KERETA
Honda CRZ milik Rasfal berhenti di halaman rumah Citra. Jam di dashboard sudah menunjukkan pukul sembilan
malam. Nasib baik hari ini jadual kerjanya tidak padat jadi dapatlah dia pulang
awal daripada kebiasaannya. Itupun setelah puas dileteri oleh Atif.
“Pergilah balik jenguk isteri kau tu.
Entah apa jadi dekat dia sorang-sorang dalam rumah tu…” bebelan Atif terngiang
di telinga Rasfal.
Rasfal mencebik apabila teringatkan
gelagat Atif yang suka membebel kalahkan mamanya. Daripada telinganya sakit
mendengar leteran Atif lebih baik dia ikutkan saja kata-kata sahabatnya itu
kerana kata-kata lelaki itu ada benarnya juga.
Setelah mematikan enjin, Rasfal
melangkah keluar dari kereta. Rumah papan yang terhidang di hadapan mata
dipandang lama. Kelihatan lampu masih lagi menerangi dalam rumah tersebut.
“Tak tidur lagi ke perempuan ni?” soal
Rasfal sendirian. Dia melangkah menuju ke rumah.
“Assalamualaikum…” salam dihulurkan
sambil tangannya mengetuk daun pintu.
Dahi Rasfal berkerut apabila tiada
jawapan dari dalam rumah. Sekali lagi pintu diketuk.
“Assalamualaikum…Citra, ini saya
Rasfal!” jerit Rasfal kuat.
Sepi. Masih tiada jawapan daripada
Citra. Rasfal mula kebingungan. Lalu, dia cuba menolak daun pintu, dengan
sekali tolakan pintu kayu itu terkuak dengan sendirinya. Itu membuatkan Rasfal
semakin pelik.
“Pintu tak kunci, ke mana dia pergi ni?”
soal Rasfal sendirian.
Lantas, Rasfal segera melangkah masuk ke
dalam rumah. Dia mengintai di ruang tamu tetapi kelibat Citra tidak kelihatan.
Rasfal menuju ke bilik Citra namun bayang gadis itu juga tiada. Dia menggarukan
kepalanya yang tidak gatal.
“Ke mana pulak dia pergi? Pintu tak
berkunci, lampu tak bertutup…” bebel Rasfal sendirian.
Tiba-tiba hidungnya menangkap satu bau
yang kurang menyenangkan dari arah dapur. Rasfal menggosok hidung dengan
jarinya.
“Bau apa pulak ni?”
Lalu, langkahnya dihayunkan ke dapur.
Bau hangit bercampur dengan bau gas semakin mencucuk hidungnya yang mancung.
Sebaik saja sampai di muka pintu dapur, bulat mata Rasfal apabila melihat kendi
yang hampir hangus terbakar dengan api dapur gas yang tidak tertutup.
“Ya Allah!” jerit Rasfal apabila
terlihat tubuh Citra terbaring di atas lantai.
Dia menutup api gas terlebih dahulu
sebelum mendapatkan tubuh Citra yang kelihatan tidak bermaya. Tubuh genit itu dipangku
dan digoncang dengan lembut.
“Citra, bangun Citra. Kenapa dengan awak
ni?!” soal Rasfal cemas. Dia meletakkan jari di hujung hidung Citra. Masih
bernafas. Detik hatinya.
“Bangun, Citra! Ya Allah, apa aku nak
buat ni?!” soal Rasfal lagi sambil tangannya lincah mengoncangkan tubuh Citra
yang kaku tidak bergerak. Dia panik.
“Hospital!” jerit Rasfal tiba-tiba.
Lalu, dia bangun lantas tubuh genit Citra dicempung sebelum dia berlari-lari
anak menuju ke kereta. Tubuh Citra diletakkan di belakang. Namun, langkahnya
terhenti apabila teringatkan sesuatu.
“Alamak, tudung Citra!” jerit Rasfal
kelam-kabut lalu dia berlari menuju ke dalam rumah mencari tudung untuk
menutupi kepala isterinya. Dia sempat mencapai selendang yang tersangkut di
dalam bilik Citra sebelum dia kembali ke kereta.
