DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 19 January 2015

Pengarah Cinta Terbaik - Bab 19



BUNYI kompang dipalu memenuhi segenap ruang hotel lima bintang yang dijadikan tempat untuk majlis resepsi Ras Haqeemi dan Citra Nur Afilya. Ruang dewan itu hampir dipenuhi dengan rakan-rakan media dan peminat-peminat yang dijemput khas oleh Rasfal untuk menjadi saksi perkahwinannya dengan Citra. Bibir Rasfal terukir dengan senyuman manis namun di hatinya terselit rasa yang bercampur baur.
Jika hari ini para wartawan berkumpul untuk membuat liputan tentang majlis perkahwinannya, pasti dalam jangka masa sebelas bulan akan datang, semua wartawan akan mengerumuninya untuk membuat liputan tentang berita penceraiannya pula. Alangkah bagusnya jika apa yang dirancang menjadi kenyataan. Tetapi adakah jalan hidupnya semudah itu? Soal hati Rasfal.
“Cantiknya…” suara Atif kedengaran mengejutkan Rasfal. Dia berpaling pada Atif yang berdiri di sisinya.
“Apa yang cantik?” soal Rasfal pelik.
“Tu…” Atif memuncungkan mulut menunjukkan ke arah Citra yang lengkap berpakaian pengantin sedang berdiri sambil memegang bunga. Di bibir gadis itu terukir senyuman manis.
Rasfal mendongak. Dia terpaku seketika melihat Citra yang kelihatan sangat cantik dengan gaun pengantin labuh tersarung di tubuh genitnya. Manakala, kepala gadis itu ditutupi dengan selendang yang dililit kemas dan diletakkan mahkota yang diperbuat daripada berlian di atas kepalanya. Seluruh pakaian dan penampilan Citra diuruskan sepenuhnya oleh Datin Rohana dan Rasfal tahu Datin Rohana memang pakar dalam semua ini.
Dia tersenyum manis pada Citra yang setia menunggunya. Kedengaran lagu-lagu pengantin baru dimainkan dan dinyanyikan oleh penyanyi yang dijemput khas oleh Rasfal. Dia menghampiri Citra sambil wajahnya tidak henti-henti disilaukan dengan lampu kamera yang galak merakamkan detik manis antara dia dan Citra.
Rasfal menghulurkan tangannya pada Citra yang kelihatan terkedu. Tidak lama kemudian, barulah Citra menyambut huluran tangan Rasfal. Dia mengenggam tangan suaminya itu dengan kemas.
“Kenapa sejuk sangat tangan kau ni?” bisik Rasfal rapat di telinga Citra.
“Saya takutlah. Ramai sangat yang pandang saya macam nak telan je,” ucap Citra.
“Orang cantik memanglah ramai yang pandang,” balas Rasfal bersahaja. Matanya difokuskan ke arah pelamin. Renungan Citra di sebelah tidak diendahkan.
Citra terdiam seketika sebelum bibirnya turut mengukir senyum. Dia mengikut jejak langkah Rasfal sehinggalah sampai di atas pelamin yang cukup cantik. Atif dan Rania menjadi pengapit untuk Rasfal dan Citra kali ini. Memang hati Citra cukup gundah-gulana apabila matanya secara tiba-tiba bertembung pandang dengan anak mata Qammar.
Lama Citra berbalas renungan dengan Qammar sebelum dia tersedar apabila tangannya digenggam oleh Rasfal.
“Kau pandang apa tu?” soal Rasfal dengan suara yang perlahan. Cukuplah untuk dia dan Citra mendengar.
Err…tak ada apa-apa,” balas Citra lalu mengalihkan pandangan ke hadapan.
“Kau jangan nak buat perangai ya. Dalam ni ada ramai wartawan. Aku tak nak ada sebarang masalah. Lepas ni kita ada sesi temu ramah dengan wartawan. Aku nak kau jawab mengikut apa yang aku dah terangkan, faham?” ujar Rasfal lagi seolah berbisik. Matanya dipandangkan ke hadapan cuma mulutnya saja yang berkata-kata.
“Saya faham bos,”
“Bagus. Sekarang pandang depan dan senyum.” Arah Rasfal.
Citra akur. Dia mengukir senyuman walaupun hatinya cukup tidak keruan apabila melihat wajah Qammar yang keruh. Dia tahu tunangnya itu kecewa. Dia tahu Qammar pasti bersedih tapi apakan daya ini semuanya telah berlaku dan tidak boleh berpatah semula.
