku kan senang, tak payah aku nak susah payah paksa kau. Macam budak-budak…” omel Rasfal.
Dia merenung wajah Citra yang kemerahan. Sisa air susu yang meleleh di pinggir bibir gadis itu dikesat menggunakan tisu. Kemudian tangan gadis itu ditarik lalu tubuh genit itu ditolak supaya duduk di atas sofa.
Citra menjerit kecil. Mak datuk, kasarnya dia ni. Bebel hati Citra tidak puas hati. Sudahlah dipaksa minum susu dan sekarang apa pula seksaan yang bakal dia terima daripada Rasfal?
“Ini ada nasi goreng aku beli tadi. Aku nak kau makan depan aku sekarang!” arah Rasfal dengan wajah yang serius.
Mata Citra membulat. Belum sempat susu nak hadam, dia suruh aku makan pulak? Dia nak perut aku pecah ke apa? Detik hati Citra.
“Saya baru minum susu, perut saya tak dapat terima lagi. Nantilah saya makan, ya…” balas Citra mengharap agar Rasfal faham.
Tetapi Rasfal menggelengkan kepala. Dia tidak percaya akan kata-kata Citra selagi dia tidak melihat dengan mata kepalanya sendiri.
“Kau tu bukan boleh dipercaya sangat. Aku suruh kau jaga diri baik-baik masa aku pergi kerja, tengok apa dah jadi? Kau pengsan tak sedarkan diri. Sekarang aku nak kau makan nasi ni sampai habis depan aku. Kalau tak, aku tak benarkan kau tidur!” balas Rasfal tegas.
Citra mengetap bibir. Bibirnya dimuncungkan tanda protes dengan arahan Rasfal.
“Tariklah muncung tu biar panjang lagi. Kalau aku cium, kau jangan marah pulak…” ujar Rasfal mengugut.
Citra menutup mulutnya dan menggelengkan kepala. Bulat matanya memandang wajah Rasfal yang sudah tersengih.
“Dalam perjanjian dah termaktub yang bos tak boleh sentuh saya,” sangkal Citra berani. Dia mengesot menjauhi Rasfal.
“Dalam perjanjian buatan aku memanglah aku tak boleh sentuh kau, tapi dalam perjanjian agama, lebih daripada sentuh aku boleh buat pada kau…” balas Rasfal selamba. Dia merenung tepat ke anak mata Citra.
Citra menggelabah. Dia menelan air liur yang terasa perit di kerongkong. Renungan anak mata coklat itu meresakan hatinya.
“Bos jangan nak buat perkara yang bukan-bukan dengan saya. Saya menjerit kan…” ugut Citra dengan suara yang tenggelam timbul.
Rasfal meledakkan tawa. Dia tahu Citra gelabah. Inilah peluang untuk dia mengenakan Citra dan memaksa gadis itu supaya mengikuti arahannya.
“Sekarang kau nak makan atau tidak nasi ni?” soal Rasfal dengan renungan yang tajam. Dia mendekati Citra yang sudah mengesot menjauhi dirinya.
Citra menggeleng. Ingkar dengan arahan Rasfal.
“Betul kau tak nak makan?” soal Rasfal lagi kemudian mendekati dirinya dengan Citra. Nasi goreng yang berbungkus di dalam polistrina diletakkan di atas meja.
“Tak nak!” balas Citra yakin. Namun, jauh dalam sudut hatinya dia gementar dengan renungan Rasfal yang menusuk kalbu.
“Baiklah, kau jangan menyesal kalau aku apa-apakan kau…” balas Rasfal.
Lalu, dia memaut pinggang Citra dengan kuat. Citra terkejut lalu menjerit. Dia meronta-ronta lalu dia cuba menolak tubuh Rasfal yang sasa.
“Lepaskan saya, lepaskan saya!” jerit Citra sambil melarikan wajahnya ke tempat lain.
Rasfal tidak peduli. Dia memperkemaskan pelukannya di pinggang Citra. Perempuan macam ni perlu diajar sikit. Detik hatinya.
“Kau nak makan ke tak nasi tu?” soal Rasfal tegang. Dia merenung wajah Citra yang agak dekat dengan wajahnya.
Citra menggelengkan kepala. Dia masih berdegil.
Rasfal mengetap bibir. Apabila Citra menggelengkan kepala, semakin dia memperkemaskan pelukan di pinggang gadis itu sehingga terasa lekuk tubuh Citra.
