DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 15 January 2015

Pengarah Cinta Terbaik - Bab 6



CITRA duduk di sebelah Rasfal dengan perasaan yang berbaur. Sekali sekala dia membetulkan selendang yang membelit kepalanya. Sungguh saat ini dia rasa gementar kerana pertama kali berhadapan dengan wartawan yang akan mewawancara tentang perkahwinan pelakon lelaki popular.
Buat seketika Rasfal berpaling pada Citra yang kelihatan tidak keruan. Dia melihat ada air jernih yang memercik di dahi gadis itu. Tanpa sedar bibir Rasfal tersenyum nipis. Lalu dia mengambil tisu kemudian dihulurkan pada Citra.
“Janganlah takut sangat. Awak jawab je apa yang wartawan tanya, selebihnya biar saya yang uruskan,” bisik Rasfal.
Citra tersengih. Dia mencapai tisu yang dihulurkan oleh Rasfal lalu dia mengesat dahinya yang berpeluh.
“Tapi saya tak biasa dengan semua ni. Kalau ibu tahu habislah saya,” balas Citra turut berbisik.
“Pasal ibu kita settlekan kemudian. Lagipun awak cakap ibu dah setuju dengan peminangan ini kan. Saya rasa ibu tak ada masalah lagipun ibu kau tak boleh baca paper kan?”
Citra mengetap bibir. Dia mengalih pandangan ke arah kerusi yang tersusun rapi di hadapannya. Kelihatan beberapa wartawan sudah memenuhi ruang depan untuk memulakan sesi temu ramah dengan Rasfal.
“Memanglah ibu tak boleh baca paper tapi ibu boleh dengar berita. Mesti ibu terkejut habis kalau dapat tahu saya akan kahwin dengan artis…” balas Citra.
Rasfal hanya tersenyum nipis. Dia hanya merenung wajah Citra yang berada di sebelahnya itu. Gadis itu memang kelihatan gementar, jelas terpancar di wajah gadis itu. Wajah itu tampak begitu mulus tanpa solekan yang tebal malah sebaik saja dia merenung wajah Citra, hatinya dapat merasa ketenangan yang entah daripada mana datangnya.
“Habis tu masa ibu awak tanya saya kerja apa, awak cakap apa?” soal Rasfal ingin tahu. Dia terus memandang wajah Citra dari dalam cermin mata hitamnya.
“Saya cakap awak berniaga sendiri…” ujar Citra sambil tersengih. Dia membalas pandangan Rasfal namun apabila menyedari Rasfal membalas pandangannya sepantas kilat dia membuang pandangan ke tempat lain.
Rasfal ingin membalas kata-kata Citra namun cuitan daripada Atif membuatkan perbuatan Rasfal terhenti. Dia berpaling pada Atif yang berada di sisinya.
“Aku rasa kita dah boleh mulakan sesi temu ramah ni. Apa pendapat kau?” soal Atif sambil berbisik.
Rasfal menganggukkan kepala tanda mengiyakan.
Atif tersenyum lalu mencapai mikrofon. Dia berdehem seketika untuk mengambil perhatian para wartawan yang hadir.
“Assalamualaikum semua, terima kasih saya ucapkan kerana sudi hadir ke sidang akhbar yang sangat teristimewa untuk pelakon dan pengarah muda kesayangan kita ni, Ras Haqeemi. Semua orang sedia tahu kan dengan gosip liar yang tersebar tentang Ras ni, jadi hari ini merupakan hari untuk Ras jelaskan apa sebenarnya yang berlaku agar semuanya jelas,” ucap Atif memulakan mukadimahnya.
“Kalau ada apa-apa soalan dan kemusykilan, anda semua boleh bertanya direct pada Ras. Tak payah nak pendam-pendam lagi,” sambung Atif lagi.
Kedengaran bunyi bising apabila para wartawan yang berbisik sesama sendiri. Ada yang menjeling pada Citra, mungkin pelik dengan kehadiran gadis yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
“Boleh kami tanya soalan sekarang?” soal Hakim, salah seorang wartawan surat khabar tempatan.