Selesai saja majlis bersanding, Rasfal dan Citra terpaksa berdepan dengan wartawan pula. Walaupun agak rimas namun Rasfal gagahkan juga untuk menunjukkan wajah yang manis pada semua wartawan yang hadir. Saat inilah dia harus gunakan kepakarannya dalam berlakon pada semua yang hadir.
“Macam mana perkenalan kamu berdua?” soal wartawan wanita apabila sesi soal jawab dimulakan.
Rasfal memandang Citra dengan senyuman manis. Tangan Citra digenggam erat seperti tidak mahu dilepaskan.
“Perkenalan kami biasa-biasa je. Dia bekerja di produksi saya dan sejak pertama kali saya tengok dia, hati rasa tertarik untuk mengenali dia dengan lebih dekat kerana saya dapat rasakan yang di seorang yang istimewa dan ternyata dia mendapat tempat istimewa di hati saya,” jawab Rasfal tenang.
Citra menelan air liur. Jawapan Rasfal terlalu dramatik. Bila masa aku dapat tempat istimewa di hati dia? Tak ada tempat langsung aku dekat hati dia. Pandai betul kau menipu, bos. Detik hati Citra.
“Apa ciri-ciri yang ada pada Citra sehinggakan Ras Haqeemi sanggup menolak wanita lain untuk dijadikan teman hidup?” wartawan lain menambah soalan.
Rasfal tersenyum lagi. Dia sudah dapat menjangkakan soalan yang bakal diajukan jadi dia sudah menyediakan jawapan yang dirasakan tepat.
“Dia seorang yang manis, sopan santun, pandai hormat mama dan papa saya dan yang penting dia memiliki sifat-sifat keibuan yang tiada pada wanita lain. Jadi dengan segala ciri-ciri yang ada pada dia cukup untuk saya hidup dengan dia buat selama-lamanya,” balas Rasfal sambil merenung wajah Citra.
Dengan pantas Citra menundukkan pandangan. Dia segan apabila Rasfal melakukan sebegitu. Rasa berbahang wajahnya apabila terdengar usikan daripada para wartawan.
“Citra pula bagaimana? Apa ciri-ciri yang ada pada Ras Haqeemi yang menarik perhatian awak?” soal wartawan tadi pada Citra.
Citra tersentak. Dia memandang Rasfal buat seketika. Apa aku nak jawab? Tak ada langsung ciri-ciri pada Rasfal yang memikat hati aku. Dahlah ego, sombong, kasar. Semuanya tak memenuhi citarasa aku. Haih!
Errr…bagi saya Abang Ras seorang yang sangat penyayang. Penyabar dan paling penting dia memang seorang lelaki yang suka ambil berat tentang saya,” bohong Citra.
Rasfal tersenyum lebar. Penyayang dan penyabar? Nampak sangat Citra menipu. Detik hatinya namun dia hanya ketawa dalam hati.
“Awak tahukan Ras ni pelakon lelaki yang popular dalam Malaysia ni. Gosip-gosip tentang dia dengan perempuan memang banyak. Jadi awak tak rasa ke nak mintak Ras tinggalkan dunia seni ni?” soal wartawan lain.
Citra menggigit bibir. Lantak dialah nak berlakon ke tak berlakon ke. Ada aku kisah? Jawab Citra cuma dalam hati.
“Saya tak halang untuk dia berlakon cuma dia perlu jaga batas-batas dia sebagai suami orang. Saya tak pernah ada niat pun nak mintak dia berhenti daripada menjadi anak seni,” balas Citra lancar.
“Beruntung Ras dapat isteri yang memahami. Jadi macam mana pula dengan lokasi bulan madu? Tak nak kongsi dengan peminat ke?” sampuk wartawan lain pula.
Rasfal dan Citra berpandangan. Mereka terdiam seketika. Rasfal tersengih. Tidak langsung terlintas dalam fikirannya tentang berbulan madu.
Errr…pasal tempat berbulan madu biarlah rahsia. Saya nak bagi surprise untuk isteri saya,” ujar Rasfal sambil mengelus lembut bahu Citra.
Kedengaran para wartawan mengeluh hampa.
“Tunggu dulu. Bila masa yang sesuai nanti saya akan umumkan.” Sambung Rasfal lagi.