Sepantas kilat, Rasfal menghidupkan
enjin dan pantas keretanya hilang membelah kepekatan malam dengan had laju merbahaya.
Apa yang berada di dalam fikirannya sekarang adalah keselamatan Citra. Dia
tidak mahu apa-apa terjadi pada gadis itu.
“Sabar ya Citra. Awak akan selamat,”
ucap Rasfal perlahan sambil hatinya berdoa kecil. Sesekali dia mengerling ke
tempat duduk belakang untuk memastikan keadaan Citra. Ternyata Citra masih
belum sedarkan diri.
Beberapa minit kemudian, Rasfal sampai
ke hospital. Dengan kelam-kabut dia menutup kepala Citra dengan selendang
sebelum tubuh gadis itu dicempung dan dibawa lari ke dalam hospital. Terjerit
suaranya memanggil jururawat yang berada berhampiran dengan unit kecemasan.
Hatinya sudah tidak keruan saat ini, hanya keselamatan dan nyawa Citra yang
berada dalam fikiran Rasfal.
Rasfal hanya mampu memandang saat tubuh
Citra ditolak memasuki unit rawatan. Melihat keadaan itu tiba-tiba sahaja
bayang wajah seseorang menerpa ke ruang matanya.
“Maafkan saya, Ras. Saya tak layak untuk
awak. Biarlah saya pergi. Semoga awak dapat mencari pengganti diri saya…”
gemersik suara itu masih kedengaran di telinga Rasfal sebelum suara itu hilang
saat mata pemiliknya tertutup rapat.
Rasfal panar seketika. Sudah sekian lama
bayang wajah itu luput daripada ingatannya tetapi kini, bayang itu menjelma
lagi menjemput rasa pedih di jiwa Rasfal. Dia tidak mahu perkara lalu kembali
menghantui hidupnya lagi.
MATA
Citra yang terpejam rapat akhirnya terbuka sedikit demi sedikit. Cahaya putih
yang menerangi bilik itu mengganggu tidur Citra. Dia cuba mengamati di mana dia
berada namun hampa, semuanya kelihatan cukup asing di mata Citra. Kemudian,
matanya terhenti pada seorang lelaki yang segak berkemeja sedang bercakap-cakap
dengan seorang wanita yang berjubah putih. Perbualan mereka cukup serius pada
pendengaran Citra.
“Isteri Encik Ras tak ada penyakit yang
serius cuma isteri encik ni ada penyakit gastrik. Dia pengsan kemungkinan
disebabkan gastrik ataupun tekanan perasaan yang dihadapinya. Saya nasihatkan
supaya Encik Ras jaga isteri encik sebaik mungkin. Penyakit gastrik ini tidak
boleh dipandang remeh walaupun bukan satu penyakit yang serius tetapi kalau
dibiarkan sampai pengsan sebegini, nanti boleh dapat penyakit lain pulak. Saya
harap encik dapat pantau jadual pemakanan isteri encik ni kalau boleh pastikan
dia makan mengikut waktu…” nasihat doktor wanita itu panjang lebar sambil
tangannya mencatat sesuatu di dalam fail.
Rasfal mengeluh. Buat seketika dia
mengerling pada Citra yang sudah pun membuka mata. Memang wajah gadis itu
kelihatan pucat dan tidak bermaya.
“Kalau macam tu bila saya boleh bawa dia
pulang, doktor?” soal Rasfal selepas kembali mengalihkan pandangan pada wajah
doktor muda itu.
Doktor tersebut tersenyum ramah.
“Sekarang pun boleh, encik.”
Rasfal mengangguk dan meminta diri untuk
menjenguk isterinya itu. Doktor itu berlalu dan meninggalkan Rasfal bersama
dengan Citra.
“Macam mana saya boleh ada dekat sini?”
soal Citra lemah.