Rasfal mengangguk dan mencapai mikrofon yang berada di hadapannya. Dia bersedia untuk menjawab segala soalan walaupun hatinya terasa sedikit gementar.
“Siapa perempuan dekat sebelah tu? Girlfriend baru ke? Atau pengurus baru?” soal Hakim tanpa selindung.
Citra dan Rasfal berpandangan. Dia tersenyum pada Hakim yang masih menanti jawapan daripadanya.
“Dia bukan girlfriend tapi bakal isteri saya yang awak semua tanyakan itu. Kami akan berkahwin awal bulan depan,” Rasfal berterus-terang dengan tenang.
What??!!!” kedengaran para wartawan menjerit. Ada yang bertanya sesama sendiri. Ada yang tidak senang duduk dengan berita yang baru diterima.
“Kenapa terkejut sangat ni? Memang betul dia bakal isteri saya, jadi dakwaan yang saya gay tu adalah salah sama sekali,” balas Rasfal.
“Tapi kenapa nak kahwin tergesa-gesa? Awal bulan depan? Tak pernah pun dengar you sebut pasal bakal isteri you ni, Ras. Hujan tak ribut tak, tup-tup you nak kahwin. Biar betul Ras?” Soal Kak Hanim yang sudah bersedia untuk mencatat segala apa yang dikatakan oleh Rasfal.
Rasfal tersenyum lagi. Dia mencabut cermin mata hitam yang dipakainya lalu diletakkan di atas meja.
“Soal jodoh memang tak boleh tolak. Sebenarnya saya dah lama berkawan dengan dia cuma saya tak hebohkan pada press saja. Biarlah soal privasi tidak dicampur dengan urusan kerja saya. Lagipun, bakal isteri saya ni bukan daripada kalangan artis jadi saya tak nak berita-berita macam menganggu kehidupan bakal isteri saya,” terang Rasfal tenang.
“Maksud you, gosip you bercinta dengan Fiona tu tak betullah? Yang you keluar berpimpin tangan dengan dia tu cuma gosip semata-mata? Itu maksud you, Ras?” soal Kak Hanim lagi seakan tidak berpuas hati.
“Itu semua gosip semata-mata. Saya tak ada apa-apa hubungan istimewa dengan Fiona. Dia hanya kawan saja,” tegas Rasfal.
Kak Hanim terdiam. Dia mengangguk tanda faham.
“Ras, boleh I tanya soalan pada bakal isteri you?” sampuk Didi pula.
Rasfal terdiam sejenak. Dia berpaling pada Citra untuk mendapat jawapan. Citra mengangguk dengan teragak-agak.
“Silalah…tapi bakal isteri I ni pemalu sikit. Dia kurang bercakap,” sempat lagi Rasfal mengingatkan Didi.
“Boleh I tahu Cik….”
“Citra. Nama saya Citra…” pintas Citra.
“Okey, Cik Citra. Boleh I tahu berapa lama you kenal dengan Ras? Boleh tak you ceritakan detik-detik pertemuan pertama antara you dan Ras?” soal Didi membuatkan dahi Citra berpeluh-peluh.
Citra terkedu seketika. Apa yang boleh dia ceritakan? Sedangkan detik-detik pertemuan antara dia dan Rasfal bukanlah detik yang indah yang boleh dikenang.
Errr…saya dan Rasfal bertemu dekat set lokasi. Saya ni peminat Ras, jadi bila ada pengambaran dekat kawasan rumah saya. Saya pergilah, tak sangka masa tu saya jumpa Ras. Pertama kali saya tengok Ras secara berdepan, saya terus suka. Dia pun ramah dan tak sombong.” Cerita Citra. Dia menarik nafas lega kerana cerita yang direka oleh Rasfal itu masih lekat di kepalanya. Jenuh juga untuk dia menghafal skrip yang diberikan oleh Rasfal semata-mata untuk menjawab soalan wartawan.
“Macam tu je? Bagaimana pula dengan lamaran? You tahu kan, Rasfal ni digosipkan dengan Fiona, takkan hati you langsung tak tersentuh dengan cerita-cerita macam tu?” tambah Didi lagi.
Citra menarik nafas panjang sebelum dilepaskan perlahan. Dia menggenggam kuat mikrofon yang berada dalam tangan.