Para wartawan mengangguk. Kemesraan yang ditunjukkan oleh kedua merpelai ini menyakinkan mereka malah walaupun tampak masih ada malu-malu namun Rasfal dan Citra nampak begitu serasi bersama.
Citra hanya tersenyum mendengar jawapan-jawapan yang diberikan oleh Rasfal terhadap soalan demi soalan yang diajukan oleh wartawan. Lelaki itu kelihatan tenang seperti sudah dapat menjangkakan soalan yang akan diajukan padanya. Namun, jauh dalam sudut hati Citra dia terasa gementar saat Rasfal memeluk erat bahunya. Apatah lagi dia bertembung pandang dengan Qammar selaku jurukamera untuk majlis ini.
‘Kenapa kita harus berjauhan sedangkan sepatutnya kita yang harus bersama, abang? Mengapa ini yang terjadi dalam hubungan kita?’ detik hati Citra sambil matanya membalas pandangan Qammar yang sayu.
“Apa kata-kata terakhir Citra untuk Ras?” soalan wartawan mengejutkan Citra daripada lamunan. Dia mengalih pandangan pada wajah yang berada di hadapannya.
Errr…” Citra tergagap-gagap. Dia hanya mengikuti jejak Rasfal yang memalingkan wajahnya dan merenung anak matanya dengan redup.
“Saya nak awak tahu betapa bertuahnya saya mendapat seorang isteri seperti awak. Izinkan selamanya saya di hati awak. Izinkan saya menjadi suami yang menjaga dan melindungi awak sehingga ke akhir hayat awak,” ucap Rasfal penuh perasaan. Dia mengucup tangan Citra dengan selamba.
Citra terpana. Bulat matanya memandang wajah Rasfal. Mungkin mudah bagi Rasfal mengucapkan kata-kata yang seromantis itu kerana lelaki itu sudah terbiasa dengan ayat-ayat di dalam drama sedangkan dia bukanlah wanita yang mudah mengungkapkan kata-kata semanis itu.
“Saya tak dapat berjanji untuk menjadi isteri yang baik tapi saya akan cuba untuk menjadi isteri yang solehah. Saya perlukan awak untuk bimbing saya, menjadi pelindung saya buat selama-lamanya,” spontan ayat itu keluar daripada mulut Citra. Dia berpandangan dengan Rasfal yang sedang tersenyum manis. Ada debar di dadanya saat Rasfal menyentuh pipinya.
“Terima kasih, sayang.” Ujar Rasfal. Spontan satu ciuman lekat di dahi Citra.
Citra terkedu. Hatinya sedikit tersentuh dengan perbuatan Rasfal namun matanya sempat menangkap kelibat Qammar yang berlalu meninggalkan tempat itu. Sedih, memanglah itu yang dirasakan oleh Citra saat ini tetapi dia tidak mampu melakukan apa-apa untuk menghalang Qammar. Dia hanya tunduk dan membiarkan jari-jemarinya digenggam oleh Rasfal.

 USAI solat isyak, Citra duduk di birai katil sambil merenung inai yang masih merah di jari. Inai ini membuktikan bahawa dia telah menjadi isteri kepada seorang lelaki yang bergelar suami tetapi sayangnya dia menjadi isteri kepada lelaki yang tidak pernah dikenalinya. Lelaki yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya. Selama ini dia hanya melihat Rasfal di dalam kaca televisyen tetapi ternyata sekarang lelaki itu sudah menjadi suaminya walaupun hanya untuk sementara.
Citra menilik cincin berlian yang berada di jari manisnya itu. Satu keluhan terbit daripada bibir mungilnya.
“Kalau ibu ada mesti ibu tak percaya yang Citra dah berkahwin. Tapi Citra tak kahwin dengan Abang Qammar, ibu. Citra kahwin dengan orang yang sepatutnya menolong ibu untuk operation ibu. Maafkan Citra sebab terpaksa bohong pada ibu dulu. Citra rindu ibu. Citra perlukan ibu,” ucap Citra sendirian. Dia mula teresak. Wajahnya ditutup dengan telapak tangan.
Masih terbayang di matanya wajah Puan cempaka yang sayu. Wajah yang penuh dengan kasih sayang. Setiap kata-kata nasihatnya sentiasa terpahat kukuh dalam ingatan Citra malah tidak pernah sekali pun dia melupakan wajah ibunya itu.