Citra terasa ingin menjerit. Dia tidak suka dilakukan seperti itu oleh Rasfal. Terasa wajahnya sudah berbahang panas dengan perlakuan Rasfal. Tidak dapat tidak akhirnya Citra mengalah.
“Okey, saya makan! Lepaskan saya!” jerit Citra sambil mengangkat tangan menyerah kalah.
Rasfal tersenyum kemenangan. Perlahan-lahan, dia melepaskan pelukan. Bungkusan nasi goreng diambil lalu dihulurkan pada Citra yang sudah masam mencuka.
“Sakit tau pinggang saya. Macam nak patah. Ingat saya ni kayu balak ke?” bebel Citra sambil menggosok pinggang yang terasa sakit akibat pautan daripada tangan Rasfal yang kasar.
“Siapa suruh degil sangat? Nak suruh makan pun kena ugut dulu. Itu baru aku peluk sikit belum aku….” Rasfal tersengih nakal.
Citra menjeling marah. Rasa ingin dicekiknya batang leher Rasfal biar lelaki itu diam.
“Apa pandang-pandang? Makan cepat sebelum aku peluk kau macam tadi.” ujar Rasfal sambil membuat gaya seperti mahu menerkam Citra.
Citra membeliakkan mata lalu dengan sepantas kilat, dia menyambut huluran Rasfal lalu nasi goreng kampung disuapkan ke dalam mulut dengan rasa terpaksa. Walaupun tekaknya terasa perit, dia gagahkan juga untuk menelan nasi goreng tersebut sambil gelagatnya diperhatikan oleh Rasfal yang tak ubah seperti warden penjara. Garang yang amat!
Satu senyuman nipis terukir di bibir Rasfal. Dia memerhatikan gelagat Citra yang agak kelam-kabut ingin menghabiskan nasi goreng yang dibelinya itu. Merah wajah gadis itu menahan rasa muak namun Rasfal tidak peduli, dia biarkan saja Citra menghabiskan satu bungkus nasi goreng tersebut.
Tiba-tiba Citra terbatuk. Dia mengibas-ngibas mulutnya.
“Kau ni kenapa?” soal Rasfal pelik.
Citra tidak menjawab tetapi dia menepuk-nepuk dadanya.
Rasfal panik lalu dia berlalu ke dapur sebelum kembali dengan segelas air masak kemudian dihulurkan pada Citra. Citra menyambut dan meneguk dengan rakus bagi melegakan tekaknya yang terlekat.
Citra menarik nafas panjang dan meletakkan gelas kembali ke atas meja.
“Itulah makan gelojoh sangat. Tak pasal-pasal tersedak.” Bebel Rasfal.
Citra mengerling pada Rasfal. Dia mengetap bibir. Dia yang paksa aku makan, sekarang nak salahkan aku pulak? Dah naik buncit perut aku makan nasi goreng ni. Dia bukan tahu pun. Tahu nak mengugut adalah. Bebel hati Citra geram.
“Saya tak sengaja. Saya nak rehat. Penatlah…” ucap Citra lembut. Dia menyandarkan belakangnya di sofa.
“Kau tak boleh tidur selagi tak makan ubat. Kejap, aku ambilkan…” ujar Rasfal kemudian mencari sesuatu di dalam plastik yang berada di atas meja.
Citra memicitkan kepalanya yang terasa berdenyut. Perut terasa kenyang menjemput rasa mengantuk. Huluran ubat daripada Rasfal dicapai lalu disumbatkan ke dalam mulut sebelum dia meneguk air masak yang sudah berada di tangannya.
“Saya nak tidur dekat mana? Saya tak ada baju. Macam mana saya nak mandi?” soal Citra lagi.
Rasfal melepaskan nafasnya. Dia terlupa tentang itu.
“Rumah ni ada tiga bilik, pilihlah bilik mana yang kau nak selain bilik utama tu. Itu bilik aku. Pasal pakaian pula, malam ni kau pakai baju dan kain pelekat aku dulu, esok aku singgah rumah kau untuk ambil semua baju kau. Aku nak kau duduk rumah je, jangan pergi mana-mana selagi kau tak sihat, faham?” ujar Rasfal sambil menatap jauh ke dalam anak mata Citra.
Citra mengangguk tanpa banyak bicara. Lebih baik ikut, daripada dia buat perkara yang bukan-bukan dekat aku. Seram aku!
“Faham, bos!”


No comments:

Post a Comment