“Hati perempuan mana yang tak tersentuh apabila orang yang disayang digosipkan dengan perempuan lain tapi Abang Ras selalu nasihatkan saya agar tidak termakan dengan berita seperti itu sebab setiap apa yang berlaku dalam hidup dia, pasti dia akan ceritakan pada saya. Saya tahu Abang Ras dan Fiona berkawan jadi saya rasa tak perlulah saya kisahkan sangat.” Jawab Citra petah.
Rasfal tersenyum manis. Dia memandang Atif yang turut tersenyum puas.
“Memang tak rugi kau upah Citra, Ras. She do a very good job!” puji Atif sambil berbisik rapat di telinga Rasfal.
“Okey, terima kasih. Sekarang I nak tanya pada you, Ras…” Didi mengalihkan soalan pada Rasfal.
Rasfal tersentak lalu mendongak memandang wajah Didi yang kelihatan serius.
“Okey, teruskan…”
“You rasa dengan berita perkahwinan you ni akan tamatkan gosip gay you tu ke? Atau you sengaja percepatkan perkahwinan you ni untuk tutup cerita you tu?” soal Didi.
Berdesing telinga Rasfal mendengar soalan yang diajukan oleh Didi tetapi dia tetap tersenyum.
“Kalau I gay, I takkan kahwin dengan gadis yang berada di sebelah I ni. I harap sangat bila I kahwin nanti cerita gay ni akan tutup sebab ia melibatkan maruah I, maruah keluarga I. Itu semua fitnah. I lelaki straight tau. I tak tahulah daripada mana datangnya cerita ni tapi yang pasti cerita gay tu tak betul dan I tegaskan yang I ni lelaki normal!” ujar Rasfal dengan tegas.
“Kenapa sebelum ni you macam nak elak bila reporter nak tanya soalan? Kenapa baru sekarang you nak tunjuk bakal isteri you ni? Apa yang you cuba sembunyikan?” celah Karina, wartawan dari Media Hiburan.
“I tak sembunyikan apa-apa cuma I menghormati perasaan bakal isteri I yang tak nak hebahkan tentang hubungan kami. Biarlah segalanya kekal sebagai privasi. I bukan tak nak jawab cuma I nak fokus dengan drama dan filem. Sekarang ada masa yang sesuai jadi I akan jawab semua soalan yang belum terjawab,” balas Rasfal.
“You tak takut ke kalau you kahwin nanti saham you jatuh merundum. Maklumlah, hero kalau dah kahwin memang tak laku…”
“Rezeki di tangan Allah. Bila Dia mengatakan itu rezeki I maka ia tetap akan jadi rezeki I, begitu sebaliknya,” balas Rasfal dengan senyuman.
Keadaan menjadi membisu sejenak. Rasfal menarik nafas dalam.
“Okey, ada soalan lagi tak? Kalau tak ada, kami akan tutup sesi soal jawab ini.” Atif mula bersuara.
“Setakat ini semua dah clear…” jawab Didi.
Atif tersenyum dan mengangguk.
“Kalau macam tu, I nak jemput semua wartawan yang hadir hari ini untuk ke majlis perkahwinan I nanti. Jangan tak datang pulak…” sampuk Rasfal.
“Insya-Allah, Ras. Nanti kami datang. Berapa sponsor untuk perkahwinan you Ras? Mustahil pelakon popular macam you tak ada yang taja…” sempat lagi Kak Hanim menyampuk sambil tersengih.
“Tak ada yang menaja pun Kak Hanim. Semuanya sendirian berhad…” balas Rasfal.
“Bulan madu dekat mana?” sampuk satu suara yang tidak dikenali tuannya.
Rasfal dan Citra tersentak. Mereka berpandangan sesama sendiri. Tidak pernah pula terlintas dalam fikiran mereka tentang itu.
Errr…belum difikirkan lagi. Rasanya lebih afdal bulan madu dalam rumah sendiri…” gurau Rasfal dengan disambut tawa oleh para wartawan.
Wajah Citra merona merah. Dengan pantas dia tertunduk malu.
“Cantik bakal isteri you, Ras. Sejak bila pulak you suka perempuan yang bertudung ni?”