“Saya yang bawakan. Awak pengsan dekat
dapur tadi. Nasib baik saya cepat kalau tak awak dengan rumah awak tu meletup,
awak tahu tak?” ujar Rasfal. Dia cuba mengawal suaranya agar tidak meninggi.
Sebenarnya, dia cuba untuk bersabar dengan perangai Citra tapi kali ini dia
dapat rasakan kesabarannya semakin menipis.
“Saya tak tahu macam mana saya boleh
pengsan, kepala saya pening sangat waktu tu…”
“Awak pengsan sebab awak gastrik. Awak
tak makan ke satu hari ni, Citra? Awak nak seksa diri awak ke dengan bersikap
macam ni? Awak ingat dengan mogok lapar macam ni ibu awak boleh kembali ke?”
hambur Rasfal lagi dengan suara yang tertahan-tahan. Dia yakin, Citra sengaja
ingin menyeksa diri sendiri kerana asyik memikirkan Puan Cempaka yang sudah
pergi menghadap Ilahi.
Citra terpempan dengan kata-kata Rasfal.
Sampai hati lelaki itu menuduhnya sedemikian rupa sedangkan memang benar kepalanya
sakit dan dia pengsan sebelum sempat menjamah apa-apa makanan. Sehari suntuk
dia tertidur kerana badannya sungguh letih dan lesu. Bukan niatnya untuk
menyeksa diri sendiri.
“Saya tak bermaksud nak seksa diri saya
sendiri. Saya…saya…” Citra kehilangan kata. Air matanya mula menitis menuruni
lekuk pipi.
Rasfal mendengus marah. Ada je alasan
yang nak diberikan, bukannya nak mengaku salah. Bebel hati Rasfal. Geram dengan
sikap Citra.
“Sudah! Aku tak nak dengar apa-apa
alasan daripada kau lagi. Jom balik!” arah Rasfal. Bahasanya sudah mula
bertukar kasar.
Citra terpempan. Aku? Kau? Dia
betul-betul marah nampaknya, tapi apa salah aku? Detik hati Citra.
“Bos, saya boleh jelaskan….”
“Aku kata jom balik!” jerkah Rasfal
membuatkan Citra diam tak berkutik. Selepas membetulkan selendangnya, Citra
bangkit membuntuti langkah Rasfal.
Rasfal cuba meredakan rasa kemarahannya.
Entah mengapa dia terasa panas dengan setiap jawapan yang diberikan Citra. Rasa
risau membuatkan Rasfal hilang pertimbangan sehingga sanggup berkasar dengan
Citra. Mungkin dengan cara begini saja, Citra akan mengikut kata-katanya. Fikir
Rasfal.
Setelah mengambil ubat di farmasi, Citra
mengikuti langkah Rasfal sehingga ke tempat letak kereta. Dalam hatinya terasa
kecut apabila melihat wajah Rasfal yang bengis. Dia takut untuk menegur apatah
lagi untuk bertanya.
“Kita balik apartment aku. Mulai hari ni kau tinggal dengan aku dekat apartment,” ujar Rasfal sebelum
melangkah masuk ke dalam kereta. Nampaknya, dia lebih selesa ber ‘aku’ dan ber
‘engkau’ dengan Citra.
“Tapi saya nak balik rumah saya…” Citra
memberanikan diri untuk bersuara.
Serentak dia terdiam apabila Rasfal
berpaling. Pandangan lelaki itu cukup mengerunkan menyebabkan Citra menundukkan
wajah dengan pantas.
“Ini yang buat aku panas hati ni, kau
sedar tak yang kau tengah sakit sekarang? Kalau kau balik rumah kau, siapa yang
nak jaga kau dekat sana? Kalau kau pengsan sekali lagi macam mana? Siapa yang
susah? Aku juga kan? Boleh tak kalau buat sesuatu perkara tu fikir dulu. Ini
tak, buat sesuatu ikut suka hati je. Dah tahu diri tu sakit, diamkan aje. Aku
risau macam nak mati, bukannya nak ikut cakap aku. Asyik nak membantah…” bebel
Rasfal sambil menghidupkan enjin kereta.