“Kalau dah kahwin nanti Citra kena hormat pada suami Citra. Jangan tinggikan suara walaupun sedikit sebab suami Citra jalan Citra untuk ke syurga. Ingat pesan ibu,” nasihat Puan cempaka sambil menggosok lembut rambut Citra yang panjang melepasi bahu.
“Citra rindu ibu. Cepat betul ibu tinggalkan Citra…” ucap Citra lagi dengan tangisan yang masih kedengaran.
Tetapi sebaik saja dia terdengar bunyi pintu terkuak, dengan pantas Citra mengesat sisa air mata yang berguguran.
“Kenapa duduk sorang-sorang dalam bilik ni? Dah makan belum?” soal Rasfal mendekati Citra yang duduk di birai katil. Gadis itu sudah siap menukarkan pakaian namun Rasfal dapat mengesan mata Citra merah. Menangiskah gadis itu?
Citra hanya menggelengkan kepala. Dia menundukkan wajah. Bimbang Rasfal dapat mengesan yang dia sedang menangis.
“Kenapa tak makan lagi? Kau tu ada gastrik. Nanti sakit susah pulak,” ucap Rasfal.
Tetapi dia pelik melihat Citra hanya mendiamkan diri dan menundukkan wajahnya. Perlahan-lahan, Rasfal menarik dagu Citra supaya gadis itu berpaling memandangnya.
“Kau menangis?” soal Rasfal pelik.
Citra menggelengkan kepala. Dia menolak tangan Rasfal yang masih memegang dagunya.
“Jangan nak tipu aku. Kau menangis kan? Kenapa?” soal Rasfal ingin tahu.
Satu keluhan terbit daripada bibir Citra. Dia mengetap bibir menahan sebak yang menghimpit dada.
“Saya rindu ibu…” ucapnya perlahan.
Rasfal terdiam. Patutlah dia menangis, rindu ibu rupa-rupanya. Bisik hati Rasfal lalu dia mengesot menghampiri Citra.
“Lepaskan ibu pergi daripada hati kau. Insya-Allah kau akan tenang. Tak salah untuk kau mengenang ibu tapi jangan terus-terusan meratap ibu macam ni. Nanti ibu akan terseksa dekat sana. Kau anak yang baik kan? Tentu kau tak nak tengok ibu terus terseksa kan?” pujuk Rasfal lembut. Dia memeluk bahu Citra.
Akhirnya air mata Citra tumpah juga. Dia menangis teresak-esak mendengar kata-kata Rasfal. Lelaki itu tidak faham perasaannya. Lelaki itu tidak pernah merasakan apa yang dirasakan saat ini. Menanggung kerinduan pada orang yang tiada di hadapan mata begitu menyeksakan.
“Selepas arwah ayah saya meninggal ibu yang besarkan saya. Saya melihat bagaimana jerih perih dia cuba membesarkan saya dengan penglihatan yang terbatas. Macam-macam dia lakukan untuk berikan kehidupan yang sempurna pada saya tapi saya…apa yang saya buat pada dia untuk balas jasanya? Saya tipu dia. Saya anak yang tak berguna…” luah Citra sambil menangis teresak-esak.
Rasfal mengetap bibir. Dia menarik Citra ke dalam pelukan. Kepala gadis itu disandarkan ke dadanya manakala tangannya mengelus lembut rambut Citra.
Syyhhh…jangan cakap macam tu. Aku yang jadi saksi melihat macam mana kau berusaha untuk selamatkan ibu kau. Tapi takdir Allah kita tak boleh duga, Citra. Pasti ada hikmah di sebalik semua ini,” nasihat Rasfal lembut.
“Saya tahu tapi saya bukanlah sekuat mana. Hati saya rapuh. Saya tiada sesiapa melainkan ibu…”
“Tapi kau masih ada keluarga aku. Masih ada mama, ada papa, ada Imran yang sayangkan kau,” pintas Rasfal.
“Tapi itu semua sementara. Awak dan keluarga awak hanya sementara. Lepas kita berpisah tentu saya kehilangan segala-galanya. Tentu semuanya akan berubah…” balas Citra membuatkan Rasfal terdiam.