Rasfal tersenyum. Dia merenung wajah Citra yang menunduk.
“Sejak I tengok dia. Sejak tu I minat dengan gadis yang bertudung…” balas Rasfal sambil matanya terus menatap wajah Citra.
Semua yang hadir di menjerit seolah-olah apa yang dikatakan oleh Rasfal itu sesuatu yang romantik padahal itu semua hanyalah lakonan Rasfal semata-mata tanpa melibatkan sebarang perasaan.
“Wahhh…so sweet!” laung seorang wartawan muda.
Manakala Citra sudah tidak senang duduk. Dia malu dengan kata-kata Rasfal apatah lagi lelaki itu tidak lepas daripada merenung wajahnya. Air liur ditelan berkali-kali apabila wajahnya tidak henti-henti menjadi bahan tatapan lensa kamera.
‘Matilah kalau ibu tahu semua ini. Masak kau, Citra!’ detik hati Citra.
"CITRA dah fikir masak-masak ke nak terima pinangan lelaki tu? Tak sampai seminggu Citra putus dengan Qammar takkan Citra boleh lupakan Qammar dengan begitu mudah? Siapa Rasfal tu sebenarnya?" soal Puan Cempaka membuatkan Citra tidak jadi menyuapkan nasi ke dalam mulut.
Dia memandang wajah ibunya yang sedang teraba-raba mencari gelas minuman lalu dengan pantas Citra menyuakan gelas tersebut pada Puan Cempaka.
"Errr...Rasfal tu kawan Citra, ibu. Dia tahu yang Abang Qammar dah putuskan hubungan kami jadi dia sanggup nak ubati kekecewaan Citra tu.." bohong Citra dengan rasa bersalah yang menggunung.
"Citra pula macam mana? Citra sayangkan dia?" soal Puan Cempaka membuatkan Citra tersentak. Serta-merta nasi yang dikunyah berasa tawar. Sekelumit pun rasa sayang itu tiada dalam hatinya untuk Rasfal. Apa yang dilakukan hanya semata-mata kerana kerja.
"Citra sayangkan dia sebab dia kawan Citra. Lagipun dia sayangkan Citra tentu Citra akan bahagia dengan orang yang sayangkan Citra. Cinta boleh dicarikan, ibu?" soal Citra dengan suara sengaja diceriakan.
Puan Cempaka tersenyum hambar. Dia kembali menyuapkan nasi ke dalam mulut.
"Ibu harap keputusan kamu ni betul, Citra. Ini soal masa depan kamu, hidup kamu. Ibu belum tentu akan hidup lama jadi sebelum ibu menutup mata, ibu nak tengok Citra ada suami yang mampu jaga Citra sehingga ke akhir hayat Citra..." ujar Puan Cempaka sayu.
Citra terkedu seketika. Tanpa sedar air matanya menitis.
'Kalaulah ibu tahu apa yang Citra lakukan ini hanya untuk lihat ibu pulih semula, agak-agaknya ibu marah Citra tak? Citra sanggup gadaikan semuanya termasuk masa depan dan prinsip Citra semata-mata untuk ibu kerana ibu lebih berharga daripada nyawa dan masa depan Citra.' monolog Citra. Dia menyeka air mata yang tumpah.
"Citra...Citra dengar tak apa yang ibu cakapkan ni?" soal Puan Cempaka sambil tangannya meraba tangan Citra yang berada di sisinya.
Citra tersedar. Cepat-cepat dia menyambut tangan Puan Cempaka.
"Ya, ibu. Citra dengar. Insya-Allah, Rasfal mampu untuk jaga Citra. Nanti bila selesai pembedahan mata tu, ibu boleh tengok siapa menantu ibu tu. Baik orangnya, ibu." puji Citra dengan senyuman nipis. Air matanya masih.lagi tidak henti mengalir sebaik sahaja terpandang wajah Puan Cempaka yang sudah berusia.