Citra mati kutu. Ayat yang dilontarkan
oleh Rasfal dengan bahasa yang agak kasar menghiris hatinya. Mana pergi
kelembutan lelaki itu dulu? Tanpa sedar, air mata Citra merembes sebelum diseka
dengan kasar oleh jari jemarinya.
“Saya mintak maaf…” ucap Citra. Wajahnya
dipalingkan ke luar tingkap. Bimbang jika dia terus menentang wajah Rasfal, air
matanya tidak akan berhenti mengalir.
Rasfal mendengus. Permohonan maaf Citra
tidak mampu meredakan kemarahannya. Entah apa yang dimarahkan sangat, Rasfal
sendiri tidak tahu cuma saat dia melihat Citra terbaring tidak sedarkan diri,
dia cukup bimbang. Bimbang jika sesuatu berlaku pada gadis itu. Disebabkan
itulah, dia rasa dia perlu memberi Citra pengajaran agar tidak membuatnya
bimbang sekali lagi.
Suasana di dalam kereta sunyi sepi.
Citra tidak bersuara begitu juga dengan Rasfal. Saat Rasfal memberhentikan
kereta di pinggir jalan, Citra tidak ambil peduli. Dia pejamkan mata buat
seketika, berharap agar rasa pening di kepalanya hilang.
Dia tersedar apabila sekali lagi kereta
Rasfal terhenti. Tapi kali ini Rasfal mematikan enjin membuatkan Citra membuka
matanya dengan luas.
“Bangunlah, jangan pengsan lagi
sudahlah. Tak larat aku nak dukung kau…” perli Rasfal sambil menolak pintu
kereta.
Citra mencebik. Siapa suruh dia dukung
aku? Panggil jelah ambulans, biar nurse
yang angkat aku. Bebel Citra cuma dalam hati. Akhirnya, dia melangkah keluar
dari kereta dan berdiri menghadap bangunan yang tinggi melangit.
“Tingginya…” ujar Citra.
Rasfal mengerling ke sisi. Dia tersenyum
nipis.
“Dah nama pun apartment memanglah tinggi. Kau pernah jumpa ke apartment rendah?” soal Rasfal
membuatkan Citra menjeling. Nak cakap aku kampunglah tu. Detik hati Citra.
“Kenapa bos tak tinggal dengan mama dan
papa?” soal Citra berani.
“Sebab aku ni kadang-kadang balik,
kadang-kadang tak balik, daripada menyusahkan mama nak bukakan pintu rumah
untuk aku malam-malam, lebih baik aku duduk sendiri. Nak balik pukul berapa,
nak shooting sampai pagi pun, tak ada
menyusahkan orang…” balas Rasfal dengan suara mendatar.
Citra terangguk-angguk. Dia mengerti,
maklumlah kerja sebagai artis memang jadual kerjanya tidak menentu,
kadang-kadang outstation, pasti
sangat memenatkan.
“Rumah awak tingkat berapa?” soal Citra
lagi.
“Jom ikut aku…” balas Rasfal sambil
berjalan mendahului Citra. Di tangannya penuh dengan beg plastik. Entah apa
yang dibelinya, Citra tidak mengambil pusing.
Nampaknya mood Rasfal semakin baik cuma
bahasa lelaki itu masih lagi kasar. Citra mengeluh kecil. Angin apa yang
melanda lelaki itu Citra tidak tahu. Dia lebih suka Rasfal yang dulu. Bahasa
lelaki itu lebih lembut berbanding sekarang.
“Apa lagi yang nak dimenungkan tu?
Cepatlah!” panggil Rasfal.
Citra tersentak.
“Ya, saya datang ni!”
“SAYA
tak nak! Jangan paksa saya!” bangkang Citra sambil berlari menjauhi Rasfal yang
duduk di atas sofa. Dia menggelengkan kepala.