“Pertama kali aku tengok kau, aku tahu kau seorang yang kuat. Aku tahu kau mampu untuk menghadapi semua ni. Jangan pernah mengalah dengan ujian yang Allah berikan pada kau, Citra. Ibu pergi kerana sudah tiba saatnya dia bertemu dengan Pencipta kita dan kau harus percaya Dia akan menjaga ibu kau lebih daripada kau menjaga ibu kerana Dia akan menjaga hamba-Nya dengan penuh kasih-sayang,” ucap Rasfal bagi menyedarkan Citra.
Citra terdiam. Kata-kata Rasfal ada benarnya juga. Memang sifat manusia itu hanya sementara malah keluarga adalah pinjaman Allah untuk kita. Apabila tiba masanya dia akan mengambil balik kerana fitrah manusia itu tiada satu pun yang kekal kecuali Dia.
Lalu, Citra menyeka air matanya dengan jari. Mata yang terpejam dibuka sedikit demi sedikit. Hatinya lega dapat meluahkan apa yang terbuku di hati tetapi tiba-tiba dia tersedar akan sesuatu. Bulat matanya apabila menyedari kepalanya bersandar di dada bidang Rasfal.
“Bos nak buat apa dengan saya?!” terjerit kecil Citra sambil menolak tubuh Rasfal supaya menjauhi dirinya.
Rasfal tidak sempat bersedia. Hampir dia terjatuh daripada katil tetapi nasib baik dia sempat berpaut pada tilam.
“Kau nak salahkan aku pulak? Kau yang menangis sampai terpeluk aku. Sekarang aku yang nak dipersalahkan? Teruklah kau ni…” bebel Rasfal tidak berpuas hati. Dia memandang wajah Citra dengan tajam.
Citra diam seketika. Dia cuba mengingat kembali apa yang berlaku. Betul ke aku yang peluk dia? Soal hatinya. Lalu kepalanya digelengkan.
“Bos tipu. Saya tak ingin tau nak peluk bos tu,” balas Citra tidak mahu mengalah.
“Tak ingin pun tapi kau dah peluk aku. Sekarang aku nak kau bayar ganti rugi,” ujar Rasfal sambil menghulurkan tapak tangannya pada Citra.
Citra membesarkan matanya. Gila ke apa mintak ganti rugi. Bukan aku apa-apakan dia pun. Bentak hati Citra.
“Ganti rugi apanya? Bukan saya cederakan bos pun,” bantah Citra.
Rasfal menggelengkan kepala.
“Aku tak kira, kau kena ganti rugi juga sebab dah peluk aku. Belum pernah ada orang berani peluk aku tau,” balas Rasfal sekadar untuk mengusik Citra. Dalam hatinya tergelak sakan melihat wajah Citra yang mula gelabah.
“Tak nak saya!” cebik Citra sambil memeluk tubuhnya sendiri.
“Oh, kau nak melawan ya. Nampaknya aku terpaksalah…”
“Terpaksa apa?”
“Terpaksa tuntut ganti rugi daripada kau,”
“Bos nak tuntut macam mana?” soal Citra dengan dahi yang berkerut.
Rasfal tersengih sambil mengangkat-angkat keningnya. Wajah Citra ditenung lama sebelum kedua belah bahu Citra dipegang lalu tubuh gadis itu ditolak ke tilam dengan pantas.
Citra terjerit kecil. Bulat matanya memandang wajah Rasfal yang begitu dekat dengan wajahnya. Air liur yang ditelan terasa pahit. Jantungnya yang berdebar menyukarkan Citra untuk bernafas.
“Apa bos ni? Lepaskan sayalah!” marah Citra cuba menolak tubuh Rasfal yang menghimpit tubuh genitnya.
“Eh mana boleh lepaskan macam tu je. Kau kena ganti rugi dulu. Kau tahu tak malam ni malam apa?” soal Rasfal sambil tersenyum nakal. Dia mendekatkan lagi wajahnya ke wajah Citra.
“Malam isnin,” balas Citra lurus.
Rasfal ketawa kecil. Tangan Citra yang cuba menolak tubuhnya digenggam. Dia tersenyum penuh makna. Suka pula dia melihat wajah Citra yang sudah merona merah.
“Inikan malam pertama kita…” ucap Rasfal dengan sengihan melebar.
“Malam pertama??” Citra terkejut. Dahinya sudah berpeluh. Janganlah Rasfal fikir perkara yang bukan-bukan. Melihat senyuman nakal yang terukir di bibir Rasfal cukup menyeramkan Citra. Dadanya berdebar-debar.