"Tiada apa yang ibu mahukan dalam hidup ibu selain tengok Citra bahagia. Kalau ibu tak dapat melihat pun ibu tak kisah, Citra. Janji anak ibu ni gembira dan ibu tak nak Citra rasa terbeban dengan keadaan ibu. Ibu tak kisah kalau tak buat pembedahan tu pun, asalkan tak menyusahkan anak ibu ni. Ibu tahu Citra kerja keras untuk dapatkan duit rawatan tu tapi Citra kena ingat, tiada siapa yang dapat menentang takdir Allah. Kalau ditakdirkan ibu pergi dulu, Citra jaga diri Citra baik-baik..." sayu saja suara Puan Cempaka kedengaran di telinga Citra.
"Ibu, kenapa cakap macam ni?Ibu takkan pergi mana-mana. Selagi Citra hidup, selagi itulah Citra akan cuba buat yang sebaik mungkin untuk hidup kita, ibu. Citra akan jaga ibu sebagaimana ibu jaga Citra sampai Citra besar..." ucap Citra dengan dada yang sebak. Dia melentokkan kepalanya di bahu Puan Cempaka. Esakan cuba ditahan agar tidak kedengaran di telinga Puan Cempaka.
"Ibu tahu anak ibu ni seorang anak yang baik. Ibu doakan Citra dapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Citra anak ibu yang baik. Anak ibu yang solehah. Ibu bangga dapat anak macam Citra.." ucap Puan Cempaka sambil menggosok kepala Citra dengan lembut.
Saat itu Citra dapat rasakan dia ingin menjerit dan meraung meminta kemaafan daripada Puan Cempaka atas apa yang berlaku di sebalik perkahwinan antara dia dan Rasfal nanti.
'Ibu, maafkan Citra atas apa Citra lakukan ini akan mengecewakan ibu...'

"CITRA, termenung pula dia..." tegur satu suara mengejutkan Citra daripada lamunan. Dia mendongak.
Kelihatan Rasfal yang sedang memandangnya dengan penuh tanda tanya. Citra memandang ke hadapan, kelihatan kerusi yang tadinya penuh dengan wartawan sudah pun kosong. Dahi Citra berkerut.
"Mana semua orang?" soal Citra pelik.
Rasfal yang sedang membaca sesuatu di dalam diari hitamnya mendongak memandang Citra.
"Awak ni mengigau ke apa? Wartawan semua dah baliklah. Tinggal kita bertiga je. Awak tak nak balik ke?" soal Rasfal pula.
Dia melihat ada garis sendu di wajah Citra. Sinar mata gadis itu pun kelihatan suram, tidak seperti kebiasaannya. Apa agaknya yang difikirkan oleh gadis itu?
"Oh, kalau macam tu, saya balik dululah..." ucap Citra sambil bingkas bangun.
"Awak nak balik dengan siapa?" soal Rasfal kembali.
Langkah Citra terhenti. Dia tersenyum nipis.
"Bas dengan teksi banyak..." balas Citra bersahaja.
"Biar saya minta Atif yang tolong hantarkan awak, nak?"
Sepantas kilat Citra menggelengkan kepala. Matanya diliarkan ke jam yang melilit di pergelangan tangan.
"Dah pukul enam petang maknanya waktu bekerja saya dah tamat jadi apa-apa yang berlaku lepas waktu bekerja itu tanggungan saya. Bos tak payah risau. Saya boleh balik sendiri..." balas Citra tersenyum.
"Rumah awak jauh Citra, lebih baik Atif yang hantarkan. Atau awak nak saya panggilkan Qammar?" soal Rasfal lagi.
Sekali lagi Citra menggelengkan kepala.
"Abang Qammar sibuk jadi saya tak nak menyusahkan dia. Lagipun saya dah terbiasa naik teksi, bos jangan risau," jawab Citra.
Rasfal hanya menjongketkan bahu.
“Ikut suka awaklah tapi kena ingat esok jumpa saya dekat ofis. Kita kena tempah baju secepat mungkin. Lagi tiga minggu kita akan kahwin…” ucap Rasfal mengingatkan Citra.
Citra hanya menganggukkan kepala. Esok pasti kecoh di kilang apabila berita tentangnya akan keluar surat khabar. Dia gerun jika memikirkan penerimaan orang ramai terhadap berita perkahwinan pelakon lelaki popular dengan gadis biasa sepertinya.