“Kenapa kau ni degil sangat? Aku suruh
minum susu bukannya minum racun. Sehari suntuk kau tak jamah apa-apa, perut kau
tu kosong. Minumlah susu ni dulu…” arah Rasfal sambil bangun dan cuba
mendapatkan Citra.
Citra menggelengkan kepalanya beberapa
kali. Dia tak suka dengan susu. Rasa nak termuntah kalau minum susu.
“Saya tak nak. Saya tak suka susu.
Jangan paksa saya!” bantah Citra lagi.
Rasfal mendengus. Ini dah lebih ni. Dah
tua-tua pun nak buat perangai macam budak kecil lagi. Entah apa-apalah perangai
perempuan ni. Gumam hati Rasfal geram.
“Kalau tak minum susu ni, macam mana kau
nak dapat tenaga? Nak sihat? Sampai bila kau nak sakit macam tu. Lepas minum
susu ni kau makan nasi pula. Aku dah belikan nasi bungkus tadi…” ujar Rasfal
masih lagi berlembut.
Dia menghampiri Citra yang cuba
melarikan diri apabila disuakan segelas susu pada gadis itu. Kepala Rasfal
tergeleng-geleng melihat tingkah Citra yang tidak ubah seperti kanak-kanak
kecil.
“Saya boleh makan nasi, tapi saya tak
nak minum susu. Saya tak suka! Tolonglah faham saya…” rayu Citra lagi. Dia
memandang susu dan wajah Rasfal silih berganti. Dia berharap agar Rasfal faham.
“Aku tak kira, kau jangan nak banyak
songeh sangat. Buat penat aku beli dan bancuh susu ni kalau kau tak nak minum.
Lebih baik kau minum sebelum aku paksa kau!” tegas Rasfal dengan wajah yang
sengaja dibengiskan.
Laju Citra menggelengkan kepala.
“Tak nak!”
“Minum cepat!” arah Rasfal tegas.
“Tak nak! Tak nak! Tak naklah!” bantah
Citra juga dengan suara yang tegas.
Rasfal mendengus. Kesabarannya semakin
menghilang dengan kerenah Citra. Lalu, dia menghampiri Citra, tubuh itu ditolak
rapat ke dinding sebelum dihimpitkan dengan tubuhnya. Sebelah tangannya lagi
memegang dagu Citra sebelum susu yang berada di tangan kanannya disuakan ke
mulut Citra. Sepantas kilat, susu tersebut dituangkan ke dalam mulut isterinya.
Citra meronta-ronta untuk melepaskan
diri. Sesak nafasnya apabila terpaksa meminum susu dengan cara paksa. Terasa
ingin dimuntahkan segalanya namun dia terpaksa menelan juga sisa-sisa susu yang
disuakan ke mulutnya. Citra terbatuk-batuk apabila Rasfal mengalihkan tangan
kasarnya daripada mencengkam dagunya.
“Hah, minum susu pun nak kena paksa.
Kalau kau ikut cakap aku kan senang, tak payah aku nak susah payah paksa kau.
Macam budak-budak…” omel Rasfal.
Dia merenung wajah Citra yang kemerahan.
Sisa air susu yang meleleh di pinggir bibir gadis itu dikesat menggunakan tisu.
Kemudian tangan gadis itu ditarik lalu tubuh genit itu ditolak supaya duduk di
atas sofa.
Citra menjerit kecil. Mak datuk,
kasarnya dia ni. Bebel hati Citra tidak puas hati. Sudahlah dipaksa minum susu
dan sekarang apa pula seksaan yang bakal dia terima daripada Rasfal?
“Ini ada nasi goreng aku beli tadi. Aku
nak kau makan depan aku sekarang!” arah Rasfal dengan wajah yang serius.
Mata Citra membulat. Belum sempat susu
nak hadam, dia suruh aku makan pulak? Dia nak perut aku pecah ke apa? Detik
hati Citra.
“Saya baru minum susu, perut saya tak
dapat terima lagi. Nantilah saya makan, ya…” balas Citra mengharap agar Rasfal
faham.