“Tapi dalam perjanjian, bos tak dibenarkan sentuh saya,” bantah Citra dengan suara yang hampir tidak terkeluar.
“Itu dalam perjanjian, luar perjanjian boleh kan?” usik Rasfal lagi sambil mengenyitkan mata.
Hampir pitam Citra dibuatnya. Dia menggelengkan kepala lalu matanya dipejamkan apabila wajah Rasfal semakin menghampiri. Citra takut. Takut untuk menghadapi kenyataan.
Rasfal menahan dirinya daripada ketawa. Lucu pula melihat wajah Citra yang ketakutan. Dia merenung anggota wajah milik Citra yang terhidang di hadapan mata. Daripada mata gadis itu yang tertutup rapat, mata Rasfal beralih pada hidung Citra yang sederhana mancung sebelum matanya tepat memandang bibir Citra yang merah merekah. Tiba-tiba saja jantung Rasfal bergetar. Dia menelan air liur. Batinnya bagaikan terpancing dengan satu perasaan yang aneh.
Lantas, Rasfal menggelengkan kepalanya dengan laju. Dia tidak boleh biarkan perasaannya hanyut nanti dia juga yang akan menderita. Lalu, Rasfal bangkit lalu duduk di birai katil. Dia meraup wajahnya dengan tapak tangan mengusir keinginan hati yang entah dari mana datangnya.
“Dah tak payah nak perasan sangat. Bukan aku nak apa-apakan kau pun. Saja je nak gertak,” ujar Rasfal selamba.
Citra membuka mata. Dia memandang ke sekeliling. Kelihatan Rasfal sudah duduk di birai  katil. Dia menarik nafas lega. Lalu membetulkan baju tidur yang dipakainya.
“Bos jangan main-main dengan perkara macam ni boleh tak?”
“Kenapa kau takut ke?” soal Rasfal selamba.
Citra terdiam.
“Jangan risau, aku hanya sentuh orang yang aku cinta…” balas Rasfal selamba lalu dia mendaki katil sebelum merebahkan tubuhnya di sebelah Citra yang sudah bingkas bangun.
“Kalau bos tidur atas tilam ni, saya nak tidur dekat mana?” soal Citra.
“Tidur jelah sekali. Bukan aku nak apa-apakan pun. Aku dah cakap tadikan, aku akan sentuh perempuan yang aku cinta saja. Kau tu tak ada pun dalam senarai,” balas Rasfal sambil ketawa kecil.
Citra mencebik. Sakit hati mendengar kata-kata Rasfal.
“Kalau bos ada niat nak sentuh saya, saya tendang bos,” balas Citra nekad. Dia mula merangkak naik ke atas katil.
Rasfal tersenyum penuh makna. Kemudian dia bangkit dan berpura-pura untuk menerkam Citra. Citra yang  terkejut dan tidak bersedia akhirnya jatuh daripada katil.
“Aduhhhh….” Citra menggosok punggungnya yang terhentak di lantai. Nasib baik lantai itu dialas dengan permaidani tebal, kalau tidak pasti patah pinggangnya.
Namun, Rasfal hanya ketawa lepas. Puas hatinya dapat kenakan Citra. Dia kembali merebahkan kepalanya di atas bantal.
“Seronok betul dapat tengok nangka busuk jatuh,” perli Rasfal sambil memejamkan mata.
Citra mengecil matanya memandang Rasfal. Rasa ingin dicekiknya Rasfal saat ini. Dia mengangkat tangan seolah-olah ingin mencekik Rasfal.
“Tak payahlah nak cekik aku bagai. Lebih kau tidur sebelum aku nekad terkam kau. Kang tak pasal-pasal kau mengandung anak aku pulak,” ujar Rasfal dengan matanya yang tertutup.
Citra menelan air liur. Lalu dia merebahkan badannya di sebelah Rasfal. Dia menarik kain selimut sehingga menutupi kepalanya. Bantal peluk diletakkan di tengah-tengah bagi mengelak Rasfal memasuki sempadan. Takut juga jika Rasfal betul-betul mengotakan apa yang dikatakan kerana lelaki itu memang pantang dicabar. Pantas saja Citra memejamkan mata.
Rasfal membuka mata. Dia menjenguk wajah Citra kemudian dia tersenyum kecil.



No comments:

Post a Comment