“Mungkin saya lambat sikit sebab saya perlu hantar ibu ke hospital untuk check-up…” ujar Citra.
Rasfal menganggukkan kepala tanda mengerti.
“Macam ni, esok saya ambil awak dan ibu awak. Kita pergi hospital dulu sebelum pergi tempah baju, okey?” Rasfal memberi cadangan.
“Ras, esok kau ada interview dengan pihak TV1 pukul sepuluh pagi,” sampuk Atif.
Rasfal mengetap bibir.
Citra hanya tersenyum nipis.
“Tak mengapalah, bos. Saya pergi sendiri. Saya tak nak menyusahkan bos lagipun bos tentu sibuk. Kalau tak ada apa-apa, saya balik dulu. Assalamualaikum…” ucap Citra lantas berlalu meninggalkan Rasfal dan Atif.
“Waalaikummusalam…” jawab Rasfal dan Atif serentak.
Mereka menghantar kelibat Citra sehingga gadis itu hilang dari pandangan. Atif mengalihkan pandangan pada wajah Rasfal yang kelihatan bersahaja.
“Apa yang kau cakap pada parents kau sampaikan mereka setuju ambil Citra jadi menantu? Aku ingatkan parents kau akan halang. Yelah, Citra bukan anak orang kaya,” ucap Atif.
Rasfal tersenyum. Beg sandangnya dicapai sebelum bahu Atif ditepuk lembut.
“Agaknya kau lupa yang mama aku tu pembela kaum wanita. Jadi bila dia tahu ibu Citra tu buta dan ayah Citra dah meninggal terus dia bersimpati dan mama minta aku jaga Citra baik-baik sebab dia tengok Citra tu perempuan yang baik. Simple…” terang Rasfal dengan senyuman yang mekar di bibirnya.
Simple as that?” soal Atif dengan dahi yang berkerut.
“Yelah simple. Mama aku ni dia tak boleh kalau nampak perempuan-perempuan yang susah, mesti dia pun tak senang duduk. Maklumlah mama aku ni pencinta wanita infact dia nak taja semua majlis perkahwinan aku ni,” ucap Rasfal dengan tawa kecil.
“Kalau macam tu senanglah kerja kau, Ras. Tunggu hari perkahwinan kau je ni. Esok mesti kecoh berita pasal kau ni. Aku gerenti Fiona akan mengamuk dengan kau…” balas Atif.
Mati terus senyuman Rasfal apabila Atif menyebut nama Fiona. Dia mencebik. Antara dia dan Fiona bukannya ada apa-apa hubungan cuma mereka kelihatan serasi apabila di hadapan kamera. Selebihnya Rasfal tidak pernah menganggap Fiona lebih daripada kawan biasa. Malahan dia cukup rimas dengan perangai Fiona malah bukan saja Fiona tetapi semua perempuan bagi Rasfal merimaskan.
“Lantak dialah nak mengamuk ke apa. Aku bukan kekasih hati dia pun jauh sekali teman tapi mesra. Buat semak kepala otak aku je fikir pasal perempuan,” balas Rasfal selamba.
“Habis tu Citra tu bukan perempuan ke?” soal Atif.
“Dia tu pekerja aku. Lagipun dia bukan perempuan yang tergedik-gedik macam Fiona. Tak adalah aku rimas sangat,” balas Rasfal sambil melangkah menuju ke keretanya.
“Kau suka Citra ke?” soal Atif lagi.
Rasfal terpempan. Langkahnya terhenti. Spontan lima jari melekat di belakang Atif dengan kuat. Lelaki itu terbatuk kecil.
“Aduh, sakitlah!” rungut Atif sambil cuba menggosok belakang badannya yang terasa pedih akibat tamparan daripada Rasfal.
“Tahu pun sakit. Soalan tu biarlah cerdik sikit. Kan aku dah cakap yang Citra tu pekerja aku. Dia bekerja untuk aku jadi aku kena professional. Masalah kerja tak boleh dicampur adukkan dengan masalah peribadi. Faham?” tekan Rasfal geram.
Atif tersengih. Dia menekan alarm kereta bagi membolehkan Rasfal meloloskan diri ke tempat duduk sebelah pemandu.