Tetapi Rasfal menggelengkan kepala. Dia
tidak percaya akan kata-kata Citra selagi dia tidak melihat dengan mata
kepalanya sendiri.
“Kau tu bukan boleh dipercaya sangat.
Aku suruh kau jaga diri baik-baik masa aku pergi kerja, tengok apa dah jadi?
Kau pengsan tak sedarkan diri. Sekarang aku nak kau makan nasi ni sampai habis
depan aku. Kalau tak, aku tak benarkan kau tidur!” balas Rasfal tegas.
Citra mengetap bibir. Bibirnya
dimuncungkan tanda protes dengan arahan Rasfal.
“Tariklah muncung tu biar panjang lagi.
Kalau aku cium, kau jangan marah pulak…” ujar Rasfal mengugut.
Citra menutup mulutnya dan menggelengkan
kepala. Bulat matanya memandang wajah Rasfal yang sudah tersengih.
“Dalam perjanjian dah termaktub yang bos
tak boleh sentuh saya,” sangkal Citra berani. Dia mengesot menjauhi Rasfal.
“Dalam perjanjian buatan aku memanglah
aku tak boleh sentuh kau, tapi dalam perjanjian agama, lebih daripada sentuh
aku boleh buat pada kau…” balas Rasfal selamba. Dia merenung tepat ke anak mata
Citra.
Citra menggelabah. Dia menelan air liur
yang terasa perit di kerongkong. Renungan anak mata coklat itu meresakan
hatinya.
“Bos jangan nak buat perkara yang
bukan-bukan dengan saya. Saya menjerit kan…” ugut Citra dengan suara yang
tenggelam timbul.
Rasfal meledakkan tawa. Dia tahu Citra
gelabah. Inilah peluang untuk dia mengenakan Citra dan memaksa gadis itu supaya
mengikuti arahannya.
“Sekarang kau nak makan atau tidak nasi
ni?” soal Rasfal dengan renungan yang tajam. Dia mendekati Citra yang sudah
mengesot menjauhi dirinya.
Citra menggeleng. Ingkar dengan arahan
Rasfal.
“Betul kau tak nak makan?” soal Rasfal
lagi kemudian mendekati dirinya dengan Citra. Nasi goreng yang berbungkus di
dalam polistrina diletakkan di atas meja.
“Tak nak!” balas Citra yakin. Namun,
jauh dalam sudut hatinya dia gementar dengan renungan Rasfal yang menusuk
kalbu.
“Baiklah, kau jangan menyesal kalau aku
apa-apakan kau…” balas Rasfal.
Lalu, dia memaut pinggang Citra dengan
kuat. Citra terkejut lalu menjerit. Dia meronta-ronta lalu dia cuba menolak
tubuh Rasfal yang sasa.
“Lepaskan saya, lepaskan saya!” jerit
Citra sambil melarikan wajahnya ke tempat lain.
Rasfal tidak peduli. Dia memperkemaskan
pelukannya di pinggang Citra. Perempuan macam ni perlu diajar sikit. Detik
hatinya.
“Kau nak makan ke tak nasi tu?” soal
Rasfal tegang. Dia merenung wajah Citra yang agak dekat dengan wajahnya.
Citra menggelengkan kepala. Dia masih
berdegil.
Rasfal mengetap bibir. Apabila Citra
menggelengkan kepala, semakin dia memperkemaskan pelukan di pinggang gadis itu
sehingga terasa lekuk tubuh Citra.
Citra terasa ingin menjerit. Dia tidak
suka dilakukan seperti itu oleh Rasfal. Terasa wajahnya sudah berbahang panas
dengan perlakuan Rasfal. Tidak dapat tidak akhirnya Citra mengalah.
“Okey, saya makan! Lepaskan saya!” jerit
Citra sambil mengangkat tangan menyerah kalah.
Rasfal tersenyum kemenangan.
Perlahan-lahan, dia melepaskan pelukan. Bungkusan nasi goreng diambil lalu
dihulurkan pada Citra yang sudah masam mencuka.