“Tapi dia bakal isteri kau yang sah. Apa-apa pun yang terjadi, dia tetap isteri kau sebab kau akan menikahi  dia mengikut syariat…” balas Atif.
Rasfal terdiam. Gerun pula dia mendengar kata-kata Atif. Aku akan menikahi Citra, bermakna aku akan terperangkap dengan seorang perempuan? Oh, my God!
“Dah tu mana ada kahwin olok-olok. Cuma perkahwinan aku ni ibarat macam kontrak pekerjaan untuk Citra. Kau yang cadangkan aku buat perjanjian itu semua kan jadi kau jangan nak banyak bunyi. Bila genap setahun tamatlah kontrak dia dengan aku. Tak perlulah aku hidup dengan mana-mana perempuan lagi…” balas Rasfal tenang.
Atif tersengih. Dia mula menghidupkan enjin kereta. Kadang-kadang dia pelik dengan sikap Rasfal yang menganggap kehadiran perempuan dalam hidup ini membebankan malah sering kali Rasfal menolak jika terpaksa melakonkan babak-babak yang terlampau romantik. Memang tidak dinafikan Rasfal bukanlah jenis seorang lelaki yang romantik tetapi dengan kekacakan dan ketinggian yang ala-ala model itu menjadikan Rasfal pelakon buruan pengarah dan artis-artis wanita yang lain cuma Rasfal saja yang jual mahal.
“Kau ni anti dengan perempuan ke, Ras? Aku perasan yang kau ni memang kurang sosial dengan mana-mana artis perempuan…”
“Aku tak anti dengan perempuanlah. Cuma kau faham-fahamlah, sejak kecil sampai habis sekolah menengah aku sekolah dekat sekolah all boys, jadi aku tak reti sangat nak layan perempuan macam mamat-mamat playboy selalu buat. Jadi kau jangan tanya kenapa aku kurang layan artis perempuan. Aku rimas,” balas Rasfal tersengih.
Atif menganggukkan kepala.
“Tapi tak mengapa lepas kau kahwin dengan Citra, kau belajarlah cara-cara berkawan dengan perempuan. Jangan sampai orang cop kau ni gay sudah,” balas Atif dengan ketawa kuat.
Rasfal menjeling tajam.
“Ish, nauzubillah min zalik. Kalau aku berminat dengan lelaki pun, kaulah orangnya…” gurau Rasfal membuatkan tawa Atif terhenti.
Rasfal menunggu reaksi daripada Atif tetapi akhirnya tawanya pecah apabila melihat Atif yang menggeliat kegelian. Tetapi tawa Rasfal terhenti apabila terlihat seorang perempuan yang tiba-tiba melintas jalan.
“Atif!!” jerit Rasfal lalu memusingkan stereng kereta bagi mengelak daripada terlanggar perempuan tersebut.
Atif tersentak lalu sepantas kilat kakinya menekan pedal brek. Berdecit tayar kereta Rasfal apabila terpaksa memberhentikan kereta secara mengejut.
“Aku langgar orang ke, Ras?” soal Atif dengan wajah yang pucat.
Rasfal mendiamkan diri. Dia sendiri tidak tahu. Wajahnya sudah berpeluh.
“Jom kita keluar tengok,” ajak Rasfal lalu menolak pintu kereta. Dia melangkah menuju ke bahagian depan.
“Ya Allah, Atif!” jerit Rasfal.
Atif segera turun dan mendapatkan Rasfal. Alangkah terkejutnya apabila dia melihat seorang gadis sedang terbaring di hadapan keretanya. Atif memandang Rasfal yang kelihatan kaget.
“Kita dah langgar perempuan ni ke?” soal Rasfal dengan suara yang terketar-ketar.
“Aku rasa dia tak apa-apa lagipun tak ada darah pun atas jalan ni,” balas Atif sambil matanya melilau melihat kawasan sekitar.
“Kalau macam tu, jom kita bawa dia pergi hospital!” ajak Rasfal.
Atif hanya mengangguk lalu dia mencempung tubuh gadis tersebut dan diletakkan di tempat duduk belakang. Jelas tergambar riak risau di wajah kedua jejaka itu.


No comments:

Post a Comment