“Sakit tau pinggang saya. Macam nak
patah. Ingat saya ni kayu balak ke?” bebel Citra sambil menggosok pinggang yang
terasa sakit akibat pautan daripada tangan Rasfal yang kasar.
“Siapa suruh degil sangat? Nak suruh
makan pun kena ugut dulu. Itu baru aku peluk sikit belum aku….” Rasfal
tersengih nakal.
Citra menjeling marah. Rasa ingin
dicekiknya batang leher Rasfal biar lelaki itu diam.
“Apa pandang-pandang? Makan cepat
sebelum aku peluk kau macam tadi.” ujar Rasfal sambil membuat gaya seperti mahu
menerkam Citra.
Citra membeliakkan mata lalu dengan
sepantas kilat, dia menyambut huluran Rasfal lalu nasi goreng kampung disuapkan
ke dalam mulut dengan rasa terpaksa. Walaupun tekaknya terasa perit, dia
gagahkan juga untuk menelan nasi goreng tersebut sambil gelagatnya diperhatikan
oleh Rasfal yang tak ubah seperti warden penjara. Garang yang amat!
Satu senyuman nipis terukir di bibir
Rasfal. Dia memerhatikan gelagat Citra yang agak kelam-kabut ingin menghabiskan
nasi goreng yang dibelinya itu. Merah wajah gadis itu menahan rasa muak namun
Rasfal tidak peduli, dia biarkan saja Citra menghabiskan satu bungkus nasi
goreng tersebut.
Tiba-tiba Citra terbatuk. Dia mengibas-ngibas
mulutnya.
“Kau ni kenapa?” soal Rasfal pelik.
Citra tidak menjawab tetapi dia
menepuk-nepuk dadanya.
Rasfal panik lalu dia berlalu ke dapur
sebelum kembali dengan segelas air masak kemudian dihulurkan pada Citra. Citra
menyambut dan meneguk dengan rakus bagi melegakan tekaknya yang terlekat.
Citra menarik nafas panjang dan
meletakkan gelas kembali ke atas meja.
“Itulah makan gelojoh sangat. Tak
pasal-pasal tersedak.” Bebel Rasfal.
Citra mengerling pada Rasfal. Dia
mengetap bibir. Dia yang paksa aku makan, sekarang nak salahkan aku pulak? Dah
naik buncit perut aku makan nasi goreng ni. Dia bukan tahu pun. Tahu nak
mengugut adalah. Bebel hati Citra geram.
“Saya tak sengaja. Saya nak rehat.
Penatlah…” ucap Citra lembut. Dia menyandarkan belakangnya di sofa.
“Kau tak boleh tidur selagi tak makan
ubat. Kejap, aku ambilkan…” ujar Rasfal kemudian mencari sesuatu di dalam
plastik yang berada di atas meja.
Citra memicitkan kepalanya yang terasa
berdenyut. Perut terasa kenyang menjemput rasa mengantuk. Huluran ubat daripada
Rasfal dicapai lalu disumbatkan ke dalam mulut sebelum dia meneguk air masak
yang sudah berada di tangannya.
“Saya nak tidur dekat mana? Saya tak ada
baju. Macam mana saya nak mandi?” soal Citra lagi.
Rasfal melepaskan nafasnya. Dia terlupa
tentang itu.
“Rumah ni ada tiga bilik, pilihlah bilik
mana yang kau nak selain bilik utama tu. Itu bilik aku. Pasal pakaian pula,
malam ni kau pakai baju dan kain pelekat aku dulu, esok aku singgah rumah kau
untuk ambil semua baju kau. Aku nak kau duduk rumah je, jangan pergi mana-mana
selagi kau tak sihat, faham?” ujar Rasfal sambil menatap jauh ke dalam anak
mata Citra.
Citra mengangguk tanpa banyak bicara.
Lebih baik ikut, daripada dia buat perkara yang bukan-bukan dekat aku. Seram
aku!
“Faham, bos!”
No comments:
Post a Comment